Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Kaamatan bagi seluruh rakyat Sabah.

Untuk kali pertama, rakyat Sabah menyambut Hari Kaamatan dalam suasana Malaysia Baharu. Saya pasti perayaan pada 30 dan 31 Mei ini akan disambut dengan meriah dan cukup bersejarah bagi rakyat Sabah.

Hari Kaamatan mengikut kepercayaan masyarakat tempatan bertujuan meraikan semangat padi serta mengingati kisah legenda mengenai pengorbanan yang telah menyelamatkan rakyat Sabah daripada mati kebuluran.

Bersempena dengan Hari Kaamatan, saya amat berharap rakyat Negeri Sabah akan bertambah baik dan dikurniakan rezeki melimpah ruah.

Zaman rakyat Sabah dipinggirkan tidak akan berulang lagi.

Kini, martabat rakyat Sabah akan diangkat selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963. Saya bertekad untuk memperjuangkan supaya Sabah dijadikan rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia secara adil dan saksama.

Tanpa perjuangan rakyat Negeri Sabah yang mengambil teladan kisah legenda pengorbanan yang diraikan pada Hari Kaamatan, tidak mungkin Malaysia Baharu menjadi realiti.

Last-last, sia mo bilang bah, sama-sama urang Sabah yang menyambut Kaamatan dan kepada yang tidak sempat balik Sabah karna karja, study dan lain-lain: Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan. Aramaiti!

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Menteri Hal Ehwal Ekonomi

Menteri Besar Selangor

Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMKe-11): Hala Tuju Baharu 2018 – 2020 bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama, Parlimen Ke-14 akan dibentangkan pada penghujung tahun ini.

KSP RMKe-11 yang disediakan akan berdasarkan hala tuju Kerajaan baharu, selari dengan Buku Harapan: Membina Negara Memenuhi Harapan yang akan memberi tumpuan kepada ekonomi pasaran bebas dan mesra pelabur di samping penekanan kepada ekonomi manusiawi berteraskan kepada program-program keadilan sosial.

Keutamaan dasar Kerajaan baharu ialah untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan di mana amalan kewangan yang tidak telus akan diberhentikan serta ketirisan pada semua peringkat ditangani. Langkah-langkah jangka pendek yang drastik perlu diambil bagi memulihkan kedudukan kewangan.

Langkah-langkah yang akan diambil termasuklah mengawal perbelanjaan operasi Kerajaan serta mengkaji semula projek-projek pembangunan yang tidak mampan, tidak perlu dan yang tidak mendesak. Hutang Kerajaan juga akan distruktur semula bagi mengurangkan pendedahan risiko kewangan.

Negara menghadapi cabaran untuk mengukuhkan kedudukan fiskal dan pada masa sama cabaran untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan. Kedua-dua objektif ini perlu diimbangi bagi menentukan pembangunan yang berterusan serta bersifat inklusif. Walaupun ketika ini Kerajaan sedang giat melaksanakan inisiatif untuk mengukuhkan kedudukan fiskal, namun Kerajaan tidak akan mengabaikan objektif pertumbuhan sosioekonomi.

Kerajaan akan meneruskan projek-projek pembangunan yang memberi impak tinggi kepada ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat. Kerajaan juga memandang serius ke arah mengurangkan jurang pembangunan antara negeri-negeri tanpa mengira pendirian politik. Kerajaan akan mengambil langkah tegas untuk mengurangkan jurang pendapatan antara kumpulan pendapatan terutamanya bagi golongan B40.

Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMKe- 11) kini sedang dijajarkan untuk mengambil kira keutamaan janji-janji yang dizahirkan dalam Buku Harapan. Selain daripada menilai pencapaian dua tahun pertama RMKe-11, isu-isu dan cabaran pembangunan akan dikenal pasti di mana langkah-langkah untuk menanganinya akan dicadangkan. Kerajaan juga akan memastikan mekanisme yang lebih telus diterima pakai dalam proses penyediaan KSP RMKe-11.

Dasar-dasar sosioekonomi progresif yang akan diperkenalkan dalam KSP RMKe-11 akan melengkapi inisiatif Kerajaan dalam mengukuhkan kedudukan fiskal dan reformasi institusi. Hasilnya, Malaysia akan dibentuk untuk menjadi semula sebuah negara maju yang dihormati dan dipandang tinggi selaras dengan matlamat Wawasan 2020.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Menteri Hal Ehwal Ekonomi

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, sekali lagi kita dipilih untuk menikmati tarbiyyah di bawah lembayung Madrasah Ruhiyyah Ramadhan pada tahun ini.

Ramadan adalah bulan yang menjanjikan seribu rahmat buat seluruh umat Islam. Pada bulan ini pintu keampunan oleh Allah SWT dibuka seluas-luasnya buat hambanya sejajar dengan hadis Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguhsungguh, Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu dan barangsiapa yang bersolat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis yang diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim).

