Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dilahirkan pada 25 Ogos 1964 di Singapura. Pada tahun 1968, bapanya yang berkhidmat sebagai anggota tentera berpindah ke Selangor bersama keluarga dan terus menetap di Kampung Klang Gate Baru, Hulu Kelang, Gombak. Azmin mendapat pendidikan awal di Gurney Road School (2), Kuala Lumpur (1971 – 1976). Beliau kemudian meneruskan pelajaran di Sekolah Tinggi Setapak, Kuala Lumpur (1977 – 1979) dan Institut Teknikal, Jalan Cheras, Kuala Lumpur (1980 – 1981). Pada tahun 1982, beliau ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pengajian tinggi di Universiti Minnesota. Beliau lulus pada tahun 1986 daripada Kolej Sains dan Kejuruteraan dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains dalam subjek Matematik dan Ekonomi. Pada Mei 1987, beliau dianugerahkan Sarjana Pendidikan dalam Matematik dan Ekonomi daripada Kolej Pendidikan dan Perkhidmatan Profesion Manusia, Universiti Minnesota.

Sekembalinya ke Malaysia pada usia 23 tahun, Azmin dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim (Oktober 1987 – April 1989) yang ketika itu adalah Menteri Pelajaran. Pada 4 April 1989, beliau dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Sulit kepada Menteri Pendidikan sehingga 14 Mac 1991. Azmin kemudiannya dilantik sebagai Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan (Mac 1991 – Februari 1996) dan Setiausaha Sulit kepada Timbalan Perdana Menteri (Disember 1993 – September 1998).

Karier Azmin dalam politik bermula ekoran pemecatan dan pemenjaraan Anwar kerana konspirasi politik pada tahun 1998. Azmin bersama rakan seperjuangan menerajui gerakan reformasi rakyat yang bangkit menentang penyelewengan dan konspirasi yang ditujukan kepada Anwar ketika itu. Azmin juga menyelaras siri perhimpunan aman di Kuala Lumpur dengan pejuang reformasi demi menuntut pembelaan terhadap Anwar. Azmin pernah ditahan polis akibat fitnah yang dilemparkan terhadap beliau dan keluarganya menerusi buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri.

Susulan kebangkitan rakyat yang membantah konspirasi dan fitnah berleluasa terhadap Anwar, Azmin bersama pejuang reformasi mengasaskan Parti KEADILAN Nasional yang kemudiannya dinamakan Parti KEADILAN Rakyat. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-10 (November 1999), Azmin dipilih sebagai Ahli Dewan Negeri Selangor bagi kawasan Hulu Kelang. Bagaimanapun, Azmin tidak dibenarkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-11 pada tahun 2004 atas kesalahan sumpah bohong dan hukuman 18 bulan penjara pada tahun 2001 walaupun diikat jamin dan memohon rayuan.
Namun, beliau tidak berputus asa dan meneruskan perjuangan politik. Kesungguhan perjuangan Azmin membolehkan beliau dipilih semula dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (2008) dan Pilihan Raya Umum Ke-13 (2013) bagi kawasan Parlimen Gombak dan Dewan Negeri Bukit Antarabangsa.
Pada 23 September 2014, Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor telah berkenan melantik Azmin sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor ke-15 di Istana Alam Shah, Klang, selepas mantan Dato’ Menteri Besar Selangor ke-14, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan.

Menerajui kepimpinan baru Kerajaan Negeri Selangor, Azmin memperkenalkan gagasan Smart Selangor yang menjadi dasar utama, bagi meletakkan Negeri Selangor sebagai negeri serantau dan hab utama Malaysia untuk era Revolusi Industri Keempat.

Azmin juga memperkenalkan satu lagi dasar iaitu program Peduli Rakyat, bertujuan menyusun semula struktur masyarakat dengan mengatasi masalah kesenjangan pendapatan dan ekonomi yang teruk akibat dasar Persekutuan. Peduli Rakyat dilaksanakan dengan lebih 40 inisiatif bagi membasmi kemiskinan dan mengangkat martabat rakyat Negeri Selangor. Keberkesanan pelaksanaan Peduli Rakyat terbukti apabila Jabatan Perangkaan Malaysia mengesahkan Negeri Selangor bebas insiden kemiskinan pada tahun 2016.
Dalam politik, Azmin dipilih sebagai Naib Presiden Parti KEADILAN Nasional pada 9 November 2001 dan dipilih semula pada Disember 2004 serta Mei 2007. Pada tahun 2010, Kongres Nasional Parti KEADILAN Rakyat memilih Azmin sebagai Timbalan Presiden yang baharu dan dipilih semula pada pemilihan parti yang paling terkini pada tahun 2014.

Azmin mendirikan perkahwinan dengan Datin Seri Shamshida Taharin yang juga seorang graduan kewangan daripada Universiti Minnesota. Azmin dan Shamsida dikurniakan enam anak: Farah Shazliyana (16 Mac 1990), Mohamed Ameer Shazrin (28 Jan 1992), Farah Amira (9 September 1993), Farah Afifah (10 Ogos 1995), Mohamed Basheer Noor Alhaq (21 September 2000) dan Mohamed Yusuf Al Sadiq (8 Oktober 2002).