Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, segala pujian dan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. para sahabat serta ahli keluarga baginda sekalian.

Hijrah bukan sekadar satu peristiwa penting bagi umat Islam bahkan ianya satu detik yang mencorakkan sejarah dunia. Dengan berhijrah dari Mekah ke Madinah, Rasulullah S.A.W membawa umat Islam keluar daripada keadaan sebuah masyarakat yang ditindas kepada pembangunan sebuah negara. Madinah dijadikan ruang oleh Rasulullah dan para sahabat untuk menggunakan kebijaksanaan mereka untuk mencipta satu umat baru yang kemudiannya menyatukan Jazirah Arab dan kemudiannya membina satu empayar dan tamadun.

Rasulullah tidak mahu umatnya kekal dengan jumlah kecil dalam suasana ditindas. Terus kekal sebagai masyarakat yang tertindas akan melahirkan “persecution complex”, hilang inisiatif, sentiasa bersikap negatif dan sering menyalahkan orang lain. Gejala “persecution complex” ini menular luas di dunia Islam hari ini menyebabkan umat Islam tertinggal di belakang berbanding dengan Negara China, India dan Korea Selatan. Sebelum ini, dunia Islam hanya mundur berbanding dengan Barat tetapi kini dunia Islam turut terus dalam persaingan dengan negara-negara Asia. Dan umat Islam masih menyalahkan penjajahan yang telah pergi lebih setengah abad dan ketidakadilan sistem antarabangsa sebagai alasan ketertinggalan mereka.

Dengan menggali semangat Hijrah umat Islam boleh keluar dari kepompong “persecution complex” dan membina keyakinan baru sebagai peserta yang memberi sumbangan positif kepada tamadun kontemporari. Penguasan ilmu dan teknologi tentunya merupakan pra-syarat kepada penyertaan tersebut. Atas dasar inilah, Kerajaan Negeri Selangor komited untuk membuat pelaburan dalam bidang pendidikan yang akan membina modal insan untuk memberi sumbangan kepada memperkayakan tamadun dunia.

Sekian, wassalam.

MOHAMED AZMIN BIN ALI

Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang semalam telah meneliti maklum balas daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Pejabat Daerah dan Tanah Klang mengenai laporan kejadian ribut taufan di Pandamaran, Klang yang berlaku pada 21 Oktober 2014 yang lalu.

Kejadian angin kencang ini telah memusnahkan harta awam dan rumah penduduk di Kampung Pandamaran, Flat PKNS Pandamaran Jaya, Flat Pandamaran Permai Indah dan Kampung Pandamaran Jaya. Jeti Nelayan Pandamaran (Sg. Aur) juga turut mengalami kerosakan.

Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah bersetuju untuk membaik pulih bumbung di tiga (3) blok kediaman yang mengalami kerosakan teruk dan juga menggantikan tangki-tangki air di Blok A, B, C dan D, Flat Pandamaran Permai Indah. Kos pembaikan untuk kerja-kerja ini melibatkan kos RM600,000.00.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah menampung kos kerja-kerja pembaikan di Flat PKNS Pandamaran Jaya dan dijangka siap pada hari ini, 24 Oktober 2014.

Kerajaan Negeri juga bersetuju untuk memberikan sumbangan saguhati untuk membaikpulih kerosakan yang melibatkan kerangka kayu dan penggantian bumbung bagi lebih 40 buah rumah mengikut tahap kerosakan yang akan dinilai oleh Pejabat Daerah dan Tanah Klang. Kos untuk maksud ini dianggarkan berjumlah RM50,000.00.

Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah Klang bersama Lembaga Urus Air Negeri Selangor (LUAS) untuk membina semula Jeti Nelayan Sungai Aur bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan nelayan di kawasan Pandamaran. Kos dianggarkan berjumlah RM30,000.00.

Majlis Perbandaran Klang telah diberikan sejumlah RM73,000.00 untuk

kerja-kerja pembersihan sisa runtuhan, sampah sarap, pemotongan dan

pembersihan pokok-pokok yang tumbang berikutan bencana ribut taufan ini.

MMKN juga telah bersetuju melaksanakan Pelan Tindakan Selangorku Bebas Denggi dengan bertemakan “ Terjah & Musnah Aedes Negeri Selangor 2014 “ yang bertujuan untuk meningkatkan tindakan pencegahan dan kawalan denggi di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Pelan Tindakan ini berfokuskan tiga (3) bentuk pendekatan ; kawalan dan tindakan, aktiviti kesedaran dan promosi, serta pemantauan secara berterusan.

YAB. TUAN MOHAMED AZMIN ALI

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

22 Oktober 2014

Pertembungan berterusan falsafah kehidupan manusia dengan nilai-nilai kepercayaan merupakan perjuangan di antara kegelapan dan cahaya.

Bagi masyarakat Hindu, Deepavali serta festival utama lainnya seperti Thaipusam merupakan satu tempoh pengabdian dan pembersihan diri mendakap prinsip-prinsip kerendahan diri dan kezuhudan — kejayaan ilmu pengetahuan dan kesedaran mengatasi kebodohan dan keangkuhan.

Signifikan keagamaan menerusi perayaan Deepavali terhadap masyarakat Hindu adalah pelbagai namun ke semuanya berakarkan kepada idea cahaya terjelma. Dalam teks Hindu klasik — Puranas — Deepavali diraikan tatkala Dewa Krishna menewaskan Naraka yang jahat. Satu lagi rujukan menjelaskan tentang kelahiran Dewi Lakshmi dari lautan kosmik. Di dalam epik Mahabhrata, Deepavali melambangkan kepulangan Pandawa Bersaudara dari pemencilan manakala di dalam epik Ramayana pula menyatakan Deepavali sebagai tempoh ‘cahaya agung’ tatkala Rama bersama isterinya Sita dan saudaranya Laksmana kembali dari pemencilan panjang untuk memerintah kerajaan mereka dengan “adil”. Penganut yang taat pada Dewi Ibu meraikan Deepavali sebagai kesinambungan kepada Dewi-Dewi “Vilaya Thandava” — “Tarian Kehidupan-Nya” untuk mewujudkan peraturan dan keadilan di alam sejagat.

