YB Ahli – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ;

YB Dato’ Haji Mohammed Khusrin Haji Munawi,

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kemerdekaan ke 58 Peringkat Negeri Selangor ;

YB Dato’ Nik Suhaimi Bin Nik Sulaiman,

Penasihat Undang – Undang Negeri Selangor ;

YB Dato’ Noordin Bin Sulaiman,

Pegawai Kewangan Negeri Selangor ;

Pegawai – Pegawai Daerah ;

Datuk – Datuk Bandar ;

Yang Dipertua Majlis Perbandaran dan Daerah ;

Ketua – Ketua Jabatan Peringkat Persekutuan dan Negeri ;

Brig. Jen. Badrul Hisyam Muhammad,

Panglima 11 Briged ;

SAC Zainuddin Bin Mohd Tahir,

Pemangku Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah & Keselamatan Komuniti Selangor ;

Rakyat Selangor yang dihormati sekalian.

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya jua, kita dapat bersama-sama berhimpun dalam Sambutan Hari Kemerdekaan Ke 58 Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada malam ini.

2. Tahniah kepada 61 kontinjen pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang menyertai perbarisan malam ini.

3. Rakyat Malaysia bersyukur di atas anugerah kemerdekaan yang telah dikecapi sejak 58 tahun yang lalu. Kecintaan (patriotisme) terhadap negara adalah satu semangat yang menuntut tanggungjawab, ketaatan dan pengorbanan. Kita seharusnya mengambil kesempatan daripada sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini untuk mengulangi ikrar dan tekad kita sebagai rakyat yang bermaruah untuk memperbaharui semangat patriotisme kita terhadap negara.

4. Patriotisme bukan slogan dan simbol semata-mata tetapi semangat yang mencetuskan pengaruh yang kuat terhadap tingkahlaku manusia untuk mempertahankan kedaulatan negara dan mensejahterakan rakyat.

5. Di Malaysia, sejarah kebangkitan bangsa daripada belenggu penjajahan untuk membentuk negara yang bebas merdeka memperlihatkan perjuangan satu bangsa yang penuh dengan semangat patriotisme. Semangat patriotisme yang ditunjukkan oleh generasi terdahulu sehingga sanggup berkorban demi mempertahankan negara adalah contoh yang patut dihidupkan sepanjang zaman.

6. Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin merakamkan penghargaan di atas sumbangan besar para pejuang kemerdekaan, khususnya anggota keselamatan termasuk tentera dan polis yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan sehingga ada di kalangan mereka terkorban demi mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

7. Kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil perjuangan generasi terdahulu bermula sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Para pejuang kemerdekaan seperti Tun Perak di Melaka, Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbung di Terengganu, Mat Kilau di Pahang, Mat Saleh di Sarawak, Tuan Guru Haji Hasan Monas atau Tok Janggut di Kelantan, Raja Haji di Selangor dan ramai lagi berjuang menentang penjajah asing di atas nama kebebasan dan keadilan untuk masa depan anak bangsa mereka.

8. Sejarah tidak boleh dipadamkan di mana Dr. Burhanuddin Al Helmi bersama Tun Tan Cheng Lock telah bekerjasama dengan semua kaum; petani, peniaga dan juga para ulama’ untuk membentuk All Malaya Council of Joint Action (AMCJA) untuk menentang penjajah. Mereka berjuang dengan penuh ketabahan, kesabaran dan kecintaan terhadap tanah air ini.

9. Nenek moyang kita sehati sejiwa sehingga berjaya menurunkan bendera Union Jack untuk digantikan dengan Jalur Gemilang yang berkibar megah. Hasil perjuangan mereka dengan semangat patriotisme yang kental, kini kita berdiri di atas bumi yang berdaulat dan merdeka.

10. Semangat patriotisme memainkan peranan yang amat penting seperti yang sering disebut “kasihkan watan itu sebahagian daripada iman.”

