MUKADIMAH

1. Alhamdulillah, kita dapat berhimpun pada pagi ini dengan satu tekad untuk meneruskan agenda perubahan. Kongres tahun ini bukan sahaja merupakan acara tahunan tetapi merupakan perhimpunan yang terpenting untuk menyemak persediaan kita menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13. Ianya menjadi lebih bermakna apabila kongres ini diadakan di negeri Johor sebagai isyarat bahawa KEADILAN sudah bersedia untuk menembusi negeri yang suatu ketika dahulu merupakan fixed deposit UMNO.

2. Saya gembira dan berbangga kerana berada di kalangan anak muda yang berani, yang mempunyai hati dan kecekalan seperti arjuna. Anak muda yang memiliki jiwa dan semangat perjuangan yang sentiasa bergelora seperti ‘anak jantan’.

Apa tanda (si) anak jantan?

Matinya di tengah gelanggang

Tidurnya di puncak gelombang

Makannya di tebing panjang

Langkahnya menghentam bumi

3. Pilihan Raya Umum ke 13 adalah sebuah medan pertempuran yang paling dashyat. Inilah medan Kuru Setre seperti yang disebut dalam Mahabrata. Pilihan Raya ini adalah penentu masa depan rakyat dan negara Malaysia. KEADILAN perlu siap siaga untuk mengambil alih tanggungjawab memimpin rakyat menuju Malaysia Baru. Ini kerana, Pilihan Raya ini adalah Pilihan Raya untuk menyelamatkan rakyat.

DARI REFORMASI KE TSUNAMI POLITIK

4. Mengimbau kembali sejarah lebih sedekad lalu, ketika hampir setiap minggu rakyat berhimpun di tengah kota Kuala Lumpur. Gerakan Reformasi September 1998 adalah wahana untuk memenuhi amanah dan cita-cita murni rakyat. Reformasi yang kita laungkan ketika itu, bukanlah sekadar menumbuk langit, tetapi dengan semangat juang dan cita-cita murni untuk mengembalikan keadilan kepada rakyat dan membangunkan semula institusi kenegaraan yang telah dirosakkan oleh pemimpin UMNO yang durjana dan rakus. Daripada iltizam dan cita-cita murni kebangkitan rakyat ini telah lahir Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya mengambil pendirian politik yang progresif untuk bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan muncul sebagai sebuah parti keramat yang bernama Parti Keadilan Rakyat.

5. Dalam kekalutan lanskap politik negara yang berada di bawah hegemoni UMNO, politik perkauman sempit menjadi tembok untuk menghalang agenda reformasi daripada mendapat tempat dalam masyarakat. Rakyat disogok dengan pelbagai propaganda jahat untuk mencetuskan rasa takut dan curiga dalam masyarakat majmuk sehingga mereka takut untuk berubah. Meskipun rakyat Malaysia mahukan perubahan, namun mereka tetap terpasung dalam ketakutan dan kebimbangan bahawa kaum mereka tidak lagi akan mendapat keistimewaan.

6. Ketika masyarakat terus bergulat dengan ketakutan ini, KEADILAN telah meletakkan tanda noktah untuk menjadi sebuah parti politik yang bukan hanya mewakili satu-satu kaum, tetapi merentasi semua kaum dan keturunan yang ada di Malaysia. Slogan ‘Keadilan Untuk Semua’, ‘Ketuanan Rakyat’ dan ‘Demi Rakyat’ adalah cerminan kepada perjuangan yang dibawa, untuk menyelamatkan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama serta kedudukan sosio ekonomi.

7. Sebagai anggota dan pendukung KEADILAN, kita harus menginsafi betapa murninya perjuangan reformasi untuk mengembalikan hak serta keadilan kepada semua rakyat. Asas perjuangan ini telah dipasak ke bumi Malaysia dalam Deklarasi Permatang Pauh yang menyatakan tekad rakyat yang berbilang bangsa dan agama untuk melancarkan gerakan reformasi total.



8. Alhamdulillah kita bersyukur, perjuangan yang bersandarkan keyakinan yang tinggi bahawa kebenaran pastinya akan menang, telah menempa kejayaan dengan kemenangan lima buah negeri dalam Pilihan Raya Umum ke 12. Lebih bermakna lagi apabila terbentuknya muafakat Pakatan Rakyat yang sebelumnya dikenal sebagai Barisan Alternatif. Setelah Pilihan Raya Umum 2008, Pakatan Rakyat turut menang 9 daripada 16 Pilihan Raya Kecil yang diadakan. Rakyat Sarawak turut menyambut gelora perubahan ini dengan melakar lanskap politik baru Sarawak. Rakyat Sarawak di pedalaman tidak ketinggalan dalam agenda reformasi. Mereka memberi kemenangan bermakna kepada KEADILAN di Ba’ Kelalan, Krian dan Batu Lintang. Hari ini, masyarakat FELDA juga telah bangkit bersama KEADILAN menyatakan keberanian mereka menentang penyelewengan yang berlaku secara terang-terangan. Ini membuktikan bahawa momentum perubahan berterusan dan masih bertiup kencang dari Perlis hingga ke Sabah.

9. Namun bukan hanya kejayaan itu yang harus kita banggakan. Lebih bermakna lagi apabila perjuangan gerakan reformasi dan KEADILAN sebagai sebuah gerakan dan parti politik pelbagai kaum berjaya mendapat tempat dalam hati rakyat. Ini sekaligus mengubah lanskap politik Malaysia daripada politik yang bersandarkan kepada kotak perkauman yang sempit kepada keterbukaan politik demi kemaslahatan seluruh rakyat Malaysia.

10. Inilah wajah baru politik Malaysia dalam sejarah dunia moden yang dipelopori oleh KEADILAN sebagai aspirasi seluruh rakyat Malaysia. Malaysia kini menuju ke arah pembentukan sistem dua parti. Melalui sistem ini rakyat akan mengalami anjakan paradigma dalam membuat penilaian politik dengan lebih rasional dan berasaskan maklumat. Justeru itu, sebarang usaha dari parti serpihan termasuk yang ditaja UMNO untuk menggugat demokrasi pastinya akan tersungkur dan ditolak oleh rakyat. Rakyat mesti menolak mereka kerana mereka bersekongkol dengan musuh demokrasi. Mereka ini tidak lebih dari kembiri politik.

11. Tsunami politik yang berlaku mencerminkan keazaman dan iltizam politik rakyat melakukan perubahan. Rakyat yang idealis daripada pelbagai kaum dan susun lapis hidup telah bangkit menolak diktator, perasuah dan penyalahgunaan kuasa yang telah bermaharajalela lebih 50 tahun. Kebobrokan politik UMNO sudah tidak dapat dibendung lagi, kerakusan mereka mengagihkan kekayaan rakyat kepada keluarga dan kroni memperlihatkan sikap zalim, tamak haloba, angkuh dan tidak bertanggungjawab mereka kepada rakyat yang dipimpin.

12. Sekali lagi kita bersyukur kerana muafakat politik yang dibentuk melalui Pakatan Rakyat telah menjadi alternatif kepada pilihan rakyat untuk melaksanakan perubahan.

MALAYSIA TANPA UMNO

13. Kepercayaan bahawa hanya UMNO yang boleh membawa kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat sebenarnya telah dimitoskan lebih daripada separuh abad. Hari ini, KEADILAN sudah bersedia untuk menerajui gerakan rakyat untuk memecahkan mitos ini. KEADILAN akan menerajui Malaysia tanpa UMNO.

14. Rakyat Malaysia mahukan perubahan. Anggota KEADILAN terutamanya Angkatan Muda dan Wanita menyedari bahawa parti ini adalah sebuah parti reformasi. Parti yang mahukan perubahan demi kemaslahatan rakyat. Parti yang mahu memenuhi aspirasi rakyat untuk melaksanakan keadilan sejagat.

15. Sudah tiada lagi harapan rakyat yang boleh disandarkan kepada UMNO. Tidak ada lagi alasan rasional yang boleh mempertahankan kerakusan serta pengkhianatan UMNO kepada rakyat. UMNO bukan sahaja sudah hilang idealisme perjuangan, tetapi juga sudah muflis nilai serta bankrup moral untuk mempertahankan hak dan kepentingan rakyat.

16. Apakah perjuangan UMNO yang dibawa untuk membela nasib masyarakat Melayu dan rakyat pada hari ini? UMNO yang dikenal khususnya oleh generasi muda hari ini adalah sebuah parti tua yang anti demokrasi, anti intelektual, anti hak asasi manusia, anti pekerja, sarat dengan politik fitnah dan membudayakan rasuah. Malah UMNO pada hari ini juga anti Melayu. Sasterawan Negara Usman Awang pernah mengingatkan kita:

Melayu itu orang yang bijaksana

Nakalnya bersulam jenaka

Budi bahasanya tidak terkira

Kurang ajarnya tetap santun…

17. Apakah UMNO masih membawa pekerti Melayu seperti yang dinukilkan oleh Usman Awang? Jawapannya pasti tidak. Perjuangan UMNO pada hari ini hanyalah perjuangan untuk membela tembolok kerabat dan bukannya rakyat. Budaya politik UMNO pada hari ini adalah berteraskan politik maki hamun, cerca dan fitnah.

18. Peribadi Melayu yang diwariskan oleh UMNO pada hari ini adalah watak Melayu yang tidak boleh dipertahankan lagi. Malah UMNO lah yang telah membunuh ciri-ciri kemelayuan yang dianjurkan oleh Islam. Layakkah perjuangan yang menjulang perasuah dan menghalalkan fitnah digelar sebagai perjuangan Islam? Layakkah perjuangan UMNO yang sehingga kini tidak dapat menjelaskan ke mana lesapnya saham milik Melayu-Bumiputra bernilai RM 52 bilion dijulang sebagai perjuangan mempertahan ketuanan Melayu?

19. Sewajarnya kupasan Profesor Syed Muhammad Naquib al Attas dalam syarahan pengukuhannya “Islam dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu” diteliti dan ditelaah. Islam hadir ke rantau ini meniup nafas segar ke dalam ruh umat Melayu. Islam menjadi pendorong kepada orang Melayu untuk menjadi umat yang berakhlak tinggi, berhemah dan berilmu. Gerakan Islam bermula dengan kebangkitan literasi.

20. Syed Muhammad Naquib menyanggah tesis Van Leur dan Schrieke. Kedua-dua sarjana tersebut menganggap Islam sekadar membentuk lapisan nipis dalam sejarah dan kebudayaan orang Melayu. Walhal, Islam bagai cahaya yang menerangi rantau ini, membentuk tingkah laku, cara hidup dan welstanchaung (pandang dunia/worldview) kita. Hadirnya Islam bagai “Habis Gelap Terbitlah Terang.” (meminjam judul buku Raden Adjeng Kartini)

21. Akan tetapi, sekarang ini, memerhati dengan teliti budaya politik yang dipelopori UMNO, maka tidak hairanlah mereka seolah-olah membenarkan tesis Van Leur dan Schrieke. Fitnah, angkuh, zalim dan rasuah menjadi sebahagian dari jasad dan ruh UMNO. UMNO kini menjadi teras kepada politik gelap.

22. Makanya KEADILAN sebagai wahana perjuangan murni yang mendapat dukungan generasi muda tidak boleh tergelincir dari landasan memajukan kepada khalayak budaya politik baru yang mencerahkan, berhikmah dan membebaskan. Cabaran ini semakin mendesak kerana UMNO telah menyuburkan jiwa perhambaan melalui neo feudalisme dan gagal membina jiwa merdeka.

23. Lihat sahaja dalam isu National Feedlot Corporation (NFC). RM250 juta yang diperuntukkan untuk mengurangkan kebergantungan impot bahan makanan telah disalahgunakan untuk membeli kondominium mewah. Sehingga hari ini Menteri yang berkenaan masih lagi berkuasa, malah mendapat kekebalan dari Timbalan Presiden UMNO. Di mana ‘Ketuanan Melayu’ yang laungkan jika hak rakyat dirampas dan diagihkan kepada Menteri untuk keluarga dan kerabat.