Sebagai rakyat negeri Selangor yang turut berkongsi kemeriahan sambutan istimewa bersama-sama para penganut agama Hindu, kita sewajarnya menghayati signifikan kerohanian mengenai perayaan ini. Di atas semangat persefahaman, kita berupaya mencipta asas kepada sikap saling menghormati dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang stabil dan makmur berdasarkan prinsip keamanan dan empati. Menerusi asas-asas inilah maka prinsip keadilan, integriti dan kemuliaan rakyat dapat disuburkan.

Atas semangat tersebut, saya mengucapkan selamat menyambut Deepavali kepada semua penganut agama Hindu. Semoga sambutan pada kali ini diraikan dengan penuh kebahagiaan dan kemakmuran.

MOHAMED AZMIN ALI

Deepavali Address

YAB Mohamed Azmin Ali, Dato’ Menteri Besar Selangor

22 October 2014

The timeless preoccupation of humanity’s philosophical life and life of beliefs has been the struggle between darkness and light.

For the Hindu community, Deepavali, along with another principal festival, Thaipusam, signifies a period of devotion and self-renewal to the principles of humility and self-effacement – the triumph of self-knowledge and self-realization over ignorance and the ego.

The religious significance of Deepavali among the Hindu community are varied, but are all rooted in the idea of the Personified Light. In the classical Hindu text – Puranas – Deepavali is celebrated when Lord Krishna defeats the evil tyrant Naraka. Another reference can be traced to the birth of the Goddess Lakshmi from the churning of the cosmic oceans. In the ancient epic The Mahabharata, Deepavali signifies the return of the Pandava Brothers from their years of self-imposed exile while the complementary epic The Ramayana mentions Deepavali as a period of “great light” when Rama, with his consort Sita and his brother Laksmana return from a period of exile to reign “justly’ over their kingdom. Devotees of the Mother Goddess celebrate Deepavali as a continuation of the Goddesses “Vilaya Thandava” – Her “Dance of Life” to establish order and justice in the universe.

As citizens of the state of Selangor who share in the celebrations of this auspicious festival by followers of the Hindu faith, we ought to be reminded of the deep spiritual significance of these celebrations. It is in the spirit of understanding that we are truly able to create the foundations for the mutual respect imperative to creating a stable and prosperous society based on peace and empathy. It is upon these foundations that the principles of justice, integrity and dignity of citizenry can flourish.

In that spirit I wish all followers of the Hindu faith a blessed and prosperous Deepavali.

MOHAMED AZMIN ALI

Ucapan YAB Tuan Mohamed Azmin Bin Ali Dato’ Menteri Besar Selangor Pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Dan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 Peringkat Negeri Selangor

“Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pencerahan & Ilmu”

Tarikh

20 OKTOBER 2014

25 ZULHIJJAH 1435 H

1. Saya gembira sekali kerana pagi ini merupakan kali pertama saya menyertai perhimpunan bulanan bersama penjawat awam. Perhimpunan pagi ini juga adalah bersempena Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 peringkat Negeri Selangor.

2. Saya ingin menegaskan bahawa pentadbiran awam adalah paksi kepada pentadbiran Kerajaan Negeri – the civil service is the vital centre of the state government. Jika pentadbiran awam cekap, kerajaan akan cekap.

3. Tugas sebagai Menteri Besar adalah satu amanah kepimpinan yang amat berat demi menggalas harapan umat dan saya mahu melaksanakan amanah ini dengan sebaiknya. Saya tidak akan dapat menunaikan amanah ini dengan sebaiknya jika saya tidak didukung oleh para penjawat awam yang cekap, amanah dan profesional. Saya percaya dan yakin dengan kecekapan dan kewibawaan penjawat awam Selangor.

4. Meskipun Malaysia masih dalam tahap negara membangun, tetapi Selangor telah memasuki tahap maju. Justeru itu minda kita, cara kita bekerja, perlulah mencerminkan status Negeri Selangor sebagai sebuah negeri maju.

5. Saya ingin memberi jaminan bahawa pentadbiran ini komited untuk membangun Negeri Selangor sebagai sebuah negeri pembangunan atau developmental state yang memacu pertumbuhan ekonomi negeri yang mampan dengan menjamin prinsip keadilan dalam pengagihan (distributive justice) melalui program ekonomi peduli rakyat.

6. Bersempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan, marilah kita mengulangi tekad kita bersama untuk memperkaya Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Ilmu. Bahasa berperanan sebagai salah satu asas jati diri bangsa Malaysia. Sebagai bahasa Kebangsaan, bahasa Melayu memupuk perpaduan, dan turut berperanan sebagai wasilah pembangunan negara melalui pelaksanaannya sebagai sarana komunikasi.

7. Penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi menjadikan komunikasi di kalangan pemimpin dan warga eksekutif dan juga komunikasi antara rakyat dan pemimpin, berlangsung dengan lancar dan berkesan.

8. Kerajaan Negeri Selangor mempunyai iltizam dan komitmen untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan sebagai bahasa ilmu dan pemikiran. Saya yakin, sekiranya kita cekap dan berusaha secara strategik, bahasa Melayu boleh dilonjakkan sebagai salah satu bahasa besar di dunia.

9. Bahasa Melayu mempunyai sejarah yang panjang. Sejak abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu telah menjadi lingua franca bagi rantau Kepulauan Melayu-Indonesia di bawah kerajaan Sriwijaya.

10. Pada zaman kesultanan Melayu dari sekitar abad ke-13 hingga abad ke-19, bahasa Melayu menyerlah gemilang sebagai bahasa tamadun Melayu baharu, dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan kesusasteraan.

11. Keunggulan bahasa Melayu pada abad 16 dan 17 dapat dirumuskan dengan kenyataan bahawa bahasa tersebut telah mencapai taraf bahasa antarabangsa, terutama dengan kedudukannya sebagai bahasa diplomatik, lingua franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama besar dunia dan bahasa sastera.

12. Untuk memartabatkan dan memperkayakan bahasa Melayu di abad 21 tidak mencukupi dengan mengungkapkan nostalgia kegemilangan bahasa Melayu di zaman silam.

