UCAPAN PEMBUKAAN DEWAN NEGERI SELANGOR MOHAMED AZMIN ALI | BUKIT ANTARABANGSA

JUMAAT, 23 MAC 2012

Yang Berhormat Tuan Speaker,

1. Saya ingin menjunjung kasih atas titah DYMM Tuanku Sultan Selangor yang telah berkenan merasmikan Upacara Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Dewan Negeri Selangor Kedua Belas.

2. Bagi pihak Kelab Penyokong – Penyokong Kerajaan, saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada Yang Berhormat Tuan Speaker yang telah mempengerusikan Sidang Dewan Negeri ini selama lima penggal Persidangan Dewan Negeri dengan tegas, adil dan saksama. Tuan Speaker telah menjalankan tanggungjawab beliau dengan mengambil langkah-langkah reformasi dan pembaharuan demi mempertingkatkan martabat dan memelihara kewibawaan dewan yang mulia ini. Langkah-langkah progresif yang diambil termasuk siaran secara langsung Sidang Dewan Negeri, pendengaran awam SELCAT, penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas dan penerbitan jurnal. YB Speaker juga tekun meneliti dan menghalusi cadngan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Dewan melalui satu enakmen yang dikenali sebagai SELESA dengan tujuan yang murni dan mengikut amalan terbaik ( the best practices ) di negara-negara Commonwealth.

3. Titah Tuanku menyentuh banyak persoalan umat tetapi kesemuanya berkisar kepada peringatan dan nasihat Tuanku bahawa ahli-ahli Dewan Negeri tidak terlepas dari tanggungjawab untuk mengangkat agenda rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi bagi menjamin kesejahteraan seluruh rakyat Negeri Selangor. Saya yakin sesi soal jawab dan perbahasan yang matang mampu menjawab segala tohmahan dan serangan yang tidak bertanggungjawab.

4. Ada pihak yang cuba menyinggung kita dengan membuat dakyah bahawa apabila Pakatan Rakyat menerajui Putrajaya, kita akan menukar pemerintahan Raja Berperlembagaan kepada sistem Republik. Ini adalah satu fitnah jahat yang bertentangan dengan akidah seorang Islam. Sebaik sahaja berlaku tsunami politik pada tahun 2008, Pakatan Rakyat telah mengulangi ikrar melalui deklarasi khas yang ditandatangani oleh 3 pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat iaitu YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, YB Lim Kit Siang dan YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang pada 8 September 2008.

5. Jelas dalam ikrar tersebut bahawa Pakatan Rakyat akan mempertahankan dasar-dasar seperti kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin kebebasan mengamalkan agama-agama lain, kedaulatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan dan kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu serta kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak- hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan. Pada ketika itu,Gombak Setia adalah Pesuruhjaya PAS Selangor dan merupakan sebahagian daripada muafakat Pakatan Rakyat.

6. Pengurusan ekonomi negeri yang terus berkembang biarpun berhadapan dengan persekitaran luar yang mencabar membuktikan kemampuan Dato’ Menteri Besar dan Kerajaan Negeri mengurus khazanah dan amanah dengan tanggungjawab walaupun ada tekanan ke atas Kerajaan Negeri termasuk tekanan politik daripada Kerajaan Pusat yang menyalahgunakan institusi Kerajaan bagi tujuan politik mereka untuk merampas Negeri Selangor.

7. Alhamdulillah, rakyat mengecapi hasil negeri yang merupakan hak mereka dan bukan kurniaan daripada pemerintah. Fakta, angka dan statistik yang dikemukakan ini membuktikan Pakatan Rakyat berupaya untuk mentadbir negeri dan mengurus ekonomi dengan berkesan berteraskan prinsip kewangan yang berhemah, tatakelola yang baik dan prinsip value for money.

8. Selain pengurusan ekonomi, tadbir urus yang berkesan juga penting bagi sesebuah kerajaan yang unggul. Bagi memastikan tadbir urus negeri berada pada tahap yang terbaik, pentadbiran kerajaan harus memiliki ciri-ciri menggalakkan penyertaan rakyat, keputusan yang berorientasikan konsensus, telus, responsif, berkesan dan cekap, saksama dan inklusif serta menurut kedaulatan undang-undang.

9. Walau bagaimanapun, karenah birokrasi yang keterlaluan menjadikan sistem penyampaian Kerajaan tidak efisyen seterusnya membantutkan produktiviti negeri.

10. Sebagai sebuah kerajaan reformasi, sistem penyampaian perlu menjadi keutamaan demi perkhidmatan kepada rakyat. Teknologi tinggi serba canggih serta keterbukaan teknologi maklumat harus menjadi asas reformasi sistem pentadbiran. Pentadbiran yang menggunapakai teknologi dapat menjimatkan kos, masa dan mengurangkan karenah birokrasi yang membebankan rakyat.

11. Ini bukan sahaja menjamin usaha tadbir urus yang baik tetapi juga merupakan suatu usaha untuk memastikan pengurusan dan sistem perkhidmatan pentadbiran efisyen dan lancar. Kerajaan Negeri Selangor percaya pengurusan yang cekap adalah pengurusan yang mengurangkan karenah birokrasi dan meringankan kos yang ditanggung oleh rakyat.