24. Rakyat miskin dibiarkan merempat sementara institusi negara meneruskan pembelaan kepada kerabat UMNO yang rasuah dan melakukan penyelewengan.

25. Begitu juga dengan soal pengurusan ekonomi dan perbelanjaan negara yang tidak berhemah. Tatakelola yang tidak disiplin dan amanah menyebabkan rakyat diheret untuk berhadapan dengan hutang negara yang sudah melewati RM 1 trilion termasuk hutang isi rumah. Jumlah ini mewakili 53% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini adalah hasil daripada pengurusan ekonomi UMNO yang cuai, tidak cekap serta ketirisan.

26. UMNO juga mempertahankan undang-undang kuku besi yang mencabuli hak asasi manusia untuk menjamin kelangsungan kekuasaan mereka. Hak asasi yang dijamin oleh perlembagaan sebagai the supreme law of the land dicabul serta dipasung dengan kekuasaan. UMNO tidak punya iltizam politik untuk melakukan perubahan melainkan sekadar retorika politik.

27. Ternyata ‘transformasi politik’ UMNO gagal. Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sempena Hari Malaysia. Tetapi kerajaan tetap meneruskan penahanan di bawah akta zalim ini. Dua minggu yang lalu, 13 orang ditahan di Sabah di bawah ISA. Tambah parah lagi apabila kerajaan mengumumkan bahawa akta yang akan digubal untuk menggantikan ISA tetap menggunapakai elemen tahan tanpa bicara yang bertentangan dengan fundamental liberties.

28. Kini, kita dilemparkan pula dengan Akta Perhimpunan Aman yang telah dibentangkan di Parlimen. Akta yang jelas bertentangan dengan hak untuk berhimpun yang dijamin oleh Perkara 10 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan. Jelas, ruang demokrasi semakin disempitkan oleh tirani tua yang semakin nazak.

29. Begitu juga dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa Seksyen 15 (5) (a) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Malangnya pemimpin UMNO meremehkan keputusan ini dan berkeras menafikan hak asasi mahasiswa.

30. Sistem pendidikan negara diambang keruntuhan. Bagaimana tradisi ilmu dapat berkembang dengan kondusif dan subur sedang kebebasan akademik para mahasiswa dan pensyarah dinafikan. Tambah malang lagi apabila mahasiswa dan pensyarah ditekan daripada berkata benar untuk menyampaikan ilmu.


(Dia lah yang telah membolehkan manusia [bertutur] memberi dan menerima kenyataan)

31. Ayat ke 4 surah Ar Rahman ini mengungkapkan anugerah Allah SWT kepada manusia. Esensi kemuliaan insan, atau Jawhar al Insanniyyah itu antaranya kekuatan pengungkapan, hak untuk menyampaikan dan menyatakan kebenaran. Oleh kerana itu kemahuan pemerintah untuk membelenggu hak kebebasan rakyat untuk bersuara bukan hanya bercanggah dengan Perlembagaan tetapi juga bercanggah dengan pesan al Quran.

32. Jika UMNO dibiarkan terus kekal berkuasa maka generasi muda sebagai harapan kepada masa depan negara tidak akan muncul sebagai generasi yang berwibawa dan unggul dalam sebuah negara moden.

33. Inilah realiti Malaysia pada hari ini. Perdana Menteri memperdayakan rakyat dengan pemberian palsu. Di mana nilai seorang pemimpin negara jika tidak boleh berpegang kepada janjinya. Sedangkan pepatah Melayu menyebut lembu dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya.

Dari tuan pergi-pergi,

Eloklah menebang buluh bambu,

Dari pegang kata Perdana Menteri,

Lebih baik pegang tali lembu.

34. KEADILAN sebagai parti yang sentiasa memperjuangkan nasib rakyat harus menggalas tanggungjawab dan harapan rakyat seluruhnya untuk mempunyai kehidupan baru yang jauh lebih baik di negara sendiri.

35. KEADILAN dan Pakatan Rakyat telah membuktikan keunggulannya mentadbir beberapa buah negeri. Pentadbiran yang berteraskan disiplin dan amanah menjamin keharmonian dan kesejahteraan seluruh rakyat. Kekayaan dari penghasilan negeri telah diagih kepada seluruh rakyat tanpa sebarang prasangka dan diskriminasi untuk memastikan hak rakyat dikembalikan kepada mereka. Prinsip KEADILAN jelas. Khazanah negeri adalah hak rakyat dan bukan kurniaan Sang Penguasa.

36. Ketua Audit Negara mengesahkan bahawa prestasi ekonomi di negeri-negeri Pakatan Rakyat adalah baik. Analisis Audit melaporkan kepada Dewan Rakyat bahawa kedudukan Wang Tunai Negeri Selangor yang merupakan aset Kerajaan Negeri menunjukkan peningkatan yang ketara pada tahun 2010 berjumlah RM 301.07 juta (48.8%) menjadi RM 918.27 juta berbanding RM 617.20 juta pada tahun 2009. Peningkatan baki Wang Tunai pada akhir tahun 2010 adalah disebabkan jumlah penerimaan iaitu RM 1,753.44 juta adalah lebih tinggi berbanding pembayaran berjumlah RM 1,452.37 juta iaitu lebihan sejumlah RM 301.07 juta memandangkan Kerajaan Negeri telah berjaya menurunkan perbelanjaan mengurus sebanyak 24.9% berbanding tahun 2009.

37. Kerajaan Negeri Selangor juga membuat bayaran sejumlah RM 253.16 juta termasuk anuiti tahun semasa RM 79.70 juta. Ini bermakna Kerajaan Negeri membayar pinjaman prinsipal berjumlah RM 173 juta.

38. Pengurangan hutang secara mendadak sebanyak RM 173.46 juta ini sudah tentu akan menghasilkan penjimatan kepada rakyat dan mengurangkan beban hutang rakyat dengan Kerajaan Persekutuan kerana caj anuiti tahunan berjumlah RM 17 juta dalam tahun 2011 dapat dijimatkan.

39. KEADILAN dan Pakatan Rakyat tuntas memperjuangkan hak rakyat. Buku Jingga adalah bukti dokumen Pakatan Rakyat untuk memartabatkan rakyat dalam bidang sosio ekonomi. Inilah keyakinan rakyat bahawa KEADILAN mempunyai keupayaan untuk menerajui Malaysia tanpa UMNO.

ANAK MUDA PENERAJU DEMOKRASI TULEN

40. Pilihan Raya Umum ke 13 adalah demi rakyat. Angkatan Muda dan Wanita harus menggembleng usaha dan kekuatan untuk memastikan agenda reformasi berjaya. Perjuangan cita-cita murni rakyat untuk melakukan perubahan harus diterajui oleh KEADILAN. Pakatan Rakyat berikrar untuk bersama-sama rakyat demi merealisasikan cita-cita murni ini.

41. Kita harus menjadi peneraju kepada cita-cita murni rakyat untuk membentuk sebuah negara madani yang demokratik. Reinhold Niebuhr menyebut: “Man’s capacity for justice makes democracy possible; but man’s inclination to injustice makes democracy necessary.” (Kemampuan manusia untuk berlaku adil menjadikan demokrasi itu satu kemungkinan, tetapi kecenderungan manusia kepada kejahatan menjadi demokrasi itu satu kewajiban).

42. Ungkapan ini disebut oleh beliau dalam bukunya ‘Children of light and children of darkness’. Siapakah ‘children of light’ dan siapa pula ‘children of darkness’? ‘Children of light’ atau anak-anak pencerahan ini adalah anak muda dan wanita dihadapan saya yang berjuang untuk demokrasi, hak asasi dan berjuang untuk menegakkan keadilan sejagat. Anak-anak kegelapan atau ‘children of darkness’ adalah UMNO yang anti kepada demokrasi, anti kepada kebebasan, anti kepada keadilan sejagat dan bersekongkol untuk meneruskan hegemoni yang mencengkam kehidupan rakyat.

43. Justeru saya menyeru Angkatan Muda dan Wanita merangkul bakat serta potensi generasi muda yang mahu bersama kita. Kita wajar meneladani Liu Bei yang tajam mengesan bakat Zhuge Liang. Zhuge Liang menyertai perjuangan Liu Bei sedangkan umurnya baru sekitar 20 an. Oleh itu, Angkatan Muda dan Wanita perlu menyediakan ruang untuk bakat ini berperanan dengan lebih berkesan. Terbukti dalam kisah Zhuge Liang tadi, beliau tiada tandingannya sebagai strategis biarpun dalam usia yang muda. Pimpinan Angkatan Muda dan Wanita perlu menelaah karya besar San Guo Yan Yik ( Kisah Tiga Negara).

44. Saya telah menerima senarai cadangan calon-calon yang dikemukakan oleh Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Wanita dan Angkatan Muda. Saya berasa amat gembira kerana anak-anak muda diberikan kepercayaan untuk ditampilkan sebagai calon. Saya akan mengangkat perkara ini kepada Presiden dan Biro Politik supaya anak muda dan wanita diberikan peranan penting dalam Pilihan Raya Umum ke 13.

45. Usaha terdesak Perdana Menteri UMNO yang mengisytiharkan “perang cyber” terhadap KEADILAN dan Pakatan Rakyat dengan melancarkan Konvensyen Media Sosial menunjukkan keterdesakan pemerintah untuk meraih sokongan anak muda.

46. Usaha terbaru ini hanya memperlihatkan kepada kita kedangkalan Perdana Menteri dan penasihat medianya. Mereka gagal menanggapi lanskap media sosial dan mengapa anak muda tuntas menggunakan wahana ini untuk menyuarakan pendirian mereka. Warga media sosial tidak mahu diperalat untuk politik fitnah dan maki hamun.

47. Kekuatan berfikir, keteguhan imaginasi dan sikap kritis warga media sosial perlu diraikan. Mereka bersama gelombang reformasi semata-mata mahu memastikan Malaysia yang lebih baik untuk semua. Mereka sedar rakyat dan negara ini berhak kepada yang lebih baik. Maka tidak hairanlah warga media sosial begitu bersemangat menyuarakan pendirian mereka kerana di situlah mereka bebas bersuara mengkritik kebejatan yang berleluasa.

48. Justeru, KEADILAN harus bersedia untuk menjadi sebuah parti hati nurani rakyat. Dengan cita-cita luhur untuk membangunkan sebuah negara yang demokratik, kita harus melaksanakannya dengan memberi pemahaman serta menjalankan kegiatan advokasi melalui penubuhan yayasan-yayasan politik untuk membangunkan demokrasi dalam negara. Paling membanggakan apabila Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif awal dengan memperuntukkan geran sebanyak RM5 juta untuk program pengukuhan demokrasi.

49. Kita perlu membawa agenda yang lebih besar untuk membangunkan nilai demokrasi di Asia. Generasi muda harus lebih peka. Dunia kini, kita dilanda gelombang pendemokrasian sejagat. Ini bermakna masyarakat sejagat sudah mengambil pendirian untuk tidak lagi berkompromi dengan musuh demokrasi. Kita perlu mengubah dasar luar negara yang bersikap non-intervention kepada Dasar Pembangunan Demokrasi Asia. Inilah iltizam KEADILAN atas keyakinan kita bahawa perjuangan demokrasi adalah perjuangan untuk memartabatkan kemuliaan insan.

PENDIDIKAN SEBAGAI AGEN PENCERAHAN

50. Ronggowarsito, pujangga besar Keraton Jawa dan anak didik Pesantren Ponorogo pernah meramalkan akan tiba suatu zaman yang dikenali sebagai zaman edan; zaman kegilaan. Edan atau zaman kekalutan ini diungkapkan pujangga besar Jawa itu dalam kumpulan syairnya yang dikenali sebagai Serat Kalathida.