13. Bahasa Melayu masih perlu diperjuangkan. Bahasa Melayu menjadi bahasa Kebangsaan hasil dari perjuangan tokoh-tokoh bahasa, sasterawan dan rakyat keseluruhannya. Justeru itu perjuangan bahasa Melayu adalah sebahagian perjuangan untuk membina bangsa Malaysia.

14. Bahasa Melayu diperjuangkan oleh semua rakyat, semua kaum – Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dan lain-lain. Maka bahasa Melayu bukan milik orang Melayu semata-mata. Bahasa Melayu adalah milik semua bangsa Malaysia.

15. Bagi memartabatkan bahasa Melayu di abad 21 kita tidak boleh melihat bahasa sekadar sebagai alat pertuturan, ekspresi dan komunikasi antara manusia. Yang lebih penting adalah bahasa sebagai wahana pemikiran dan rasionaliti. Aristotle, filasuf Yunani, memberikan definasi manusia sebagai “rational animal” – haiwan berfikir.

16. Definasi ini diterjemahkan oleh pemikir Islam sebagai “haiwan al-Natiq – haiwan yang berkata-kata. Manusia berkata-kata dengan bahasa, dan bahasa adalah wahana rasionaliti. Dari zaman falsafah Yunani, hingga ke zaman falsafah Islam, seterusnya sampai ke zaman moden bahasa dilihat sebagai wahana kerasionalan. Maka apabila manusia menggunakan akal rasionalnya, kemajuan akan diperolehi.

17. Dalam abad ke-18 muncul di Eropah satu gerakan intelektual dan kebudayaan yang meletakkan batu asas kepada zaman moden. Gerakan tersebut yang mendapat ilham dari falsafah Yunani dan Islam telah menggilap rasionaliti, menghasilkan revolusi pemikiran, sains dan pelbagai ilmu-ilmu. Gerakan tersebut yang dikenali sebagai Enlightenment atau Pencerahan turut mengasaskan demokrasi, tata kelola pemerintahan untuk kebajikan rakyat.

18. Dalam abad yang sama, Hamzah Fansuri dan Nurudin al-Raniri buat pertama kalinya menggunakan bahasa Melayu sebagai wahana falsafah dan pemikiran tinggi di Alam Melayu-Indonesia. Selepas itu, di abad ke-19, bahasa Melayu telah diangkat oleh Abdullah Munsyi untuk membuka lembaran kritikan sosial dengan menggunakan pendekatan moden.

19. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan tidak dipersoalkan lagi kerana ianya jelas termaktub dalam perlembagaan. Namun bahasa Melayu yang bertaraf bahasa Kebangsaan, belum menjamin kekuatan bahasa tersebut sekiranya tidak menjadi wahana kepada ilmu dan pemikiran tinggi.

20. Untuk memperkayakan bahasa Melayu di abad ke-21, kita perlu memiliki keberanian untuk menggunakan konsepsi bahasa sebagai wahana rasionaliti dan Pencerahan seperti yang dilakukan oleh filasuf Yunani, Islam dan moden.

21. Strategi pemerkasaan bahasa Melayu tidak lain dan tidak bukan adalah strategi ilmu. Persaingan dan perlumbaan bangsa-bangsa dunia di abad ini adalah persaingan ilmu. Bahkan kuasa-kuasa besar, lama dan baru, yang bersaing untuk mendapatkan hegemoni ketenteraan dan ekonomi, bergantung dengan penguasaan terhadap ilmu. “Knowledge is power” – ilmu itu kuasa.

22. Bahasa Yunani kuno dan bahasa Latin adalah bahasa-bahasa yang telah mati, tetapi bahasa-bahasa tersebut terus dianjurkan di universiti-universiti di dunia kerana begitu banyak ilmu dan pemikiran tinggi yang terdapat dalam bahasa-bahasa tersebut. Sekiranya kita mahu bahasa Melayu diajar di universiti-universiti dunia maka bahasa Melayu perlu dijadikan wahana ilmu dan pemikiran.

23. Peningkatan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan sebagai teras pembinaan bangsa Malaysia memerlukan perencanaan semula dalam beberapa aspek dan pada waktu yang sama memerlukan peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya. Bahasa Melayu perlu mengikut jalan yang dilalui oleh bahasa-bahasa besar dunia dalam perkembangannya menjadi bahasa dunia. Bahasa Arab sudah cukup kuat sebagai bahasa kitab suci. Tetapi melalui kegiatan Baitul Hikmah menterjemahkan karya falsafah dan ilmu-ilmu Yunani ke dalam bahasa Arab, bahasa tersebut menjadi wahana kepada pelbagai ilmu.

24. Penterjemahan pelbagai ilmu ke dalam Bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman turut menyumbang kepada pembangunan bahasa-bahasa tersebut. Bahkan tidak ada bahasa yang menjadi besar tanpa memindahkan karya besar dunia ke dalam bahasa tersebut.

25. Menyedari hakikat ini, Kerajaan Negeri Selangor mahu terlibat dalam inisiatif untuk memperkayakan bahasa Melayu melalui kegiatan penterjemahan. Saya yakin khazanah ilmu dan persuratan dalam bahasa Melayu akan ditingkatkan melalui kegiatan seperti ini dan nilai bahasa Melayu menjadi lebih tinggi sebagai bahasa pencerahan dan budaya tinggi, melalui penerbitan bahan ilmiah dan rujukan umum. Justeru, Kerajaan Negeri Selangor akan memulakan inisiatif memantapkan Bahasa Melayu dengan menterjemahkan World Order oleh Henry Kissinger, biografi Albert Einstein: His Life and Universe oleh Walter Isaacson dan Jinnah, Pakistan and Islamic IdentityThe Search for Saladin oleh Akbar S. Ahmed.