Yang Berhormat Tuan Speaker

12. Saya ingin menarik perhatian dewan kepada usaha menyediakan kemudahan perkhidmatan WiFi berkapasiti tinggi. Sejak tahun 1990an, perkhidmatan internet telah digunakan dengan rancak. Berbanding era pra internet, perkhidmatan internet hari ini mendesak penggunaan kapasiti yang lebih tinggi untuk pengaliran maklumat yang lebih cepat dan bebas.

13. Hal ini adalah berdasarkan peningkatan inovasi teknologi, kaedah sambungan dan kelajuan pengaliran maklumat. Untuk mendepani kecanggihan teknologi hari ini, sudah semestinya Kerajaan harus menyediakan perkhidmatan internet yang mampu dimiliki, mudah dan diyakini supaya dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Contoh akses internet yang canggih dan baik adalah seperti di Seoul, Korea yang sangat murah dengan kadar USD 20 sebulan untuk kapasiti sambungan 10Mbps. Di Malaysia, kapasiti sambungan 10Mbps yang diperkenalkan UniFi berharga RM 200 sebulan, sekitar USD 60 iaitu tiga kali ganda lebih mahal daripada Seoul.

14. Oleh itu, perkhidmatan internet percuma yang terbaik untuk kegunaan rakyat adalah melalui perkhidmatan WiFi di mana grid rangkaian akan merebak ke seluruh negeri untuk manfaat rakyat. Perkhidmatan WiFi percuma yang sedang disediakan oleh Kerajaan Negeri pada hari ini adalah selaras dengan idea internet berkapasiti tinggi untuk rakyat. Namun begitu, sasaran 4,000 lokasi di seluruh pelosok negeri haruslah mengutamakan kawasan luar bandar berikutan keperluan yang lebih utama di sana dan menjadi lebuhraya maklumat untuk menjamin connectivity di antara rakyat dan Kerajaan Negeri.

15. Kemudahan ini akan membantu masyarakat luar bandar yang tidak mempu mendapatkan perkhidmatan ini untuk dimanfaatkan bagi tujuan pendidikan serta mendapatkan maklumat. Selain daripada mewujudkan Informed Society atau masyarakat bermaklumat, perkhidmatan ini juga akan membantu merapatkan jurang sosial dalam masyarakat serta menyediakan infrastruktur untuk menarik pelaburan asing untuk masuk ke Negeri Selangor ini. Harapan kita agar perkhidmatan ini dapat digunakan sebaiknya dan sentiasa diperkemaskan supaya menjamin kepuasan hati pengguna.

Yang Berhormat Tuan Speaker

16. Asas tadbir urus yang baik berdasarkan prinsip value for money dan kecekapan pengurusan Kerajaan telah menyumbang kepada simpanan rizab negeri yang besar. Kita bersyukur dan berbangga dengan nilai 1.9 bilion. Namun, saya mohon di dewan yang mulia ini supaya rizab simpanan negeri dapat dipertimbangkan untuk digunakan sebahagiannya dalam program-program untuk pembangunan masyarakat seperti usaha memberdayakan wanita dan generasi muda.

17. Saya ingin menarik perhatian dewan kepada suatu usaha untuk memberdaya wanita dan masyarakat melalui penubuhan Women’s Development Corporation (WDC). Objektif penubuhan WDC adalah untuk membangunkan dasar-dasar Kerajaan yang responsif kepada perihal gender disamping mempromosikan kesedaran, kefahaman tentang gender dan keadilan sosial.

18. Inisiatif ini adalah usaha baik Kerajaan untuk memberdaya kaum wanita khususnya untuk menggalakkan partisipasi wanita dalam kepimpinan dan mekanisme membuat keputusan dalam segala bidang. Ini sekaligus menggalakkan persekitaran yang inklusif dalam sebuah masyarakat yang pelbagai kaum, budaya dan agama.

19. Walaupun saya menyedari Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM 30 juta dalam bentuk Geran Selangorku untuk memberdaya wanita, namun pembentukan WDC ini akan berperanan dengan lebih efektif kerana mempunyai struktur yang jelas dan dipimpin oleh golongan wanita profesional.

20. Saya yakin dan percaya, pentadbiran di bawah YAB Dato’ Menteri Besar mempunyai iltizam yang kuat untuk melakukan reformasi dalam masyarakat dengan memberdayakan kaum wanita. Semoga usaha yang baik ini akan mempertingkatkan keharmonian dan kemakmuran negeri demi kesejahteraan rakyat.

Yang Berhormat Tuan Speaker

21. Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) merupakan agensi Kerajaan Negeri yang telah diberikan tanggungjawab untuk mendirikan Rumah Mampu Milik untuk golongan berpendapatan antara RM2500-RM5000 sebulan. Projek sulung yang telah dilancarkan di Bangi pada tahun yang lalu adalah jauh lebih murah dengan harga kurang RM100,000 berbanding rumah mampu milik yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan dengan nilai melebihi RM200,000.

