Tahun ini merupakan tahun yang penuh mencabar bagi Malaysia dan negara-negara di seluruh dunia, terutamanya di kalangan tenaga kerja yang terpaksa berdepan dengan pelbagai impak pandemik COVID-19.

Namun demikian, saya berpendapat tenaga kerja di Malaysia amat cepat menyesuaikan diri dengan keperluan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Dalam berhadapan dengan cabaran ini, pekerja dan majikan telah berjaya meningkatkan penggunaan teknologi digital dalam kalangan pekerja demi memudahcara melakukan tugasan dan ini telah meninggikan produktiviti serta keberkesanan proses.

Perubahan ini bukan sahaja membantu meningkatkan kecekapan dan produktiviti tenaga kerja, tetapi mampu mengembangkan syarikat menjadi sebuah entiti yang mahir dalam aktiviti e-dagang. Tidak dapat disangkal lagi pendigitalan adalah langkah yang mesti diambil oleh usahawan tempatan untuk memastikan syarikat kekal berdaya saing di dalam persekitaran normal baharu ini. Saya melihat ini sebagai waktu yang paling baik untuk kita memberi sepenuh fokus kepada pengaplikasian teknologi dan penciptaan inovasi untuk dijadikan pemangkin cara pemikiran dan pekerjaan kita.

Normal baharu ini juga membuka ruang dan mengalakkan sesi bekerja melalui atas talian dari kediaman masing-masing (work from home). Saya percaya dengan perkembangan ini, syarikat-syarikat dari segenap sektor ekonomi negara akan mengubah cara mereka bekerja pada masa hadapan yang memberi fokus dalam mencapai keseimbangan dalam produktiviti dan kehidupan berkeluarga. Saya pasti, syarikat-syarikat Malaysia akan menambah nilai kepada pengalaman bekerja mereka semasa PKP ini pada masa hadapan.

Perubahan ini juga adalah lambang hala tuju Malaysia ke arah menjadi sebuah negara maju dan seiring dengan Sustainable Development Goals yang menekankan kemampanan dalam pekerjaan, kesihatan yang baik, kesejahteraan hidup dan kerjasama strategik.

Kedudukan daya saing ekonomi Malaysia bergantung kepada usaha untuk meningkatkan kepakaran dan kemahiran pekerja. Justeru, majikan perlu mengambil inisiatif untuk sentiasa memberi latihan yang terbaik bagi meningkatkan kepakaran pekerja. Kita perlu meningkatkan kebersihan diri, terus melaksanakan penjarakan sosial dan lain-lain amalan kesihatan semasa melakukan tugas.

Cabaran yang dihadapi kali ini juga telah memberikan penekanan khusus kepada kepentingan tenaga pekerja Malaysia dari segenap lapis masyarakat dan sektor terutamanya dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana yang menyumbang 66% kepada tenaga pekerja Malaysia. Rakyat kini telah lebih terdedah kepada peranan tenaga pekerja negara dalam mengemudi perkembangan sosio-ekonomi negara. Di samping itu, zaman pasca COVID-19 menuntut kita melakukan perubahan untuk menerima normal baharu.

Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua rakyat Malaysia khususnya kepada lebih daripada 15 juta pekerja termasuklah 1.4 juta rakyat yang bekerja sendiri, yang telah berganding bahu dengan Kerajaan untuk menangani COVID-19.

Sambutan Hari Pekerja ini juga adalah untuk menghargai titik peluh dan perjuangan golongan pekerja yang telah menyumbang ke arah kemakmuran bersama.

Sesungguhnya, “I believe in the dignity of labour, that the world owes no man a living but that it owes every man an opportunity to make a living.

YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Menteri Kanan

Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri

Jumaat, 1 Mei 2020

Penularan wabak COVID-19 telah memberi kesan kepada kesihatan rakyat dan juga ekonomi negara. Kerajaan telah mengambil langkah-langkah proaktif khususnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak ini. Usaha memerangi COVID-19 belum berjaya sepenuhnya tetapi kita telah dapat melandaikan keluk (curve) ke tahap yang terkawal. Namun, kita tidak seharusnya alpa dan akan terus berusaha sedaya upaya untuk menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat.

2. Kerajaan juga bertanggungjawab untuk memulihkan ekonomi termasuk melindungi mata pencarian rakyat. Usaha ini adalah untuk membina semula ekonomi yang mampan, berdaya saing, mengembalikan keyakinan pelabur serta menjamin pekerjaan.