51. Beginilah bunyinya bait ke tujuh Serat Kalathida yang dinukil Ronggowarsito :

Amenangi jaman édan,

éwuhaya ing pambudi,

mélu ngédan nora tahan,

yén tan mélu anglakoni,

boya kéduman mélik,

kaliren wekasanipun

Menyaksikan zaman gila,

serba susah dalam bertindak,

ikut gila tidak akan tahan,

tapi kalau tidak mengikuti (gila),

bagaimana akan mendapatkan bagian,

kelaparan pada akhirnya

52. Sudah hampir dua abad ramalan itu dinukil Ronggowarsito. Kini kita menyaksikannya sendiri bagaimana kegilaan dan kekalutan menguasai zaman kita. Kita menyaksikan bagaimana keadilan cuba dibungkam dan kezaliman dijulang dan diagungkan.

53. Kita lihat bagaimana yang memperjuangkan kebenaran difitnah dan dinista manakala para pendusta diangkat sebagai wira. Yang lebih malangnya buat negara dan bangsa ini, kita menyaksikan bagaimana “mediocrity” berleluasa. Mediocre dan philistinism membudaya dan mengakar dalam masyarakat. Inilah bukti kita hidup di zaman edan, zaman kegilaan.

54. Walaubagaimanapun kita harus sedar, “mediocrity” atau “Ke-laihan” ini tidaklah muncul secara tiba-tiba. Kekalutan dan kegilaan lah yang membenarkan “Ke-laihan” ini. Sebagaimana yang disampaikan kepada kita oleh Ronggowarsito, “ikut gila tidak akan tahan, tapi kalau tidak mengikuti (gila), bagaimana akan mendapatkan bagian,” sesungguhnya tepat memperihalkan muslihat, tipu daya dan ugutan UMNO ke atas rakyat Malaysia.

55. UMNO tidak punya cita-cita untuk memastikan anak muda berfikiran kritis dan bebas. Bagi memastikan kelangsungan hegemoni, suara anak muda wajib dibungkam dan minda mereka harus dipasung. Ini kerana kebebasan dan keberanian untuk berfikir adalah musuh kepada kepada UMNO.

56. Menyedari keampuhan daya fikir sebagai senjata membongkar mitos hegemoni UMNO, Dr. Mahathir menjadi dalang memastikan AUKU dilaksana. Undang-undang bejat ini, berselindung di sebalik alasan mahukan para mahasiswa menumpukan perhatian kepada pelajaran semata-mata ternyata merupakan suatu pembohongan. Berpuluh-puluh tahun selepas AUKU dilaksanakan, ternyata Dr Mahathir mahu melumpuhkan daya fikir anak muda. Beliau sedar anak muda yang kritis pasti enggan bersama kekuasaan yang korup dan menindas.

57. Kesan “mediocrity’ yang membudaya itu ternyata bukan sahaja menjejaskan pembangunan mahasiswa kritis malah telah dengan sengaja mencipta iklim ketakutan, “climate of fear,” agar dunia akademik diam membisu dari menyatakan kebenaran. Inilah antara dosa terbesar Dr. Mahathir kerana dengan sengaja mahu memperbodoh masyarakat. Beliau mahukan rakyat iyakan sahaja titahnya. Rakyat dipaksa merajakan Dr. Mahathir.

58. Dunia akademik yang lesu pastinya menjejaskan mutu pendidikan. Buktinya tiada universiti Malaysia yang disenaraikan Times Higher Education 400 Top World University Ranking untuk tahun 2011/2012. Sedangkan National University of Singapore berada di kedudukan 40 terbaik dari 400 universiti seluruh dunia.

59. Marilah sekali lagi kita menjenguk pesan pujangga besar Ronggowarsito. Ternyata pujangga itu tidaklah meninggalkan kita terkontang-kanting, gantung tidak bertali tanpa penyelesaian. Beliau memberi saranan bagaimana mahu berhadapan dengan tipu daya UMNO dalam baris akhir bait tersebut. Ronggowarsito mengungkapkan “Seuntung manapun orang gila, masih lebih untung orang yang berwaspada.

60. Menyedari hakikat ini, kita perlu melakukan reformasi terhadap sistem pendidikan di negara ini. Pendidikan sememangnya menjadi teras kepada pembangunan demokrasi dan masa depan negara bangsa yang lebih baik. Melalui sistem pendidikan yang bebas dan tidak dikongkong oleh kekuasaan politik, maka perkembangan ilmu akan berlangsung dengan baik sekaligus menjadi agen pencerahan kepada rakyat.

61. Pencerahan yang secara mudah membawa maksud menggalakkan perkembangan pemikiran untuk berlangsung. Kita tidak mahu sistem pendidikan yang hanya melatih generasi muda untuk menghafal dan mengingat secara teknikal. Kita mahu pendidikan yang melatih perkembangan ilmu dan daya fikir melalui tesis, anti tesis dan sentesis yang dilontarkan. Ianya selari dengan slogan pencerahan; ‘Sapere Aude’ atau beranilah menggunakan kefahaman sendiri.

62. Keberanian berfikir untuk membongkar pembelengguan jiwa dan minda adalah antara langkah pertama untuk keluar dari segala bentuk eksploitasi manusia ke atas manusia. Eksploitasi atau gerakan pembodohan, pembutaan dan pembisuan ini perlu ditentang sekerasnya untuk membebaskan rakyat dari zulumat atau kegelapan.

63. Falsafah pendidikan yang berteraskan kekuasaan politik sebagaimana yang berlaku pada hari ini hanya melahirkan mahasiswa dan pensyarah yang pasif serta mengabaikan tanggungjawab mereka kepada rakyat. Sedang golongan ini adalah golongan yang seharusnya menyebarkan idea dan memperkembangkan ilmu di kalangan masyarakat, kekuasaan politik hadir untuk menafikan suara dan kebijaksanaan mereka melalui akta-akta yang zalim dan tidak rasional.

64. Kerana takutkan pensyarah seperti Profesor Dr. Abdul Aziz Bari dan mahasiswa UKM4 menyatakan kritikan terhadap pemerintah maka mereka dikongkong dari berbicara dengan bebas. Ini mengingatkan saya kepada sajak Taufik Ismail yang berjudul “Takut 66, Takut 98”:

Mahasiswa takut pada dosen

Dosen takut pada dekan

Dekan takut pada rektor

Rektor takut pada menteri

Menteri takut pada presiden

Presiden takut pada mahasiswa

65. Akibatnya kita akan memiliki generasi muda yang pasif. Walhal, seharusnya generasi muda yang mendapat pendidikan universiti adalah agen kepada perubahan.

66. Alhamdulillah, kita dapat lihat pada hari ini generasi muda serta pensyarah sudah mulai bangkit menyatakan kebenaran. Biarpun masih ada lagi segelintir profesor kangkung yang memperalatkan akademik untuk survival kerjaya mereka, namun kita yakin generasi muda dan sebahagian besar ahli akademik yang lain mempunyai pertimbangan rasional dan kritis untuk meneruskan perjuangan mereka menuntut kebebasan akademik dan autonomi kampus.

67. Sistem pendidikan yang hanya memberi penekanan terhadap kecemerlangan akademik harus berubah kepada sistem pendidikan yang berupaya melahirkan masyarakat yang inovatif dan mempunyai daya saing yang tinggi. Kita mahu melahirkan generasi muda yang dikenal sebagai generasi tweakers seperti yang diungkap oleh Malcolm Gladwell dalam rencana The Tweaker: The Real Genius of Steve Jobs.

68. Dunia yang serba canggih dengan teknologi hari ini tidak akan bermakna tanpa penghayatan kita bahawa segalanya berlaku melalui sebuah proses panjang yang mengerah segenap daya fikir dan imaginasi manusia. Maka menjadi tanggungjawab sistem pendidikan kita untuk melahirkan insan-insan seperti Steve Jobs yang boleh berbangga dengan Apple dan Pixar atau George Lucas dengan siri Filem Star Wars.

69. Fikiran inilah yang dibawa oleh Malcolm Gladwell dalam rencana di Majalah The New Yorker. Apa yang menjadi perhatiannya ialah kekuatan yang mendasari serta berjaya membangun generasi yang kita kenal sebagai Generasi Tweakers; generasi yang kukuh kekuatan daya ciptanya, berani serta yakin untuk bersaing dengan sesiapa sahaja namun tidak tercabut dari akar budayanya. Inilah tema sebenar yang harus dibawa oleh sistem pendidikan kita untuk menempuhi cabaran pada masa akan datang sebagai sebuah negara moden.

MELAKAR KEMENANGAN RAKYAT

70. Pilihan Raya Umum ke 13 adalah Pilihan Raya Umum yang penting buat rakyat Malaysia. Kesemua jentera dan kekuatan harus digerakkan sekarang sebagai penerus kepada momentum yang sedia ada. Sekali lagi kita harus ingat bahawa Pilihan Raya ini bukanlah semata-mata untuk kemenangan KEADILAN tetapi Pilihan Raya ini adalah Pilihan Raya untuk rakyat. Kemenangan KEADILAN dan Pakatan Rakyat bermakna kemenangan rakyat menentang kezaliman dan kebobrokan UMNO.

71. Selaku mereka yang tergolong sebagai generasi muda, Angkatan Muda dan Wanita KEADILAN perlu menjadi conscience of majority and minority. Menjadi dhamir rakyat. Kita perlu memastikan supaya gerakan perubahan oleh rakyat terus berlanjutan sehingga Pilihan Raya Umum akan datang. Generasi muda perlu menyatakan tekad untuk menerajui perubahan yang bakal berlaku.

72. Keyakinan kita, rakyat menuntut perubahan. Tidak ada rakyat yang mahu mempertahankan kebejatan yang berlaku. Inilah zeitgeist atau semangat zaman. Nilai dan semangat ini pastinya diterajui oleh generasi muda khususnya pada zaman ini. Zaman dimana generasi muda menerajui perubahan yang berlaku.

73. Mutakhir ini kita dikejutkan dengan satu gerakan yang menggelar diri mereka ‘occupy’. Anak muda di kota-kota besar seperti New York, London dan Portland menyatakan protes terhadap elit korporat dan kekuasaan yang membolot khazanah negara. Mereka membawa slogan bahawa mereka mewakili 99% rakyat. Manakala hegemoni yang terus menerus membolot khazanah negara hanya terdiri dari 1% sahaja.

74. Ini merupakan cerminan bahawa anak muda menuntut supaya peranan mereka untuk melakukan perubahan diiktiraf. Semangat inilah, semangat zaman, zeitgeist yang sedang membara dalam jiwa generasi muda hari ini.

75. Begitu juga Arab Spring yang membuktikan bahawa generasi muda mampu menggerakkan perubahan untuk rakyat. Keazaman dan tekad mereka untuk menuntut keadilan, kebebasan dan demokrasi adalah nilai yang seharusnya dikongsi bersama oleh generasi muda di Malaysia. Biarpun jarak kita jauh beribu batu, namun kita harus punya keyakinan bahawa nilai ini tetap akan dikongsi bersama dengan tekad bahawa zaman ini adalah zaman perubahan.

76. Malah Kung Fu Tze dalam Lun Yu menukilkan “si hai zhi nie jie xiong di” yang bermakna ‘empat lautan terbentang luas, semua manusia bersaudara’. Maka yakinlah bahawa kita tidak keseorangan dalam perjuangan menuntut perubahan ini.

77. Kita semua sedang menelusuri liku-liku yang sama. Namun kita perlu terus memastikan agar perubahan ini terlaksana. Biarpun pelbagai serangan yang dilakukan oleh UMNO untuk memastikan agar perjuangan kita untuk membela nasib rakyat ini terencat, kita harus terus mara dengan yakin.

78. Peringatan keras untuk UMNO, apa pun konspirasi untuk memenjarakan Saudara Anwar Ibrahim, kami anak-anak muda dan wanita berikrar akan bangkit meruntuhkan tembok kezaliman penjara untuk membebaskan Anwar Ibrahim. Pakatan Rakyat telah sepakat bahawa Anwar Ibrahim adalah Perdana Menteri Malaysia yang ke 7.