11. Patriotisme tidak boleh membenarkan “exploitation de l’homme par l’homme” – penindasan manusia ke atas manusia iaitu satu bentuk penjajahan minda masa kini. Penjajahan ala ketenteraan telah meninggalkan bumi bertuah ini tetapi penindasan dan eksploitasi yang dilakukan oleh penjajah asing kini berpindah kepada pribumi melalui penjajahan minda.

12. Generasi hari ini perlu sehati sejiwa, untuk memaknai semula citra kemerdekaan. Sudah tiba masanya untuk kita melihat semula erti kemerdekaan seperti yang telah dimasyhurkan oleh Tunku Abdul Rahman. Beliau menegaskan bahawa “Persekutuan Tanah Melayu akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

13. Pengisian kepada Pemasyhuran Kemerdekaan yang ditegaskan oleh Tunku Abdul Rahman bermaksud menegakkan prinsip keadilan dan kebebasan yang akan membawa kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua rakyat.

14. Rakyat Selangor harus bersatu padu untuk menghadapi krisis ekonomi yang melanda negara dan kecelaruan politik yang boleh menggugat prinsip-prinsip asas Pemasyhuran Kemerdekaan.

15. Kita perlu bertanya kepada diri kita, apakah suasana ekonomi hari ini dapat menjamin pertumbuhan yang mampan ? Apakah setelah 58 tahun negara mencapai kemerdekaan, kekayaan negara dapat menjamin keadilan pengagihan (distributive justice) ? Kita perlu berani bertanya apakah kepimpinan negara berpaksi kepada politik nilai dan kebertanggungjawaban untuk menjamin kesejahteraan rakyat ?

16. Justeru itu, tanggungjawab kita hari ini adalah untuk menggilap semula erti kemerdekaan yang semakin lesu, menyapu debu-debu kekotoran yang menutupi jiwa dan jasad negara. Ini mesti dilakukan dengan jiwa yang merdeka dan tidak menjadi jiwa perhambaan.

17. Sang pemerintah tidak boleh meremehkan suara ratusan ribu rakyat yang berhimpun secara aman di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur menjelang ambang kemerdekaan untuk bersama menyelamatkan negara dan maju kehadapan untuk membina sebuah negara Malaysia yang gagah dan makmur bagi rakyat negara ini.

18. Malam ini kita berhimpun dengan jiwa dan semangat merdeka. Kita mengimbau jerit perih nenek moyang kita yang bangkit untuk melawan penjajah. Mereka berjuang untuk menebus maruah dan mengembalikan hak dan kebebasan untuk memerintah negara sendiri sebagai negara yang berdaulat.

19. Ayuh, mari kita membawa obor kemerdekaan yang dinyalakan oleh anak watan negara ini dan kita bertekad untuk mengisi kemerdekaan dengan prinsip keadilan, kebebasan, kesejahteraan rakyat dan mengembalikan kemakmuran negara.

Merdeka ! Merdeka ! Merdeka !

30 Ogos 2015

Dataran Kemerdekaan

Shah Alam

TEKS UCAPAN YAB MOHAMED AZMIN BIN ALI

DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

MAJLIS KONVOKESYEN KE 18 (SIDANG 1)

KOLEJ UNIVERSITI ISLAM SELANGOR (KUIS)

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya jua, kita dapat bersama-sama dalam Majlis Konvokesyen Ke 18, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) pada pagi ini yang menyaksikan seramai 1,188 graduan menerima ijazah mereka. Tahniah dan syabas kepada semua yang telah dinobatkan sebagai graduan pada pagi ini. Ketabahan dan ketekunan saudara saudari akhirnya menghasilkan kejayaan diri dan menjadi kebanggaan negara dan Negeri Selangor Darul Ehsan. Saya berasa cukup gembira pagi ini dikelilingi oleh ilmuwan, lebih-lebih lagi ilmuwan muda yang akan melakar masa depan negara.

