skmm

Azmin dipanggil ke SKMM

Sumber : FMT

CYBERJAYA: Timbalan Presiden PKR Azmin Ali hari ini disiasat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung satu kenyataan rasminya yang dimuat naik dalam video laman sosial YouTube.

Azmin pada 18 Januari lalu menyiarkan satu kenyataan media dalam blog yang mempertikaikan penglibatan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan ‘Projek IC’ di Sabah.

Beliau turut membidas Dr Mahathir yang cuba mengheret mantan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing.

Kenyataannya itu kemudian digunakan di dalam ruangan latar belakang video ‘Program Tukar ke Orang Melayu (Project IC by Mahathir)’ oleh pemilik akaun bernama ‘naturewar’ dan dimuat naik pada 19 Februari lalu.

Video tersebut memaparkan sekumpulan warga asing yang melarikan diri kerana menyangkakan ada serbuan, namun sebaliknya apabila muncul kelibat individu berseragam biru datang menenangkan serta mengagihkan kad pengenalan kepada mereka.
Turut diselitkan dalam video itu ayat ‘You help me I help you’ serta ‘Malaysia Truly Asia’.

Azmin bagaimanapun semasa disoal siasat menafikan sebarang penglibatan dalam pembikinan video tersebut.
Beliau sebelum itu hadir ke SKMM kira-kira 2.30 petang tadi ditemani peguam Datuk Prabakaran dan disoal siasat oleh Penolong Pengarah Siasatan SKMM Muhammad Iqbal Ikhwandy Mat Zain.

Soal siasat 3 jam

Proses soal siasat ahli parlimen Gombak itu dibuat di bawah Seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan mengambil masa tiga jam dengan 51 soalan.

Beliau ketika ditemui pemberita berkata pihaknya memberikan kerjasama penuh dengan menjawab semua soalan yang diberikan sepanjang siasatan.

“Ada pihak yang cuba ambil kenyataan saya secara rasmi.
“Saya tidak terlibat dalam pembikinan video tersebut, saya tidak terlibat dalam kerja-kerja menaikkan komen tersebut.
“Saya sekadar menyatakan kenyataan rasmi saya seperti yang terkandung dalam blog rasmi saya,” katanya di luar bangunan SKMM.

Katanya, beliau dimaklumkan wujud dua aduan tehadapnya, iaitu daripada orang awam serta SKMM sendiri.
Namun ketika ditanya SKMM enggan mendedahkan identiti pengadu terbabit, ujar Azmin.