Cantik di sanggul bunga tanjung

Sepanjang masa menjadi idaman

Bahasa dijunjung sastera disanjung

Teguhlah bangsa sepanjang zaman

26. Bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan, saya berharap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dapat melonjakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu yang berkesan dan berwibawa. Demikian juga, Pelan Memartabatkan Bahasa Kebangsaan di Institusi Pengajian Tinggi yang diistiharkan oleh Kementerian Pendidikan pada tahun 2011 perlu direalisasikan dengan program untuk menjadikan bahasa kebangsaan, bahasa yang berwibawa sebagai bahasa ilmu, termasuk dalam pengayaan khazanah ilmu dalam bahasa kebangsaan.

27. Semua golongan dan sektor perlu mengutamakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan yang berkaitan dengan penyuburan tamadun di samping tidak mengetepikan bahasa lain yang mempunyai nilai tambah bagi tamadun kita.

28. Di negara-negara maju, bahasa kebangsaan tetap diutamakan. Negara Jerman sebagai negara industri berat dan pengeluar ubat-ubatan yang terkenal tetap mengutamakan bahasa kebangsaan dalam segenap bidang. Demikian jua Perancis, Jepun, Korea dan China.

29. Usaha Dewan Bahasa dan Pustaka melaksanakan Audit Bahasa Melayu di kementerian-kementerian dan pejabat serta agensi kerajaan negeri dan juga institusi pengajian tinggi perlu mendapat dukungan agar satu laporan lengkap dapat dikemukakan tentang tahap dan mutu penggunaan bahasa kebangsaan. Daripada laporan itu, saya yakin bahawa tindakan susulan dapat diambil untuk memperkukuh bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang dipraktikkan di negara ini, bukan sekadar sebagai bahasa yang dinobatkan dalam dokumen negara.

30. Dalam bidang penggunaan bahasa di tempat awam, Dewan Bandaraya Shah Alam telah dikurniakan taraf lima bintang, iaitu tahap tertinggi dalam Program Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan Pihak Berkuasa Tempatan, iaitu program kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

31. Inisiatif ini dapat melonjakkan iltizam dan kesungguhan semua pihak berkuasa tempatan dalam membentuk citra kebangsaan pada paparan di tempat awam, baik iklan, nama bangunan, nama jalan, nama kawasan perumahan mahupun pernyataan umum.

32. Di peringkat negeri Selangor, saya akan memastikan berlakunya transformasi dalam citra bahasa kebangsaan di tempat awam melalui penguatkuasaan semua pihak berkuasa tempatan di negeri ini. Ketetapan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan pada 4 Mac 2014 yang mensyaratkan agar pihak berkuasa tempatan mewajibkan semua pengiklan dan pihak yang ingin memaparkan produk atau perkhidmatan di tempat awam perlu mendapat pengesahan dan kelulusan Dewan Bahasa dan Pustaka lebih dahulu hendaklah dipatuhi, sebelum pihak berkuasa tempatan mengeluarkan permit mengizinkan paparan di tempat awam.

33. Insya-Allah, kerajaan negeri akan menubuhkan badan pemikir yang dapat mengetengahkan satu pelan tindakan strategik untuk meningkatkan penyuburan program bahasa, persuratan dan kebudayaan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan yang sedia ada di negeri ini. Saya berhasrat menjadikan negeri Selangor bukan sahaja gerbang ekonomi bahkan juga gerbang tamadun yang hebat dan cemerlang.

34. Sebagai penghargaan kerajaan negeri kepada para pemikir, budayawan dan sasterawan, kerajaan negeri akan menimbangkan penganugerahan Tokoh Bahasa, Tokoh Sastera, Tokoh Budaya dan Tokoh Ilmu bagi menyemarakkan program ketamadunan di negeri ini.

35. Untuk peningkatan kemahiran bahasa bagi komunikasi berkesan, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Akademi Dewan Bahasa dan Pustaka dalam pengendalian kursus penataran bahasa dan komunikasi bagi semua pegawai pelbagai peringkat di negeri ini.

36. Dengan harapan bahawa bahasa kebangsaan kita terus berwibawa sebagai salah satu pancang tamadun negara dan dengan keyakinan bahawa Bulan Bahasa Kebangsaan dapat menyemarakkan semangat dan iltizam semua kalangan untuk memartabatkan bahasa negara, maka dengan lafaz mulia Bismillahirrahmannirrahim, saya dengan rasminya melancarkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 Peringkat Negeri Selangor Darul Ehsan.

16 Oktober 2014

1. Sejak Bank Dunia memperkenalkan konsep “middle-income trap” dalam penerbitan tahun 2007 yang bertajuk An East Asian Renaissance perbincangan yang rancak telah berlaku. YAB Perdana Menteri dalam beberapa ucapannya telah mengangkat isu tersebut kepada perhatian nasional. Kajian tersebut yang dilakukan sempena 10 tahun kegawatan ekonomi Asia 1997 menyebut Asia Timur, kecuali Myanmar dan Korea Utara, menuju rantau berpendapatan pertengahan (middle income). Persoalan yang ditanyakan laporan tersebut adalah, apakah rantau ini mampu untuk terus maju menjadi rantau berpendapatan tinggi atau terperangkap dalam pendapatan pertengahan.

2. Dalam tahun 1960 terdapat 101 negara di dunia yang berada dalam taraf berpendapatan pertengahan. Setelah hampir 50 tahun hanya 13 negara yang mampu membuat lonjakan dari pendapatan pertengahan kepada pendapatan tinggi. Malaysia sendiri telah memasuki kumpulan negara berpendapatan menengah rendah dalam tahun 1969 dan memasuki peringkat pendapatan menengah tinggi dalam tahun 1996 dan hingga sekarang masih kekal dalam kumpulan tersebut.

3. Persoalannya berapa lama lagikah Malaysia akan terus terperangkap dalam taraf negara berpendapatan pertengahan, sedangkan jiran kita, Singapura, sudah melonjak ke dalam golongan negara berpendapatan tinggi. Begitu juga negara-negara yang suatu ketika dahulu lebih miskin dari Malaysia seperti Taiwan dan Korea Selatan telah menjadi negara maju. Apakah kita mampu keluar dari perangkap ini dalam tahun 2020?

