26 Nov
2012
Posted in: KEADILAN, Ucapan
By     Comments

Ucapan Konvensyen KEADILAN Sabah, 24 November 2012

‘Negeri Sabah – Kunci Penentu Kemenangan Pakatan Rakyat ke Putrajaya’ 

1. Hanya beberapa hari yang lalu, saya berkampung di Sabah selama 4 hari. Menaiki pacuan 4 roda, saya turun dan bertemu rakyat Sabah di 9 daerah pendalaman Sabah. Saya melihat pada wajah anak-anak kita di Sabah; mereka menunjukkan harapan kepada KEADILAN untuk membawa perubahan dalam kehidupan mereka. Rakyat Sabah sudah bersedia untuk melakukan perubahan dan KEADILAN adalah parti masa depan untuk rakyat Sabah.

2. Semangat saya sentiasa bergelora dan naluri kemanusiaan saya sentiasa tersentuh apabila ke Sabah. Hari ini, saya kembali sekali lagi ke bumi yang bertuah ini, Sabah Negeri di Bawah Bayu. Saya terkenangkan wajah anak – anak di Kampong Manar, Tungku, Silam; dan Kampong Pilantong, Labok, Beluran yang menaruh harapan kepada KEADILAN untuk membawa perubahan dalam kehidupan mereka.

3. Saya tidak boleh lupakan raut wajah mak cik tua di Kampong Bubul Muhibbah, Semporna; dan Kampong Sentosa Jaya, Sukau, Kinabatangan yang terpancar harapan supaya Pakatan Rakyat membantu hidup mereka yang dibelenggu kemiskinan.

4. Saya berkongsi kegembiraan rakyat di Kampung Jawa, Kalabakan tatkala saya ungkapkan kejayaan pentadbiran KEADILAN dan Pakatan Rakyat di Selangor. Masih segar di ingatan saya harapan yang terukir di kalangan rakyat Kampong Jalan Apas, Tawau; dan Sungai Sibuga untuk melihat perubahan yang akan dilakukan oleh Pakatan Rakyat sebaik tiba di Putrajaya.

5. Inilah politics of hope yang dibawa oleh KEADILAN berbanding dengan culture of fear yang diteruskan oleh UMNO dan BN.

6. Sebaik sahaja saya pulang ke Kuala Lumpur, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergegas ke Sabah dengan nada orang yang terdesak dan desperado. Kata Muhyiddin, “BN akan berusaha habis-habisan untuk mempertahankan Sabah dalam Pilihan Raya Umum ke 13.”

7. Saya bangga dan bersyukur bahawa pimpinan dan anggota – anggota Parti Keadilan Rakyat menzahirkan keyakinan utuh dengan dasar dan prinsip perjuangan parti keramat ini demi memastikan kemenangan rakyat Sabah, kemenangan rakyat Malaysia, demi negara yang kita cintai. Tema konvensyen hari ini, “Negeri Sabah – Kunci Penentu Kemenangan Pakatan Rakyat ke Putrajaya” amat bertepatan dengan aspirasi rakyat Malaysia.

8. Konvensyen hari ini bukan semata-mata mahu melaksanakan norma biasa sebuah parti politik yang mahu  memperlihatkan kekuatan menjelang pilihan raya. Himpunan hari ini adalah muafakat pimpinan, anggota dan penyokong KEADILAN atas dasar dan prinsip yang jelas untuk melaksanakan perubahan demi rakyat Sabah.

9. Kerana melihat kebobrokan yang mencela maruah; karamah insaniyyah, makanya anggota KEADILAN, patriot dan teman-teman sejati dalam perjuangan terus memperkukuh tekad dan keazaman untuk menumpaskan lawan. Kita sedar perjuangan politik kini menjadi suatu kewajipan. KEADILAN memikul tanggungjawab untuk membawa pencerahan dalam pentadbiran Negeri Sabah.

10. KEADILAN mahu bersama dalam tuntutan rakyat untuk mengembalikan Malaysia ke landasan yang sebenarnya. Pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 adalah berlandaskan prinsip federalisme yang memberi kuasa kepada negeri – negeri demi menjaga kepentingan rakyatnya.

11. Namun federalisme yang tempang tajaan UMNO hanya memunggah hasil mahsul dan kekayaan negeri untuk diagihkan kepada keluarga dan kroni pemimpin sekaligus menafikan hak rakyat. Pemimpin kaya raya; rakyat Sabah pada kedana ! “Rakyat didahulukan” serta “Janji Ditepati” adalah propaganda kosong yang cuba melunakkan hati rakyat menjelang pilihan raya.

