24hb September 2011


Saya tegaskan bahawa Pakatan Rakyat merupakan suatu muafakat utuh dan berlandaskan kejujuran mahukan Perubahan buat rakyat negara Malaysia. Oleh kerana itu, isu yang menyentuh kepentingan rakyat pastinya dibincangkan bersama kesemua wakil dari parti komponen serta keputusan yang dibuat merupakan pendirian bersama. Pun demikian Pakatan Rakyat berpendirian, setiap dari parti komponen sewajarnya mempunyai ruang untuk mengungkapkan keyakinan, faham serta ideologi terutamanya kepada pendokong mereka. Saya sendiri telah merujuk ke mahkamah syariah berkaitan tuntutan qazaf, dan pimpinan Pakatan Rakyat tidak pernah pula menghalang. Hakikatnya hanya Menteri Hal Ehwal Agama Umno yang bertindak menghalang saya dari meneruskan tuntutan qazaf tersebut. Selain itu Dato’ Jamil Khir terpalit dengan tuduhan bahawa beliau menggunakan dana zakat bagi membiayai kos guaman kerana tidak memulakan pendakwaan terhadap Saiful Bukhari dalam tuntutan Qazaf saya. Permuafakatan Pakatan Rakyat bukanlah suatu bentuk usahama seperti Umno-BN yang sekadar mahu mendapat laba politik sehingga menafikan hak serta suara mereka yang tidak sehaluan.

Berkaitan hasrat Negeri Kelantan mahu melaksanakan hudud, saya berpandangan kita sewajarnya menghormati keputusan tersebut, namun pastinya ia tertakluk kepada beberapa perkara. Pertamanya persoalan Maqasid al Syariah, Matlamat Utama Syariah, iaitu menjamin keadilan untuk semua. Malah dalam karya saya yang berjudul Gelombang Kebangkitan Asia, tuntas saya ungkapkan keutamaan Maqasid al Shariah demi menjamin keadilan untuk semua. Justeru adalah baik untuk kita merenung beberapa aspek perundangan syariah yang berjaya dilaksanakan di Kelantan, maka tidak wajar buat saya menempelak atau meremehkan langkah tersebut.

Sebagai seorang Muslim, pastinya saya menjunjung tinggi perintah Allah SWT serta pesan-pesan Nya yang terkandung di dalam Al Quran. Apabila ditanya, apakah pandangan saya mengenai hudud di Malaysia dan isu berkaitan undang-undang syariah serta perlaksanaannya oleh mahkamah syariah di negara ini, jawab saya, dalam konteks masyarakat Malaysia, kita semua tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana itu perlaksanaan hukum Islam sewajarnya mengambil kira keberkesanan pentadbiran mahkamah syariah negara ini memastikan keadilan untuk semua. Menyentuh persoalan keadilan untuk semua, perlaksanaan undang-undang syariah semestinya menjamin hak bukan Islam tidak dicerobohi serta dizalimi. Saya menasihati rakan-rakan untuk meneliti kenyataan saya ini berasaskan muafakat yang tertera dalam Buku Jingga:

“Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.”

Namun apa yang saya kesalkan adalah hipokrisi Umno-BN memperalatkan isu hudud ini sebagai permainan politik. Pimpinan Umno-BN tidak pernah berhasrat membincangkan isu ini secara tuntas dan serius. Mantan perdana menteri, Dr Mahathir menolak bulat-bulat malah mempersendakan peranan undang-undang syariah serta beberapa pesan yang dianggap sebahagian dari sunnah Rasulullah SAW. Media yang dikuasai pemerintah pula mencanangkan kononnya undang-undang syariah sebagai suatu warisan zaman primitif. Harus diingat, pandangan beberapa kerat pimpinan Umno yang mempersenda hukum Islam ini sesungguhnya tidaklah mewakili umat. Waima mutakhir ini beberapa pimpinan Umno memperlihatkan diri sebagai jagoan memperjuangkan Islam, manakala seringkali pula mereka menuduh pimpinan Pakatan Rakyat sebagai pengkhianat agama dan bangsa, sedangkan yang sering dilaung-laungkan oleh pimpinan Umno-BN sekadar retorika membakar sentimen serta sering tersasar dari kehendak syariah yang mahukan kemaslahatan untuk rakyat.