22. PKNS meletakkan sasaran untuk membina 11,000 unit Rumah Mampu Milik di atas tanah-tanah milik PKNS. Berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri termasuk syarat bahawa setiap unit harus dilengkapi dua (2) tempat letak kereta dengan tambahan 20% kos telah melonjak sehingga RM 180,000 seunit. Ini termasuk lah kos elevated carpark dan kemudahan rekreasi lain seperti dewan dan nursery yang turut menyumbang kepada peningkatan kos pembinaan. Kos pembinaan untuk seunit elevated carpark telah mencecah RM 30,000.

23. Oleh kerana kos pembinaan bagi seunit rumah adalah bernilai RM 180,000 dan PKNS diminta untuk menjual pada harga RM 85,000 seunit, ini bermakna PKNS terpaksa menanggung subsidi sebanyak hampir RM100,000 bagi setiap unit rumah yang dijual. Jumlah subsidi sebesar RM 1.1 bilion untuk menyiapkan 11,000 unit rumah adalah diluar kemampuan PKNS.

24. Apakah rancangan Kerajaan untuk meringankan bebanan PKNS dalam usaha menyediakan keselesaan kepada rakyat ? Saya ingin mencadangkan supaya Kerajaan mengkaji semula harga yang ditetapkan untuk Rumah Mampu Milik dan juga melonggarkan syarat – syarat termasuk kemudahan tempat letak kereta serta mencari mekanisme yang lebih berkesan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

25. Saya yakin dan percaya bahawa dasar yang pragmatik akan turut menarik pemaju yang lain untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri dalam usaha menyediakan Rumah Mampu Milik yang lebih selesa untuk rakyat dan tidak merugikan pemaju termasuk menanggung subsidi yang terlalu tinggi. Kita juga yakin bahawa sokongan kerajaan terhadap usaha ini akan membantu PKNS supaya dapat bersaing dengan pemaju-pemaju lain dalam industri pembinaan.

Yang Berhormat Tuan Speaker

26. Isu Tanah Rizab Melayu turut dibangkitkan dalam titah Tuanku Sultan dan saya menyambut baik nasihat Tuanku supaya Kerajaan Negeri memelihara Tanah Rizab Melayu. Saya yakin Kerajaan Negeri akan mematuhi peruntukan perlembagaan berkenaan Tanah Rizab Melayu selaras dengan prinsip rule of law dan semangat berperlembagaan.

27. Saya juga ingin menarik perhatian dewan yang mulia ini kepada satu kes kerakusan UMNO di kawasan Parlimen Gombak dan Dewan Negeri Hulu Kelang. Sejumlah 74 ekar Tanah Rizab Melayu di Sungai Sering telah dijual dan dipindah milik kepada Syarikat Triumph City Development Sdn Bhd tanpa sebarang gantian tanah di kawasan lain. Syarikat ini turut gagal membangunkan tanah berkenaan dan berdegil untuk menjelaskan bayaran premium tanah biarpun status tanah tersebut telah ditukar. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat terpaksa merampas kembali tanah tersebut untuk menjaga kepentingan rakyat Negeri Selangor.

28. Satu lagi amalan yang seringkali dilakukan oleh pentadbiran UMNO dalam menguruskan Tanah Rizab Melayu ini adalah dengan menukar tanah rizab dikawasan bandar dengan tanah dikawasan luar bandar yang bernilai jauh lebih rendah daripada harga tanah rizab yang asal. Hal ini menyebabkan Tanah Rizab Melayu di Negeri Selangor susut nilai dan memberi impak kepada nilai aset orang Melayu. Inilah amalan khianat UMNO kepada orang Melayu di Negeri Selangor ketika mentadbir negeri ini.

29. Kerajaan Pakatan Rakyat terbukti tidak menyalahgunakan mandat yang telah diberikan oleh rakyat. Oleh itu, adalah diharapkan agar Kerajaan Negeri dapat merangka satu Pelan Strategik Pengurusan Tanah Rizab Melayu supaya dapat dibangunkan secara tersusun dan dipelihara supaya terus mengekalkan status tanah demi kepentingan generasi masa depan.

Yang Berhormat Tuan Speaker

30. Tokoh Reformasi Indonesia, Amien Rais dalam karyanya ‘Menyembuhkan Bangsa Yang Sakit’ mengupas gagasan reformasi untuk sebuah negara republik yang dilihat sedang sakit. ‘Sakit’ yang dimaksudkan oleh beliau adalah tadbir urus negara yang dibarahi amalan rasuah, salahguna kuasa, penyelewengan dan kronisme. ‘Sakit’ ini menurutnya akan terus membarah dalam masyarakat seterusnya membunuh bangsa Indonesia yang merdeka.

31. Untuk menyembuhkan kesakitan ini, Amien mengupas perihal kesatuan rakyat untuk membawa perubahan dan melawan barah yang kian meresap ke dalam tubuh bangsa Indonesia.

