Kami berasa kesal dengan dua keputusan penting yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari ini berhubung kes NFC/penglibatan Dato’ Seri Shahrizat Jalil serta tuduhan terhadap Saudara Azmin Ali.

Sungguh pun rata-rata rakyat Malaysia sudah menjangkakan bahawa SPRM akan melepaskan Dato’ Seri Shahrizat Jalil dari tuduhan rasuah bersabit NFC, keputusan SPRM membuka siasatan terhadap Saudara Azmin Ali benar-benar mendedahkan wajah sebenar SPRM.

Rakyat boleh menilai tindakan tangkas SPRM berhubung tuduhan terhadap Saudara Azmin Ali walaupun laporan dan siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR, pada ketika itu) telah menyatakan bahawa tidak ada unsur rasuah ketika siasatan dibuat dalam tahun 1995.

Berbeza pula dengan pelbagai dolak dalih yang diberikan SPRM dalam kes NFC dan Dato’ Seri Shahrizat Jalil, walaupun NFC dan menteri bertanggungjawab membuat keterangan di Parlimen mengenai proses pemberian tender kepada sebuah syarikat milik keluarga beliau.

Kami bentangkan fakta-fakta berikut agar rakyat boleh menghakimi sendiri tindak-tanduk SPRM dalam dua kes ini:

KES SAUDARA AZMIN ALI

1. Dato’ Shafee Yahaya, bekas Ketua Pengarah BPR telah membuat kenyataan hari ini dan semalam bahawa siasatan mendapati tidak ada unsur rasuah yang mewajarkan dakwaan ketika siasatan dibuat terhadap Saudara Azmin Ali dalam tahun 1995;

2. Beliau menyatakan bahawa SPR mengesyorkan agar tindakan disiplin dikenakan terhadap Saudara Azmin Ali bertepatan dengan peraturan jabatan kerajaan;

3. Insiden dan fakta kes ini telah dinyatakan secara jelas di dalam bukunya “The Shafee Yahaya Story” mukasurat 306, 326 dan 356.

KES NFC-DATO’ SERI SHAHRIZAT JALIL

1. Dato’ Seri Noh Omar telah menyatakan di Parlimen bahawa tender NFC dibuat secara tertutup dengan menjemput hanya enam buah syarikat, antaranya NFCorp dan Felda Farm Products Sdn Bhd. Hanya Felda Farm Products Sdn Bhd yang mempunyai pengalaman dalam industri penternakan, sedangkan NFCorp hanya baru ditubuhkan;

2. Berdasarkan peraturan umum perolehan dan tender mana-mana badan (apatah lagi projek besar kerajaan), tindakan menganugerahkan tender kepada sebuah syarikat yang tidak berkemampuan untuk melaksanakannya adalah satu tindakan rasuah;

3. Ini bermakna, Jawatankuasa Tender Berimpak Tinggi yang dipengerusikan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri telah melakukan perbuatan rasuah dengan menganugerahkan projek bernilai RM250 juta kepada NFCorp yang langsung tidak mempunyai pengalaman mengendalikannya;

4. Satu-satunya hubungkait (atau pertalian) di antara Dato’ Seri Najib Tun Razak (sebagai pengerusi Jawatankuasa Tender) dan NFCorp adalah Dato’ Seri Shahrizat Jalil melalui hubungan kekeluargaan beliau (dengan NFCorp) dan hubungan politik (dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak).

Rakyat sudah tentu dapat membezakan bagaimana SPRM berhempas pulas membuka fail siasatan baru terhadap Saudara Azmin walaupun tiada fakta, tetapi melepaskan sahaja Dato’ Seri Shahrizat Jalil walaupun jelas satu perbuatan pecah amanah telah berlaku.

Kami yakin SPRM tidak pun memanggil Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk disoalsiasat walaupun beliau saksi utama yang perlu ditemuramah untuk memahami kenapa tender RM250 juta dianugerahkan kepada NFC.

Malah, kami sendiri pelik kenapa kami tidak dipanggil untuk disoalsiasat sedangkan kamilah yang paling ke depan membongkarkan penyelewengan NFC?

Kami yakin bahawa rakyat telah memutuskan ada perlakuan rasuah di dalam kes NFC.

Tugas SPRM sekarang bukanlah menjadi kuda tunggangan Barisan Nasional untuk membuka fail menyiasat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat di kala pilihanraya begitu dekat. Tugas SPRM ialah menjawab persoalan-persoalan mengenai kes pecah amanah besar seperti NFC.

Soalan kami mewakili rakyat Malaysia kepada SPRM:

Jika Dato’ Seri Shahrizat Jalil tidak terlibat, apakah ini bermakna Dato’ Seri Najib Tun Razak yang pecah amanah kerana beliau (tanpa dipengaruhi dan diminta oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil) menganugerahkan tender RM250 juta kepada NFCorp yang tidak layak?