12. Kekayaan Negeri Sabah cukup untuk semua. Meminjam kata-kata Mahatma Gandhi, “There is enough in Sabah for everybody’s need; but not enough for anybody’s greed.”

13. Pembentukan Malaysia memperkukuh cita – cita bersama untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang gagah, makmur, sejahtera dan dihormati dunia.

14. Pembentukan Malaysia menjanjikan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi Persekutuan Malaysia berasaskan prinsip perlembagaan bagi menjamin pengagihan kuasa dan ekonomi yang saksama, adil serta membebaskan rakyat dari penjajahan minda dan jiwa demi mengangkat harga diri rakyat Malaysia.

15. Sabah dan rakyat Sabah adalah rakan kongsi yang setara dan bukan fixed deposit UMNO – BN. Justeru, KEADILAN dan Pakatan Rakyat komited untuk mengembalikan autonomi kepada Sabah dan Sarawak sejajar dan dalam kerangka Perjanjian Persekutuan dan Perlembagaan negara.

16. Setelah hampir 20 tahun UMNO berkuasa di Sabah, rakyat Sabah semakin jauh ketinggalan. Kadar pengangguran di kalangan belia semakin meningkat, anak – anak tidak ke sekolah, remaja tidak mampu untuk melanjutkan pelajaran ke universiti kerana kos pengajian yang tinggi, keluarga yang dibelenggu kemiskinan, harga barang yang mahal, jalan-jalan yang berlubang, bekalan elektrik yang seringkali terputus, bekalan air bersih yang tidak mencukupi serta hospital yang tiada kemudahan pakar. Sebagai contoh, lebih 40% daripada rakyat di Labok, Beluran belum mendapat bekalan air bersih.

17. Mengapa ini berlaku di Sabah ? Rakyat Sabah punyai hak yang dijamin oleh Perlembagaan. Rakyat Sabah punyai hak yang dijamin oleh Perjanjian Malaysia 1963. Rakyat Sabah harus bangkit dan tidak boleh terus dihina sebagai fixed deposit oleh UMNO – BN. Peringatan kepada UMNO. Jangan layan rakyat Sabah sebagai pengemis politik dan pengemis ekonomi.

18. KEADILAN ingin ulangi pendirian kita bahawa rakyat Sabah mempunyai hak setara dalam pengagihan ekonomi dan kekayaan negeri ini. KEADILAN adalah pencerahan kepada ‘zaman gelap’ Sabah yang dijajah oleh UMNO.

19. Yakinilah, KEADILAN bersama Pakatan Rakyat akan kembalikan hak rakyat Sabah yang dirampas oleh pemimpin elit UMNO – BN. Yakinilah, kami akan bersama rakyat Sabah untuk membawa kemajuan dan kemakmuran untuk semua.

20. KEADILAN mahu tingkatkan pelaburan di Negeri Sabah supaya penjanaan ekonomi ini dapat mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji minima untuk anak-anak kita di Sabah. Program ekonomi KEADILAN bukan sahaja bersandarkan angka dan unjuran, tetapi berteraskan tata kelola yang baik, ketelusan dan prinsip value for money. Ini akan mengembalikan keyakinan kepada pelabur-pelabur asing dan tempatan untuk melabur di Negeri Sabah.

21. Konsep pembangunan yang dibawa oleh KEADILAN adalah memacu pertumbuhan ekonomi dengan menjamin prinsip pengagihan yang adil atau distributive justice. Model ekonomi ini diungkap oleh John Rawls dalam bukunya “Distributive Justice“.

22. KEADILAN berjanji akan menghapuskan hutang PTPTN dan memberikan pendidikan percuma kepada semua rakyat. Usaha ini akan menjamin peluang pendidikan yang berkualiti untuk anak – anak kita agar mereka akhirnya dapat membantu mengubah nasib keluarga dan menaikkan taraf ekonomi sesebuah keluarga.

23. KEADILAN juga akan menghapuskan dasar kabotaj (cabotage) untuk memberikan ruang pengurangan harga barang

24. KEADILAN dan Pakatan Rakyat akan menaikkan bayaran royalti ke atas petroleum dan sumber – sumber hidrokarbon kepada Sabah dan Sarawak dari 5 % kepada 20 %. Malah kita akan tubuhkan syarikat – syarikat minyak milik Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

25. KEADILAN juga akan membina Pan Borneo Highway untuk menaiktaraf kemudahan pengangkutan awam. Usaha ini akan membuka bandar-bandar baru atau new township dan menjana pertumbuhan ekonomi bagi rakyat Sabah dan Sarawak.