32. Ini mengingatkan saya kepada kesatuan hati dan iltizam rakyat Negeri Selangor yang bangkit melawan kesakitan yang turut membarah dalam pentadbiran Kerajaan di bawah pentadbiran UMNO. Amalan rasuah, kronisme, penyelewengan dan salahguna kuasa adalah malapetaka yang harus ditentang habis-habisan demi kesejahteraan seluruh rakyat negeri ini. Dengan asas itu, kemenangan rakyat pada 8 Mac 2008 harus terus dipertahan dan dilanjutkan demi rakyat khususnya di Negeri Selangor.

33. Kita bersyukur, laporan kaji selidik yang dibuat oleh badan penyelidikan profesional, Merdeka Centre mendapati sebanyak 60% rakyat Negeri Selangor menyatakan bahawa pentadbiran pada hari ini berada pada landasan yang tepat dan 64% rakyat berpuas hati dengan prestasi pentadbiran Pakatan Rakyat hari ini. Malah, sokongan masyarakat Melayu terus meningkat sehingga 59% sementara sokongan bagi masyarakat Cina dan India adalah sebanyak 69%.

34. Ditambah lagi dengan kenyataan Tun Daim Zainuddin dalam wawancara dengan akhbar Sin Chew Daily bertarikh 15 Mac 2012 tyang menyatakan bahawa amat sukar untuk UMNO merampas kembali Negeri Selangor yang tampil dengan imej sebuah Kerajaan yang berintegriti. Ini jelas menjadi kegusaran UMNO yang tidak dapat menandingi keupayaan pentadbiran hari ini biarpun baru berusia empat (4) tahun. Terbukti sekiranya Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dapat ditadbir dengan baik oleh Pakatan Rakyat nescaya kesejahteraan akan lebih dikecapi oleh rakyat apabila kita sampai ke Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke 13.

35. InshaAllah, saya yakin kejayaan yang dikecapi hari ini adalah natijah daripada kejituan semangat dan kesedaran rakyat untuk berubah.

36. Sekian, saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun;

Gagasan reformasi semangat baru

Ketuanan rakyat kita martabatkan

Rakyat sejahtera negeri maju

Kemenangan rakyat kita lanjutkan

14 Mac 2012

Tan Sri Yang Di Pertua,

1. Saya menjunjung kasih atas Titah Ucapan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong sewaktu pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Kedua Belas dan saya mengucapkan terima kasih atas peluang untuk turut serta dalam perbahasan.

2. KEADILAN dan Pakatan Rakyat mendukung titah Tuanku agar patuh kepada undang-undang berperlembagaan serta menghormati kebebasan dan hak asasi rakyat. Kami juga mendukung sepenuhnya saranan Tuanku dalam isu kebebasan sistem kehakiman yang menjadi teras penting kepada sistem demokrasi. Pakatan Rakyat konsisten bahawa pemahaman undang-undang yang luhur serta tatakelola yang selaras dengan prinsip pengasingan kuasa akan menjadi tunjang kepada pembangunan sebuah negara yang demokratik, adil dan sejahtera.

3. Saya terpanggil untuk mengungkap citra politik ideal yang dipadankan dengan ungkapan moderation atau wasatiyyah. Prinsip wasatiyyah, bukannya perkara baru dalam Islam.

4. Pada 7 Disember 1975, ketika menyampaikan Ucapan Dasar Muktamar ABIM ke 4 yang bertemakan ‘Jelas Wadah, Perbaru Tekad’, Saudara Anwar Ibrahim mula mencetuskan satu gagasan baru Wasatiyyah untuk membawa umat memahami dan menghayati prinsip kesederhanaan dalam masyarakat.

5. Pada tahun 1978, Saudara Anwar telah mengupas prinsip wasatiyyah dalam kertas kerjanya yang berjudul ‘Islam dan Masyarakat Majmuk’ di Universiti Kebangsaan Malaysia yang turut dihadiri oleh Saudara Lim Kit Siang.

6. Pada 9 Ogos 1981, sekali lagi Saudara Anwar Ibrahim membawa tema wasatiyyah dalam ucapan dasarnya yang bertajuk ‘Membina Generasi, Satu Gagasan’ ketika merasmikan Muktamar ABIM ke 10 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.

7. Apabila beliau menyertai kerajaan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengupas secara terperinci dan meniup nafas baru kepada prinsip Wasatiyyah melalui penulisannya yang terkandung dalam buku ‘Gelombang Kebangkitan Asia’. Wasatiyyah ataupun prinsip awsatuha ini juga meraikan nilai sejagat seperti yang diungkapkan oleh Konfucius iaitu prinsip Chun Yung dan juga tradisi Greek The Golden Mean yang terkandung dalam Nichomacean Ethics yang ditulis Aristotle. Saya yakin, tatkala Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengungkapkan wasatiyyah ini baik di dalam negara mahupun di pentas antarabangsa, Dato’ Sri Najib Razak baru mula bertatih mempelajari apa itu wasatiyyah dan baru beberapa hari lalu beliau berani mengungkapkan prinsip wasatiyyah.