79. KEADILAN dan Pakatan Rakyat sudah bersedia. Kita sudah ada Dasar Bersama, kita sudah ada Buku Jingga, kita sudah ada Belanjawan Pakatan Rakyat. Kita sudah bersedia ke Putrajaya.

80. Insha Allah, dengan azam dan tekad perjuangan yang istiqamah, pintu kebenaran akan terbuka luas dan kita perlu memimpin rakyat untuk terus melaksanakan perubahan.

81. Yakinlah teman-teman seperjuanganku

 

  • Malaysia tanpa UMNO adalah Malaysia yang demokratik
  • Malaysia tanpa UMNO adalah Malaysia yang makmur
  • Malaysia tanpa UMNO adalah Malaysia yang aman dan harmoni
  • Malaysia tanpa UMNO adalah Malaysia yang bebas
  • Malaysia tanpa UMNO adalah Malaysia Baru milik rakyat

SELANGORKU: HASIL NEGERI UNTUK RAKYAT

MOHAMED AZMIN BIN ALI

11 NOVEMBER 2011

PENDAHULUAN

1. Saya mohon memulakan perbahasan Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor 2012 dengan menukil bait dari Zabur-e-Ajam karya Muhammad Iqbal.

2. “Membakar semangat baru, untuk bangsa dan zaman ini, memberi nyawa baru kepada jasad yang telah tua” – Muhammad Iqbal.

3. Begitulah analogi yang mahu saya berikan kepada kejayaan Pakatan Rakyat membawa sinar serta merealisasikan harapan rakyat Negeri Selangor untuk hidup dalam sebuah negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

4. Setelah lebih 50 tahun Negeri Selangor dibawah kerajaan UMNO-BN, rakyat sudah cukup derita dengan jasad tua yang membelenggu kehidupan seharian. Jasad tua yang penuh dengan gejala penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah, pengurusan serta tatakelola negeri yang tidak amanah dengan hanya mementingkan kroni dan kepentingan suku sakat pemimpin elit.

5. Saya bersyukur, pada Mac 2008 rakyat Selangor telah sedar dan bangkit membunuh jasad tua tersebut. Lantas dengan keazaman yang tinggi sebagaimana terbukti hari ini, Pakatan Rakyat telah memberi nafas baru kepada rakyat untuk meneruskan kehidupan dalam suasana yang jauh lebih baik daripada sebelumnya.

6. Insha Allah, saya penuh yakin bahawa rakyat Negeri Selangor akan menghargai usaha gigih kerajaan Pakatan Rakyat yang prihatin terhadap kebajikan rakyat Negeri Selangor, seterusnya kekal setia memilih Pakatan Rakyat untuk menerajui Negeri Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan berlangsung tidak lama lagi.

PRESTASI KEWANGAN KERAJAAN NEGERI

7. Saya ingin bermula dengan merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2010 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 24 Oktober 2011 yang lalu setelah disorok selama lebih dua minggu.

8. Objektif pengauditan terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Negeri bagi tahun berakhir 31 Disember 2010 adalah untuk memberi pendapat sama ada penyata itu menggambarkan kedudukan kewangan yang benar dan saksama serta rekod perakaunan yang berkaitan telah diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini.

9. Justeru apakah dapatan dan rumusan Ketua Audit Negara terhadap Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Selangor ?

10. Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2010 adalah memuaskan. Analisis Audit mendapati Kumpulan Wang Disatukan meningkat sejumlah RM 266.91 juta (20.2%) kepada RM 1,586.88 juta pada tahun 2010 berbanding RM 1,319.97 juta pada tahun 2009; yang merupakan paras yang tertinggi dalam tempoh 5 tahun.

11. Kerajaan Negeri juga berjaya mengurangkan tunggakan hasil negeri sejumlah RM 99.87 juta (16.6%) kepada RM 502.05 juta pada tahun 2010 berbanding RM 601.92 juta pada tahun 2009. Ini adalah hasil kejayaan pelaksanaan Operasi Bersepadu Mengutip Cukai Tanah (Ops Kutip) secara menyeluruh dengan kerjasama Perbendaharaan Negeri Selangor, Pejabat Tanah Dan Galian Selangor serta semua Pejabat Daerah Dan Tanah Negeri Selangor.

12. Analisis Audit juga melaporkan kepada Dewan Rakyat bahawa kedudukan Wang Tunai Negeri Selangor yang merupakan aset Kerajaan Negeri menunjukkan peningkatan yang ketara pada tahun 2010 berjumlah RM 301.07 juta (48.8%) menjadi RM 918.27 juta berbanding RM 617.20 juta pada tahun 2009. Peningkatan baki Wang Tunai pada akhir tahun 2010 adalah disebabkan jumlah penerimaan iaitu RM 1,753.44 juta adalah lebih tinggi berbanding pembayaran berjumlah RM 1,452.37 juta iaitu lebihan sejumlah RM 301.07 juta memandangkan Kerajaan Negeri telah berjaya menurunkan perbelanjaan mengurus sebanyak 24.9% berbanding tahun 2009.

13. Hasil Kerajaan Negeri yang berjumlah RM 1,571.50 juta dikatakan menurun 10.9% berbanding tahun 2009 yang berjumlah RM 1,763.86 juta. Laporan Ketua Audit Negara di muka surat 13 menjelaskan kedudukan ini secara terperinci di mana Kerajaan Negeri memungut 3 jenis hasil yang terdiri daripada Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil.

14. Analisis Audit menunjukkan Terimaan Bukan Hasil mencatatkan penurunan paling ketara yang menyumbang kepada penurunan hasil secara keseluruhan iaitu sejumlah RM 441.45 juta menjadi RM 379.70 juta pada tahun 2010 berbanding RM 821.15 juta pada tahun 2009. Menurut audit, penurunan yang ketara ini disebabkan pada tahun 2009, Kerajaan Negeri telah menerima Terimaan Daripada Syarikat Berkaitan iaitu sejumlah RM 391.99 juta sebagai hasil penstrukturan semula hutang syarikat Talam Corporation Berhad kepada Kumpulan Hartanah Selangor Berhad, Universiti Industri Selangor dan PNSB berbanding tiada terimaan pada tahun 2010.

15. Ketika Selangor diperintah UMNO-BN, Menteri Besar seolah-olah tidak menyedari ada syarikat swasta yang berhutang dengan Kerajaan Negeri. Pentadbiran Pakatan Rakyat yang cekap bukan sahaja berupaya mengesan hutang pihak swasta, mengiktiraf (crystalize) malahan berjaya mengutip sejumlah hampir RM 400 juta demi rakyat Negeri Selangor.

16. Namun, transaksi penstrukturan semula ini adalah berbentuk One Off iaitu tiada terimaan selepas tahun 2009.

17. Walau bagaimanapun, Laporan Ketua Audit Negara mengesahkan bahawa dua komponen terpenting dalam Hasil Kerajaan Negeri iaitu Hasil Cukai dan Hasil Bukan Cukai masing-masing telah mencatatkan peningkatan sejumlah RM 46.18 juta (9.8%) dan RM 202.91 juta (43.1%) menjadikan RM 517.74 juta dan RM 674.06 juta pada tahun 2010 berbanding dengan hanya RM 471.56 juta dan RM 471.15 juta pada tahun 2009.

18. Punca peningkatan Hasil Cukai dan Hasil Bukan Cukai adalah kejayaan pelaksanaan Operasi Bersepadu Mengutip Cukai Tanah (Ops Kutip) secara menyeluruh dengan kerjasama Perbendaharaan Negeri Selangor, Pejabat Tanah Dan Galian Selangor serta semua Pejabat Daerah Dan Tanah Negeri Selangor. Peningkatan hasil turut disumbang oleh pelaksanaan Program Pemutihan Kilang Haram oleh Pihak Berkuasa Negeri dan penguatkuasaan pekeliling garis panduan pembayaran Borang 5A oleh Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Selangor di samping peningkatan bilangan permit galian yang diluluskan.

19. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada mereka yang telah melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini dengan amanah dan mendukung agenda reformasi untuk membangunkan Negeri Selangor. Kejayaan ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sumbangan khidmat cemerlang dan iltizam serta budaya kerja yang baik di kalangan pegawai-pegawai dan anggota-anggota perkhidmatan awam di Negeri Selangor.

PRESTASI SELANGOR MENGURANGKAN HUTANG

20. Saya mengucapkan tahniah kepada YAB Dato’ Menteri Besar kerana menguruskan hutang yang ditinggalkan oleh Barisan Nasional dengan baik sehingga diiktiraf oleh Ketua Audit Negara di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010.

21. Untuk makluman Dewan, Barisan Nasional meninggalkan lebih 40 hutang yang diambil dari Kerajaan Persekutuan. Jumlah tunggakan bayaran balik adalah sebanyak RM829.86 juta pada 31 Disember 2009. Jumlah hutang yang sebegini tinggi menyebabkan bagi tahun 2010 sahaja, Kerajaan Negeri terpaksa menanggung anuiti tahunan berjumlah RM 79.7 juta.

22. Alhamdulillah Kerajaan Negeri Selangor membuat bayaran sejumlah RM 253.16 juta termasuk anuiti tahun semasa RM 79.70 juta. Ini bermakna Kerajaan Negeri membayar pinjaman prinsipal berjumlah RM 173 juta menjadikan baki tunggakan bayaran balik menurun kepada RM 656.40 juta pada akhir tahun 2010.

23. Pengurangan hutang secara mendadak sebanyak RM 173.46 juta ini sudah tentu akan menghasilkan penjimatan kepada rakyat dan mengurangkan beban hutang rakyat dengan Kerajaan Persekutuan kerana caj anuiti tahunan berjumlah RM 17 juta dalam tahun 2011 dapat dijimatkan.

24. Fakta, angka dan statistik yang dikemukakan di atas membuktikan Pakatan Rakyat berupaya untuk mentadbir negeri dan mengurus ekonomi dengan berkesan berteraskan prinsip kewangan yang berhemah, tatakelola yang baik dan prinsip value for money.

BELANJAWAN NEGERI SELANGOR 2012

Tuan Speaker

25. Atas asas yang kukuh inilah, YAB Dato’ Menteri Besar telah membentangkan Belanjawan 2012 yang mencakupi prinsip pengagihan kekayaan negeri secara adil dan saksama kepada semua rakyat Selangor. Belanjawan 2012 Kerajaan Negeri Selangor adalah cerminan semangat reformasi Pakatan Rakyat. YAB Dato’ Menteri Besar mempunyai tekad politik untuk membawa agenda reformasi secara menyeluruh demi memelihara hak rakyat Negeri Selangor.

(Surah Al Hasyr : Ayat 7)

Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya berlegar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)

26. Belanjawan Negeri Selangor 2012 adalah belanjawan berimbang untuk 4 tahun berturut-turut berbanding dengan Belanjawan Kerajaan Pusat yang mencatatkan defisit untuk 15 tahun berturut-turut. Hutang negara sudah mencecah 53% daripada KDNK; kurang 2 % daripada paras kritikal yang diperuntukkan dalam Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983.

27. Manakala, Kerajaan Negeri Selangor terus mencatatkan prestasi pengurusan kewangan yang berhemah di mana Selangor merupakan satu-satunya negeri yang berjaya mengurangkan tunggakan bayaran balik pinjaman Kerajaan Negeri pada 31 Disember 2010 termasuk membayar sepenuhnya anuiti tahunan.

28. Kerajaan Negeri Melaka langsung tidak membuat bayaran balik pada tahun 2010 manakala negeri-negeri yang lain hanya mampu membuat bayaran balik yang terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah anuiti tahun semasa dan pastinya tidak mempunyai keupayaan untuk membuat bayaran balik pinjaman. Rujuk Jadual 4.33 di muka surat 30 Laporan Ketua Audit Negara, Penyata Kewangan Dan Pengurusan Kewangan Kerajaan Persekutuan.

29. Situasi seperti ini menyebabkan jumlah tunggakan bayaran balik pinjaman bagi negeri-negeri ini terus meningkat pada setiap tahun.