26. Justeru itu, rakyat Sabah perlu mempertahankan KEADILAN dan Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 13 untuk melaksanakan agenda reformasi ini demi rakyat Sabah.

27. PRU 13 menjadi amat penting untuk menentukan masa depan Negeri Sabah dan rakyat Sabah. KEADILAN harus menerajui gelombang kebangkitan rakyat di Sabah. KEADILAN hadir membawa politik baru. KEADILAN yakin akan menumpaskan politik eksploitasi dan manipulasi.

28. KEADILAN tampil membawa aspirasi rakyat, bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya. Kita mahu memenangi pilihan raya dan seterusnya memaknai kemenangan tersebut dengan pengisian yang memberi nafas baru kepada rakyat Sabah melalui pengagihan kekayaan dan ekonomi secara adil kepada semua.

29. Tanggal 16 September 2012 yang lalu, pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat telah membuktikan tekad dan iltizam dengan menggariskan janji muafakat kami untuk meningkatkan kualiti hidup warga Sabah dan Sarawak serta beriltizam menghormati Perjanjian Malaysia 1963 dalam Deklarasi Kuching yang disepakati.

30. Kita telah gariskan pendirian untuk melaksanakan kerjasama bersekutu demi memperkasakan kedudukan Sarawak dan Sabah setanding dengan Semenanjung Malaysia.

31. Kita nyatakan bahawa integrasi nasional di antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia perlu melalui penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil yang menjunjung semangat Perjanjian Malaysia.

32. Begitu juga dengan kesedaran untuk mengiktiraf rakyat Sabah dan Sarawak supaya diberi keutamaan di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan tugas di negeri masing-masing.

33. Inilah janji dan ikrar kita yang tidak akan kita khianati. Malah, janji ini digarap dengan kesedaran untuk memastikan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 dipatuhi. Ini lah hasrat pendiri negara dan bangsa serta “framers of our constitution.” 


34. Kita dalam fasa terakhir rundingan pengagihan kerusi dengan Pakatan Rakyat dan juga rakan-rakan seperjuangan di Sabah. Saya ingin memberi jaminan bahawa proses rundingan kerusi ini tidak akan sekali-kali mengorbankan kepentingan Parti keramat ini dan tidak akan meminggirkan peranan aktivis Parti di Cabang dan Ranting.

35. Walau bagaimanapun, dalam meneraju dan memimpin kebangkitan rakyat menuju kemenangan di Putrajaya, KEADILAN harus berjiwa besar dan mengambil sikap inklusif bagi mereka yang menerima dasar perjuangan kita.

36. KEADILAN meraikan tokoh – tokoh Bumiputera Islam dan masyarakat KDM yang mahu bersama dengan perjuangan KEADILAN. Salam perjuangan untuk teman-teman kita yang bersama kita; YB Dato’ Seri Lajim Haji Ukin, YB Dato’ Seri Wilfred Bumburing dan Tan Sri Ibrahim Menudin dan ramai lagi.

37. Mewakili KEADILAN, saya meraikan kebersamaan Pakatan Perubahan Sabah (PPPS), Angkatan Perubahan Sabah (APS) dan Parti SAPP untuk bersama – sama Pakatan Rakyat dalam perjuangan melaksanakan agenda perubahan. Muafakat yang telah dipupuk ini perlu terus digembeling demi menjayakan Negeri Sabah yang gagah.

38. Wahai pimpinan UMNO – BN, rakyat Sabah bakal mencetus gelombang besar perubahan pada pilihan raya akan datang. Ini Kali Lah !

39. Sabah umpama “The Theatre of Change.” Ianya bagaikan satu pentas yang mahu aktornya memunculkan aksi terhebat dalam catatan sejarah. Jika Sabah adalah pentasnya, maka kita semua adalah Henrik Ibsen, seorang penulis drama. Jika Sabah adalah medan teaternya maka kita semua berkewajipan sebagaimana yang dinukilkan Ibsen dalam sajak to my friend the revolutionary orator untuk menyempurnakan bait I’ll gladly, myself, torpedo the Ark.