8. Pakatan Rakyat turut mendukung dan menghayati prinsip wasatiyyah ini. Ini terbukti apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan YAB Saudara Lim Guan Eng mengambil inisiatif untuk melancarkan terjemahan Buku Dr Sheikh Yusuf Qardawi oleh Institut Kajian Dasar (IKD) yang bertajuk ‘Wasatiyyah’ sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang pada tahun 2010.

9. Fakta sejarah yang terbentang ini membuktikan bahawa Ketua Pembangkang tuntas mempertahankan prinsip wasatiyyah dan beliau lah sebenarnya The Ardent Moderates dan bukannya YAB Perdana Menteri.

10. Wasatiyyah harus dimanifestasikan dalam semua bidang kehidupan – politik, ekonomi, sosial dan pendidikan termasuk tatakelola pentadbiran negara. Wasatiyyah tidak boleh sekadar menjadi ungkapan dan retorika yang dicandukan kepada masyarakat untuk menjustifikasikan amalan boros, rasuah dan penyelewengan.

11. Wasatiyyah menolak pendekatan yang keras dan zalim serta menawarkan pendekatan santun, ramah dan persuasif. Begitu juga dengan umat wasat (tengah) dengan pengertian umat yang adil dan seimbang.

12. Wasatiyyah dalam politik adalah politik yang dilaksanakan dengan menghormati prinsip keluhuran hukum dan kedaulatan rakyat. Hal ini bermakna konsep wasatiyyah juga merangkumi perihal demokrasi dan undang-undang berperlembagaan. Oleh kerana rakyat adalah sumber kekuasaan dalam sebuah negara yang demokratik, maka keabsahan atau kesahihan sesuatu pemerintahan tergantung kepada kerelaan rakyat.

13. Pengiktirafan konsep wasatiyyah ke atas prinsip keluhuran hukum dan kedaulatan rakyat ini memperlihatkan betapa asas demokrasi berperlembagaan adalah penting dalam aplikasi moderasi yang mahu dibawa dalam agenda politik baru Malaysia. Menghormati hak asasi dan kebebasan serta berbeza pendapat dengan harmoni adalah kesederhanaan yang memenuhi citra politik bagi sebuah masyarakat yang majmuk.

14. Ketuanan rakyat adalah suatu contoh terbaik wasatiyyah politik. Politik perkauman sempit dan pelampau harus dihindari demi menjamin keharmonian dan kesejahteraan rakyat yang bersifat rencam. Kepelbagaian dan perbezaan yang muncul harus diraikan secara inklusif serta dirangkul sebagai satu kelebihan bagi sebuah negara majmuk.

15. Inilah ‘wasatiyyah tulen’ berbanding kesederhanaan yang dicanang oleh UMNO. Wasatiyyah yang ditaja oleh UMNO tidak menepati tuntutan Islam.

16. Apakah ianya menepati prinsip wasatiyyah apabila UMNO membudayakan politik fitnah dan budaya samseng. Apakah ianya menepati tuntutan wasatiyyah apabila Indeks Pesepsi Rasuah merudum untuk tahun ketiga berturut-turut kepada 4.3 mata. Ini membawa Malaysia jatuh ke tangga ke-60 daripada 183 buah negara berbanding tangga ke 37 pada tahun 2003 ketika di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Apakah wasatiyyah yang dibawa oleh UMNO apabila dasar flip-flop menjadi teras kepimpinan Perdana Menteri. Kepimpinan flip-flop ini berpunca daripada kelemahan kepimpinan untuk mempertahankan keputusan dan kegagalan mempertahankan keputusan ini adalah kerana ia dibuat tanpa sebarang perundingan untuk kepentingan rakyat.

Tan Sri Yang Di Pertua,

17. Perdana Menteri telah mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan dalam masa yang sama mengumumkan akan menambahbaik Sistem Saraan Malaysia (SSM).

18. Penjawat awam hanya diberikan tempoh dua (2) minggu untuk membuat opsyen sehingga 31 Disember 2011, sebelum skim ini berkuatkuasa pada 1 Januari 2012.

19. Kontroversi timbul apabila berlaku keadaan di mana perbezaan ketara pelarasan gaji antara kumpulan Sokongan, kumpulan Pengurusan & Profesional, kumpulan Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan lapisan baharu yang diwujudkan, iaitu kumpulan Premier.

20. Pertama, mengapakah dasar ini digubal dan dilaksanakan tanpa mengambil kira pandangan penjawat awam melalui kesatuan-kesatuan pekerja perkhidmatan awam sedangkan mereka adalah stakeholder dalam kumpulan tersebut ? Ini adalah penting untuk memastikan proses perundingan berlaku dengan menepati kehendak dan kepentingan golongan yang terlibat.

21. Kedua, mengapakah di saat majoriti penjawat awam yang memilih opsyen SBPA dinafikan hak mendapatkan gaji dan emolumen baru di bawah SBPA, tetapi kumpulan Premier yang difahamkan seramai 36 orang melibatkan jawatan-jawatan kanan kerajaan termasuk Ketua Setiausaha Negara telahpun dibayar gaji dan emolumen di bawah SBPA. Justeru itu, saya menuntut supaya kerajaan menyatakan dalam dewan yang mulia ini jumlah yang telah dibayar di bawah skim ini dan siapakah penjawat awam yang telah menerima habuan tersebut.