ANWAR IBRAHIM

Shorter version in English of the statement above hereby attached.

The implementation of hudud in the state of Kelantan must in all circumstances be subject to the maqasid al Shari’a, that is, the Higher Objectives of the Shari’a, the most paramount of which is to ensure justice for all, regardless of race, status or religion. This warrants the existence of Shari’a judges who are capable of dispensing justice without fear or favour and a Shari’a judicial system which is independent of political pressure or other kinds of influence that would impair its functions in the administration of justice.

In the implementation of hudud laws, it must be stressed that non-Muslims are and must continue to be in all circumstances exempt from the Shari’a jurisdiction. This guarantee will flow naturally from a commitment to the demands of the Higher Objectives. It is also guaranteed by the Federal Constitution.

As a Muslim, I am bound by the commandments of my religion including the injunctions as ordained in the Holy Qur’an. In this regard the practice of one’s faith is a fundamental liberty that is guaranteed by the constitution. This view is perfectly consistent with the position of the Pakatan Rakyat as laid out in the Orange Book:

“…to defend the Federal Constitution, to uphold the position of Islam as the religion of the Federation, to ensure that other religions may be professed and practiced fully, and to safeguard the special position of the Malays and the natives of Sabah and Sarawak as well as the interests of other races in line with Article 153.”

We condemn the hypocrisy of UMNO and Barisan Nasional in exploiting the hudud issue for political mileage. Even more deplorable are the sinister machinations orchestrated by UMNO in attempting to stoke the fires of ethnic and religious tension by repeatedly playing up the issue in their media.

To the non-Muslim audience, they project an anti-Shari’a stance even on some occasions rubbishing it as a primitive system while to the Muslim audience; they relentlessly attack Pakatan Muslim leaders as being traitors to their religion and race by consorting with non-Muslim leaders. Without doubt these actions are part and parcel of the overall plan to drive a wedge in the Pakatan coalition and bring about internal strife and in the process hope to weaken the coalition and the chances of victory in the next elections

I would like to stress that Pakatan Rakyat is a coalition built on the principle of consensus and mutual trust and respect. We hold firm to the conviction that any issue which affects the interest of the people must be discussed frankly in a civilized manner with the objective of seeking an amicable resolution. We also believe that each and every component party of the coalition should be given its legitimate right to explain its position on significant issues to its members.

ANWAR IBRAHIM

Oleh Azmin Ali

Ahli-ahli panel yang bijaksana, saudara-saudari sekalian yang dihormati.

Saya merasa gembira kerana dapat melibatkan diri dalam wacana yang penting ini dalam usaha kita untuk membina Malaysia yang baru berpaksikan nilai-nilai demokrasi dan kebebasan.

Tahniah kepada saudara Khalid Jaafar dan IKD yang telah memulakan inisiatif ini untuk push the boundary of the discussion. Saya yakin wacana yang berterusan akan mewujudkan kesedaran awam bahawa ISA dan undang-undang draconian yang lain seperti Akta Hasutan 1948, Akta Penerbitan dan Percetakan 1984 dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bukan sahaja tidak relevan tetapi adalah ejen pembunuh demokrasi dalam negara.

Tema wacana ini amat menarik tetapi situasi hari ini belum lagi menepati tema berkenaan. Walaupun, Perdana Menteri Najib telah mengumumkan bahawa kerajaan akan memansuhkan ISA, namun rakyat hari ini mencabar kredibiliti beliau dan pentadbiran BN di Putrajaya; apakah ada political will untuk melaksanakan reformasi politik atau hanya sekadar istilah muluk-muluk sebagai halwa telinga tanpa pengisian dalam konteks perlaksanaan.

Saudara-saudari yang dihormati sekalian,

Pengumuman Perdana Menteri menjelang sambutan Hari Malaysia disusuli dengan suatu gerakan propaganda melampau untuk mewujudkan euphoria supaya rakyat berterima kasih kepada Dato’ Sri Najib dan Umno. Namun kita harus sedar bahawa kebebasan adalah milik mutlak rakyat yang merdeka dan bukan pemberian oleh pemerintah.