Tarbiyyah Ramadhan juga mengajar kita erti tawaduk. Kita dididik untuk terus istiqamah melakukan kebaikan, mempertingkat kebajikan dan lebih empati terhadap golongan miskin dan mereka yang memerlukan. Kita harus menepati janji-janji kita dan menghormati amanah yang diletakkan pada kita, serta tegas menolak godaan dan penyalahgunaan kuasa.

Tahun ini umat Islam di Malaysia menghayati Ramadhan selepas kejayaan menumpaskan kleptokrat secara aman dan teratur melalui proses demokrasi. Umat Islam di Malaysia sekali lagi menjadi bukti bahawa dunia Islam mempunyai upaya untuk melakukan perubahan secara aman demi menegakkan keadilan dan melaksanakan reformasi tulen.

Umat Islam Malaysia berjaya melakukan perubahan ini kerana didorong oleh semangat untuk menjayakan prinsip keadilan dan ihsan serta fastabiqul khairat (berlumba-lumba melakukan kebaikan). Justeru itu ruang yang terbuka luas pasca 9 Mei perlu digunakan sepenuhnya untuk menterjemahkan prinsip-prinsip tersebut menjadi suatu kenyataan.

Semoga medan ta’dib ruhiyyah yang berlalu ini mempertingkatkan darjat karamah insaniyyah serta memperkukuh keyakinan kita untuk terus istiqamah dalam perjuangan untuk menegakkan keadilan. “Ramadhan Kareem, Kullu A’am Wa Antum Bi Khair”.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Menteri Besar Selangor

Hari ini, kita merayakan kemenangan rakyat, satu kemenangan yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Hari ini, kita merayakan sejarah yang dicipta.

Hari ini, kita merayakan kuasa demokrasi; kuasa rakyat.

Rakyat Selangor dan Malaysia telah bersuara dengan jelas dan lantang: Tamatkan UMNO-BN untuk Pakatan Harapan.

Ini bukan tsunami Melayu, bukan tsunami Cina dan bukan tsunami India – ini adalah 100 peratus tsunami Malaysia! Satu tsunami yang melanda seluruh negara untuk kerusi negeri dan kerusi Parlimen.

Di Selangor, kita menyaksikan majoriti besar memihak Pakatan Harapan. Kita menang 51 daripada 56 kerusi di negeri – iaitu sebanyak 91 peratus. Ini adalah keputusan cemerlang melangkaui jangkaan iaitu menang 40 kerusi. Saya terharu dengan sokongan yang ditunjukkan rakyat terhadap prinsip dan dasar kita.

Rakyat Malaysia telah memilih demokrasi berperlembagaan daripada kleptokrasi. Rakyat memilih kedaulatan undang-undang berbanding kehendak sekumpulan orang. Dan rakyat memilih keadilan berbanding ketidakadilan.

Rakyat mahukan masa depan baharu, untuk mereka, anak-anak mereka dan generasi akan datang.

Sekarang rakyat meletakkan kepercayaan kepada kita, satu amanah yang amat murni namun berat dipikul. Kita perlu bekerja keras untuk menunaikan ikrar dan kita akan merealisasikannya.

Hari ini menandakan harapan baru untuk bangsa, dan rakyat Malaysia boleh memandang ke depan bagi memulakan bab baru demi negara.

Kita dalam Pakatan Harapan tidak mampu melakukannya tanpa sokongan anda.

Terima kasih, rakyat Selangor.

Terima kasih, rakyat Malaysia.

Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali

10 May 2018

Sejak jam 6 pagi hari ini, saya dihujani panggilan telefon tanpa henti dari Amerika Syarikat. Saya juga menerima banyak emel tidak dikehendaki.

Saya bukanlah mangsa tunggal dalam serangan siber ini. Pemimpin Pakatan Harapan lain termasuk aktivis masyarakat juga menjadi sasaran sepanjang hari ini.

Ini tidak lain dan tidak bukan merupakan tindakan terdesak pihak yang takutkan kekalahan dan tidak berupaya melawan kuasa rakyat.

Saya mendesak siasatan segera oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung insiden ini. Mereka yang bertanggungjawab perlu dibawa ke muka pengadilan.

Saya menggesa mana-mana pihak yang menjadi serangan jahat ini untuk tidak menjawab panggilan telefon atau membalas emel yang diragui.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Saudara saudaraku rakyat Malaysia

Esok, setelah fajar menyingsing, saudara sekalian akan membuat penentuan. Kuasa ditangan anda. Pena ditangan anda akan menentukan masa depan negara dan generasi akan datang.

Anda akan menentukan sama ada Malaysia akan terus dijajah oleh kleptokrat, atau Malaysia yang dipimpin oleh pemimpin berintegriti yang akan mengembalikan maruah negara dan membina sebuah bangsa yang berwibawa.

Apakah kita mahu sebuah kerajaan yang dipimpin oleh manusia yang bergelumang dengan rasuah dan mahu mengekalkan kuasa dengan apa cara sekali pun?