22. Saya bertegas bahawa kerajaan harus menyatakan pendirian mereka berkenaan status Kumpulan Premier ini? Saya difahamkan, mereka telahpun dibersarakan atas kepentingan perkhidmatan awam dan berkhidmat secara kontrak di bawah SBPA.

Secara prinsipnya, dengan terbatalnya SBPA, kontrak mereka juga harus terbatal dan perlu memulangkan semua ganjaran gaji dan emolumen yang telah mereka peroleh. Tan Sri Yang Di Pertua,

23. KEADILAN dan Pakatan Rakyat, menegaskan bahawa pembatalan SBPA ini adalah satu kejayaan hasil manifestasi suara rakyat khususnya penjawat awam yang diperjuangkan secara berterusan oleh Pakatan Rakyat. Kami konsisten bahawa suara rakyat harus didengar sebelum sesuatu dasar digubal dan dilaksanakan. Sikap kerajaan yang flip-flop ini adalah bukti keangkuhan pemerintah terhadap golongan yang terpenting dalam pentadbiran negara iaitu anggota perkhidmatan awam.

24. Saya percaya pegawai dan anggota Perkhidmatan Awam telah yakin bahawa Pakatan Rakyat telah melindungi kebajikan dan keadilan buat mereka. Pakatan Rakyat mempunyai dasar untuk perkhidmatan awam yang lebih baik demi memperkasakan perkhidmatan awam seperti yang terkandung dalam Buku Jingga.

Tan Sri Yang Di Pertua

25. Selain daripada Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi (ETP) juga harus menjadi perhatian dewan pada hari ini. Ini berikutan perencanaan yang hanya akan mendatangkan keuntungan kepada syarikat korporat dan sebaliknya menekan nasib rakyat di bawah.

26. Perdana Menteri dalam janji awalnya ketika mengambil alih pentadbiran negara telah menyatakan bahawa “…the era where the government knows the best is over.” Ini menjadi lanjutan kepada janji beliau untuk melaksanakan dasar ekonomi yang berdaya saing dengan mengadakan tender terbuka dalam projek-projek kerajaan yang melibatkan kepentingan rakyat dan kerajaan. Namun begitu, hal yang berlaku adalah sebaliknya.

27. Saya mendesak kerajaan untuk memberikan penjelasan yang jujur dalam projek RAPID – Refinery and Petrochemical Integrated Development di Pengerang, Johor. Perdana Menteri mengumumkan projek yang bernilai USD 20 bilion dalam keadaan yang tergesa-gesa di awal pagi. Apakah mekanisme untuk menjamin ketelusan faedah jangka panjang dan prinsip value for money dalam proses penganugerahan kontrak ini. Daripada sumber kuat dalaman Petronas dan juga daripada masyarakat industri oil and gas , projek yang bernilai USD 20 bilion ini akan dianugerahkan kepada Dialog Berhad. Sekiranya maklumat ini benar, apakah hubungan Dialog Berhad dengan pengurusan tertinggi Petronas ?

28. Dialog Berhad dilihat sebagai anak emas kepada pengurusan tertinggi petronas. Saya juga ingin mendapat penjelasan daripada kerajaan, apakah Petronas telah dijalankan feasibility studies dan juga risk management studies memandangkan projek ini bernilai besar. bagi projek rapid dan apakah dasar tender terbuka akan dilaksanakan oleh Petronas dalam projek ini.

29. Saya juga ingin mengetahui status pengambilan tanah untuk projek RAPID yang melibatkan 7 buah kampung dan lebih 900 keluarga. Apakah nilai pampasan yang dibayar kepada penduduk-penduduk yang terlibat dalam pengambilan tanah tersebut.

30. Pada Oktober 2011, Dialog Berhad telah dianugerahkan kontrak Tanjung Langsat Storage Tank Terminal Facilities di Johor dengan nilai hampir RM 400 juta. Dialog Berhad diberikan pegangan saham sebanyak 40.7% sedangkan MISC hanya diberikan 33.3% dan China Aviation Oil (Singapore) diberikan 26%.

31. Petronas juga telah menganugerahkan Risk Service Contract bagi Balai Pembangunan Balai Cluster Marginal Field kepada Konsortium yang terdiri daripada Dialog Berhad, Petronas Carigali dan Australia ROC Oil.

32. Saya dimaklumkan Petronas mengalami masalah untuk mengekalkan tahap pengeluaran petroleum akibat faktor-faktor berikut : (1) Pengeluaran petroleum di Sudan Selatan yang mencatatkan 135,000 barrel terpaksa dihentikan ekorang pertikaian transit fee dengan Sudan Utara. (2) Petronas juga menghadapi masalah yang serius dalam kerja-kerja carigali minyak di Kikeh, Sabah dan memerlukan tempoh dua tahun untuk memperbaiki masalah ini. kelewatan ini telah memberi kesan kepada pengeluaran petroleum di Sabah yang merudum sebanyak 17%. (3) Petronas juga telah gagal menyiapkan kemudahan platform pengeluaran minyak di Gemusut, Kakap, Sabah yang sepatutnya mula mengeluarkan minyak pada tahun 2010. Malangnya kemudahan ini akan dijangka siap pada tahun 2014.