Kita tidak berterima kasih kepada Inggeris kerana memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Walaupun hari ini ada teori baru yang mendakwa Malaysia tidak pernah dijajah. Apakah penjajah Inggeris akan memberikan kemerdekaan jikalau rakyat tidak menuntutnya, memperjuangkannya hatta dengan mengangkat senjata?

Rakyat India tidak berterima kasih apa lagi memberikan tahniah kepada Lord Mounbatten. Wira kemerdekaan mereka seperti Gandhi, Jawarharlal Nehru, Maulana Abdul Kalam Azad, telah mencetuskan kesedaran dan menggembleng kekuatan rakyat untuk menentang dan membebaskan India daripada penjajahan British.

Dalam sejarah perjuangan rakyat Malaysia, atas prinsip yang sama, kita tidak berterima kasih kepada British kerana menurunkan Union Jack pada 31 Ogos 1957. Terima kasih dan rasa hormat kita adalah kepada pejuang-pejuang kemerdekaan.

Perjuangan menuntut kemerdekaan adalah perjuangan rakyat pelbagai kaum dari pelbagai faham politik, cara perundingan termasuk kaedah radikal. Semua pihak ini mempunyai peranan masing-masing dan sumbangan mereka tidak boleh dipadamkan dari sejarah. Kita juga harus mengiktiraf tokoh-tokoh seperti Tok Janggut, Dr. Burhanuddin al-Helmi, Ustaz Abu Bakar al-Bashir – Gunung Semanggol, Tun Tan Cheng Lock, V.T Sambanthan termasuk juga Mat Indera.

Kemerdekaan tidak selesai dengan hanya diturunkan Union Jack dan berkibarnya jalur gemilang. Kemerdekaan harus dimaknai dengan pengisian yang menjamin sebuah Negara yang demokratik, bebas dan berkeadilan. Kita merdeka pada 31 Ogos 1957 tetapi Undang-Undang Darurat yang dilaksanakan oleh penjajah British masih diwarisi Perikatan dan kemudiannya Umno dan Barisan Nasional. Undang-Undang Darurat ini telah melahirkan beberapa undang-undang yang menyekat kebebasan atas nama keselamatan Negara termasuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 yang membenarkan tahanan tanpa bicara. Ketika Tun Razak membentangkan pindaan perlembagaan pada 20 April 1960, beliau menegaskan : “Mana-mana negara yang diancam oleh komunis harus mengekalkan satu-satunya cara untuk menghadapi ancaman tersebut, iaitu dengan menahan komunis dan agen-agen mereka, maka ia boleh menghalang daripada berlangsungnya perancangan yang memudaratkan”. Malangnya, rekod membuktikan bahawa hampir keseluruhan tahanan ISA adalah di kalangan pimpinan politik yang mempunyai pendirian berbeza dengan pimpinan UMNO. Istilah seperti “komunis” “anasir anti-nasional” atau “subversif” sentiasa dijadikan alasan untuk membatasi kebebasan politik rakyat.

Ketika Anwar Ibrahim ditahan pada tahun 1974, antara alasan yang digunakan ialah beliau merupakan agen komunis. Namun beberapa tahun kemudian beliau diangkat pula sebagai anggota kabinet kerajaan.

Rejim Umno dan Barisan Nasional tuntas menggunakan undang-undang ini untuk membungkam saingan politik seperti Dr. Burhanudin al-Helmy, Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim, Karpal Singh dan Syed Husin Ali. Apabila berlaku konflik dan perebutan kuasa dalam UMNO, ISA juga digunakan. Abdul Aziz Ishak, Menteri Pertanian pertama dan musuh ketat Tunku Abdul Rahman turut ditahan dibawah ISA. Hal yang sama juga berlaku ke atas beberapa orang Timbalan Menteri seperti Abdullah Ahmad dan Abdullah Majid. Wartawan veteran, Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail juga adalah antara mangsa-mangsa ISA.