30. Belanjawan Kerajaan Negeri pada tahun 2012 berjumlah RM 1.6 bilion. Daripada jumlah ini, sejumlah RM 1 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus dan tanggungan dan RM 600 juta untuk pembangunan. Jika kita teliti Belanjawan Kerajaan Pusat, daripada RM 232 bilion yang diperuntukkan untuk Belanjawan 2012, hanya RM 52 bilion (22%) diperuntukkan untuk pembangunan manakala sejumlah RM 181 bilion untuk belanja mengurus. Pendapatan Kerajaan Pusat ialah RM 186 bilion. Ini bermakna hampir 99 % daripada pendapatan negara digunakan untuk belanja mengurus dan Kerajaan Pusat terpaksa berhutang bagi tujuan pembangunan. Ini bukanlah pengurusan kewangan yang berhemah mengikut amalan terbaik.

31. Izinkan saya menyorot perhatian Dewan kepada keupayaan Negeri Selangor untuk menjana pelaburan semula syarikat-syarikat yang telahpun melabur di negeri ini. Pelaburan semula bermakna para pelabur mempunyai keyakinan terhadap pentadbiran Pakatan Rakyat yang berteraskan prinsip tatakelola yang baik, ketelusan dan pertanggungjawaban. Ini sekaligus menjamin pertumbuhan yang sihat buat Negeri Selangor.

32. Statistik pelaburan di Negeri Selangor bagi tempoh Januari hingga Ogos 2011 menunjukkan bahawa Negeri Selangor bertambah maju dan berdaya saing dengan mencatatkan jumlah pelaburan RM 5.9 bilion. Daripada jumlah ini, sebanyak 183 buah projek telah diluluskan dan mewujudkan lebih 12,259 peluang pekerjaan. Pelaburan asing mencatatkan jumlah RM 3.49 bilion. Banyak usaha telah mendorong peningkatan pelaburan asing termasuk penambahbaikan infrastruktur, mempercepatkan proses kelulusan permohonan dan juga meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

SELANGOR MUNCUL SEBAGAI HUB KEUSAHAWAN RAKYAT

33. Saya ingin menarik perhatian Dewan kepada rekod pelaburan baru yang dicapai oleh Selangor sepanjang tahun 2010 dan 2011.

34. Ramai yang hanya menumpukan kepada angka-angka Pelaburan Asing (Foreign Direct Investment – FDI) tanpa mengambil kira analisa mendalam pola pelaburan keseluruhan setiap negeri.

35. Untuk makluman Dewan, dalam tahun 2010 Selangor mencatatkan jumlah pelaburan kedua tertinggi di negara yang berjumlah RM 10.6 bilion mengikut statistik rasmi MIDA. Yang lebih menariknya ialah jumlah pelaburan ini adalah seimbang di antara pelaburan dalam negeri sebanyak RM 5.5 bilion dan pelaburan asing (FDI) sebanyak RM 5.1 bilion; menjadikan Selangor satu-satunya negeri yang berjaya menjadi destinasi pelaburan yang seimbang pada kadar yang tinggi.

36. Selangor juga mencatatkan jumlah tertinggi projek yang diluluskan sebanyak 325 projek, melebihi satu pertiga daripada keseluruhan projek yang diluluskan di seluruh negara dalam tahun 2010.

37. Pencapaian ini diteruskan dalam tahun 2011 sehingga Ogos 2011. Dengan jumlah pelaburan sebanyak RM 5.9 bilion, Selangor adalah negeri terbaik dari segi jumlah pelaburan baru.

38. Berbanding Sarawak dan Johor yang menduduki tangga pertama dan kedua sehingga Ogos 2011, pelaburan baru di Selangor adalah lebih seimbang dan melibatkan jauh lebih banyak projek iaitu 183, berbanding hanya 31 projek di Sarawak.

39. Apa makna semua analisa pelaburan ini?

40. Ia mengesahkan kejayaan Selangor mewujudkan iklim pelaburan yang diterima oleh masyarakat perniagaan, kerana pelaburan yang tinggi di Selangor bukanlah datang dari projek-projek mega seperti yang dibawa Barisan Nasional ke Sarawak dan Johor.

41. Jumlah projek yang jauh lebih besar berbanding negeri-negeri lain juga bermakna pelaburan ini adalah pelaburan bersaiz sederhana dan kecil yang turut melibatkan syarikat-syarikat usahawan tempatan.

42. Angka-angka ini mengangkat Selangor sebagai sebuah negeri yang paling diminati oleh pelabur asing dan pelabur tempatan.

43. Oleh itu, saya mohon supaya Kerajaan Negeri memperhebatkan lagi usaha mempermudahkan golongan usahawan kecil dan sederhana menjalankan perniagaan mereka di Selangor, supaya ekonomi Selangor boleh berdikari tanpa memerlukan suntikan Kerajaan Pusat atau terlalu bergantung kepada pelaburan asing.

PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI PERKHIDMATAN AIR

44. Usaha Kerajaan Negeri untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor ke arah perkhidmatan yang holistik, berdaya maju dan affordable tariff untuk pengguna mesti dipertahankan. Tindakan Kerajaan Negeri untuk menstrukturkan semula industri perkhidmatan air adalah bertepatan dengan Akta 655 Industri Perkhidmatan Air Negara atau Water Services Industry Act (WSIA) yang memperjelaskan peranan Kerajaan Negeri untuk menerajui industri perkhidmatan air.

45. Penstrukturan semula industri perkhidmatan air semakin mendesak kerana industri air di Negeri Selangor adalah fragmented atau bercelaru, tidak efisien dan tarif yang melampau ekoran persetujuan Kerajaan Pusat dengan kerjasama Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran lama untuk menswastakan industri perkhidmatan air kepada 4 syarikat konsesi. Sebagai contoh, berdasarkan perjanjian konsesi sedia ada,

SYABAS mendapat restu dari Kerajaan Pusat untuk menaikkan tarif air kepada 37% dalam tahun 2009, diikuti dengan kenaikan tambahan sebanyak 25% pada tahun 2012 menjadikan harga air di Negeri Selangor sebanyak RM 2.38 per meter padu. Kemudian disusuli dengan kenaikan lagi 20% pada tahun 2015 dan 10% pada tahun 2018. Ini bermakna, pada tahun 2018, rakyat Negeri Selangor perlu membayar RM 3.15 per meter padu dan harga ini terus melonjak naik kepada RM 3.83 menjelang 2030.

46. Apakah ini bertepatan dengan tema “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” ?

47. Alhamdulillah, rakyat Negeri Selangor bangun mendukung agenda reformasi dalam Pilihan Raya Umum ke 12 dan memberikan mandat baru kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir Negeri Selangor. Sokongan dan mandat rakyat digalas dengan rasa bertanggungjawab oleh YAB Dato’ Menteri Besar dengan menghalang SYABAS daripada meneruskan semakan tarif yang amat membebankan rakyat Negeri Selangor.

48. Malahan, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat melancarkan program pemberian air percuma untuk rakyat Negeri Selangor.

49. Sehubungan dengan itu, saya mendesak Kerajaan Negeri untuk tidak berganjak daripada usaha untuk menamatkan perjanjian konsesi sedia ada bagi memastikan kos operasi dan keuntungan operator tidak melampau sehingga membebankan rakyat. Penyanggak air di Negeri Selangor harus diperangi habis habisan kerana menghisap darah rakyat Negeri Selangor dan mendapat kekebalan dari Kerajaan Pusat.

50. Rakyat Negeri Selangor amat kesal kerana usaha murni Kerajaan Negeri untuk mengembalikan hak air kepada rakyat sering mendapat halangan daripada Kerajaan Pusat yang melindungi kepentingan syarikat kroni daripada kebajikan rakyat.

51. Rakyat juga kecewa dengan sikap Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang menjadi jurucakap Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) untuk mendesak Kerajaan Negeri supaya bersetuju dengan pembinaan Loji Rawatan Air di Sg. Langat terlebih dahulu sebelum Kerajaan Pusat boleh memulakan rundingan untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor.

52. Kerajaan Negeri tidak boleh tunduk kepada ugutan Kerajaan Pusat yang menggunakan alasan bahawa Negeri Selangor akan menghadapi krisis air pada tahun 2014. Penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor mesti dilihat secara holistik termasuk pembinaan loji rawatan air di Sg. Langat.

53. Pendirian Kerajaan Negeri adalah bertepatan dengan Akta 655 Industri Perkhidmatan Air Negara atau Water Services Industry Act (WSIA) di mana Kerajaan Negeri adalah peneraju utama industri perkhidmatan air. Malahan, Kerajaan Pusat pernah mengeluarkan surat kepada anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bertarikh 16 Januari 2008 yang menyatakan persetujuan Kerajaan Pusat untuk KDEB dilantik sebagai syarikat pengendali dan penyelenggara loji rawatan air Langat II.

54. Mengapa dua bulan selepas UMNO ditolak oleh rakyat Negeri Selangor, Kerajaan Pusat menarik balik keputusan awal untuk membenarkan Kerajaan Negeri menerajui projek Langat II ?

55. Saya ingin menegaskan bahawa projek pembinaan loji rawatan air Langat II ini mestilah sebahagian daripada usaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air kerana jika tidak dimuktamadkan dan diselesaikan dengan mewujudkan perkhidmatan yang holistik, Langat II akan terus menikmati dan menggunapakai tarif yang tinggi yang terkandung di dalam perjanjian konsesi dengan SYABAS.

56. Mengapa Kerajaan Pusat mendesak Kerajaan Negeri untuk bersetuju dengan pembinaan loji rawatan air di Sg. Langat ketika loji rawatan air Sg. Labu masih belum memulakan operasi ? Kalau dakwaan Kerajaan Pusat bahawa krisis air akan bermula pada tahun 2014, perlantikan pengendali dan penyelenggara loji rawatan air Sg. Labu harus disegerakan.

57. Pembinaan loji rawatan air Sg. Labu telahpun siap dengan kapasiti 105 jlh (juta liter sehari). Projek ini menelan belanja hampir RM 300 juta dan dibiayai oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Kelulusan Kerajaan Negeri diperlukan untuk menyalurkan air mentah dari Sg. Labu ke loji rawatan air ini untuk tujuan testing and commissioning. Kerajaan Negeri telah bermurah hati memberikan kelulusan bagi tempoh 6 bulan sehingga Disember 2011 untuk mencapai matlamat T&C.

58. Walaupun tempoh T&C sudah hampir tamat, Kerajaan Pusat masih gagal untuk melantik syarikat pengendali dan penyelenggara atau operation & maintenance (O & M) bagi loji rawatan air Sg. Labu.

59. Saya difahamkan kelewatan ini berpunca dari agenda terancang Kerajaan Pusat untuk melantik syarikat kroni mereka bagi kerja-kerja O & M Sg. Labu melalui tender terhad yang dicadangkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air. Saya yakin Kerajaan Negeri dapat menghidu agenda tersirat Kerajaan Pusat apabila salah satu daripada 3 syarikat yang dicadangkan untuk tender terhad adalah Puncak Niaga.

60. Saya mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mengenalpasti anak syarikat Kerajaan Negeri untuk mengemukakan permohonan Lesen Individu (Pengagihan) dan Lesen Individu Perkhidmatan (Rawatan) daripada Syarikat Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selaras dengan hasrat untuk mewujudkan perkhidmatan industri air yang holistik dan memenuhi tuntutan WSIA.

61. Sekiranya Kerajaan Pusat masih berdegil untuk mengagalkan penstrukturan industri perkhidmatan air di Negeri Selangor, saya mencadangkan supaya Kerajaan Negeri juga perlu mengambil langkah yang tegas dengan memastikan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) tidak mengeluarkan Lesen Abstaksi Air Mentah di bawah enakmen LUAS kepada syarikat-syarikat kroni UMNO.