4. Meskipun Kerajaan telah membentangkan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) semenjak 2010 dengan tujuan untuk mencapai taraf Negara Berpendapatan Tinggi pada 2020, namun pelbagai petunjuk membayangkan pelan tersebut berdepan dengan masa depan yang gelap. Pelan Transformasi Ekonomi ini umpama stesyen keretapi yang elok, keretapi yang bagus akan tetapi keretapi tersebut tidak pernah meninggalkan stesyen itu. Dengan izin Tuan Yang Di Pertua, the train never leaves the station.

5. Projek yang disenaraikan oleh PEMANDU yang dikenali sebagai Entry Point Projects untuk bidang Petroleum dan Gas adalah sebanyak 13 EPP, tidak satu pun disenaraikan sedang beroperasi. Dalam bidang perladangan kelapa sawit dan getah, ETP menyenaraikan 9 EPP, tidak satupun berstatus beroperasi dan dalam perkhidmatan kewangan ada 10 EPP dan tidak ada satupun yang berstatus beroperasi. Jikalau tidak beroperasi bagaimana mahu mencapai matlamatnya?

6. Pentadbiran sekarang meneruskan projek mega yang menelan belanja berbillion ringgit sedangkan 40% dari Keluaran Dalam Negara Kasar adalah dari sektor Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS). Modenisasi sektor ini adalah melalui inovasi dan ianya salah satu dari langkah strategik untuk kita keluar dari perangkap pendapatan pertengahan. Akan tetapi sekiranya pelaburan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) tidak mencukupi, bagaimana kita mahu menjana peningkatan kemahiran, melakukan percambahan ilmu serta mempunyai keupayaan inovasi ?

7. Belanjawan 2015 memperuntukkan RM 1.3 billion buat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Secara puratanya Singapura memperuntukkan sekitar RM 6 billion untuk penyelidikan dan pembangunan setiap tahun.

8. Ekoran dari dana penyelidikan dan pembangunan yang kecil telah menyebabkan pengusaha serta usahawan bersaing hanya dari aspek kos dan harga. Mereka seharusnya menjurus kepada tambahan nilai dan produktiviti. Akibatnya para usahawan membawa masuk tenaga kerja murah dari negara luar. Justeru itu industri tempatan tidak meningkat kemajuannya dan pada ketika yang sama banyak peluang pekerjaan hilang kepada pekerja asing.

9. Cita-cita untuk menjadi negara maju pudar apabila kita menyaksikan merudumnya tahap pendidikan negara seperti yang dilaporkan melalui Programme for International Student Assessment atau PISA. Berdasarkan Kajian tersebut mencatat purata pencapaian membaca pelajar Malaysia yang berumur 15 tahun adalah 398 mata sedangkan purata kebolehan membaca bagi negara negara OECD adalah 496 mata.

10. Kebolehan dalam matematik bagi pelajar Malaysia yang berumur 15 tahun adalah 421 mata sedangkan purata bagi negara-negara OECD adalah 494 mata. Sementara itu dalam kecelikan sains bagi yang berumur 15 tahun hanya sekadar 420 mata berbanding purata pencapaian sekitar 501 mata bagi negara-negara OECD.

11. Kita ternyata jauh tertinggal di belakang Singapura apabila purata pencapaian dalam membaca bagi yang berumur 15 tahun di Singapura adalah 542 mata. Kebolehan dalam matematik bagi yang berumur 15 tahun adalah 573 mata. Sementara itu dalam kecelikan sains bagi yang berumur 15 tahun adalah 551 mata. Korea Selatan juga mencatat pencapaian yang baik dengan purata pencapaian membaca bagi yang berumur 15 tahun adalah 536 mata, kebolehan dalam matematik adalah 554 mata dan kecelikan sains adalah 538 mata.

12. Taraf pendidikan tinggi negara juga merudum teruk jika dibandingkan dengan negara-negara jiran. Menurut Laporan Bank Dunia yang berjudul China 2030: Building A Modern, Harmonious and Creative Society, China kini mempunyai 22 universiti dalam senarai 500 terbaik dunia, bertambah lebih dua kali ganda dari tahun 2003. Korea Selatan mempunya 9 universiti yang tersenarai dalam 500 universiti terbaik di dunia, Taiwan mempunyai 6 universiti dalam senarai 500 terbaik dunia. Hong Kong mempunyai 6 universiti dan Singapura mempunyai 2 universiti dalam senarai tersebut. Amat malang sekali Malaysia yang mahu menjadi negara maju 6 tahun dari sekarang tidak mempunyai satu pun universiti dalam senarai 500 terbaik.

13. Untuk memberhentikan kemerosotan dan kemuruduman pendidikan di semua peringkat dari pendidikan rendah kepada pendidikan tinggi, dan untuk menyuntik dinamisme baru dalam sistem pendidikan negara satu reformasi pendidikan yang menyeluruh, total reform diperlukan. Reformasi ini perlu meliputi aspek kurikulum, latihan pendidikan, taraf gaji yang mencerminkan kedudukan pendidikan sebagai sektor strategik negara dan persekitaran yang merangsang kreativiti dan pemikiran kritis.

14. Aspek rasionaliti dan pembinaan pemikiran luas serta berpencerahan perlu ditekan kepada pelajar apabila mereka meninggalkan alam remaja memasuki alam dewasa. Kebebasan akademik perlu dikembalikan. Bagaimana para pensyarah dan profesor boleh berfikir secara dinamik, meneroka ide-ide baru jikalau mereka dibelenggu Aku Janji. Pelajar-pelajar universiti merupakan “the cream of the young generation.”

Jangan layan mereka bagaikan burung belatuk melalui AUKU. Jadikan mereka sebagai Generasi Pencerahan dengan slogan Sapere Aude; Berani Berfikir Sendiri !

15. Dipandang secara menyeluruh, Belanjawan 2015 tidak menampakkan kesungguhan fiskal untuk menjadi sebuah negara maju. Belanjawan ini tidak bersifat pembangunan atau non-developmental. 82% dari belanjawan digunakan untuk tujuan mengurus. Hanya 18% digunakan untuk tujuan pembangunan sedangkan belanjawan ini dicanang sebagai “Ekonomi Keperluan Rakyat.” Tidak ada komitmen untuk mengawal ketirisan. Terlalu banyak pembaziran dan unsustainable economic activities.