Kepada semua ibu bapa yang datang daripada seluruh pelusuk daerah dan negeri, saya amat menghargai dorongan, pengorbanan dan doa untuk anak-anak kita yang hasilnya kita saksikan pada hari ini. Kepada adik-adik sekalian yang telah dianugerahkan ijazah pada pagi ini, jangan sekali-kali kita lupa pengorbanan ibu bapa dan keluarga yang senantiasa mendoakan kejayaan adik-adik selama ini.

Saya juga menghargai sumbangan besar para pensyarah KUIS yang amat berdedikasi untuk menyampaikan ilmu dan memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan pelajar – pelajar berjaya dalam bidang yang diceburi.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Pengurusan KUIS yang dipimpin oleh Profesor Dato’ Dr. Halim Tamuri yang telah banyak membawa pencerahan dan inisiatif-inisiatif baru bagi mengangkat martabat KUIS sebagai sebuah universiti yang terbilang di negara dan rantau ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan memberikan sokongan dan dukungan untuk memastikan setiap pelajar KUIS akan mendapat peluang pelajaran yang berkualiti di universiti ini.

Kita bersyukur dan berbangga KUIS telah berjaya meningkatkan jumlah pengambilan pelajar baharu berdaftar sesi 2013/2014 seramai 3,895 pelajar iaitu kenaikan 100% berbanding sesi 2012/2013. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pelajar KUIS seramai 7,892 orang yang membuktikan bahawa KUIS merupakan antara IPT pilihan utama bagi para pelajar menyambung pengajian ke peringkat Pengajian Asasi, Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah.

Kecemerlangan KUIS dalam bidang akademik turut dibuktikan dengan kejayaan mengekalkan Penarafan Institut Pengajian Tinggi Malaysia 2013 (SETARA ’13) pada tahap TIER 4 (Sangat Baik). Sehingga kini sebanyak 48 kursus pengajian telah menerima akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam bidang pengajian Akademi Islam, Pengurusan Muamalah, IT, Pendidikan dan Asasi.

Kejayaan sesebuah universiti turut bergantung kepada keupayaan melahirkan graduan yang berinovasi dan kreatif untuk mencipta pekerjaan, dan bukan semata-mata melahirkan graduan yang mencari pekerjaan.

Sebagai sebuah negeri pembangunan, Selangor akan terus memimpin halatuju dalam sektor pendidikan dan menerajui dunia inovasi dan teknologi. Peranan pendidikan adalah strategik untuk masa depan Selangor.

Dalam sektor pendidikan tinggi, usaha Kerajaan Negeri tertumpu kepada dua Institut Pengajian Tinggi (IPT) iaitu KUIS dan UNISEL. Selangor akan melaksanakan inisiatif-inisiatif baru yang melahirkan sumber daya manusia yang berkemahiran dalam bidang-bidang profesional dan juga tenaga pemikir.

Sementara UNISEL memberikan pengkhususan kepada disiplin kejuruteraan, teknologi dan kajian untuk memenuhi tuntutan industri; KUIS pula akan memberikan tumpuan kepada ilmu yang berteraskan Islam yang juga meliputi disiplin kemanusiaan atau humanities yang dikenali sebagai humoria. Selangor akan melahirkan nara sumber untuk menjadi rujukan ke arah penyelesaian masalah seperti yang diperintahkan dalam firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl, Ayat 43 :

“Maka tanyakanlah (tentang Taurat dan Injil) kepada ahli zikir (ulama) jika keadaan kamu, tidak mengetahui (hal tersebut).”

Saya yakin KUIS mempunyai potensi untuk berkembang menjadi antara universiti yang terbaik dengan meningkatkan usaha penyelidikan, penerbitan jurnal bertaraf serantau dan membina rangkaian dengan universiti-universiti ternama.