62. Saya mendukung langkah Kerajaan Negeri untuk mengambilalih semula 33 loji rawatan air di seluruh Negeri Selangor apabila tamat tempoh perjanjian konsesi kelak. Untuk rekod Dewan yang mulia ini, pecahan milikan loji rawatan air di Negeri Selangor adalah 30 diberikan kepada Puncak Niaga (termasuk 1 di Sg. Selangor Fasa II), 2 kepada SPLASH (masing-masing di Sg. Selangor Fasa 1 & 3) dan hanya 1 kepada ABBAS iaitu di Sg. Semenyih.

63. Melihat perkembangan di Sg. Labu, Kerajaan Negeri punyai alasan yang kukuh untuk tidak lagi mempercayai Kerajaan Pusat berhubung desakan pembinaan loji rawatan air di Sg. Langat.

64. Dakwaan bahawa Negeri Selangor akan menghadapi krisis air menjelang tahun 2014 juga perlu diteliti dengan bertanggungjawab oleh semua pihak. Data-data yang dikumpulkan oleh pelbagai pihak berhubung pengeluaran dan permintaan air di Negeri Selangor menunjukkan sebaliknya.

65. Menurut statistik ini, pada tahun 2014, penggunaan sebenar air di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya adalah sebanyak 3,072 jlh. Kapasiti air yang diperlukan sebelum mengambil kira peratusan Air Tidak Berhasil (NRW) adalah sebanyak 3,879 jlh. Namun, setelah mengambil kira 30% NRW, jumlah pengeluaran yang kita perlukan ialah 4,389 jlh. Kalau kita menerima data ini, pada tahun 2014, kekurangan yang dijangkakan ialah 63 jlh. Tetapi, harus diingatkan, berlakunya kekurangan 63 jlh ini apabila NRW disasarkan pada kadar 30%.

66. Maka, penyelesaian kepada masalah ini ialah bukan mendesak pembinaan loji rawatan air yang baru tetapi yang lebih mendesak ialah bagaimana keupayaan kita untuk mengurangkan NRW. Data ini juga menunjukkan sekiranya kita mengurangkan 5% sahaja NRW, simpanan air di Negeri Selangor mempunyai lebihan sebanyak 230 jlh menjelang tahun 2014.

67. Kerajaan Negeri juga perlu melihat kepada mekanisma pengagihan (distribution) yang mungkin tidak seimbang dengan permintaan di daerah-daerah.

68. Saya ingin menegaskan dalam Dewan yang mulia ini, usaha Kerajaan Negeri untuk membela hak serta nasib rakyat Negeri Selangor mesti dipertahankan. Penstrukturan semula industri perkhidmatan air ini penting untuk menjamin keberkesanan kos (cost effectiveness) dan memperkukuh pengurusan serta operasi perkhidmatan air yang mampan.

69. Saya juga berhasrat mengambil peluang ini untuk mencadangkan kepada Kerajaan Negeri agar segera meneliti potensi underground water. Usaha ini pasti memerlukan Kerajaan Negeri untuk mengkaji penggunaan teknologi baru sebagai satu ikhtiar mendapatkan bekalan air bersih. Kerajaan Negeri juga perlu meneliti serta mengkaji kaedah untuk manfaatkan storm water sebagai pilihan kepada rakyat.

70. Kini rakyat sedar Kerajaan Pusat tidak akan melindungi hak rakyat Negeri Selangor. UMNO-BN sekadar mahu menangguk di air yang keruh, dengan merumitkan serta mempolitikkan isu penstrukturan perkhidmatan air. Apa yang penting buat UMNO-BN ialah memastikan nasib mereka yang segelintir, yang dekat dengan mereka mampu menyediakan dana buat membiayai pilihanraya yang akan datang.

KDEB SEBAGAI PENERAJU INDUSTRI PERKHIDMATAN AIR DI NEGERI SELANGOR

71. Keputusan Kerajaan Negeri melantik Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) menerajui usaha untuk menstrukturkan semula industri perkhidmatan air amatlah tepat dan berasas. Pengurusan KDEB yang baru mempunyai tahap profesionalisma yang tinggi, berintegriti dan memahami falsafah pengurusan yang berorientasikan keuntungan dengan tanggungjawab sosial selaras dengan dasar “Hasil Negeri Untuk Rakyat” yang menjadi asas pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor.

72. Saya juga amat gembira kerana pengurusan KDEB dapat bersama-sama dengan Kerajaan Negeri mempertahankan hak rakyat Negeri Selangor daripada dicabuli oleh Kerajaan Pusat. Tindakan membuli oleh Kerajaan Pusat untuk menggagalkan usaha menstrukturkan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor semakin menggila.

73. Tohmahan bahawa KDEB menanggung kerugian berikutan pemberian air percuma adalah meleset dan propaganda UMNO untuk mengalih pandangan rakyat daripada mengetahui kebobrokan dan kebejatan pengurusan kewangan Kerajaan Pusat yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara. Sebab itu laporan Ketua Audit Negara pada tahun ini disorokkan dan tidak dibentangkan sebelum pembentangan Belanjawan 2012 tetapi hanya diberikan setelah selesai sesi perbahasan Belanjawan.

74. Keuntungan terkumpul syarikat KDEB pada tahun 2009 adalah sebanyak RM 239 juta manakala keuntungan terkumpul kumpulan KDEB adalah sebanyak RM 341 juta. Sebagai anak syarikat Kerajaan Negeri, matlamat pelaburan KDEB bukan berorientasikan keuntungan semata-mata tetapi keuntungan yang diperolehi perlu disalurkan terus kepada rakyat sebagai pemilik mutlak khazanah negeri. Inilah prinsip keuntungan dengan tanggungjawab sosial demi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat Negeri Selangor.

75. Untuk maksud ini, KDEB melihat program pemberian air percuma merupakan pelaburan yang menepati hasrat Kerajaan Negeri untuk berkongsi kekayaan khazanah negeri ini dengan rakyat Negeri Selangor. Pelaburan 20 meter padu air percuma kepada rakyat Negeri Selangor melalui KDEB adalah salah satu usaha untuk menyalurkan keuntungan terus kepada rakyat.

76. Semua pihak boleh meneliti bagaimana keuntungan ini dibelanjakan demi kesejahteraan rakyat. Kita mahu memastikan keuntungan anak-anak syarikat disalurkan dengan betul dan tepat kepada kumpulan sasaran supaya tidak berlaku ketirisan dalam agihan kekayaaan negeri.

77. Pada tahun 2009, KDEB telah membelanjakan sejumlah RM 131 juta untuk program air percuma. Manakala, untuk tempoh Jun 2008 sehingga Feb 2010, sejumlah RM 222 juta telah dikeluarkan oleh KDEB untuk program pemberian air percuma bagi rakyat Negeri Selangor.

78. Maka, jelas kepada kita bahawa kerugian yang dimaksudkan bukan disebabkan ketirisan, kebocoran, rasuah atau salahguna kuasa tetapi kerana program untuk rakyat.

79. Kedudukan kewangan KDEB pada tahun 2009 amat kukuh untuk membolehkan KDEB terlibat dalam program tanggungjawab sosial seperti melabur dalam program pemberian air percuma.

80. KDEB juga dijangka akan menerima suntikan aset bernilai RM 12 bilion dalam bentuk aset air milik Kerajaan Negeri apabila selesai penstrukturan semula industri perkhidmatan air. KDEB akan muncul sebagai pemain utama industri perkhidmatan air di Negeri Selangor dengan jumlah aset yang besar dan pulangan yang amat kukuh. Nilai aset dan pulangan atas aset ini mampu menampung kos pelaburan untuk program air percuma demi kesejahteraan rakyat Negeri Selangor.

PRINSIP KEUNTUNGAN DENGAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL

81. Saya mengakui bahawa terdapat teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara berhubung pulangan atas pelaburan jangka panjang yang tidak memuaskan dan dakwaan bahawa dividen tidak diterima oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2010.

82. Saya difahamkan bahawa anak-anak syarikat Kerajaan Negeri menyumbang kepada Kerajaan Negeri dengan menyalurkan terus kepada MBI atau menaja terus program-program Kerajaan Prihatin dan bukannya melalui dividen terus kepada Kerajaan Negeri.

83. Namun, anak-anak syarikat Kerajaan Negeri tetap menyumbang untuk menjayakan program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor dengan jumlah dana yang besar. Sebagai contoh, KSSB menyumbang RM 5 juta untuk program Jom Shopping di bawah Skim Mesra Usia Emas. KSSB turut membayar dividen kepada MBI sejumlah RM 3.5 juta. KSSB juga menyumbang RM 307,200.00 untuk program lembu korban sempena Eidul Adha. PNSB menyumbang RM 1 juta kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS). PNSB dan KSSB masing-masing menyumbang RM 2 juta dan RM 1 juta untuk Akaun Amanah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). MBI juga telah menerima sumbangan RM 500,000 untuk Program Mempromosikan Negeri Selangor manakala Perbendaharaan Negeri menerima RM 616,000 untuk pembayaran bonus JKKK.

84. Beberapa anak syarikat Kerajaan Negeri menyumbang terus kepada Program Kerajaan Prihatin dari tahun 2008 sehingga 2011. Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) menyumbang sejumlah RM 3.44 juta, PKNS turut menjayakan Program Kerajaan Prihatin dengan menyumbang RM 4.08 juta tidak termasuk program-program tanggungjawab sosial yang lain seperti CERIA dan perumahan rakyat. Worldwide Sdn. Bhd. menyumbang RM 3.42 juta, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memberikan sumbangan RM 920,000 manakala Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) menyumbang RM 406,000 tidak termasuk kos program air percuma yang telah menelan belanja RM 222 juta. Kumpulan SEMESTA menyumbang RM 2 juta, Selangor Industrial Corporation menyumbang RM 500,000 dan Selaman Sdn. Bhd. menyumbang RM 1 juta.

85. PKNS tidak membayar dividen kerana PKNS tidak ditubuhkan di bawah Akta Syarikat. Bagaimanapun, PKNS terus menyumbang kepada Kerajaan Negeri dalam pelbagai bentuk program untuk menjamin kesejahteraan rakyat.

86. PKNS menanggung subsidi rumah kos rendah di Bukit Botak berjumlah RM 78 juta, sumbangan untuk program Kerajaan Prihatin berjumlah RM 4.5 juta, pembinaan asrama desa menelan belanja RM 5.2 juta, sumbangan untuk Yayasan Pendidikan Negeri sebanyak RM 5 juta, program membaik puloh lif rumah pangsa berjumlah RM 2 juta dan program Ceria iaitu mengecat bangunan rumah pangsa menelan belanja RM 5 juta. PKNS juga menyumbang untuk membina persimpangan bertingkat untuk meleraikan kesesakan trafik yang menelan belanja RM 58 juta.

87. Justeru itu, apabila audit menyemak Penyata Kewangan Negeri, jumlah pembayaran dividen oleh anak-anak syarikat tidak tertera dalam kategori dividen. Tetapi, ini tidak bermakna anak-anak syarikat tidak menyumbang kepada Kerajaan Negeri atas pelaburan yang dibuat.

88. Walau bagaimanapun, oleh kerana teguran telah dibuat oleh Ketua Audit Negara, saya ingin mencadangkan untuk masa yang akan datang, Kerajaan Negeri akan meneliti semula kaedah pembayaran dividen dan sumbangan oleh anak-anak syarikat Kerajaan Negeri. Untuk mengelakkan tohmahan oleh pihak lawan yang sering memutar belitkan kenyataan, saya berpendapat semua pembayaran dividen dan sumbangan anak-anak syarikat dimasukkan ke dalam akaun hasil disatukan dan kemudian barulah dibuat pembayaran kepada MBI atau program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor. Kerajaan Negeri menerima pakai kaedah ini dalam urusan mengutip hutang dari Talam Corporation.

GAJI MINIMA UNTUK PENINGKATAN PRODUKTIVITI

89. Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Selangor telah memulakan pelaksanaan gaji minima sebanyak RM 1500 dalam ucapan belanjawan semalam untuk pekerja-pekerja di anak-anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor.