Apakah kita mahu sebuah kerajaan yang dipimpin oleh orang yang memunggah khazanah negara dan menyorok wang rakyat dalam akaun peribadi?

Tidakkah kita berhak mendapat pemimpin yang jujur, berintegriti dan peduli rakyat?

Tidakkah kita mahu sebuah kerajaan, yang setelah mendapat mandat rakyat, terbukti telah memerintah dengan telus dan penuh bertanggungjawab?

Tidakkah kita berhak mendapat sebuah kerajaan yang peduli rakyat, berbelanja dengan bijaksana untuk generasi akan datang, melaksanakan pembangunan bertanggungjawab untuk meningkatkan daya saing negara?

Sudah barang tentu kita mahukan sebuah kerajaan yang mencipta nilai untuk ekonomi dan menjana pertumbuhan ekonomi dan membangun infrastruktur yang mencipta kemakmuran untuk rakyat.

Kita tidak mahu kerajaan yang menjanjikan kekayaan untuk rakyat dengan memiskinkan mereka melalui hutang 1MDB dan melupuskan nilai asset negara seperti FELDA dan menggadai kedaulatan negara.

Apakah kita mahu terus memikul beban GST yang dipaksakan oleh UMNO-BN semata-mata agar pemimpin yang korup menikmati kemewahan di atas kesusahan rakyat?

Sudah pasti tidak. Sebaliknya, kami berjanji akan menghapuskan GST, cukai yang menghisap darah rakyat. Kita akan memerdekakan rakyat dari belenggu ini.

Dalam sejarah bangsa, belum pernah kita berdepan dengan pilihan yang begitu jelas. Selama 60 tahun kita dibelenggu oleh UMNO-BN. Sejak 10 tahun yang lalu, cengkaman kuasa mereka sudah sampai pada kemuncaknya.

Aset utama negara, iaitu rakyat, mempunyai potensi yang sangat besar. Berpendidikan, berkemahiran, pintar, rajin, bertimbangrasa dan toleran, serta amat bersangka baik.

UMNO-BN cuba menakutkan rakyat bahawa perubahan akan membawa musibah, membawa kemusnahan hubungan antara kaum dan agama.

Selangor membuktikan semua tohmahan ini adalah palsu. Perubahan membawa kebaikan kepada rakyat keseluruhannya. Selangor membuktikan rakyat terus hidup dalam rukun dan damai. Impaknya, seluruh negeri terus makmur dan terus menarik pelaburan dan pertumbuhan ekonomi.

Sejak 2008, penghayatan agama Islam bertambah subur menerusi usaha pengimarahan masjid. Semangat dan roh Islam dijunjung dan dilaksana, bukan sekadar slogan dan laungan.

Semua program dan bantuan yang dilaksanakan di Selangor adalah bertepatan dengan seruan Allah SWT di dalam Al-Quran – fastabiqul khairat. Ini bermakna kita berlumba-lumba mengamalkan dan melaksanakan kebaikan untuk umat dan rakyat. Inilah dasar dan falsafah Pakatan Harapan.

Jangan takut dengan perubahan.

Pakatan Harapan berazam untuk memperjuangkan hak semua rakyat tanpa mengira kaum. Pada masa yang sama, kita memberi jaminan kepada semua kaum pribumi – khususnya orang Melayu, bahawa selagi mana hayat dikandung badan, segala aspirasi dan hak mereka akan terus dipelihara. Saya dan pimpinan lain tidak akan membenarkan sesiapa sahaja, samada dari dalam atau luar, untuk menggugat teras agama, bangsa dan tanahair kita.

Apa yang telah tercapai di Selangor membuktikan keperluan dan layanan adil dapat diberikan pada semua. Pada masa yang sama, hak dan kepentingan masyarakat Melayu Islam terus terpelihara.

Di Selangor, kita telah menunjukkan contoh yang jelas bahawa kita boleh memerintah dengan lebih baik, efisien, berkesan, bersih dan bertanggungjawab.

Kita terus mengekalkan Selangor sebagai gedung kuasa ekonomi negara dengan pertumbuhan tinggi, kadar gunatenaga yang tinggi sementara pada ketika yang sama mempastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

Ini adalah pilihan antara untuk maju kehadapan dengan mundur kebelakang. Pilihan antara kerajaan yang membawa harapan baru dan yang peduli rakyat dengan kerajaan yang dibelenggu oleh rasuah.

Ia adalah pilihan antara demokrasi berpelembagaan, pemerintahan mengikut undang undang dan keadilan dengan pemerintahan kleptokrasi, nafsu manusia dan kezaliman.

Maka, saya menyeru kepada semua untuk mengundi calon-calon Pakatan Harapan.

Undilah dengan penuh keyakinan dan jiwa yang murni. Undilah untuk membuat perubahan di peringkat persekutuan. Undilah KEADILAN.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI.

Dato’ Menteri Besar Selangor

8 Mei 2018