Universiti mempunyai peranan untuk membina masyarakat yang adil berteraskan tiga ciri utama; kebersamaan, kepelbagaian dan demokrasi. Dalam menggerakkan perubahan ke arah keadilan dan kebebasan, adalah menjadi tanggungjawab anak muda khususnya di kalangan mahasiswa untuk menggarap nilai-nilai di atas.

Kejayaan KUIS harus menyumbang kepada pengukuhan Human Development Index (HDI) Malaysia yang dianjurkan oleh United Nations Development Program (UNDP) – yang antara lain melibatkan peningkatan jangka hayat, pendapatan per kapita, pembasmian kemiskinan, kualiti taraf hidup serta penguasaan ilmu dan pendidikan.

Atas kesedaran ini, maka dituntut satu anjakan paradigma dalam sistem pendidikan, khususnya pendidikan tinggi. Universiti dan Kolej Universiti tidak harus dilihat sebagai menara gading yang terpisah dengan realiti masyarakat, dan adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menjalin semula dunia akademik dengan masyarakat sekeliling.

Sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi Islam, kita perlu bersedia dengan cabaran-cabaran baru dan insaf bahawa cabaran kepada ilmu-ilmu Islam di abad ke-21 sangat hebat. Ilmu-ilmu tradisional seperti Ilmu Kalam, Fikih, Tasauf dan ilmu-ilmu alat seperti bahasa Arab bukan sahaja perlu kekal dalam landasan asas yang dibangunkan sejak ratusan tahun, namun perlu menjalani proses ke masa kinian agar dapat menjawab cabaran zaman. Pendekatan ilmu Kalam tidak boleh alpa dengan revolusi epistemologi, falsafah dan sains yang berlaku sejak Zaman Pencerahan.

Anak muda hari ini, termasuk mereka yang mengambil pengkhususan dalam pengajian Islam, membaca “Discourse on Method” oleh Descartes, “Risalah Tentang Kerajaan Madani” oleh John Locke, “Apa Itu Pencerahan?” oleh Immanuel Kant, “Darihal Kemerdekaan” oleh John Stuart Mill, “Hak Manusia” oleh Thomas Paine dan lain-lain. Pembacaan mereka menyuntik pemikiran baru yang berkembang sejak Zaman Pencerahan yang telah menjadi sebahagian dari wacana pemikiran semasa di seluruh dunia, Timur dan juga Barat.

Sarjana dan pendidik Islam tidak boleh menolak idea Pencerahan ini secara sembrono tanpa wacana dan perdebatan sihat. Sebaliknya, sarjana kita perlu menghidupkan kembali semangat kesarjanaan Hujjatul Islam al-Ghazali yang dipaparkan di dalam karya agung beliau Tahafut al-Falasifah, menyanggah falsafah Yunani dengan menggunakan pendekatan falsafah.

Institusi pendidikan Islam perlu bersedia untuk menjawab cabaran yang dihadapi oleh umat Islam dan juga menggalas tanggungjawab sebagai “ummatan wasatan”, menangani cabaran yang dihadapi oleh umat manusia keseluruhannya.

Sebagai mahasiswa, saudara-saudari perlu sedar bahawa kita berada di rantau yang mempunyai jumlah penduduk Islam terbesar di dunia. Kita bukan berada di pinggir dunia Islam. Sebaliknya, kita berada di tengah-tengah dunia Islam. Realiti ini menuntut umat Islam Malaysia bersama-sama saudara kita di rantau ini menjalani proses tajdid atau pembaharuan untuk mencorakkan umat Islam dan dunia keseluruhannya.

Sebagai generasi muda, saudara-saudari sekalian adalah denyutan dan hati nurani watan, the conscience and spirit of the nation, memiliki idealisme yang tidak dinodai oleh kepentingan. Seorang penyair berkata: “to be young, is to be glorious”.

Namun, sebagai suara kepada semangat zaman, saudara-saudari jangan sekali-kali tercabut, terpisah atau memisahkan diri dari masyarakat. You must remain connected to your roots and society.