Justeru perjuangan untuk mencapai kebebasan rakyat berterusan selepas merdeka dan generasi hari ini harus mengiktiraf dan menghargai mereka yang berdekad-dekad memperjuangkan kebebasan. Kebebasan adalah hak rakyat sebagai seorang warganegara yang merdeka dan hak ini tidak boleh dirampas dan diperdagangkan oleh pemerintah. Oleh kerana itu, kita harus berpegang kepada amalan demokrasi yang menjamin bahawa setiap hak rakyat harus dihormati dan dipertahankan.

Hal ini adalah sebagaimana yang diungkapkan oleh Reinhold Niebuhr bahawa : “Man’s capacity for justice makes democracy possible; but man’s inclination to injustice makes democracy necessary”. (Kemampuan manusia untuk berlaku adil menjadikan demokrasi itu satu kemungkinan, tetapi kecenderungan manusia kepada kejahatan menjadikan demokrasi itu satu kewajiban). Hanya demokrasi yang akan menjamin keadilan dan kebebasan terhadap rakyat sesebuah negara.

Rakyat Malaysia yang memahami dan menghayati nilai-nilai demokrasi yang tulen pasti akan meragui kenyataan Perdana Menteri yang mencadangkan bahawa perlu ada dua (2) undang-undang baru di bawah semangat Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Dakwaan Dato’ Sri Najib, dalam sesebuah demokrasi moden perlu ada perseimbangan serta perimbangan antara keutamaan keselamatan nasional atau kebebasan individu.

Saya berpendapat, demokrasi itu tidak membawa makna sekiranya kebebasan dan hak seseorang rakyat itu dirampas dan dinafikan, meskipun atas nama keselamatan nasional. Keselamatan nasional amat penting. Keselamatan nasional dalam pengertian yang sebenar termasuklah melindungi hak dan kebebasan individu sesebuah negara. Apa makna keselamatan nasional sekiranya pejuang-pejuang kebebasan dan keadilan, samada ahli politik atau tokoh-tokoh NGO, tidak selamat dari rejim pemerintah?

Bagi Umno-BN, kebebasan dan keselamatan adalah dua matlamat yang bertentangan. Itu adalah fahaman kuno yang telah disanggah kuat oleh Amartya Sen dalam bukunya Development as Freedom. Pakatan Rakyat berpendirian, kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun dan bergerak tidak bertentangan dengan keselamatan nasional. Jika kita punya pasukan keselamatan yang profesional, terlatih, cekap, dan tidak menjadi instrumen kepada parti politik, saya yakin mereka bukan sahaja mampu menjamin keselamatan nasional tetapi mereka juga akan menjadi pelindung kepada hak dan kebebasan rakyat.

Antara asas mengapa kita menentang penggunaan ISA adalah kerana ia membenarkan tahanan tanpa bicara. Penahanan tanpa bicara sama sekali bertentangan dengan prinsip rule of law. Konsep asas perundangan menyatakan bahawa “a person is presumed innocent unless proven guilty”. (Seseorang itu tidak dianggap bersalah selain telah dibuktikan bersalah) Kerana itu, adalah zalim sekiranya kita membiarkan seseorang terus ditahan tanpa dibuktikan kesalahannya.

Kewibawaan Dato’ Sri Najib terjejas ekoran kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyebut bahawa tahanan tanpa bicara tetap akan diteruskan. Justeru tidak hairanlah rakyat tidak yakin bahawa reformasi politik ini akan terlaksana. Tahanan tanpa bicara ini sudah tentunya bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Pemasyhuran Kemerdekaan. Kedua-dua dokumen ini boleh menjadi ‘basic structure’ demi menjamin hak asasi rakyat Malaysia. Ini adalah sejajar dengan prinsip Maqasid Syariah atau matlamat Tinggi Syariah. Inti kepada Maqasid Syariah adalah untuk menjamin karamah insaniah atau kemulian darjat insan yang berteraskan hak dan kebebasannya. Makanya manusia itu mulia dan punya darjat. Oleh itu, dia tidak boleh dihumban ke dalam penjara tanpa di bicarakan.