33. Untuk mengekalkan pengeluaran petroleum, Petronas tidak boleh menggunakan teknologi carigali yang konvensional, tetapi meningkatkan teknologi pengeluaran termasuk kaedah EOR (Enhance Oil Recovery) di telaga-telaga minyak lama (brown field). Maka Petronas mula beralih fokus untuk menumpukan kerja-kerja carigali minyak di Marginal Field yang memerlukan kaedah dan teknologi carigali yang berbeza.

34. Saya dimaklumkan terdapat 106 marginal fields di Malaysia dan 22 daripadanya sudah tersedia untuk kerja-kerja carigali petroleum.

35. Sebelum ini kita mendengar bahawa kerajaan telah menganugerahkan Projek Berantai Marginal Field kepada Kencana dan Sapura untuk kerja-kerja fabrikasi dan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pelaksanaan (EPCIC-Engineering, Procurement, Construction, Installation and Commissioning).

36. Saya ingin mendapat penjelasan daripada kerajaan, mengapa Dialog Berhad mendapat kontrak bagi Balai Cluster Marginal Field yang bernilai USD 1 Bilion sedangkan Balai Cluster tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam Industri Huluan Petroleum (Upstream) khususnya yang melibatkan kerja-kerja carigali minyak. Dalam konsortium ini, Dialog Berhad diberikan saham sebanyak 32%, Petronas Carigali 20% dan Australia ROC Oil 48%. Persoalannya mengapa Petronas membenarkan Dialog Berhad menjadi pemegang saham yang lebih besar daripada Petronas carigali sedangkan Petronas Carigali mempunyai memiliki keupayaan teknologi, kewangan serta pengalaman carigali di 32 buah negara selain daripada Malaysia. Apakah kriteria pemilihan rakan kongsi dalam konsortium ini selain daripada teknologi dan keupayaan yang dimiliki oleh Petronas carigali dan Australia ROC Oil.

37. Kerajaan sepatutnya menggalakkan pertumbuhan IKS dalam industri petroleum melalui program pembangunan vendor. Malangnya, pengurusan baru Petronas telah membekukan program pembangunan vendor dan memansuhkan status kategori terhad yang memberi kesan parah terhadap perkembangan perniagaan vendor untuk menyertai industri ini. Petronas juga tidak memberikan galakan kepada IKS untuk membina kemudahan pembuatan berbanding dengan dasar yang diperkenalkan di Korea yang memberikan insentif untuk vendor dalam industri petroleum dan hari ini produk-produk Oil & Gas Korea boleh bersaing dengan kualiti dinegara-negara Eropah dengan harga yang berdaya saing.

38. Pengurusan Baru Petronas juga telah menyekat peluang syarikat-syarikat bumiputera yang mempunyai keupayaan dan pengalaman untuk membekalkan produk-produk oil and gas melalui pembekuan lesen dengan membenarkan hanya MITCO, anak syarikat Petronas untuk memonopoli perolehan produk-produk Oil & Gas. Ini sekaligus membunuh perkembangan IKS. Apakah langkah-langkah kerajaan untuk memantau tingkah laku pengurusan Petronas yang baru yang dilihat tidak membantu perkembangan industri Oil & Gas tempatan.

Tan Sri Yang Di Pertua

39. Saya mohon perhatian dewan untuk meneliti isu Passenger Service Fee (PSF) yang dikenakan ke atas penumpang-penumpang Syarikat Penerbangan Air Asia. Pada masa ini, PSF yang dikenakan adalah sebanyak RM32 bagi penerbangan antarabangsa dan RM6 untuk penerbangan domestik. Penumpang Air Asia mengeluh berikutan proses kutipan PSF yang dulunya disebut sebagai Airport Tax dilihat tidak telus dan membebankan penumpang. Sekiranya penumpang membatalkan penerbangannya, mereka tidak perlu membayar yuran tersebut yang selama ini dibebankan kepada penumpang termasuk yang telah membatalkan penerbangannya.

40. Mengapa kerajaan membenarkan Air Asia untuk mengutip PSF ini sedangkan bayaran ini sepatutnya dibayar kepada Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB). Seharusnya bayaran yuran ini dibuat di lapangan terbang menggunakan kupon atau mekanisme yang lebih berkesan.

41. Kerajaan harus bertanggungjawab untuk meneliti semula prosedur ini yang hanya memberikan keuntungan besar kepada Air Asia dan bukannya kepada MAHB. Justeru saya sekali lagi memohon dalam dewan yang mulia ini untuk kerajaan menyatakan jumlah kutipan PSF yang telah dikutip oleh Air Asia sejak ia mula beroperasi.

Tan Sri Yang Di Pertua

42. Pada tahun 1932, filasuf politik penting dari Jerman, Carl Schmitt menerusi karyanya The Concept of Political, cuba mengungkapkan apa intipati politik, atau dalam Bahasa Jerman-nya das politische.