Saudara-saudari sekalian adalah warna-warni yang akan mencorakkan kain latar masa depan. Anak muda yang punya idealisme tidak akan merelakan “exploitation de l’homme par l’homme” – penindasan manusia oleh manusia. Atas semangat kemerdekaan, anak muda tidak boleh merelakan penindasan dan eksploitasi yang dilakukan oleh penjajah yang kini berpindah kepada pribumi.

Masa depan adalah dalam genggaman saudara-saudari. Pertahankan kesederhanaan, lawan ekstrimisme dan lawan kedurjanaan dan kezaliman. Pamerkan “the smiling face of Islam” bukan “the menacing face of Islam”; Islam yang segar dan ceria, bukan Islam yang muram dan bengis. Jadilah anak muda yang mencintai keadilan. Jadilah demokrat muda, demokrat Muslim.

Kebangkitan demokrat Muslim merupakan gelombang yang akan merubah peta politik dunia. Demokrat Muslim berkongsi keghairahan dengan demokrat lain dalam memperjuangkan keadilan dan kebebasan, menentang kebejatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Namun, demokrat Muslim melandaskan perjuangan di atas ilmu, tarbiyah akhlak dan menseimbangkan kepentingan individu dengan kepentingan masyarakat.

Saya berharap KUIS menjadi tapak semaian yang akan menumbuhkan demokrat Muslim, menjadi wira untuk keamanan dan keselamatan sejagat.

Dalam dunia yang penuh dengan cabaran kepura-puraan, keruntuhan nilai, anak-anak generasi muda ini perlu mempunyai keberanian (courage) dan keyakinan (conviction) untuk mengurus kerencaman dunia. Masyarakat kita dicengkam oleh putaran ganas ketakutan.

Franklin D. Roosevelt berkata: “…the only thing we have to fear is … fear itself.”

 Zaman Edan hari ini mengingatkan saya kepada puisi penyair Taufik Ismail, “Takut ‘66, Takut ‘98” yang sepatutnya menyentuh kalbu anak muda yang berprinsip :

Mahasiswa takut pada dosen

Dosen takut pada dekan

Dekan takut pada rektor

Rektor takut pada menteri

Menteri takut pada presiden

Presiden takut pada mahasiswa

Masyarakat kita perlu dibebaskan dari barah ketakutan ini. Ketakutan adalah punca perhambaan. Dunia Islam dijajah ratusan tahun kerana minda dan jiwa umat Islam telah terlebih dahulu terjajah. Gejala inilah yang disebut oleh pemikir Malik Bennabi sebagai “colonisibilitè”. Sang diktator akan sentiasa menyemai ketakutan dalam jiwa rakyat. Justeru itu sebagai ejen perubahan, mahasiswa perlu memiliki jiwa merdeka. Mahasiswa bukan musuh, malah mahasiswa adalah mitra yang bersama-sama mencorakkan masa depan negara.

Dengan semangat ini, saya mengajak ilmuwan muda untuk bangkit dengan jiwa merdeka menyelamatkan negara, memulihkan ekonomi dan memaknai semangat permasyhuran kemerdekaan.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim marilah kita sama-sama menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke 18, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.


1. DEIG adalah milikan penuh (100%) oleh MBI dan mempunyai modal dibenarkan sejumlah RM10 juta.

2. Dari segi operasi, DEIG akan ditadbir oleh Lembaga Pengarah yang terdiri daripada Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Setiausaha Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Ketua Pegawai Eksekutif MBI dan Ketua Pegawai Operasi MBI serta disokong oleh golongan professional yang pakar dalam bidang pelaburan strategik.

Asas Penubuhan

3. MBI tidak pernah menyumbang kepada pendapatan Kerajaan Negeri melalui dividen.

4. Ini disebabkan 12 kumpulan anak syarikat milik MBI menguruskan sendiri portfolio bisnes mereka serta dibebani dengan legasi masing-masing.