HAJJAH ZURAIDA KAMARUDDIN

KETUA WANITA KEADILAN

MOHD RAFIZI RAMLI

PENGARAH STRATEGI KEADILAN

31 MEI 2012

PEJABAT TIMBALAN PRESIDEN

PARTI KEADILAN RAKYAT

KENYATAAN MEDIA | 9 MEI 2012

Kenyataan Dangkal Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor

YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan seorang ulama, tokoh politik dan ilmuan Islam berwibawa yang dihormati dan disegani setiap lapisan masyarakat. Orang Islam mahupun orang bukan Islam menyanjungi pekerti Tuan Guru dan menghormati kegigihan beliau mentadbir Negeri Kelantan selaku Menteri Besar demi kemaslahatan rakyat negeri tersebut.

Sebagai Mursyidul Am Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tuan Guru merupakan teladan kepada ahli PAS serta menjadi antara rujukan utama kepada Muslim seluruh negara. Tuan Guru Nik Abdul Aziz menampilkan kepimpinan bertunjangkan pesan agama Islam dan menzahirkannya sebagai suatu bentuk dakwah bil hikmah.

Namun kita dikejutkan dengan tohmahan biadap dan melampau mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor yang menggelar Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai “bapa kafir”. Mantan Ketua Polis Negara inilah yang terbukti memukul dan membelasah Dato’ Seri Anwar Ibrahim tatkala ditahan pada tahun 1998 dan tidak cukup dengan itu memfitnah saya dan keluarga.

Tan Sri Rahim Noor sebenarnya tidak layak mempersoal keimanan dan keyakinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kedangkalan kenyataan mantan Ketua Polis Negara itu jelas terserlah malah dicemuh rakyat.

Oleh kerana itu saya menggesa agar Tan Sri Rahim Noor segera memohon maaf kepada YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di atas tohmahan biadap yang dilemparkan.

Mohamed Azmin Bin Ali

Pejabat Timbalan Presiden

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)

Saya mengecam sekeras – kerasnya fitnah yang ditohmah ke atas diri saya bertujuan untuk mengaibkan saya dan keluarga. Fitnah jelek ini disebarkan oleh media yang dikuasai UMNO yang memetik sumber blog pro UMNO. Fitnah ini memaparkan seorang lelaki yang mereka tohmah sebagai saya bersama seorang wanita di dalam tandas.

Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah tersebut. Ianya adalah fitnah ulangan menggunakan modus operandi yang sama yang digunakan terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Saya amat kesal memandangkan tindakan ini adalah fitnah bersiri terhadap saya dan keluarga selepas fitnah jijik ke atas isteri dan anak saya, disusuli dengan dakwaan pemilikan saham kemudiannya saya dituduh menghina Raja – Raja Melayu dan baru- baru ini saya ditohmah mencetuskan provokasi dalam Himpunan Aman Bersih 3.0.

Sebelum ini saya dan isteri serta anak kecil saya telahpun melakukan ujian DNA sebanyak dua kali dalam bulan Julai 1998. Kedua-dua keputusan ujian tersebut menempelak fitnah ke atas saya, isteri dan keluarga. Hasil ujian jelas menyebut serta mengesahkan saya dan isteri merupakan ‘biological parent’ kepada anak kami. Ujian DNA tersebut sekaligus memelihara maruah saya dan keluarga.

“The results from all three genetic loci show that the donor of blood specimen marked ‘X’ (putative father) is the biological father of the donor of the blood specimen marked ‘Y’ (child).”

Namun UMNO masih mengulangi fitnah kejam tersebut sepanjang 14 tahun ini walaupun bukti sudah jelas lagi nyata bahawa tuduhan mereka terhadap saya dan keluarga merupakan pembohongan semata-mata.

Setelah kesemua fitnah tidak berjaya, mereka mengulangi skrip usang fitnah seks yang memualkan untuk mengaib dan mematahkan semangat saya. Fitnah jahat seperti ini diulang – ulang untuk membentuk persepsi rakyat terhadap maruah dan kredibiliti saya menjelang pilihan raya.

Munculnya fitnah ini tatkala UMNO dihimpit krisis keyakinan dan menjadi sasaran kemarahan rakyat selepas perhimpunan BERSIH adalah untuk mengalih pandangan rakyat dari isu sebenar iaitu isu penipuan pilihanraya dan penyelewengan dana awam.

Saya ingin menegaskan bahawa saya tetap tuntas dengan perjuangan membawa obor reformasi demi rakyat. Saya menyeru kepada pimpinan UMNO supaya menghentikan budaya politik fitnah yang boleh menghancurkan negara dan masyarakat.

Saya akan terus bersama – sama pimpinan KEADILAN dan Pakatan Rakyat untuk menjana Perubahan dan membawa kemenangan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 13.

Mohamed Azmin Bin Ali