Berita

Amanah sedia kerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk PAS, kata Timbalan Pengerusi

By September 11, 2015 No Comments
Amanah Negara PC (1140x400)

Sumber : The Malaysian Insider

Parti Amanah Negara (Amanah) sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk PAS selagi matlamat mereka tetap sama iaitu menyelamatkan Malaysia, kata timbalan pengerusinya Salahuddin Ayub.

Dalam kenyataannya hari ini, Salahuddin berkata, dalam usaha menumbangkan Barisan Nasional (BN), mereka komited meneruskan kesinambungan penubuhan Pakatan Rakyat (PR) 2.0 yang akan diwujudkan kemudian.

“Sejak daripada awal penubuhan Gerakan Harapan Baru, saya menyatakan sikap kami sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak sama ada parti politik, organisasi bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana individu yang meletakkan matlamat menyelamatkan Malaysia dan masa depan rakyat dan negara,” kata Salahuddin.

Bekas naib presiden PAS itu berkata, pendirian Amanah berhubung perkara itu juga tidak pernah berubah.

“Saya ingin menegaskan pendirian itu tidak pernah berubah sekalipun kami kini bergerak atas nama Parti Amanah Negara (Amanah) yang akan dilancarkan secara rasmi pada 16 September ini.

“Amanah komited meneruskan kesinambungan perjuangan rakyat bersama semua parti politik pembangkang melalui muafakat politik baru, PR 2.0 yang akan diwujudkan nanti, dalam usaha untuk menumbangkan BN,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, kesediaan untuk bekerjasama dan berunding itu hanya akan berlaku sekiranya terdapat keperluan untuk tujuan itu.

“Sebagai sebuah parti politik Islam yang mengangkat nilai inklusif, tentunya Amanah terbuka untuk berunding, termasuk dengan PAS, atau mana-mana pihak lain, jika wujudnya keperluan itu.

“Bagi Amanah, jiwa besar kami adalah mahu menggembeling semua pihak, agar negara ini dapat diselamatkan daripada segala kebejatan yang berlaku akibat tindakan rakus dan salah urus kerajaan BN,” katanya.

Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin sebelum ini berkata, pihaknya tidak yakin PAS akan membawa permuafakatan dan menguntungkan gabungan pembangkang baharu.

Malah katanya, kehadiran PAS dalam gabungan baharu itu tidak dapat diterima DAP yang sememangnya diketahui berbeza pendapat dengan pemimpin parti Islam itu.

“Bagi saya dengan sikap, gaya politik dan stail saf kepimpinan PAS yang ada sekarang, saya tidak rasa PAS adalah aset kepada PR 2.0.
“Saya juga tidak nampak bagaimana DAP boleh menerima keberadaan PAS dalam PR 2.0 setelah apa yang DAP rasai dalam PR dulu,” katanya.

Hanipa mengakui kekuatan PAS yang memiliki sokongan orang Melayu perlu diambil kira, tetapi gabungan baharu juga perlu memikirkan kesan daripada para pengundi bukan Melayu yang tidak menyokong PAS kerana sikap mereka dalam PR sebelum ini. – 8 September, 2015.