5. Justeru itu, aset-aset milik MBI harus dirasionalisasi dan konsolidasi untuk mengelakkan pertindihan serta untuk mendapat pulangan hasil yang baik.

6. Sebelum ini, MBI bertindak sebagai pentadbir dan pengurus pelaburan untuk membuat keuntungan serta melaksanakan aktiviti CSR.

7. Sehubungan dengan itu, aktiviti anak syarikat harus mempunyai pengkhususan (core business).

Contoh: Yayasan Selangor bertujuan untuk menyediakan akses kepada pendidikan bagi anak-anak Selangor. Tetapi ia juga menjalankan aktiviti bisnes pelaburan hartanah untuk menanggung kos bagi melaksanakan objektif utama untuk menyediakan pendidikan. Ini menyebabkan Yayasan Selangor telah lari daripada tujuan asal penubuhan.

Inilah yang berlaku di dalam MBI di mana pertindihan core business berlaku di antara anak syarikat. Ada anak syarikat melibatkan diri dalam aktiviti pelaburan dan tanggungjawab sosial mengakibatkan fokus yang tidak tetap.

Tahap Akauntabiliti Tinggi

8. PAC dan Jawatankuasa Pilihan ABAS (Anak Syarikat Kerajaan Negeri) mempunyai akses untuk meneliti pengurusan dan kewangan DEIG sepertimana anak syarikat Kerajaan Negeri yang lain.

9. Laporan kewangan DEIG akan dikonsolidasikan diperingkat MBI. Maksudnya segala perincian kewangan di peringkat DEIG akan direkod doperingkat MBI melalui kaedah ‘Consolidated Account’.

Contoh : Sekiranya DEIG mempunyai 1,000 ekar tanah, ia akan direkod di Consolidated Account MBI.

10. DEIG didaftarakan mengikut Akta Syarikat 1965, Seksyen 169, Sub Seksyen 1 Akta berkenaan mewajibkan penyata kewangan DEIG diaudit dan dibentangkan kepada pemegang saham serta dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat setiap tahun. Orang awam boleh melihat perincian laporan kewangan berkenaan menerusi laman web SSM.

11. Diperingkat MBI, Enakmen No. 3 Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) 1994 akan ditambah baik untuk memastikan segala laporan kewangan termasuk DEIG yang telah dikonsolidasikan di peringkat MBI akan dibentang di Dewan.

12. Demi menjamin ketelusan dan kebertanggungjawaban, segala keputusan komersil dan pelaburan DEIG akan ditentukan oleh Jawatankuasa-Jawatankuasa Pemilihan, Tender, Audit dan Pelaburan.

13. DEIG akan mempunyai struktur tatakelola dan “check and balance” yang menurutbest practice industri korporat.

14. Kerajaan Negeri akan memastikan DEIG ditadbir menurut ketelusan, tatakelola korporat, akauntabiliti dan kawalan dalaman yang ketat. Pengurusan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor akan subscribe to the highest form of governance.

Falsafah Kerajaan

15. Falsafah yang menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh melibatkan diri dalam bisnes tidak boleh digunapakai sepenuhnya. Kerajaan harus juga melibatkan diri dalam bidang-bidang strategik seperti perumahan mampu milik, kesihatan awam, pembekalan air bersih dan sebagainya.

16. Kerajaan Negeri akan fokus untuk menyediakan persekitaran yang kondusif untuk bisnes.

17. Kerajaan Negeri juga akan memastikan keadilan dalam pengagihan menerusi program-program keadilan sosial seperti (perumahan, pendidikan dsb).

18. Kerajaan Negeri akan memastikan tiada lagi perjanjian yang berat sebelah dan tidak memberi keuntungan setimpal untuk anak syarikat milik Kerajaan Negeri.

1. Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya jua kita dapat menyaksikan satu lagi mercu tanda di Bandaraya Shah Alam dengan terbinanya Menara Pejabat Naza TTDI yang dilengkapi dengan kemudahan moden yang canggih untuk menempatkan lebih 300 orang warga Naza TTDI.

2. Syarikat Naza TTDI merupakan antara pemaju hartanah yang awal bertapak di Negeri Selangor mewakili Kumpulan Naza yang merupakansebuah konglomerat Bumiputera yang berjaya menerokai pelbagaisektor industri sepertiotomotif, pembangunan hartanah, telekomunikasi danF&B.Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya gembira kerana Negeri Selangor dipilih sebagai destinasi pelaburan Kumpulan Naza.

3. Syarikat Naza TTDI memainkan peranan penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi di Negeri Selangor melalui pembangunan komuniti yang mengintegrasikan perumahan yang berkualiti, pusat-pusat perniagaan dan rekreasi di Seksyen 13 dan TTDI Jaya. Pembangunan ini telah merangsang pertumbuhan kawasan sekeliling ataupun organic growth di Shah Alam. Usaha ini telah mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan meningkatkan status sosio ekonomi rakyat Negeri Selangor.

4. Kerajaan Negeri turut menghargai usaha Syarikat Naza TTDI untuk terlibat dalam pembinaan rumah mampu milik bagi memenuhi permintaan di kalangan masyarakat kelas menengah dan berpendapatan rendah. Suasana ekonomi hari ini dengan kos sara hidup yang semakin tinggi menyebabkan permintaan rumah mampu milik bukan sahaja mendesak di kalangan mereka yang berpendapatan rendah tetapi permintaan semakin meningkat di kalangan kelas menengah.

5. Kerajaan Negeri berhasrat untuk melihat lebih ramai sektor swasta menjalin smart partnership dengan Kerajaan Negeri bagi menangani masalah kemiskinan bandar dan membandarkan masyarakat desa dengan berpegang kepada prinsip keadilan sosial dan mensejahterakan rakyat. Ini adalah bertepatan dengan dasar Kerajaan Negeri iaitu “Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli”.

6. Saya ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri Selangor adalah sebuah kerajaan yang pro-perniagaandengan menjamin prinsip keadilan dalam pengagihan (distributive justice).

Sebagai penyumbang terbesar KDNK negara sebanyak 25 peratus, Selangor akan terus mendukung usaha-usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan luar negara (FDI) dan juga dalam negara (DDI) dengan menyediakan persekitaran yang kondusif, pentadbiran yang berteraskan tadbir urus yang baik (good governance), ketelusan, kebertanggungjawaban dan kemudahan infrastruktur yang sempurna.

7. Kerajaan Negeri melalui anak-anak syarikat sedang aktif mempromosikanIndustrial Park yang terletak di lokasi yang strategik dan juga menjadikan Negeri Selangor sebagai Halal Hub di rantau ini.

8. Kerajaan Negeri telah memuktamadkan Perjanjian Utama Penstrukturan Industri Air Selangor dengan Kerajaan Persekutuan pada 10 Julai 2015 yang lalu untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan air yang lebih mesra rakyat dan responsif kepada pengguna di seluruh Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

9. Kerajaan Negeri juga sedang menyiapkan Pelan Induk Sistem Pengangkutan Awam untuk memastikan sistem pengangkutan awam di Selangor dapat menjamin keselesaan pengguna, perkhidmatan yang efisyen dan murah serta mesra alam dengan low carbon emission. Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk menyokong pertumbuhan syarikat-syarikat baru seperti Startups dalam era teknologi maklumat.

10. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri sedang aktif menyediakan Wifi Hotspot Percuma di 2,500 lokasi seluruh Negeri untuk akses kepada internet jalur lebar.