90. Perlaksanaan gaji minima amat bertepatan masanya memandangkan kejayaan Kerajaan Negeri dalam usaha mempertingkat hasil negeri dan juga prestasi GLC yang membanggakan.

91. Produktiviti yang tinggi hasil usaha keras golongan pekerja adalah tidak bermakna sekiranya tiada langkah positif untuk berkongsi productivity gain dengan mereka yang juga merupakan stakeholder kepada syarikat.

92. Malah pengumuman tersebut diharapkan dapat memberi suntikan moral kepada golongan pekerja juga sebagai insentif agar mereka terus berusaha dengan lebih gigih untuk meningkatkan produktiviti syarikat.

Membangun Generasi Tweakers

93. Saya mohon perhatian dewan kepada majalah terkenal, The New Yorker untuk keluaran bulan November 2011 telah menerbitkan satu rencana yang berjudul The Tweaker: The real genius of Steve Jobs. Rencana tersebut ditulis oleh Malcolm Gladwell mengulas dan membedah fenomena “Steve Jobs” ini.

94. Ramai antara kita mengagumi rekaan mahupun produk keluaran Apple Inc. Janggal jika kita tidak tahu apa itu iPhone, iPad atau iPod. Akan tetapi kita perlu ada kesedaran bahawa ciptaan ini bukan secara tiba-tiba muncul. Ia melalui suatu proses panjang yang mengerah segenap daya fikir dan cetusan imaginasi.

95. Malcolm Gladwell melalui rencana tersebut, tidak sekadar mengangkat sosok Steve Jobs itu, apa yang menjadi perhatian penulis ialah kekuatan yang mendasari serta berjaya membangun generasi yang kita kenal sebagai Generasi Tweakers; generasi yang kukuh kekuatan daya ciptanya, berani serta yakin untuk bersaing dengan sesiapa sahaja namun tidak tercabut dari akar budayanya.

96. Kita tidak menolak bahawa pembangunan prasarana itu penting untuk melahirkan generasi muda yang berimaginatif dan mampu melakar semula sempadan yang kononnya tidak boleh berganjak. Akan tetapi, sekadar prasarana dan pembangunan fizikal tidak berupaya mencetus generasi muda yang kritis seumpama Steve Jobs dengan Apple serta Pixar nya, George Lucas dengan siri filem Star Wars nya dan Sergey Brin dengan Google nya.

97. Pandangan ini malah dikongsi oleh dua ahli ekonomi yang mengkaji sejarah revolusi industri di Britain pada abad 18 dan 19. Mereka berdua; Ralf Meisenzahl dan Joel Mokyr menegaskan mengapa Britain mendahului negara-negara lain ketika itu adalah kerana generasi “tweaker”; golongan artisan dan jurutera mahir yang luas imaginasinya ramai di negara tersebut.

98. Justeru saya menyambut baik hasrat kerajaan yang memberi tumpuan secara menyeluruh kepada pembangunan generasi muda. Melalui 6 geran dalam Geran Selangorku yang bernilai 148 juta; yang mana ianya galakan terhadap pembangunan generasi muda. Makanya menjadi suatu keutamaan buat Kerajaan Negeri untuk menyediakan suatu perancangan dasar ataupun suatu master plan yang merangka kesinambungan dari program-program yang diumumkan. Kita tidak mahu peruntukan ini sekadar melaksanakan program-program beliau tanpa wawasan yang jelas untuk meletakkan peranan belia dalam membangunkan Negeri Selangor.

99. Bagi menjamin kesinambungan yang didasari pembangunan generasi muda yang kreatif, berdaya saing dan mempunyai daya cipta yang tinggi, keutamaan haruslah diberikan kepada usaha untuk menyegerakan kemudahan Wi-Fi di seluruh Negeri Selangor agar menjadi pemangkin dan gerbang maklumat buat generasi muda. Walau bagaimanapun, saya berpendapat peruntukan RM 10 juta untuk pembangunan Wi-Fi pastinya tidak mencukupi. Oleh kerana itu, saya berharap Kerajaan Negeri mengusahakan supaya diadakan peruntukan tambahan untuk memastikan projek ini dapat dilaksanakan sepenuhnya dalam kadar yang segera.

100. Selain daripada itu, saya juga ingin mencadangkan supaya program-program pemerkasaan generasi muda diperbanyakkan. Namun program ini bukanlah sekadar memenuhi kriteria kepimpinan dan pengukuhan organisasi. Program pemerkasaan ini haruslah sebuah program yang mampu mendorong generasi muda untuk menjadi lebih kreatif dan inovatif serta mempunyai daya saing yang tinggi.

101. Pada masa yang sama, program bersifat kebudayaan juga harus digarap dalam rencana panjang ini supaya generasi muda Selangor membangun sebagai sebuah generasi moden yang berpasak kukuh kepada akar budaya bangsanya. Negeri Selangor harus menjadi contoh untuk mempelopori usaha ini sekaligus mendepani masa hadapan dengan melahirkan generasi tweakers.

HAK MILIK STRATA RUMAH PANGSA KOS RENDAH

102. Saya ingin mengajak Dewan ini untuk membincangkan secara serius masalah pemilik-pemilik rumah pangsa yang tidak mahu mengambil hakmilik strata masing–masing kerana mereka terpaksa menanggung kos pindah milik yang tinggi seperti fee guaman, bayaran kepada Pejabat Tanah dan Galian dan duti setem. Sebagai contoh, PKNS mempunyai tunggakan cukai tanah berjumlah RM 16 juta sehingga September 2011 memandangkan terdapat hampir 40,000 unit rumah kos rendah dan lebih 58, 000 unit rumah kos sederhana yang telah dijual oleh PKNS tetapi menghadapi masalah proses pindah milik seperti yang dinyatakan tadi.

103. Anggaran kos pindah milik rumah yang berharga RM 42, 000 menelan belanja RM 1, 288 manakala untuk rumah yang berharga RM 72, 000 kos pindah milik berjumlah RM 1, 588.00.

104. Lanjutan daripada masalah ini, PKNS tercatat dalam akaun negeri sebagai pemiutang dengan jumlah RM 15 juta. Saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menyerap kos pindah milik bagi meringankan beban pemilik-pemilik rumah kos rendah ini yang umumnya berpendapatan rendah.

105. Usaha ini akan membolehkan setiap pemilik memiliki hak milik masing-masing dan ianya akan memberi nilai kepada hartanah berkenaan di masa yang akan datang.

PEMBATALAN CUKAI PINTU

106. Saya ingin menarik perhatian dewan berhubung kutipan cukai pintu berdasarkan pegangan yang dikutip oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Selangor.

107. Memandangkan kos kehidupan semakin meningkat, saya ingin bincang bagaimana Kerajaan Negeri dapat membantu rakyat Negeri Selangor yang berpendapatan rendah untuk menabung sebahagian kecil daripada pendapatan bulanan mereka.

108. Pada masa ini, rakyat Negeri Selangor yang memiliki rumah kediaman dan premis perniagaan perlu membayar cukai pintu kepada PBT. Sumber pendapatan utama PBT ialah dari kutipan hasil cukai pintu ini untuk menampung perbelanjaan mengurus PBT yang berkenaan. Kadar taksiran bagi pegangan ini berbeza-beza mengikut status bangunan, jenis kediaman dan kawasan.

109. Sebagai contoh, Majlis Daerah Sabak Bernam yang mempunyai jumlah pegangan 2,564 untuk perniagaan dan 12,791 kediaman yang terdiri daripada 3,399 unit rumah kos rendah dan 2,084 unit rumah kos sederhana. Jumlah hasil kutipan untuk perniagaan ialah RM 867,921.35 manakala untuk kediaman RM 1,482,930.11.

110. Manakala di bawah pentadbiran MPAJ, terdapat 23, 552 pegangan perniagaan dan 135, 073 pegangan kediaman yang meliputi 30, 752 unit rumah kos rendah. Jumlah hasil kutipan untuk perniagaan ialah RM 17. 3 juta manakala untuk kediaman berjumlah RM 51. 1 juta.

111. Saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Negeri dapat menimbangkan untuk menghapuskan cukai pintu bagi rumah-rumah kos rendah di Negeri Selangor.

112. Walaupun saya menyedari bahawa usaha ini akan mengurangkan kutipan hasil PBT, namun perlaksanaannya akan memberi manfaat langsung kepada rakyat yang berpendatan rendah. Untuk menampung kekurangan hasil PBT, saya ingin mencadangkan di Dewan ini memandangkan Kerajaan Negeri berjaya menjimatkan 24.9% belanja mengurus, sejumlah wang di bawah maksud Bekalan boleh diperuntukkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan.

113. Saya yakin Kerajaan Negeri berupaya untuk menyerap kos ini memandangkan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri untuk tahun ini dan tahun akan datang amat kukuh dan usaha ini adalah bagi menjamin kesejahteraan rakyat Negeri Selangor khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

PROGRAM PENGHUTANAN SEMULA

114. Saya ingin mendapatkan penjelasan dari Kerajaan Negeri berhubung status pulangan kepada Kerajaan Negeri berhubung projek menghutan semula kawasan Acasia dengan projek tanaman Sentang dan Jati di Hutan Simpan Bukit Tarek dan Hutan Simpan Rantau Panjang, daerah Hulu Selangor.

115. Saya mendapat maklumat bahawa pada 22 Februari 2001, Kerajaan Negeri telah menandatangani perjanjian konsesi dan pajakan dengan PKPS di mana PKPS diberi konsesi tanah Hutan Simpan Bukit Tarek seluas 5,000 hektar dan Hutan Simpan Rantau Panjang seluas 5,000 hektar untuk tempoh pajakan selama 60 tahun.

116. Aktiviti perhutanan semula dijalankan oleh PKPS dengan usahasama tujuh (7) syarikat swasta. Antara syarikat swasta yang mendapat konsesi ini ialah Syarikat Schrader Forest Management Sdn Bhd. untuk kerja-kerja penanaman pokok jati. Salah seorang Ahli Lembaga Pengarah syarikat ini ialah Tan Sri Dato’ Seri Sanusi Junid. Syarikat ini telah diberi konsesi tanah Hutan Simpan Bukit Tarek seluas 5,000 hektar untuk tempoh pajakan selama 50 tahun.

117. Syarikat lain yang mendapat konsesi tanah Hutan Simpan Rantau Panjang seluas 1,000 hektar untuk tempoh pajakan selama 50 tahun ialah Syarikat In-N-Out Plantation Management Sdn. Bhd. Ahli Lembaga Pengarah yang mewakili syarikat menandatangani perjanjian konsesi dengan PKPS pada 16 Mei 2002 ialah Dato’ Abdul Rahman bin Palil. Saya difahamkan maklumat kelulusan pemberian konsesi tanah seluas 1,000 hektar kepada Syarikat In-N-Out Plantation Management Sdn. Bhd. sudah tidak dapat dikesan di PKPS.

118. Syarikat-syarikat lain yang mendapat konsesi di Hutan Simpan Bukit Tarek dan Hutan Simpan Rantau Panjang adalah Syarikat Mega Forest Plantation Management Sdn. Bhd. (1,000 hektar) bagi kerja-kerja menanam pokok sentang, Syarikat Mewah Ikhtiar Sdn. Bhd. (660 hektar), Syarikat Eco Murni Sdn. Bhd. (80 hektar), Syarikat Kayangan Rampai Sdn. Bhd. (100 hektar) dan Syarikat Tropical Position Sdn. Bhd. (1,144 hektar).

119. Perjanjian konsesi di antara PKPS dan syarikat-syarikat pemajak telah menetapkan kadar pajakan, royalti balak, hasil ladang termasuk cukai-cukai yang perlu dibayar kepada Jabatan Perhutanan Negeri.

120. Menurut semakan awal saya, unjuran pendapatan PKPS berbanding dengan syarikat-syarikat pemajak menunjukkan untuk tempoh lebih dari 20 tahun, PKPS akan mendapat pulangan sebanyak RM 40 juta bagi pajakan tanah seluas 10,000 hektar manakala syarikat-syarikat pemajak dijangka mendapat keuntungan lebih daripada RM 400 juta.