Ulamak muktabar merumuskan lima asas Maqasid Syariah, iaitu mempertahankan agama, nyawa, akal, keturunan dan maruah, juga harta benda. Kita ambil maruah sebagai contoh. Sejak tahun 1998, dan tiga pilihan raya umumyang lalu, rejim Umno-BN berterusan memfitnah dan merobek maruah Anwar Ibrahim. Tidak ada pemimpin dalam sejarah Malaysia, dan dalam sejarah dunia moden yang maruahnya diaibkan sebegitu rupa. Maka Datuk Seri Najib jangan bercakap tentang Maqasid Syariah selagi fitnah terhadap Anwar Ibrahim terus dilancarkan oleh media di bawah kawalan beliau. Jangan jadikan Maqasid Syariah sebagai tempelan untuk mengaburi mata rakyat dari realiti kebejatan yang ada.

Malaysia dan rakyatnya tidak memerlukan retorika politik yang sebegitu rupa. Kita perlukan substantive reform, reformasi bermakna. Reformasi bermakna bermula dari kesedaran dan kefahaman. Pakatan Rakyat dengan kerjasama NGO dengan tuntas melaksanakan kempen untuk memberikan pendidikan dan pencerahan kepada rakyat tentang makna kebebasan, demokrasi dan hak asasi ini.

Jelas sekali, pimpinan Umno dan BN memerlukan pendidikan dan kefahaman tentang falsafah dan nilai-nilai murni yang mendasari demokrasi, kebebasan dan hak asasi manusia.

Dato’ Sri Najib perlu mengambil iktibar dan pengajaran dari sejarah Jerman dan apa yang dilakukan oleh Konrad Adenauer, Canselor Jerman pasca Perang Dunia Kedua. Apabila Hitler berkuasa beliau menghakis segala nilai-nilai yang mendasari demokrasi dan merobohkan institusi-institusi demokrasi. Masyarakat Jerman di bawah pemerintahan Nazi melakukan pelbagai kezaliman dan pemerkosaan hak asasi manusia. Nilai-nilai kebebasan dan hak asasi manusia yang mendasari demokrasi dan rule of law terpadam dari ingatan rakyat Jerman. Apabila Jerman tewas dalam Perang Dunia Kedua dan Konrad Adenauer ingin membangun semula Jerman sebagai sebuah negara demokrasi, beliau melancarkan program besar-besaran untuk mendidik rakyat Jerman tentang nilai-nilai demokrasi, rule of law dan hak asasi manusia. Dan Konrad Adenauer menggunakan parti-parti politik sebagai ejen utama untuk melaksanakan program tersebut melalui penubuhan pelbagai yayasan parti politik.

Dato’ Sri Najib tidak boleh mendabik dada kononnya ini adalah politik pasca-ISA. Pemerintah harus faham bahawa hak dan kebebasan asasi manusia yang dikurniakan oleh tuhan dan bukan milik pemerintah.

Rakyat sendiri tahu kebebasan itu perlu hadir dengan tanggungjawab. Justeru, apabila kita mengambil inisiatif untuk memperkasa masyarakat tentang asas-asas hak asasi, kebebasan dan juga keadilan, kita juga perlu menegaskan keperluan tanggungjawab. Hal ini turut dijelaskan oleh Eleanor Roosevelt yang menyatakan bahawa: “Freedom makes a huge requirement of every human being. With freedom comes responsibility”. Saya nukilkan pandangan Eleanor Roosevelt kerana beliau adalah tokoh yang mempengerusi dan memimpin jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang yang menggubal dan meluluskan Universal Declarations of Human Rights.

Dalam soal hak asasi manusia, saya berpendapat bahawa kita harus mempunyai suatu konsensus jelas terhadap nilai-nilai yang bersifat sejagat ini. Kita perlu tegas dan jangan sekali-kali berkompromi dalam hal yang menindas dan mencabuli hak masyarakat. Perkara ini adalah di luar batas kaum, agama, mahupun sempadan Negara. Kerana itu, kerajaan juga harus mengkaji dan melakukan penilaian semula kepada beberapa deklarasi antarabangsa yang sehingga kini masih belum ditandatangani oleh Negara kita.