16. Seharusnya kita berbelanja untuk meningkatkan daya produktiviti rakyat, raising people’s productive capacity. Rasa Keadilan – Sense of Justice dan semangat penyayang menuntut kita menjaga mereka yang daif, cacat dan kurang upaya. Tetapi untuk menjadi sebuah negara maju membantu rakyat perlu mengambil pendekatan pembangunan atau developmental approach. Dan pembangunan itu seperti yang ditegaskan oleh philosopher-economist Amartya Sen adalah the expansion of human capability ; pengembangan dan peningkatan kebolehan manusia.

17. Kerajaan memang bertanggungjawab membina dan menaiktaraf pelbagai infrastruktur untuk keselesaan rakyat dan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan. Antaranya:-

I. RM 5.3 billion untuk membina Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang.

II. RM 5 billion untuk membina Lebuhraya Pantai Barat dari Taiping ke Banting.

III. RM 4.2 billion membina Lebuhraya Damansara-Shah Alam.

IV. RM 23 billion untuk membina MRT jajaran kedua dari Selayang ke Putrajaya.

V. RM 9 billion ringgit untuk projek LRT 3 untuk menghubungkan Bandar Utama sehingga Shah Alam dan Klang.

18. Perancangan dan perlaksanaan projek-projek mega ini melibatkan kepentingan berjuta-juta manusia di Lembah Kelang dan Selangor. Adakah kajian dilakukan untuk mendapatkan pandangan rakyat yang terlibat ? Apakah kesan kepada penduduk yang terlibat dalam jajaran yang dirancangkan ? Mengapa tidak ada perbincangan sama sekali dengan Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab dan yang telah dipilih oleh rakyat untuk menjaga kepentingan mereka ?

19. Sebuah negara maju bukan sahaja diukur dari aspek fizikal dan angka-angka ekonomi. Aspek politik, pembinaan institusi, urus tadbir dan tata kelola juga merupakan prasyarat untuk menjadi negara mJUsteru itu keterbukaan dan ketelusan dalam pengurusan tidak boleh dipandang remeh.

20. Bagaimana kita boleh menjadi sebuah negara maju jika perjanjian-perjanjian yang melibatkan kepentingan berjuta-juta rakyat dilakukan secara sembunyi-sembunyi di mana segala terma-termanya diletakkan di bawah OSA. Apakah yang mahu disembunyikan dari rakyat ? Dalam konteks ini saya ingin mempersoalkan perjanjian untuk projek Langat II.

Isu Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Selangor

21. Saya tidak menafikan keperluan untuk menerokai sumber-sumber air baru bagi menampung permintaan terhadap bekalan air yang semakin meningkat disebabkan oleh pertambahan penduduk dan pembangunan ekonomi.

22. Namun demikian, dalam menerokai pembangunan sumber air yang baharu, iaitu pelaksanaan dan Pembangunan Projek Loji Rawatan Air Langat 2, ia hendaklah dilaksanakan dengan mengambil kira faktor-faktor kepentingan pengguna dan berasaskan prinsip – value for money bukan sahaja dari segi kos pembangunan fizikal tetapi juga hendaklah merangkumi kos operasi yang akan terlibat di masa akan datang.

Saya berpendapat, inilah perkara pokok yang selama ini saya dan rakan-rakan tekankan kerana setiap kos yang dibelanjakan itu akhirnya akan diterjemahkan dalam bentuk tarif yang akan ditanggung oleh pengguna. Saya tidak mahu kejadian-kejadian yang lazim berlaku iaitu kos sesebuah pembangunan yang tidak terkawal dan mengakibatkan kos operasi dan penyelenggaraan turut melambung tinggi dari tahun ke tahun seperti pembinaan lebuh raya. Akhirnya, yang menanggung kos tersebut adalah rakyat. Kos sara hidup meningkat, pendapatan benar mereka menurun. Mereka tiada pilihan lain. Air adalah keperluan asas bukan hanya kepada manusia malah kepada haiwan, pertanian malah industri juga turut memerlukan air.

Oleh yang demikian, saya sekali lagi menyarankan agar Kerajaan memastikan supaya setiap kontraktor yang terlibat di dalam Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 hendaklah dilantik melalui sistem tender terbuka yang telus bagi memastikan kontraktor yang dilantik itu kelak adalah kontraktor yang benar-benar mahir dan berpengetahuan. Ini adalah untuk memastikan setiap komponen projek yang disiapkan oleh kontraktor yang telah dilantik itu benar-benar boleh beroperasi dengan baiknya tanpa memerlukan sebarang kos pembaikan sebaik sahaja projek itu diserahkan kepada operator yang akan mengoperasikan loji tersebut.

Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju dengan pelaksanaan Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2. Memandangkan apabila siapnya Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 ini, bayaran harga air mentah akan dibayar oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Perjanjian Jual Beli Air Mentah Pahang ke Selangor, maka saya dengan tegas menyarankan supaya Negeri Selangor turut terlibat dan diberi peranan dalam membuat keputusan berkenaan pelaksanaan projek ini.

Mengikut perancangan asal sebelum penubuhan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 ini akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor. Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah memulakan kerja-kerja perancangan awal sejak tahun 2001 bagi mereka bentuk dan membina Loji Rawatan Air ini.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sejumlah 443 ekar tanah milik Kerajaan Negeri daripada 990 ekar keseluruhan tanah untuk Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 tanpa sebarang balasan. Malah terdapat juga keputusan Jemaah Menteri pada 16/1/2008 yang menyatakan persetujuan untuk KDEB di lantik sebagai Syarikat Pengendali dan Penyelenggaraan (O & M) LRAL 2 setelah ia siap di bina. Selepas pertukaran Kerajaan pada 08 Mac 2008, tiada sebarang maklumat dan keputusan yang dibuat mengenai syarikat pengendali dan penyelenggaraan (O & M).

Tuan Yang Dipertua,

Kerajaan Persekutuan tidak membincangkan mengenai apakah spesifikasi teknikal Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 dengan Kerajaan Negeri Selangor sebaliknya hanya mengemukakan permohonan untuk membuat pengambilan balik tanah milik individu yang terletak di Negeri Selangor khususnya di Hulu Langat dan permohonan untuk mendapatkan Kebenaran Merancang.

