Kenyataan Media

Esok, 24 Februari program imunisasi nasional terbesar yang pernah disaksikan sejarah Malaysia menjadi gamechanger kepada perjuangan kita memerangi pandemik COVID-19.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan merupakan langkah proaktif, tegas dan tuntas Kerajaan Perikatan Nasional dibawah kepimpinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin. Program ini merupakan ikhtiyar Kerajaan dalam menjamin penjagaan serta perlindungan kesihatan awam, prihatin dan peduli terhadap kesejahteraan rakyat serta berazam menjana semula kemakmuran negara.

Fokus utama program ini adalah untuk melindungi anggota barisan hadapan bagi memastikan sistem perkhidmatan kesihatan dioptimumkan, melindungi warga berisiko tinggi, membina immuniti kelompok (herd immunity) bagi membuka semula semua sektor ekonomi. Vaksinasi juga berperanan mengawal wabak di kawasan berisiko tinggi sekaligus mengurangkan kadar transmisi COVID-19.

Tidak dapat dinafikan vaksinasi raya (mass vaccination) adalah satu kemestian bagi mempercepatkan dan memastikan pemulihan ekonomi yang mampan, efektif dan lestari. Langkah ini akan merancakkan semula usaha dan aktiviti barisan hadapan ekonomi negara. Ekonomi yang cergas terbit dari badan yang sihat – a healthy economy in a healthy body.

Bank Dunia mengunjurkan bahawa dengan kejayaan pelaksanaan program vaksinasi, ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar 6.7% bagi tahun 2021. Kami yakin usaha ini adalah ‘suntikan booster’ yang akan merangsang pengaliran pelaburan langsung asing (foreign direct investment) ke Malaysia dan memacu pemulihan ekonomi. Apabila immuniti kelompok dicapai dan semua sektor ekonomi kembali dibuka, kita dapat mencerdaskan semula sektor pelancongan yang menyediakan 3.56 juta pekerjaan, salah satu sektor penyumbang pekerjaan terbesar negara.

Hari esok adalah fajar harapan buat Malaysia. Perikatan Nasional menyeru seluruh rakyat untuk memberi dukungan penuh terhadap usaha imunisasi nasional dan memastikan kejayaan milik kita bersama. Teguh kita, menang bersama !

MOHAMED AZMIN ALI

23 FEBRUARI 2021

KM KP Program Vaksinasi Final BM.pdf

KENYATAAN MEDIA

22 FEBRUARI 2021

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) secara rasminya menyertai Mesyuarat Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional Selangor semalam. Ini merupakan penglibatan sulung GERAKAN di peringkat negeri selepas pengumuman YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional berhubung penyertaan GERAKAN sebagai parti anggota Perikatan Nasional pada 11 Februari 2021.

Mesyuarat Badan Perhubungan Negeri Selangor juga sebulat suara melantik Datuk Ang Chin Tat, Pengerusi GERAKAN Selangor sebagai Naib Pengerusi Perikatan Nasional Selangor selain YB Dato’ Dr. Ahmad Yunus Bin Hairi, Pesuruhjaya PAS Selangor dan YB Dato’ Abdul Rashid Bin Asari, Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Selangor.

Penyertaan GERAKAN ke dalam Perikatan Nasional adalah amat signifikan untuk memperkukuh citra Perikatan Nasional dan membuktikan dasar Perikatan Nasional yang inklusif dan meraikan kepelbagaian. Saya yakin dasar ini akan memperkukuh usaha Perikatan Nasional untuk menggembleng penyertaan dan dukungan rakyat khususnya generasi milenial. Perikatan Nasional juga beriltizam untuk mendakap paradigma baru dalam perjuangan rakyat dan menyuntik dinamisme baru kepada politik yang berteraskan nilai.

Perikatan Nasional Negeri Selangor akan memberikan fokus kepada usaha merencana dan melaksanakan dasar dan kebijakan demi menghasilkan kemakmuran serta keadilan sosial. Sebagai sebuah kerjasama politik, Perikatan Nasional bertekad untuk memartabatkan jati diri bangsa Malaysia sekaligus meraikan kepelbagaian bahasa, kaum dan agama sebagai kesatuan yang utuh dan dinamik.