Saya ingin mengimbau kegetiran hidup yang dilalui oleh Nelson Mandela. Beliau dipenjarakan selama 26 tahun di bawah undang-undang Apartheid. Tetapi demi untuk menghapuskan Apartheid, beliau sanggup duduk semeja dan berunding dengan musuh ketatnya Frederik Wilhem de Clerk, ketua kepada rejim yang memenjarakan beliau. Mengambil inspirasi tersebut, Pakatan Rakyat bersedia berbincang dengan Perdana Menteri untuk merangka secara teratur dan bertanggungjawab kaedah dan perlaksanaan penghapusan ISA dan segala undang-undang draconian di Malaysia. Kita bersedia melakukan constructive engagement dengan Barisan Nasional demi untuk mengembalikan segala hak dan kebebasan rakyat yang selama ini dinodai.

Saya akhiri rumusan saya pada malam ini dengan firman Allah s.w.t :

“Hendaklah kamu melakukan Keadilan, kerana Keadilan itu lebih dekat kepada taqwa”

( Surah Al Maidah: 8 )

Sekian, terima kasih.

28 September 2011

Mesyuarat Pakatan Rakyat malam ini memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan Buku Jingga.

Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya-saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.

Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk pendirian PAS berkenaan hukum syariah.

Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.

Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak Umno-Barisan Nasional untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat . Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini.

Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti-parti komponen PR dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh Umno-BN, dengan berpandukan prinsip Keadilan Sejagat (Universal Justice), Pentadbiran yang Baik (Good Governance), Kebertanggungjawaban (Accountability), Ketelusan (Transparency), Kompetensi (Competency) bagi mencapai Kemaslahatan Umum (Public Good) untuk semua rakyat.

YB DATO SERI ANWAR IBRAHIM
YB TUAN LIM KIT SIANG
YB DATO SERI TUAN GURU HJ ABDUL HADI AWANG

16 September 2011

Saya mengucapkan tahniah kepada semua pejuang kebebasan dan hak asasi manusia kerana kerajaan Umno-Bn akhirnya terpaksa akur dengan kebenaran dan keadilan yang mereka perjuangkan selama berdekad-dekad. Ribuan pejuang ini dipenjara, difitnah dan menderita pelbagai kezaliman demi untuk hak dan kebebasan rakyat yang dinodai oleh Umno-BN sejak merdeka lagi.

Tanpa kegigihan perjuangan mereka yang sentiasa memberikan tekanan kepada Datuk Seri Najib Razak, pastinya YAB Perdana Menteri tidak akan membuat kenyataan semalam untuk menamatkan darurat dan menyarankan untuk memansuhkan ISA. Semangat perjuangan rakyat telah menjadi sebahagian dari darah daging perjuangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat meneruskan perjuangan ini dengan memasukkannya ke dalam Buku Jingga.

Justeru itu apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri bukanlah suatu kurnia kepada rakyat sempena Hari Malaysia, sebaliknya ia adalah hasil dari perjuangan getir. Maka tahniah yang sebenar adalah untuk para pejuang kebebasan dan hak asasi baik dari parti-parti politik mahupun dari NGO. Sebagaimana kita tidak memberikan tahniah kepada British kerana memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 tetapi tarikh tersebut kita rayakan sebagai kemuncak kejayaan perjuagan menentang penjajahan.

Namun kita mengalu-alukan langkah yang diambil Perdana Menteri yang tentunya membuka lembaran baru kepada persekitaran politik Malaysia sekiranya apa yang diumumkan dikotakan dan tidak sebagai satu retorika serta sekadar bersifat kosmetik demi memulihkan imej politik.

Oleh kerana itu sejajar dengan pengumuman Datuk Seri Najib semalam yang berhasrat memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan menamatkan perintah darurat, kita menuntut agar:

1) Segera membebaskan semua tahanan yang ditahan tanpa bicara atau hadapkan mereka ke mahkamah untuk diadili.

2) Menutup pusat tahanan yang menempatkan tahanan yang ditahan tanpa bicara seumpama Pusat Tahanan Kamunting dan Simpang Renggam.