40. Sudah tiba masanya rakyat Sabah torpedo bahtera usang UMNO yang hampir karam itu.  Saudara semua bertanggungjawab apabila pulang nanti untuk sampaikan pesan ini; bahawa UMNO – BN sudah karam. Jangan bersama kapal yang karam kerana nanti akan lemas. Mitos bahawa hanya UMNO yang boleh perintah, sudah berakhir.

41. Ayuh lah semua bersama KEADILAN dan Pakatan Rakyat. Bahtera yang akan belayar gagah ini akan mencipta sejarah baru di Malaysia. 

42. Cukuplah selama ini tindakan pemimpin UMNO – BN “tantamount to usurping the power of this state, denying the rights of Sabahan.” Ini kali lah,kita akan pastikan KEADILAN terpasak teguh di bumi ini.

43. Kita akan maju ke hadapan dengan segala upaya untuk melaksanakan perubahan dalam pilihan raya ini. Biarpun berhadapan dengan budaya samseng dan culture of fear, kita tidak akan berundur malah kita lebih nekad untuk menumbangkan pihak lawan.

44. Saudara seperjuangan, Konvensyen ini juga wajar mengambil ketetapan atas nama dan nilai kemanusiaan untuk mengutuk sekeras – kerasnya serangan ketenteraan Zionis Israel melalui Operasi “Pillar of Defence” ke atas Wilayah Palestin di Gaza yang bermula 14 November 2012 yang lalu. Tindakan ini adalah cebisan daripada dasar penaklukan wilayah atau politics of dispossession yang dilancarkan oleh Zionis Israel.

45. Konvensyen ini juga mesti mengecam sekeras-kerasnya serangan ketenteraan Zionis Israel ke atas Wilayah Palestin di Gaza yang mengakibatkan kehilangan nyawa rakyat awam Palestin, termasuk golongan wanita, kanak-kanak, bayi dan warga tua dan kemusnahan harta benda.

46. Zionis Israel tidak mungkin berani bertindak ganas dan kejam tanpa restu dari pentadbiran Washington. Amerika Syarikat dan badan antarabangsa yang memberi ruang dan merestui tindakan yang kejam dan zalim ini mesti dikutuk dan dikritik oleh seluruh masyarakat tanpa mengira kepercayaan, faham agama dan budaya. Zionis Israel ternyata adalah penjenayah antarabangsa (terrorist state). Wilayah Palestin di Gaza kini adalah ‘open air prison’ bertujuan untuk memenjarakan rakyat Palestin dari segenap ruang darat, udara dan laut.

47. Kita tuntas, rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat harus dibebaskan dan dikembalikan hak mereka sebagai rakyat yang merdeka. Faham agama yang sempit serta pendekatan rasis akan hanya menambah perseteruan dan akan meruntuhkan tamadun manusia di muka bumi ini.

48. Rakyat Malaysia dan Sabah juga harus dimerdekakan dari penjara hegemoni UMNO – BN yang menutup pemikiran rasional rakyat yang dahagakan perubahan.

49. Tidak ada lagi harapan yang boleh disandarkan kepada UMNO – BN. Apa lagi yang mahu diharapkan daripada Musa Aman untuk membantu rakyat Sabah. Sampai bila lagi rakyat Sabah mahu tinggal dalam penjara kuasa UMNO – BN ? Ayuh bersama KEADILAN dan Pakatan Rakyat untuk sama – sama menjana arus perubahan yang semakin deras.

50. Teman – teman seperjuanganku, kita sudah punya dasar yang jelas, kita ada pemimpin yang wibawa dan boleh dipercayai, kita ada laskar teruji dengan latihan, sarat dengan pengalaman, lengkap dengan ilmu dan peralatan. Seluruh kekuatan kita sudah siap siaga. Hanya menunggu semboyan untuk bertempur di medan perang.

51. Ayuh teman – teman seperjuanganku, ini kali lah untuk kita bersatu. Ini kali lah untuk kita berubah. Ini kali lah untuk kita tukar. Ini kali lah !

Comments

  1. [...] Link Tagged 2012, Beluran, Culture Of Fear, Kampong Sentosa, Kampung Jawa, KEADILAN, Kemiskinan, Kinabatangan, Konvensyen, Muhibbah, Nada, Naluri, Negeri Sabah, November, Pakatan, Parti Keadilan Rakyat, Pilihan Raya Umum, Politics Of Hope, Sabah, Sabah Negeri Di Bawah Bayu, Semporna, Sukau, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tawau, Tungku, Ucapan. Bookmark the permalink. « Deepavali Night 2012 at Penang Swimming Club [...]