16 MEI 2021 

Perikatan Nasional (PN) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam Zionis Israel yang menyerang kota suci Palestin sehingga menyebabkan kerosakan dan pembunuhan rakyat Palestin di tanah air sendiri. 

Israel menjajah negara Palestin sedikit demi sedikit sejak 15 Mei 1948 melalui Peristiwa Nakbah yang merupakan suatu tragedi hitam yang telah membunuh ratusan ribu nyawa dan pengusiran rakyat Palestin secara besar-besaran. 

Israel tidak boleh dibiarkan berterusan dengan kerakusan mereka. Rakyat Palestin telah terlalu lama ditindas oleh rejim ganas Zionis Israel. Masyarakat dunia tidak boleh berdiam diri lagi. 

Kami menyeru dan mendesak pemimpin-pemimpin negara seluruh dunia segera mengutuk kezaliman dan keganasan yang dilakukan ke atas rakyat Palestin. 

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu jangan membisu mengenai hal ini tetapi mestilah mengambil tindakan serta merta dan melaksanakan sekatan yang wajar ke atas Israel. 

Pembunuhan dan pembersihan etnik yang dilakukan oleh Zionis Israel adalah satu jenayah perang (war crime) dan jenayah terhadap kemanusiaan (crime against humanity). Kami menuntut agar mereka yang bertanggungjawab diseret ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa supaya rakyat Palestin mendapat hak keadilan. 

Kami teguh bersolidariti dengan rakyat Palestin yang terus menerus dizalimi dan diusir dari tanah air mereka sendiri. Pembersihan etnik dan sistem apartheid amalan rejim Zionis Israel mesti dihentikan segera. 

Kami menyokong usaha Kerajaan Malaysia membantu rakyat Palestin dan memobilisasi sokongan antarabangsa untuk Palestin. Pengumuman YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai pelbagai bantuan dan usaha serantau yang dijalankan oleh Kerajaan Malaysia adalah bukti kesungguhan kita yang mahukan penyelesaian tuntas dan keadilan untuk rakyat Palestin. 

Kami menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersolidariti bersama rakyat Palestin dan kami berdoa agar rakyat Palestin diberikan kesabaran, pertolongan serta kemenangan dalam usaha mereka memelihara maruah dan hak mereka. 

Kami juga mengajak semua rakyat memberikan sumbangan kepada warga Palestin sebagai tanda tanggungjawab membantu mereka yang dizalimi melalui kempen #Aid4Palestine atau melalui saluran – saluran lain yang sah. 

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI 

Ketua Penerangan Perikatan Nasional 

DATUK WAN SAIFUL WAN JAN 

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia 

KAMARUZAMAN MOHAMAD 

Ketua Penerangan Parti Islam Se-Malaysia 

KOO SHIAW LEE 

Ketua Penerangan Parti Gerakan Rakyat Malaysia 

CHIN VUI KAI 

Ketua Penerangan Parti Maju Sabah 

JEFFREY KUMIN 

Ketua Penerangan Parti Solidariti Tanah Airku 

 

KM Penerangan Kecam Zionis final

Alhamdulillah, setelah sebulan kita menjalani latihan ruhiyyah dalam bulan Ramadhan, hari ini kita bersama merayakan Hari Kemenangan sempena Syawal yang mulia.

Marilah kita memperkukuh ukhuwwah dan silaturahim, membulatkan semangat persaudaraan di antara umat. Meraya fitrah, mengikat ukhuwwah.

Lebih setahun kita berdepan dengan penularan wabak COVID-19 yang memberikan dampak kepada rakyat dan ekonomi negara. Pandemik ini bukan sahaja mengancam kesihatan rakyat, tetapi ianya menggugat tunjang ekonomi yang kita telah bina selama ini. Maka, selaras dengan prinsip maqasid al-shariah, kita tuntas melaksanakan pelbagai ikhtiyar untuk mengimbangi tuntutan di antara melindungi nyawa dan keselamatan rakyat dengan tuntutan untuk memelihara ekonomi demi membela kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Bersabarlah menghadapi ujian ini. Kita yakin usaha bersama akan berjaya melandaikan keluk penularan COVID-19 di bumi Malaysia. Pendekatan whole of society approach akan memperkasa diri, masyarakat dan negara dalam usaha untuk melindungi nyawa rakyat, dan melangkah maju ke hadapan untuk kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. Kita boleh dan pasti berjaya.

Kepada seluruh barisan hadapan, doktor dan jururawat, pakar kesihatan dan pasukan keselamatan, kalian adalah wira negara. Saya menghargai setiap detik pengorbanan saudara, yang cekal dan tabah mengharungi gelombang yang tidak berkesudahan demi keselamatan diri, keluarga tercinta dan rakyat keseluruhannya. Tahniah dan syabas.

Meskipun kita beraya dalam suasana yang sederhana tetapi saya yakin akan ketabahan rakyat Malaysia bersama memerangi penularan wabak COVID-19. Kata kunci di musim perayaan ini adalah ‘pematuhan’. Kita mesti melindungi kesihatan diri kita, keluarga tersayang dan kita semua. Patuhi undang-undang, patuhi SOP dan amalkan tertib penjagaan kesihatan yang berkesan.

Perayaan Aidil Fitri juga mengingatkan akan pentingnya mengangkat harakat kemuliaan insan. Justeru, di hari yang mulia, ayuh kita bersatu dalam semangat persaudaraan dan berdiri sebahu dengan kekuatan dan keyakinan sebagai umat yang diberkati oleh Allah SWT agar kita dapat menghadapi cabaran yang mendatang dengan tekun, tekad dan keinginan untuk berjaya.

Hanya melalui kesatuan dan perpaduan serta perkongsian satu matlamat sebagai sebuah negara, kita dapat mendaulatkan kemelut menjadi peluang, dan kegagalan menghasilkan kejayaan.

Akhirul kalam, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada seluruh umat Islam dari seluruh lapisan masyarakat. Menjadi doa dan harapan kita agar seluruh rakyat bersatu hati, membulatkan tekad dan membingkai muafakat agar cahaya kejayaan menyinar di Aidil Fitri.

Minal A’idin Wal Faizin, Kullu ‘Am Wa Antum Bi Khair,

Maaf Zahir dan Batin

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

12 Mei 2021
30 Ramadhan 1442H