Setelah kontraktor dilantik oleh Kerajaan Persekutuan, barulah Kerajaan Negeri Selangor mendapat peluang untuk meneliti spesifikasi teknikal Loji Rawatan Air Langat 2 untuk fasa pertama. Kerajaan Negeri Selangor berpandangan beberapa spesifikasi yang dibuat untuk projek ini adalah berlebihan (excessive). Ini sudah tentu akan melibatkan peningkatan kos pembangunan dan kos operasi.

Tuan Yang Dipertua,

Saya ingin menarik perhatian ahli-ahli Yang Berhormat bahawa di dalam spesifikasi sistem proses yang dicadangkan untuk Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2, ia akan melibatkan dual media yang menggunakan granular activated carbon (GAC). Penggunaan sistem proses dual media yang menggunakan granular activated carbon (GAC) adalah sesuai untuk sumber air yang tercemar yang mencapai tahap kelas 4 iaitu pengkelasan air yang terburuk. Persoalan saya adalah apakah air yang mengalir di Sungai Semantan yang akan dialirkan ke Negeri Selangor berada pada tahap kelas 4 iaitu sumber air yang mempunyai kualiti yang rendah? Mengapa sungai ini dipilih dan mengapa kerajaan Persekutuan mengambil opsyen ini sebagai jalan penyelesaian menyelesaikan masalah air di negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor akan membayar kadar sepuluh sen per cubic meter kepada Kerajaan negeri Pahang bagi bayaran air mentah tersebut. Pada ketika ini, pihak operator air negeri Selangor hanya membayar sebanyak satu sen per cubic meter sahaja. Semua kos ini, akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna melalui bayaran tariff air.

Persoalan-persoalan beginilah yang menyebabkan Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa dalam melaksanakan Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2, Kerajaan Negeri Selangor hendaklah juga mempunyai kuasa dalam membuat keputusan.

Memang tidak dinafikan Kerajaan Persekutuan telah membentuk jawatan kuasa Pemandu pelaksanaan Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 dan sistem agihan (JKPPP LRAL2) di mana YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dan agensi Kerajaan Negeri Selangor merupakan ahli di dalam jawatan kuasa tersebut. Namun persoalannya, sejauh manakah teguran dan pandangan dari Kerajaan Negeri Selangor boleh didengar dan dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan di dalam pelaksanaan projek ini.

Tuan Yang Dipertua

Satu lagi aspek yang ingin saya sentuh dalam perbahasan saya adalah usaha mengatasi masalah kehilangan air tidak berhasil atau NRW.

Pengurangan NRW merupakan usaha yg baik untuk meningkatkan kecekapan sistem agihan. Peningkatan kecekapan sistem agihan boleh mengelakkan pembaziran di mana air yang dikeluarkan dari loji rawatan air dapat disampaikan sepenuhnya kepada pengguna dan tidak hilang begitu sahaja, sedangkan dalam pengiraan tarif yang kenakan kepada pengguna, jumlah pengeluaran air dari loji rawatan air telah diambil kira.

Bagi Negeri Selangor, sejumlah RM1,169 juta telah dibelanjakan untuk menurunkan kadar NRW, namun setakat tahun 2012, kadar pencapaian NRW masih pada kadar 33%. Kegagalan menurunkan NRW sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian konsesi ini bukanlah berpunca dari kekurangan peruntukan tetapi sebenarnya berpunca dari kelemahan operator agihan tunggal di Negeri Selangor dalam merancang dan melaksanakan program penurunan NRW secara berkesan.

Kegagalan penurunan NRW itu juga menyebabkan Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya secara relatifnya terlepas peluang untuk mendapatkan penjimatan yang dianggarkan sebanyak 663JLH yang sepatutnya dihasilkan dari penurunan NRW yang telah dijanjikan. Kerajaan Negeri Selangor tidak mahu sekiranya kadar NRW masih gagal diturunkan, ia akan memberikan kesan pembaziran ke atas sumber-sumber air sedia ada dan sumber air baru yang akan dikeluarkan dari Loji Rawatan Air Langat 2 sedangkan semua pihak menyedari hakikat bahawa sumber air telah semakin berkurangan.

Saya berpendirian bahawa adalah menjadi kewajipan untuk mempertahankan dan mengutamakan kepentingan rakyat sebagai pengguna dan bukannya membebankan rakyat dengan membayar tarif bagi perbelanjaan yang sia-sia. Setiap sen yang dibelanjakan dalam program menurunkan NRW ini akhirnya akan diterjemahkan dalam bentuk tarif yang akan dibayar oleh rakyat jelata di dalam bil bulanan mereka. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengutamakan kebajikan serta kemapanan generasi sekarang dan generasi akan datang supaya tidak terbeban dengan pelbagai hutang (unnecessary debt).

Bagi Kerajaan Negeri Selangor, penyelesaian ke atas semua masalah pembaziran ini boleh diatasi dengan memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air sebagaimana yang telah pun dipersetujui di antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri Selangor menggesa supaya semua pihak yang terlibat hendaklah menghormati segala terma dan syarat yang telah dipersetujui dalam memuktamadkan penstrukturan semula itu.

Inti pati penstrukturan semula itu adalah untuk mengujudkan perkhidmatan air kepada rakyat yang hendaklah diuruskan oleh agensi milikan Kerajaan bukan di tangan swasta yang boleh menggunakannya sebagai senjata untuk memeras ugut sebuah Kerajaan dan menindas rakyat dalam hal kenaikan tarif serta memberi perkhidmatan sewenangnya apatah lagi keperluan kepada air tidak ada gantinya. Lebih malang lagi apabila perkhidmatan ini dimonopoli oleh syarikat yang berorientasi untung semata-mata.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor menekankan supaya dalam keghairahan untuk membelanjakan peruntukkan sebanyak RM112 juta bagi tujuan menurunkan kadar NRW, wajiblah menngunakan kaedah tender terbuka yang telus dan adil. Penilaian ke atas setiap projek yang telah dilaksanakan sebelum ini hendaklah juga dinilai semula untuk melihat sejauh mana keberkesanan program yang telah dilaksanakan berbanding dengan peruntukan yang telah dibelanjakan. Pihak-pihak yang terlibat di dalam meluluskan program penurunan NRW ini juga hendaklah bersikap lebih terbuka untuk menerima pandangan dari pihak-pihak lain dan bukan semata-mata menerima sebulat-bulatnya segala cadangan yang dikemukakan oleh satu-satu pihak itu.