3. Pada 23 April 2020, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa kes-kes COVID-19 telah menurun dengan ketara susulan dari usaha berterusan pihak Kerajaan membendung penularan wabak COVID-19.  Bagi memastikan pencapaian yang positif ini berterusan, Kerajaan telah melanjutkan tempoh PKP sehingga 12 Mei 2020. Dengan pelanjutan ini, Kerajaan sedang mengkaji kaedah memulihkan ekonomi secara berperingkat. Ini merangkumi pembukaan beberapa sektor dan sub-sektor ekonomi tambahan tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ketat bagi memastikan syarikat terus beroperasi dan pekerja berada dalam persekitaran yang selamat.

4. Sehubungan ini, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang bersidang semalam (27 April 2020) telah membincangkan kedudukan terkini ekonomi dan kewangan negara, kelangsungan perniagaan dan kesejahteraan rakyat. Mesyuarat telah meneliti kajian dan cadangan yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Khazanah Nasional. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diwakili oleh Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan turut membentangkan pandangan dan maklum balas di atas perkara yang dibincangkan. Perbincangan tertumpu kepada keperluan untuk memulakan semula (restarting and reviving) rantaian bekalan ekonomi secara menyeluruh yang dapat membantu perniagaan untuk meneruskan operasi sepenuhnya, membina semula stok yang terjejas serta membolehkan penyampaian perkhidmatan dan barangan yang efisyen kepada pelanggan.

5. Keputusan mesyuarat EAC telah dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang bersidang pada pagi ini (28 April 2020) dan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri serta turut dihadiri oleh semua Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri.

6. Menyedari keperluan mendesak untuk menangani krisis ekonomi semasa, Kerajaan bersetuju supaya sektor-sektor ekonomi yang telah dibenarkan beroperasi pada PKP Tahap 1, 2 dan 3 meningkatkan kapasiti beroperasi sepenuhnya dan dibenarkan beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing.

7. Pihak syarikat di dalam sektor yang dibenarkan ini WAJIB mematuhi syarat-syarat Prosidur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi sektor masing-masing. Kegagalan syarikat mematuhi SOP akan menyebabkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta merta dan dikenakan tindakan undang-undang.

8. Kebenaran ini berkuatkuasa mulai esok (29 April 2020). Pihak syarikat yang telah diluluskan untuk beroperasi tidak lagi perlu memohon kepada MITI untuk mendapatkan kebenaran.

9. Inisiatif ini akan memberi anjakan kepada pemulihan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan domestik dan luar negara. Ini tentunya akan memberi impak positif kepada pendapatan syarikat khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana.

10. Sementara Kerajaan memberikan kelonggaran ini, rakyat dan pemilik perusahaan perlu memulakan “kebiasaan baharu” dengan mematuhi penjarakan sosial di tempat kerja, kebersihan diri dan garis panduan kawalan kesihatan.

-TAMAT-

YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Menteri Kanan

Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI)

Selasa, 28 April 2020

Tahun ini, umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Ramadhan dalam suasana yang luar biasa akibat pandemik COVID-19. Sesungguhnya, krisis ini adalah ujian daripada Allah SWT yang menuntut kita untuk sabar dan tabah serta terus mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Syarh :

“…maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”

Justeru itu, marilah kita memaknai Ramadhan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sebagai madrasah ruhiyyah dengan beruzlah di kediaman masing-masing sekali gus membantu ikhtiyar Kerajaan memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Marilah kita memanfaatkan waktu dan kesempatan ini untuk menyegarkan institusi kekeluargaan dengan kekal berada di rumah dan memperbanyakkan ibadah, tadarus dan tadabbur Al-Quran serta menyempurnakan solat sunat tarawih berjemaah bersama keluarga.

Ramadhan juga menyuburkan sifat-sifat yang mulia untuk bersedekah dan melakukan infaq termasuk memberikan bantuan makanan kepada warga dhaif, orang kurang upaya dan warga emas yang memerlukan perhatian.

Akhirnya, saya mengajak seluruh rakyat untuk terus menjaga kebersihan rohani dan jasmani, kesihatan diri serta mematuhi langkah-langkah kawalan kesihatan agar kekal sihat, bertenaga dan produktif. Ayuh kita jadikan Ramadhan sebagai wahana memberdaya kekuatan umat bagi mempersiapkan diri untuk berada di dalam kehidupan norma-norma baharu pasca COVID-19.

للَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبِ الْبَاسَ ، اشْفِهِ وَأَنْتَ الشَّافِى ، لاَ شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاؤُكَ ،

 شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا

Ya Allah, Rabb semua manusia, hilangkanlah penyakit ini dan sembuhkanlah, Engkau adalah asy-Syafi (Yang Maha Penyembuh), tidak ada kesembuhan (dari)-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit.

Ramadhan bulan keberkatan

Uzlah tingkat ketaqwaan

Patuhi kawalan pergerakan

Kesihatan asas kekuatan

YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Menteri Kanan

Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri

23 April 2020

Kerajaan senantiasa mengambil tanggungjawab dalam usaha menangani penularan wabak COVID-19 demi menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat.

Kerajaan juga mengambil langkah pro-aktif dan responsif dalam mengimbangi kelangsungan ekonomi negara dan keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan membenarkan sektor-sektor ekonomi yang kritikal termasuk sektor perubatan dan keperluan asas untuk beroperasi semenjak 18 Mac 2020 tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Langkah ini adalah untuk menjamin kelangsungan ekonomi negara, mengelakkan kehilangan pekerjaan yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia selain memastikan rakyat terus mendapat akses kepada keperluan asas dan produk kritikal sepanjang tempoh PKP.

Susulan daripada keputusan Kerajaan membenarkan beberapa sektor pembuatan dan perkhidmatan kritikal beroperasi semasa peringkat PKP yang pertama, Kerajaan mendapati tahap pematuhan operasi oleh syarikat-syarikat yang diluluskan adalah baik.

Kerajaan terus mempergiatkan lagi pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pematuhan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan langkah-langkah saringan kesihatan dilaksanakan demi keselamatan pekerja dan pelanggan.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah mengadakan sesi libat urus bersama persatuan industri, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), serta Kementerian dan agensi lain yang berkaitan, termasuk KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengenalpasti dan memperhalusi sektor-sektor ekonomi tambahan yang boleh dibenarkan beroperasi.

Langkah ini adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet Membendung Impak COVID-19 Ke Atas Ekonomi dan Pasaran Buruh. Jawatankuasa Khas Kabinet ini telah membentangkan beberapa cadangan kepada Jemaah Menteri pada 6 dan 8 April 2020 hasil dari pembentangan oleh MITI, Kementerian Kewangan, Khazanah Nasional Berhad dan Bank Negara.

Jemaah Menteri telah mengambil keputusan untuk membenarkan beberapa sektor ekonomi tambahan beroperasi secara berfasa dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan yang ketat.

Keputusan Kerajaan ini adalah hasil kaji selidik yang mendapati bahawa penularan COVID-19 bukan sahaja memberi kesan yang besar ke atas kesihatan, tetapi juga akan membawa mudarat kepada prestasi kewangan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat khususnya industri PKS sebagai penyumbang tenaga kerja terbesar di Malaysia.

MITI telah memperhalusi sektor-sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi berdasarkan pertimbangan-pertimbangan berikut:

• tahap kepentingannya di dalam rantaian bekalan global (global value chain atau GVC) dan eksport negara. Langkah ini adalah untuk menjamin kestabilan aktiviti eksport;

• aktiviti ekonomi sektor yang mempunyai gandaan nilai tambah (value-added multiplier) yang tinggi;

• impak ke atas kelangsungan PKS dalam sektor ekonomi khususnya pembuatan dan perkhidmatan; dan

• jumlah tenaga kerja yang terlibat.

MITI telah menyediakan perincian sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi seperti Lampiran 1. Berikutan keputusan ini, syarikat-syarikat di dalam sektor-sektor tambahan yang disenaraikan boleh membuat permohonan beroperasi kepada MITI bermula hari Isnin, 13 April 2020, dari jam 9.00 pagi. Semua permohonan mestilah dibuat secara atas talian di laman sesawang MITI, www.miti.gov.my. Hanya permohonan yang menepati syarat dan lengkap sahaja akan diproses.

Pihak syarikat di dalam sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi WAJIB mematuhi syarat-syarat Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan. Selain pematuhan kepada syarat-syarat dan garis panduan yang diperketatkan ini, kebenaran beroperasi juga tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan oleh KKM dan garis panduan oleh lain-lain agensi penguatkuasaan yang berkaitan dari semasa ke semasa. Kegagalan syarikat untuk berbuat demikian boleh mengakibatkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan berdepan dengan tindakan undang-undang mengikut Akta semasa.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Menteri Kanan

Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI)

Jumaat, 10 April 2020