Justeru, Badan Perhubungan Negeri Selangor mengambil ketetapan untuk memperkukuhkan kerjasama yang sedia ada dan melangkah maju sebagai satu kekuatan dalam PRU-15 dan pasca pilihan raya untuk membentuk Kerajaan yang utuh dan stabil dengan penyertaan parti-parti anggota yang lebih unggul dan peranan yang dinamik.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Pengerusi

Badan Perhubungan Negeri

Perikatan Nasional Selangor

Saya ingin menzahirkan rasa prihatin terhadap kesihatan YB Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Bin Awang, Presiden PAS yang sedang menjalani rawatan di hospital. Walau bagaimanapun, saya bersyukur mendapat perkhabaran bahawa Tuan Guru berada dalam keadaan stabil dan mendapat perkhidmatan rawatan yang terbaik.

Saya mendoakan Tuan Guru senantiasa berada dalam lindungan Allah SWT dan dikurniakan kesembuhan yang secepatnya dan diberikan kesihatan untuk memimpin umat.

“Ya Allah, Rabb manusia, hilangkanlah kesusahan dan berilah dia kesembuhan, Engkau Zat Yang Maha Menyembuhkan. Tidak ada kesembuhan kecuali kesembuhan dari-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit lain”. 

Secara peribadi, saya mengenali Tuan Guru sebagai seorang pejuang yang tabah dan murabbi ummah yang tuntas dalam pembangunan umat demi menyemarakkan syiar Islam. Peranan beliau dalam pembentukan Perikatan Nasional adalah amat signikan khususnya untuk menggembleng persefahaman bagi menjamin kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama mendoakan kesihatan Tuan Guru agar kembali pulih untuk meneruskan perjuangan demi kemaslahatan umat.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

16 Februari 2021

Kenyataan Media – 16 Februari 2021.pdf

Saya telah mengadakan pertemuan bersama YB Dato’ Abdul Rashid Asari, Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Selangor dan YB Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi, Pesuruhjaya PAS Selangor pada 5 Februari 2021 untuk membincangkan pembentukan Badan Perhubungan Negeri (BPN) Perikatan Nasional Selangor. Perbincangan yang berlangsung dengan penuh semangat musyawarah memberi fokus kepada pembentukan struktur organisasi yang strategik, wibawa dan dinamik untuk menjana kekuatan baru demi memperkukuh keyakinan rakyat.

Lanskap politik Negeri Selangor serta cabaran-cabaran semasa menuntut supaya Perikatan Nasional menampilkan politik progresif dan berpencerahan dengan fokus memperkukuh perpaduan, prihatin kebajikan, menjana pembangunan dan pertumbuhan ekonomi mampan.

Justeru, Perikatan Nasional Selangor komited menggembleng kekuatan setiap parti anggota untuk mewakili kerencaman masyarakat dan kepelbagaian budaya di Negeri Selangor. Kita akan terus memperkukuh dan memberdaya kepimpinan sehingga ke peringkat akar umbi untuk menjamin kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat Selangor secara keseluruhannya.

Pengalaman bekerja bersama BERSATU dan PAS dalam Kerajaan Negeri Selangor pasti akan memperkukuh kekuatan dasar dan pelaksanaan gerak kerja demi masa depan Negeri Selangor yang lebih gemilang.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Pengerusi

Badan Perhubungan

Perikatan Nasional Negeri Selangor

210211 – Badan Perhubungan Negeri Selangor – Kenyataan Media 2.pdf

Sempena Year of the Ox pada tahun ini, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh masyarakat Tionghua dengan harapan dan doa agar kita semua bahagia, sejahtera dan berjaya.

Year of the Ox merupakan tahun bertuah yang membawa makna kerajinan, ketekunan, ketabahan, kekuatan dan kekayaan. Kita menyambut Tahun Baru Cina ini dengan tekad dan iltizam untuk bekerja lebih keras dan cekal tabah untuk mendepani cabaran pandemik COVID-19 dan ekonomi. Saya yakin, berbekal tekad yang jitu, kita pasti akan dapat mengatasinya. Justeru, marilah kita bersama-sama mengambil inspirasi daripada nilai-nilai Year of the Ox untuk mencipta kegemilangan baharu untuk Malaysia.

Walaupun Tahun Baru Cina merupakan perayaan masyarakat Tionghua, namun seluruh warga yang majmuk dan berbilang kaum turut sama meraikannya dengan penuh semangat muhibah, harmoni dan perpaduan yang utuh.

Ayuh, kita bersama memperkukuh keazaman untuk bersatu padu demi pemulihan dan pencerdasan ekonomi yang mampan ke arah masa depan yang gemilang. Teguh kita, menang bersama.

Xīn Nián Kuài Lè, Wan Shì Rú Yì, Gōng Xǐ Fā Cái!

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

11 Februari 2021

FINAL KM – UCAPAN SELAMAT TAHUN BARU CINA – 11.2.2021 v3.pdf