3) Segera melaksanakan proses siasatan terhadap segala aduan siksaan terhadap para tahanan.

Kita juga perihatin dengan pengumuman Datuk Seri Najib untuk menggubal dua akta baru yang dipayungi Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Akta itu menurut Perdana Menteri bakal digunakan untuk memerangi keganasan dan aliran subversif. Kita berpandangan adalah penting bagi Pakatan Rakyat, NGO dan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak untuk duduk semeja bersama-sama mendapatkan maklum balas dari segenap lapisan masyarakat sebelum rang undang-undang ini dibentangkan di Parlimen kelak. Oleh itu kita menyeru agar diwujudkan Majlis Perundingan Kebangsaan bagi mengkaji serta bersama-sama menggarap dua rang undang-undang mencegah keganasan dan aktiviti subversif yang bakal dibentangkan di Parlimen kelak.

Kita tidak mahu undang-undang yang bakal digubal ini masih menerapkan unsur perundangan antaranya yang mirip dengan peruntukan Seksyen 73(1) dan Seksyen 8 Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kedua-dua peruntukan tersebut memberi kuasa kepada Menteri untuk menahan

sesiapa sahaja dan membolehkan Menteri itu menyalahguna kuasa demi kepentingannya semata-mata. Pastinya pengumuman pemansuhan ISA tidak membawa sebarang erti sekiranya kedua-dua akta yang bakal digubal itu itu masih membolehkan Tahanan Tanpa Bicara.

Saya ingin mengingatkan Perdana Menteri bahawa rakyat dapat membedakan antara slogan dengan hakikat dan rakyat akan meneruskan perjuangan mereka sehingga segala hak dan kebebasan mereka dikembalikan sepenuhnya termasuk hak mereka untuk berhimpun secara aman untuk menjayakan demokrasi tulen.

Rakyat tidak menerima perubahan yang bersifat tempelan. Selagi pemerintahan Umno-BN tidak menerima perhimpunan Bersih 2.0 sebagai hak dan kebebasan rakyat, rakyat akan beranggapan bahawa tuntutan mereka belum dipenuhi. Demokrasi yang berwibawa dan sistem piliharaya yang adil dan bebas adalah sebahagian dari hak asasi dan kebebasan rakyat.

Parti Keadilan Rakyat juga mahu menegaskan bahawa kita tidak akan menerima kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Najib sebagai bermakna selagi lidah rasmi Keadilan iaitu Suara Keadilan dihalang penerbitan dan pengedarannya oleh Kementerian Dalam Negeri.

Rakyat akan menerima sekiranya pembaharuan yang dilakukan adalah benar-benar ikhlas, berdasarkan penkhayatan kepada nilai-nilai murni demokrasi dan karamah insaniah dan tidak sebagai gimik politik.

Sekiranya Datuk Seri Najib benar-benar menerima nilai-nilai ini beliau sebagai wakil kerajaan harus membuat kenyataan terbuka bahawa kerajaan sebelum ini telah melakukan pelbagai kezaliman di bawah undang-undang kuku besi ISA dan undang-undang drakonian lainnya. Pengakuan ini harus diikuti dengan permohohan maaf kepada mereka yang dizalimi dan kepada mereka yang sudah meninggal, permohonan maaf tersebut disampaikan kepada keluarga mereka.

Perlaksanaan kepada janji Perdana Menteri juga bergantung kepada kebebasan dan integriti institusi kehakiman. Selagi institusi kehakiman tidak bebas dari cengkaman politik dan tidak memiliki integriti, institusi tersebut boleh dijadikan alat kepada kezaliman baru dan melakukan “political persecution.” Bahkan ini yang sedang dilakukan oleh Datuk Seri Najib kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang.

Jenteru itu sementara saya mengajak mengalu-alukan kenyataan positif yang dibuat oleh Perdana Menteri saya juga menyeru rakyat terus istiqamah dalam perjuangan menuntut keadilan dan kebebasan.

MOHAMED AZMIN ALI
TIMBALAN PRESIDEN PARTI KEADILAN RAKYAT