Azmin Ali, Saudaraku Dalam Islam

Subky Latif

Subky Latif

TERBITAN HARAKAH
Oleh Subky Latif

Saya amat pilu dan terharu dengan cabaran yang dihadapi oleh Azmin Ali terutama hal yang mengaitkan hubungan beliau dengan bondanya.

Amat besar ujian yang dihadapinya apabila TV dan akhbar dapat merakamkan bondanya bercakap begitu dan begini tentang Azmin.

Saya hirau sangat tentang fitnah Azmin dikatakan berlaku tidak senonoh di jamban. Tidak masuk akal saya orang sepintar Azmin yang berkedudukan tinggi dalam masyarakat boleh berskandal syahwat di dalam jamban sedang jamban itu terdedah kepada orang keluar masuk.

Hanya orang gian dadah, mabuk dan gila, yang hilang malu dan tidak sedar sangat apa yang dibuatnya sanggup berkurang ajar di jamban yang sentiasa berorang.

Dari otak, kecekapan berfikir dan dapat memandang jauh, Azmin adalah sehandal Najib, Rais Yatim dan lain-lain tidak cari jamban untuk kerja tak senonoh itu. Banyak tempat lebih selamat selain daripada jamban.

Tetapi apabila sangat lanjut usia diseret dalam pergelutan politik antara KEADILAN dan UMNO dan antara BN dan Pakatan Rakyat, saya amat pilu dan amat insaf.

Sesungguhnya Azmin adalah pemimpin yang ada otak dan ada masa depan yang menghadapi ujian dan cabaran yang amat berat. Dia menghadapi ujian yang tidak kurang teruknya dibanding dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dia menghadapi susah payah dan suka duka atas segala ujian yang hadapkan kepada Anwar Ibrahim. Segala teruk dan penderitaan yang dihadapi oleh Anwar dan keluarganya, dipikul sama oleh Azmin dan keluarganya.

Kalau Anwar dibalun hingga lebam mata, kita tidak tahu apa rasa Azmin melihat wajah ketuanya itu. Jika Anwar tidur keseorangan bermalam-malam, bagaimana payah anak beranak Anwar hendak memejamkan mata di rumah masing-masing, maka Azmin juga payah lena.

Seberat-berat penderitaan Azmin, berat lagilah apa yang ditanggung oleh Anwar.

Tetapi telah lama saya perhatikan penderitaan kedua kenalan saya itu. Saya tidak kenal Azmin sehinggalah Anwar didakwa dan dipenjara. Saya kenal Anwar sejak dia belum nikah dan saya pun bujang. Anak sulungnya Nurul Izzah dipotong rambut, saya hadir.

Bila saya ada masalah telinga, saya minta Anwar buatkan temu janji dengan Dr. Wan Azizah. Wan Azizah lebih tahu dari saya rongga-rongga dalam telinga saya.

Apabila saya melihat wajar Azmin semasa dalam penjara, saya amat belas kepadanya. Walau pun saya belas dengan sekalian keluarga Anwar, tetapi saya lebih belas kepada malang menimpa Azmin.

Saya rasa saya pernah berkata kepadanya bahawa nasibnya lebih malang dari Anwar. Walau pun Anwar dipukul dan dimalukan, tetapi Anwar disokong padu oleh sekalian saudara maranya.

Tetapi Azmin tidak dipukul dan tidak dipenjarakan, dia tidak disokong oleh adik beradiknya. Dia bersendirian dalam perjuangannya menegakkan keadilan dan kebenaran. Sejak awal saya mengikuti kisah Azmin saya dapati dia sudah bermasalah dengan adik-adiknya.

Saya tidak mengetahui Azmin ada bercakap tentang adik beradik dan keluarganya. Tetapi ramai yang tahu dia tidak disenangi oleh adiknya. Akhbar anti Azmin ada melaporkan apa saudaranya kata tentang Azmin.

Menjelang PRU 13 ini lebih kerap Azmin diserang oleh darah dagingnya. Tetapi kita tidak banyak mengetahui reaksi Azmin.

Paling saya tidak dapat terima ialah apabila bondanya diseret untuk menyerang politik Azmin pada saat Azmin sedang menumpukan segala kerja untuk bersama menawan Putrajaya.

Apa yang musuh Anwar pernah buat terhadap Anwar, ia cuba dibuat terhadap Azmin pula.

Beberapa serangan media terhadap Azmin dan rumah tangga Azmin disebarkan semah-mahunya. Paling teruk ialah penggunaan bondanya.

Azmin terpaksa menghadapi semua ujian atas sokong rakan-rakan seperjuangan. Dari sokongan rakan-rakan itulah dapat menang dan menguatkan tahanan jiwanya dan daya juangnya.

Dia tidak dapat sokongan keluarga terdekat. Biasanya sokongan adik beradik dapat mengubat segala duka dan lara.

Masalah yang dihadapi Azmin itu tidak seperti yang dihadapi Anwar. Apa terjadi pada Anwar, dia dikelilingi oleh keluarga sedarah sedaging. Mereka berkumpul memberi sokongan dan menggalakkannya meneruskan perjuangan.

Saya tidak dapat membayangkan betapa perit dan bisanya di hati Azmin apabila dia diserang melalui bondanya. Tidak ada adik beradik yang datang menenangkannya.

Kita memahami betapa sukarnya Azmin untuk memecahkan tembok yang memisahkannya dengan bondanya. Dan kita tidak tahu cara mana hendak diselesaikan.