121. Saya ingin mendapat penjelasan daripada Kerajaan Negeri bagaimana perjanjian yang ditandatangani oleh PKPS dengan syarikat-syarikat pemajak bersifat berat sebelah dan tidak memberi pulangan yang adil kepada Kerajaan Negeri. Apakah tindakan Kerajaan Negeri hari ini untuk memperbetulkan ketempangan dan penyelewengan yang berlaku dalam penganugerahan konsesi tanah di kedua-dua hutan simpan ini ?

122. Saya difahamkan bahawa jumlah keseluruhan bayaran yang telah diterima oleh PKPS sehingga bulan Oktober 2009 bagi program penghutanan semula Hutan Simpan Bukit Tarek dan Hutan Simpan Rantau Panjang adalah lebih kurang RM 700,000 sahaja. Bagaimana konsesi tanah seluas 10,000 hektar untuk pajakan selama 60 tahun memberikan pulangan kepada Kerajaan Negeri hanya RM 700,000 sahaja ?

123. Jumlah bayaran yang diterima oleh PKPS dari Syarikat In-N-Out Sdn. Bhd. bagi bayaran pajakan sehingga bulan Oktober 2009 hanya RM 46,526 sahaja.

124. Saya ingin mendapat jawapan yang tepat dari Kerajaan Negeri mengenai jumlah bayaran yang diterima dari setiap syarikat pemajak mengikut pecahan jumlah kadar pajakan, royalti balak, hasil ladang dan cukai yang telah dibayar kepada Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sehingga 31 Disember 2010.

125. Saya juga ingin mendapat penjelasan daripada Kerajaan Negeri apakah bentuk tindakan yang bakal diambil ke atas syarikat-syarikat pemajak ini yang telah mencabuli perjanjian yang ditandatangani dengan PKPS ?

PENDIDIKAN

126. Saya ingin mengajak Dewan untuk memberi perhatian kepada persoalan pendidikan. Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, terdapat lebih 50,000 orang yang kini tinggal di sekitar puncak Bukit Antarabangsa. Daripada jumlah ini, dilaporkan terdapat 15,000 pelajar di peringkat menengah manakala 5,000 pelajar lagi adalah di peringkat rendah.

127. Namun, sehingga hari ini, belum wujud satu sekolah rendah atau menengah di puncak Bukit Antarabangsa. Ibu bapa dan penjaga terpaksa menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah di Hulu Kelang, Taman Melawati dan Dato’ Keramat yang terletak jauh dari rumah kediaman dan terpaksa mengharungi

Lebuhraya MRR2 yang senantiasa sesak. Tambahan pula, sekolah-sekolah ini telahpun padat dengan pelajar-pelajar.

128. Saya telah mendapat kerjasama yang cukup baik dari Pengarah Tanah dan Galian, Negeri Selangor ketika itu, Dato’ Mohd Jaafar Bin Mohd Atan dan pegawai-pegawai Kementerian Pelajaran bersama pegawai-pegawai dari MPAJ dan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak untuk turun ke padang dan melihat lokasi yang sesuai dan selamat untuk pembinaan sekolah.

129. Hasil perbincangan dengan pegawai-pegawai yang bertanggungjawab, Kerajaan Negeri telah mengenal pasti dua tapak yang amat sesuai bagi pembinaan sekolah rendah dan menengah bagi menampung keperluan mendesak pendidikan anak-anak kita di Bukit Antarabangsa.

130. YAB Dato’ Menteri Besar telah menulis surat kepada YAB Menteri Pelajaran pada Mei 2010 untuk memohon kelulusan Kerajaan Pusat untuk memasukkan cadangan pembinaan sekolah-sekolah ini dalam Rancangan Malaysia ke 9. Malangnya, sehingga hari ini, tidak ada sebarang usaha Kerajaan Pusat untuk membina sekolah rendah dan sekolah menengah di Bukit Antarabangsa malahan surat rasmi dari Kerajaan Negeri Selangor tidak dijawab oleh Timbalan Perdana Menteri.

131. Apakah ini transformasi yang dijanjikan oleh Perdana Menteri ?

132. Apabila Kerajaan Negeri diserang oleh Timbalan Menteri Pelajaran minggu lalu di Dewan Rakyat dengan dakwaan bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak mahu menyediakan tapak untuk pembinaan sekolah, saya telah berbahas dengan YAB Menteri Pelajaran pada 24 Oktober 2011 bahawa tapak telah disediakan hampir dua tahun tetapi tiada sebarang tindakan yang positif dari Kementerian Pelajaran. Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba memberi helah bahawa Kementerian Pelajaran tidak mempunyai peruntukkan yang mencukupi. Sekali lagi, Ahli Parlimen dari Machang bangun mencelah dan mengemukakan bukti bahawa Kementerian Pelajaran mempunyai peruntukkan yang mencukupi bagi tujuan ini malahan menurut laporan Ketua Audit Negara, Kementerian Pelajaran hanya membelanjakan 55% daripada peruntukkan.

133. Pada ketika itulah, YAB Menteri Pelajaran menunjukkan sifat dan watak sebenar pemimpin UMNO dengan menyatakan bahawa peruntukkan yang sedia ada ditumpukan di tempat yang lain kerana permohonan yang dikemukakan datangnya dari Gombak. Inilah alasan sebenar mengapa permohonan dari Kerajaan Negeri tidak dipedulikan kerana Kerajaan Pusat sanggup mengorbankan kepentingan pendidikan anak-anak kita kerana pertimbangan politik mereka.

134. Justeru itu, saya ingin mendesak Kerajaan Negeri untuk segera meluluskan sejumlah peruntukkan untuk membina sekolah agama di puncak Bukit Antarabangsa. Statistik menunjukkan terdapat lebih 35,000 keluarga umat Islam yang menetap di puncak Bukit Antarabangsa. Keperluan pendidikan agama Islam amat mendesak dan saya pohon kelulusan dalam Dewan ini untuk memenuhi hasrat di atas.

PROGRAM PEMULIHAN PROJEK-PROJEK TERBENGKALAI

135. Saya difahamkan terdapat lebih 180 projek perumahan terbengkalai di Negeri Selangor yang diwarisi dari pentadbiran yang lama. Projek-projek ini tergolong dalam 3 kategori iaitu sakit, tenat dan terbengkalai. Sebahagian daripada projek terbengkalai ini terletak di Hulu Kelang, Gombak.

136. Saya ingin mendapat penjelasan daripada Kerajaan Negeri apakah usaha-usaha yang telah dan akan diambil untuk memulihkan projek-projek ini demi melindungi hak dan kepentingan pembeli-pembeli rumah-rumah yang berkenaan ? Apakah kekangan yang dihadapi oleh Kerajaan Negeri dari segi perundangan dan juga implikasi kewangan untuk memulihkan projek-projek ini ? Apakah tindakan yang boleh diambil dalam kerangka bidang kuasa Kerajaan Negeri terhadap pemaju-pemaju yang tidak bertanggungjawab dalam menyiapkan projek-projek ini ?

137. Saya mengikuti kejayaan Kerajaan Negeri dalam program pemulihan projek perumahan di Bukit Botak dan Alam Perdana di Kuala Selangor. Namun, puluhan ribu pembeli rumah terbengkalai yang lain sedang menunggu tangan Kerajaan Negeri untuk menyelamatkan mereka.

MENINGKATKAN PENGELUARAN MAKANAN DALAM NEGERI

138. Impot bahan makanan negara semakin meningkat dan ianya memberi kesan langsung kepada harga bahan makanan yang semakin membebankan rakyat. Program Jaminan Makanan Negara (Food Security Program) yang diperuntukkan sejumlah RM 50 bilion telah gagal mengurangkan impot bahan makanan. Punca kegagalan projek ini ialah kerana penyelewengan dan salah guna kuasa seperti apa yang berlaku dalam Projek Feedlot Negara yang didedahkan oleh Ketua Audit Negara dalam Dewan Rakyat baru-baru ini.

139. Walaupun Menteri Pertanian dan Asas Tani telah memberikan reaksi tetapi yang pasti ialah wang rakyat sejumlah RM 250 juta telah lesap dan projek ini lingkup hatta perbuatan tidak amanah keluarga Menteri UMNO.

140. Sehubungan dengan itu, saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada usaha untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan dalam negeri bagi membantu usaha mengurangkan impot bahan makanan. Bidang pertanian dengan teknologi yang tinggi dan insentif yang menarik boleh menjana pertumbuhan industri pertanian moden di Negeri Selangor.

141. Selangor mempunyai peranan penting untuk menjamin bekalan makanan rakyat. Selangor juga mempunyai kapasiti dari segi keluasan tanah, kewangan dan kepakaran untuk membangunkan sektor pertanian dengan lebih terurus dan cekap.

142. Saya mencadangkan Kerajaan Negeri memberi tumpuan khusus kepada usaha-usaha melahirkan petani dan penternak berjaya yang beroperasi di Selangor melalui program-program khusus yang dirintis Kerajaan Negeri.

143. Peranan PKPS perlu diteliti semula selaras dengan keperluan semasa yang menuntut PKPS lebih proaktif bukan sekadar memungut dividen di atas pelaburannya yang tidak lagi produktif tetapi menjadi anak syarikat yang terlibat secara langsung dalam pertanian moden berteknologi tinggi bagi meningkatkan produktiviti asas tani dalam negeri.

144. Melalui PKPS, usaha melatih dan melengkapkan petani dan penternak terpilih perlu dipertingkatkan di samping memberi sokongan dalam bentuk penyediaan tapak dan modal pinjaman.

145. Pendekatan Kerajaan Selangor perlu berbeza dari dasar UMNO yang hanya memperuntukkan dana besar dan tanah ribuan ekar kepada kerabat Menteri sahaja, sedangkan ribuan petani dan penternak yang sepatutnya mendapat manfaat dipinggirkan.

PENUTUP

146. Saya penuh yakin dan percaya bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar adalah sebuah kerajaan yang sentiasa mengutamakan kebajikan serta prihatin terhadap kehidupan dan masa depan rakyat.

147. Kejayaan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor adalah bukti yang jelas bahawa kerajaan yang prihatin dan amanah akan terus menerima mandat dan kepercayaan daripada rakyat untuk kekal mentadbir Negeri Selangor.

148. Kita harus ingat bahawa tatakelola yang baik dan kecekapan pengurusan ekonomi serta masa depan rakyat yang terjamin adalah bergantung kepada kerajaan yang amanah serta sentiasa memberikan keadilan untuk rakyatnya.

149. Inilah pentadbiran yang wajar dikekalkan agar kebijakan yang digarap demi kemaslahatan rakyat dapat diteruskan. Disiplin pengurusan kewangan negeri menzahirkan iltizam untuk memastikan ketirisan dan penyelewengan pentadbiran terdahulu tidak berulang.

150. Saya yakin rakyat Selangor membuat pilihan yang tepat dengan memilih Pakatan Rakyat untuk menerajui negeri ini.

151. Rakyat pasti menolak UMNO yang terbukti gagal untuk melakukan transformasi sedang ketirisan dan penyelewengan berterusan seperti mana yang berlaku dalam projek National Feedlot Corporation. yang diberikan kepada salah seorang Menteri UMNO. Malangnya, penyelewengan ini dipertahankan oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor.

152. Belanjawan kali ini tambah memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Rakyat. Negeri-negeri yang diterajui Pakatan Rakyat khususnya Selangor menunjukkan prestasi yang membanggakan.

153. Tidak hairanlah kejayaan agenda reformasi ini melakar kejayaan menuju Putrajaya.

154. Insha Allah, agenda reformasi yang menyeluruh bakal dilaksanakan apabila Pakatan Rakyat membentuk kerajaan yang berteraskan “government of the people, by the people, for the people”.

Sekian, terima kasih.

Muat turun versi pdf disini