11. Kerajaan Negeri sedang meneliti Pelan Pembangunan Baru yang komprehensif di sekitar Stadium Shah Alam untuk menjadikan Shah Alam sebagai Youth City. Kerajaan Negeri telah meluluskan pewartaan sebidang tanah seluas 51 ekar di Seksyen 13 Shah Alam untuk dimajukan sebagai taman hijau dalam bandar ala Hyde Park untuk mewujudkan persekitaran yang harmoni, mesra alam dan menjadi destinasi riadah bersama keluarga.

12. Sudah tentu kita setuju betapa pentingnya kestabilan and ketelusan pengurusan kewangan sebagai pendorong kemajuan ekonomi dan pertumbuhan kekayaan (economic development and the wealth enhancement) baik untuk sektor swasta mahupun awam.

13. Krisis keyakinan terhadap integriti sistem kewangan pasti akan menghakis keyakinan pelabur dan memberi kesan buruk terhadap ekonomi negara termasuk kejatuhan nilai ringgit, kemerosotan FDI dan peningkatankadar pengangguran.

14. These financial improprieties are taking a toll on our economy. Kajian oleh Malaysian Institute of Economic Research (MIER) menunjukkan bahawa ekonomi negara semakin menguncup, persekitaran perniagaan dan keyakinan pelabur semakin luntur.

15. Sikap denial syndrome dengan memberi alasan bahawa sluggish economy disebabkan oleh kejatuhan harga komoditi dan faktor luaran tidak boleh lagi diterima.

16. Negeri Selangor bersedia untuk menonjolkan kepimpinan yang amanah dan pengurusan ekonomi yang bertanggungjawab.

17. Kerajaan Negeri akan terus menggubal dasar-dasar peduli rakyat, responsif dengan cabaran semasa dan dasar ekonomi yang menjamin pertumbuhan yang mampan.

18. Untuk menghadapi cabaran-cabaran ini, syarikat-syarikat tempatan harus kompetitif dan berinovasi untuk bersaing bukan sahaja di rantau ini malahan juga di pasaran global. Ini bukanlah satu yang mustahil kerana syarikat-syarikat tempatan terbukti telah mendapat keyakinan di peringkat global.

19. Dalam pertemuan saya dengan Perdana Menteri Britain, David Cameron pada 29 Julai 2015 yang lalu, saya telah melihat bagaimana konsortium syarikat Malaysia diberi keyakinan untuk membangunkan projek ikonik Battersea Power Station yang bernilai berbilion ringgit di tengah-tengah kotaraya London. Projek urban regeneration ini seharusnya menjadi motivasi kepada syarikat-syarikat tempatan untuk meneroka pasaran baru di peringkat antarabangsa.

20. Pada pagi ini, saya juga ingin menganjurkan supaya Syarikat Naza TTDI mengambil peranan dan tanggungjawab bagi membiayai program-program latihan kemahiran dan teknikal serta profesional di kalangan belia supaya Negeri Selangor dapat menyediakan tenaga kerja yang mahir untuk memenuhi permintaan industri berteknologi tinggi.

Kita tidak mahu melihat Syarikat Naza TTDI terus maju kehadapan selaju kereta Supercar Koenigsegg tetapi masyarakat perniagaan Bumiputera tenggelam dalam gelombang keusahawanan, inovasi dan cutting edge technology.

21. Saya juga ingin menekankan prinsipprofitability with social responsibilityyang perlu menjadi budaya dan amalan syarikat-syarikat besar seperti Naza TTDI.

Saya mengambil maklum usahaSyarikat Naza TTDI membina Masjid Al-Ikhlas di Seksyen 13, Shah Alam dan juga penglibatan aktif dalam program-program pemuliharan alam sekitar di Negeri Selangor.

22. Saya berharap Syarikat Naza TTDI terus berkembang maju untuk bersama mencorakkan agenda pembangunan di Negeri Selangor dan semoga usaha kita ini diberkati Allah SWT.

23.Maka, dengan lafaz Bismillah Hirrahman Nirrahim marilah kita sama-sama menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Menara Pejabat Naza TTDI.