Hanya sabar dan doa yang tidak putus-putus dapat memecahkan tembok itu.

Dalam keadaan Azmin berdepan dengan cabaran dan ujian ini, saya menawarkan persaudaraan saya kepadanya. Saya hendak katakan bahawa Azmin adalah saudara saya dalam Islam. Ia persaudaraan yang sudah diikat lama. Dan dalam keadaan Azmin diuji ini saya mahu menguatkan lagi persaudaraan itu.

Jika boleh saya mahu menjadi saudara sedarah sedaging dengan. Mungkin ia tidak mungkin kerana kami dari keturunan dan zuriat yang berlainan.

Tetapi kalau Azmin itu ibarat anggota muhajirin yang berssama Nabi SAW berhijrah dari Mekah ke Madinah, saya mahu menjadi saudara ansar kepada Azmin. Saya mahu Azmin menjadi keluarga angkat saya.

Saya mahu keluarga saya mengisi ruang kosong dalam keluarga Azmin, moga-moga Azmin dapat terima bahawa dia masih ada ramai keluarga.

Mungkin dia banyak masalah, sebok dengan urusan politik dan urusan rumah tangganya. Saya juga ada masalah dalam urusan keluarga dan lain-lain urusan. Mungkin sudah hendak berkumpul selalu dengan keluarganya.

Tetapi sebagai keluarga dalam persaudaraan yang luas, keluarga Azmin dan keluarga saya seolah-olah selalu bersama dan bertandang. Walaupun keluarga kita tidak pernah bertemu dan bersama, terimalah bahawa kita seperti selalu bersama.

Jangan ada yang memikirkan Azmin sudah tidak berkeluarga. Azmin sebenar banyak keluarga. Jika dia tidak ada abang, biarlah saya menjadi abangnya. Kalau isterinya terasa tidak ada ipar duai, ambillah isteri saya menjadi iparnya.

Kalau anak-anak tidak ada sepupu, biar anak-anak saya menjadi sepupu anak-anaknya. Mana-mana anak saya yang lebih tua dari anak-anaknya, biar anak-anak saya jadi abang dan kakak kepada anak-anaknya. Bagi anak-anak saya yang lebih muda dari anak-anaknya, biarlah anak saya berabang dan berkakak dengan anak-anak Azmin.

Saya tidak mahu Azmin keseorangan dalam menghadapi gelombang menegakkan keadilan dan mencegah kezaliman. Kuatkanlah semangat dan banyakkan kerja bagi menegak pemerintahan yang adil di Putrajaya dalam masa beberapa minggu lagi.

Saya yakin bukan saya dan keluarga saya saja yang mahu menjadi keluarga ganti Azmin. Ramai lagi orang yang sedia menjadi saudara dan keluarga Azmin.

Apabila saya datang menjadi keluarga ganti Azmin tidak bererti saya mahu menjauhkan terus Azmin dengan bondanya dan mana keluarga sedarah sedagingnya. Untuk waktu yang ada ini kami mahu mengisi apa yang patut diisi dalam persekitaran keluarga besar Azmin Ali.

Moga-moga Allah dapat menerima keluarga saya ke dalam keluarga Azmin sebagai amal salih. Ia jadi doa, penawar, penenang moga-moga Azmin boleh memenangi semula bondanya.

Inilah masa Azmin mesti penawar dan sokongan. Kalau saya bukan saudara sedagingnya, dia dan saya adalah saudara sepanjang masa dalam Islam.

Comments

  1. Ada airmata yg mengalir tatkala membaca tulisan sdr subky latiff …. Smg sntiasa tabah dlm mengharungi liku liku perjuangan anda dan kebenaran pasti akan terungkap akhirnya…

  2. Sesungguhnya apa yg saudara Subky tuliskan itulah kata-kata yg sebenarnya ingin saya cari selama ini untuk menggambarkan sokongan saya dan keluarga terhadap Azmin ..tapi saya bukan penulis seperti saudara Subky…dan saya amat bersyukur kepada Allah kerana tulisan saudara Subky juga adalah sebenarnya apa yg terlintas dihati saya, cuma saya tidak pandai mengungkapkannya…
    siapalah saya untuk tergolongan dlm situasi ini, tapi semua yg saudara Subky tuliskan memang benar belaka…menitis airmata membacanya. Saya berdoa agar Azmin, isteri dan anak-anak tabah menghadapi dugaan ini..apatah lagi melibatkan adik beradik yg langsung menganggap darah daging sendri adalah musuh yg amat kejam berbanding Zionis…
    Azmin, isteri dan anak-anak…binalah semangat membara perjuangan ini hasil dari doa mereka yg sangat bersimpati dengan kalian…percayalah Allah sengaja memberi ujian-ujian sebegini kerna mahu mencoba kelayakan kita untuk memimpin rakyat Malaysia…
    Dan saya lebih percaya pada Azmin bila pernah bertemu empat mata dengan beliau semasa lawatan kerja ke KK bertempat di Kg. Keliangau Menggatal, Sabah tempoh hari..Pepatah mengatakan ‘Muka adalah jendela hati’ itulah apa yg saya nampak pada Azmin…PERCAYALAH LEBIH RAMAI RAKYAT MALAYSIA YG MENYAYANGIMU BERBANDING MEREKA YG MEMBENCIMU….INSYALLAH…

    1. JGNLA gaduh2 sesama islam …yang salah kita bantu untuk betulkan yang betul kita kekalkan….yang benar hanyala islam dengan AL-QURAN DAN SUNNAH nabi jadi pegangan.