03 6200 0018 @MITI



YB DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI


MENTERI KANAN &

MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI 

KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI (MITI)

Dato' Seri Mohamed Azmin Ali adalah Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Beliau pernah menjawat jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dari 21 Mei 2018 sehingga 24 Februari 2020. Sebelum itu, beliau pernah dilantik sebagai Dato' Menteri Besar Selangor pada September 2014.

MITI ditugaskan untuk membawa Malaysia sebagai negara perdagangan yang kompetitif di peringkat global sekaligus menjadi destinasi utama pilihan pelabur. Agensi penting yang diletakkan di bawah MITI bertanggungjawab untuk mengukuhkan perdagangan antarabangsa dan industri adalah Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE), Malaysia Productivity Corporation (MPC) dan Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii).

Azmin merupakan Ahli Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad, sebuah syarikat dana strategik Malaysia.

Semasa menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin memainkan peranan penting dalam menetapkan hala tuju dan pelaksanaan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030. Beliau mengetuai pelbagai agensi termasuk yang terlibat secara langsung di dalam infrastruktur, penciptaan dan pengagihan kekayaan, pemilikan ekuiti persendirian dan perancangan serta pelaksanaan ekonomi jangka pendek dan pertengahan untuk pembangunan sosio-ekonomi negara. Ini meliputi kedua-dua peringkat domestik dan pembangunan serantau.

Sepanjang tempoh perkidmatan beliau sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor, dibawah kepimpinannya, Selangor lebih terserlah dan terus mengekalkan negeri itu sebagai penyumbang terbesar kepada KDNK negara. Dengan melaksanakan dasar-dasar peduli rakyat di dalam bidang kesihatan, perumahan dan pendidikan, Azmin melancarkan pelan strategik 10 tahun untuk menjadikan Selangor sebagai negeri pintar di rantau ini.

Azmin telah dipilih sebagai Ahli Parlimen Persekutuan dan Ahli Dewan Negeri Selangor sejak tahun 1999. Beliau mengarang buku ‘Membangun Bangsa’ yang merupakan penulisan tentang etika, urus tadbir dan kenegaraan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Azmin sekali lagi memenangi kerusi DUN Bukit Antarabangsa dan Parlimen Gombak. Azmin berkahwin dengan Shamshida Taharin dan dikurniakan enam orang cahaya mata.

Azmin memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Matematik dan Ijazah Sarjana Pendidikan dan Ekonomi dari University of Minnesota, Amerika Syarikat.