Bagi Schmitt, politik itu adalah pertembungan di antara suatu pihak dengan pihak yang lain, di dalam suatu suasana atau keadaan sedang berperang. Dalam kata lain, politik itu suatu permusuhan tajam dan aktornya sudah siap sedia untuk berperang walau kesannya berat sekali.

42. Malah Schmitt berpandangan lebih keras apabila merasakan suatu keadaan yang aman itu menandakan dunia yang kehilangan nafasnya. Schmitt berpandangan dunia yang aman membuatkan rakyat kehilangan arah. Sungguhpun beliau akui keamanan akan menyemarakkan kebudayaan, ekonomi, kekuatan moral, undang-undang dan seni namun das politische yang berpaksikan keamanan meragut jiwa sesebuah negara mahupun politik. Justeru, filasuf Jerman itu mengangkat suatu aktor politik yang digelarnya, Reichsprasident, watak seumpama raksasa Leviathan dalam karya Hobbes. Watak tersebut punya kuasa luar dari Perlembagaan, punya wewenang untuk melakukan segala tanpa batas, dengan izin Tan Sri Yang di Pertua, “has the power to declare the exception.”

43. Pandangan Schmitt ini tidak didokong Pakatan Rakyat. Muafakat politik dalam Pakatan Rakyat ini wujud, antaranya kerana mahu menewaskan UMNO-BN yang berulangkali “exercising the power to declare the exception” sekaligus menafikan hak rakyat. Makanya, dalam Dewan Yang Mulia ini, saya mahu tegaskan, masanya sudah tiba untuk rakyat Malaysia menolak regim yang memerintah sambil meremehkan hasrat rakyat.

44. Pasca 8 Mac 2008, kita menyaksikan Sistem Dwi Parti atau Two-Party System mulai subur di negara ini. Wujudnya persaingan dalam pentas politik membolehkan rakyat memilih perjuangan mana yang lebih bermakna buat mereka. Pastinya dengan Sistem Dwi Parti, tiada pihak yang punya “the power to declare the exception.”

45. Pun demikian harus lah diambil perhatian Sistem Dwi Parti ini bukanlah bermakna kita menidakkan aktor politik ataupun organisasi lainnya bersaing. Ianya bukan didasari untuk memonopoli. Pakatan Rakyat sememangnya mengalu-alukan percambahan pemikiran dan upaya untuk memperkukuh peranan rakyat untuk membuat keputusan. Akan tetapi berhadapan raksasa usang yang bertaring tajam seperti mitos Leviathan, pastinya perlu segenap usaha dan daya digembeling semata-mata untuk menumpaskannya. Begitulah juga apabila berhadapan dengan UMNO-BN di arena politik. Permuafakatan Pakatan Rakyat memilih untuk berpencak dengannya di medan yang sama, iaitu medan politik.

46. Sungguhpun murni hasrat Pakatan Rakyat untuk memperkukuh Sistem Dwi Parti ini, ternyata ia masih berhadapan dengan mehnah pemerintah yang sememangnya sudah biasa membolot kuasa. Budaya samseng dalam politik UMNO kerana kegagalan mereka untuk mendepani isu-isu rakyat seperti kenaikan harga barang, kos kehidupan yang tinggi, gaji minima serta amalan boros dan rasuah. Atas sebab itu, KEADILAN dan Pakatan Rakyat ingin mengulangi gesaan kami supaya UMNO menghentikan budaya fitnah, gutter politics dan budaya samseng. Saya mengajak UMNO bersama-sama memberikan tumpuan kepada persoalan dasar dan program-program untuk kepentingan rakyat. Untuk maksud ini juga, saya mengulangi cabaran YB Permatang Pauh kepada Perdana Menteri untuk menerima pelawaan debat supaya dapat membuka ruang kepada rakyat membuat penilaian yang rasional dan sihat.

47. Lihat sahaja isu Palestin, pimpinan UMNO menyerlahkan sikap munafik politik dengan memadamkan fakta dan mengetengahkan kepalsuan sedangkan rakyat sedar hubungan UMNO dengan Zionis Israel melalui kontrak dengan APCO, Dagangan ke 15 terbesar, surat-surat Dr Mahathir kepada Perdana Menteri Israel dan keengganan UMNO untuk mengiktiraf HAMAS sekaligus menafikan suara dan aspirasi rakyat Palestin.

48. InshaAllah, saya yakin Sistem Dwi parti akan membawa kesejahteraan kepada rakyat dan percayalah bahawa Pakatan Rakyat tidak memerlukan Machiavellian Politics untuk bersaing. Kita tidak memerlukan politik fitnah-memfitnah, politik perkauman sempit dan politik kekerasan sebagai talian hayat. Kita bersaing berasaskan hujah dan fakta. Oleh kerana itu kita menawarkan kepada rakyat dasar seumpama Buku Jingga, Agenda Bersama Permuafakatan Pakatan Rakyat dan Belanjawan Pakatan Rakyat untuk kemaslahatan rakyat.