KENYATAAN MEDIA

12  OKTOBER 2014

Satu mesyuarat telah diadakan pada petang ini, 12 Oktober 2014 bagi membincangkan insiden pencemaran Sungai Selangor akibat tumpahan hydrocarbon yang menyebabkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP 1), Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2) dan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) dan Loji Rawatan Air Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas bermula sekitar jam 8.00 malam 11 Oktober 2014.

Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YAB Dato Menteri Besar Selangor dengan dihadiri oleh YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, YB EXCO yang terlibat serta operator dari SYABAS, Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Konsortium ABASS Sdn Bhd, Air Selangor Sdn Bhd , Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan agensi kerajaan yang berkaitan.

Insiden pencemaran sungai ini menjejaskan bekalan air bersih hingga menyebabkan gangguan sementara kepada hampir 60% pengguna di Selangor. Gangguan bekalan air disebabkan pencemaran yang berlaku akibat pembuangan sisa industry ke dalam sungai.

Kerajaan Negeri Selangor kesal dengan kejadian pencemaran yang berulang lagi selepas kejadian pencemaran diesel di Sungai Gong pada bulan Ogos tahun 2013, di mana dalam kejadian tersebut, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil tindakan tegas termasuk merampas tanah dan tindakan mahkamah. Kerajaan Negeri ingin mengingatkan supaya tiada lagi tindakan sewenang-wenangnya dalam membuang sisa industry ke dalam sungai.

Kejadian ini disedari oleh operator Loji SSP 1, 2, 3 dan Rantau Panjang pada jam 8.00 malam tadi. Pihak loji telah mengambil tindakan untuk menghentikan pengepaman air mentah untuk mengelakkan pencemaran itu memasuki sistem rawatan dan seterusnya menjejaskan system agihan air.

Pihak LUAS dan Jabatan Alam Sekitar Selangor sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca pencemaran tersebut.

Kesemua operator rawatan air yang terlibat telah mula mengepam air mentah pada jam 5.00 pagi (12 Oktober 2014).

Pihak SYABAS telah memaklumkan proses pemulihan di kebanyakan kawasan terbabit akan mula pulih bermula pada 8.00 pagi esok, 13 Oktober 2014. Namun demikian, sebahagian kawasan terutamanya kawasan –kawasan tinggi dan dihujung sistem agihan seperti Pulau Indah, Banting dan lain lain akan pulih secara berperingkat-peringkat.

Langkah lain yang telah dipersetujui untuk dilaksanakan adalah menempatkan tangki statik di beberapa kawasan terjejas.  Pihak SYABAS telah diarahkan untuk mengemaskini laman sesawang mereka dan meningkatkan keupayaan pusat perkhidmatan pengguna, PUSPEL.

Pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan membantu untuk mendapatkan lori tangki tambahan dari negeri-negeri lain dan juga dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada masa yang sama, operator loji SSP 1 iaitu SPLASH diminta untuk meningkatkan pengeluaran dari 950JLH kepada 1045JLH serta merta sebagai langkah mitigasi.

Keutamaan bantuan bekalan air kecemasan ini diberikan kepada pengguna-pengguna kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan rumah kebajikan serta situasi yang amat memerlukan seperti upacara kematian atau kenduri.

Kerajaan Negeri Selangor, SYABAS dan semua operator yang terlibat sedang berusaha untuk memastikan gangguan ini dapat diatasi dalam waktu yang terdekat ini.

Enam puluh tahun yang lalu seorang pejuang Afro-Amerika yang baru memeluk agama Islam menunaikan fardhu haji. Dari Mekah beliau menulis surat ke Amerika menyatakan pengalaman menunaikan ibadah haji:

“Di sini terdapat puluhan ribu manusia menunaikan haji. Mereka datang dari seluruh pelusuk dunia. Kulit mereka dari semua warna, dari yang bermata biru dan berambut perang kepada orang Afrika yang berkulit hitam. Tetapi mereka semuanya melakukan ibadat yang sama, menzahirkan semangat perpaduan dan persaudaraan di mana pengalaman saya di Amerika menyebabkan saya berpendirian tidak boleh berlaku antara manusia kulit putih dan bukan kulit putih. Belum pernah saya melihat persaudaraan yang jujur dan sebenar yang diamalkan bersama oleh manusia dari semua warna.”

Surat ini ditulis oleh Haji Abdul Malik al – Shabaz atau lebih dikenali dengan nama Malcolm X. Inilah semangat yang perlu kita ambil sempena Eidul Adha ini. Malcolm X berjuang dan berkorban dengan nyawanya untuk mendapat hak persamaan masyarakat kulit hitam di Amerika. Beliau mati ditembak dan menjadi korban kepada perjuangan suci tersebut.

Umat Islam di Negeri Selangor perlu menjadikan pengalaman Malcolm X sebagai iktibar untuk mengekalkan keharmonian dan kemakmuran yang subur hari ini. Demokrasi menyeluruh, kemerdekaan dan kebebasan hak asasi manusia serta toleransi dalam masyarakat majmuk tidak mungkin diperolehi tanpa pengorbanan.

Justeru ibadah korban juga menuntut kita untuk memahami makna yang lebih meluas tentang pengorbanan termasuk pengorbanan masa dan tenaga akliah untuk merangka dan melaksanakan dasar – dasar Kerajaan Negeri secara efektif dan efisien. Harapan kita, pengorbanan ini membuka ruang seluasnya untuk kita merealisasikan Negeri Selangor sebagai Negeri Pembangunan. InsyaAllah, kita boleh mencapai pembangunan untuk semua.

Berkorban setiap detik.

Salam Eidul Adha.

MOHAMED AZMIN ALI