Prestasi perdagangan luar bagi bulan September 2020 dan tempoh Januari-September 2020

PERANGKAAN PERDAGANGAN LUAR MALAYSIA

Prestasi perdagangan luar bagi bulan September 2020 dan tempoh Januari-September 2020

Eksport Tertinggi bagi Bulan September

Jumlah perdagangan Malaysia pada September 2020 meningkat 5.5% kepada RM155.88 bilion berbanding September 2019. Kenaikan perdagangan telah direkodkan terutamanya dengan China, Hong Kong SAR, Amerika Syarikat (AS), Belanda dan Taiwan. Eksport pulih dengan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.6% kepada RM88.93 bilion, merupakan nilai eksport yang tertinggi pernah direkodkan bagi bulan September. Import menyusut 3.6% kepada RM66.96 bilion.

Lebihan dagangan pada September 2020 melonjak 149.3% tahun ke tahun kepada RM21.97 bilion dan merupakan lebihan dagangan tertinggi pernah direkodkan bagi bulan September.

Berbanding Ogos 2020, perdagangan, eksport dan import masing-masing berkembang sebanyak 7.5%, 12.4% dan 1.6%. Lebihan dagangan merekodkan pertumbuhan ketara 66.3%.

Jumlah perdagangan bagi suku ketiga (S3) tahun 2020 bernilai RM460.87 bilion, mengurang secara marginal sebanyak 0.5% berbanding S3 2019. Eksport naik 4.4% kepada RM260.62 bilion manakala import turun 6.3% kepada RM200.25 bilion. Lebihan dagangan meningkat 68.4% kepada RM60.36 bilion.

Berbanding suku kedua (S2) 2020, perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan pertumbuhan ketara sebanyak 17.3%, 24% dan 9.6%. Lebihan dagangan melonjak 118.6%.

Bagi tempoh 9 bulan pertama tahun 2020, lebihan dagangan telah mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 14.8% kepada RM124.94 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019. Jumlah perdagangan bernilai RM1.294 trillion, mengurang 5.2% berikutan penyusutan perdagangan terutamanya dengan Thailand, Singapura, India dan Jepun. Walau bagaimanapun, peningkatan perdagangan telah direkodkan dengan AS, Republik Korea (ROK), China dan Bahrain. Eksport pada tempoh ini berjumlah RM709.56 bilion, menyusut 3.7% manakala import bernilai RM584.62 bilion, turun 6.9%.

Prestasi Eksport Sektor Utama

Eksport Barangan Perkilangan dan Keluaran Pertanian Mencatatkan Pertumbuhan Dua Digit Pada September 2020

Eksport barangan perkilangan pada September 2020 yang merangkumi 87.7% daripada jumlah eksport, berkembang 16.3% tahun ke tahun kepada RM77.99 bilion. Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran getah, barangan perkilangan lain terutamanya solid-state storage devices (SSD), barangan besi dan keluli serta barangan optik dan saintifik.

Eksport keluaran pertanian (7.4% syer) melonjak sebanyak 26.6% kepada RM6.55 bilion berbanding September 2019 disokong terutamanya oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Eksport hasil galian (4.5% syer) menurun 27.4% tahun ke tahun kepada RM4.02 bilion disebabkan oleh pengurangan eksport gas asli cecair (LNG).

Barangan eksport utama pada September 2020:

  • Barangan E&E bernilai RM38.87 bilion dan merangkumi 43.7% daripada jumlah eksport, meningkat 33% berbanding September 2019;
  • Minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, RM4.92 bilion, 5.5% daripada jumlah eksport, meningkat 43.6%;
  • Keluaran getah, RM4.52 bilion, 5.1% daripada jumlah eksport, melonjak 115.8%;
  • Kimia dan bahan kimia, RM4.36 bilion, 4.9% daripada jumlah eksport, meningkat 0.6%; dan
  • Barangan optik dan saintifik, RM4.31 bilion, 4.8% daripada jumlah eksport, meningkat 6.2%.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, eksport barangan perkilangan dan keluaran pertanian masing-masing naik sebanyak 13.8% dan 14.6% manakala eksport hasil galian menyusut 11.8%.

Pada tempoh 9 bulan pertama tahun 2020, eksport barangan perkilangan menyusut 1.5% kepada RM611.35 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019 berikutan pengurangan eksport kimia dan bahan kimia, barangan perkilangan logam, keluaran petroleum serta barang kemas. Walau bagaimanapun, peningkatan eksport telah direkodkan bagi keluaran getah, barangan perkilangan lain (SSD), barangan besi dan keluli serta barangan optik dan saintifik. Eksport keluaran pertanian meningkat 2.3% kepada RM50.51 bilion disumbangkan oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Eksport hasil galian turun 27.2% kepada RM44.48 bilion disebabkan oleh penyusutan eksport LNG, petroleum mentah serta petroleum kondensat dan minyak petroleum lain.

Prestasi Perdagangan dengan Pasaran Utama

Barangan E&E Pacu Eksport ke ASEAN

Perdagangan dengan ASEAN pada September 2020 yang merangkumi RM38.79 bilion atau 24.9% daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 0.5% berbanding September 2019. Eksport pulih dengan pertumbuhan 6.7% kepada RM23.1 bilion disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E yang meningkat sebanyak 47.8% atau RM3.2 bilion. Import dari ASEAN mengurang 7.4% kepada RM15.69 bilion.

Pecahan eksport ke negara ASEAN:

Singapura
RM12.21 bilion, meningkat 13.7%
Thailand
RM4.00 bilion, ↓0.6%
Viet Nam
RM2.61 bilion, ↑6.0%
Indonesia
RM2.08 bilion, ↓13.9%
Filipina
RM1.51 bilion, ↑5.8%
Brunei
RM333.8 juta, ↑91.5%
Myanmar
RM222.2 juta, ↑14.1%
Kemboja
RM125.0 juta, ↓39.0%
Lao PDR
RM6.1 juta, ↑85.0%


Di antara eksport ke pasaran ASEAN yang mencatatkan pertumbuhan termasuklah ke Singapura, yang meningkat sebanyak RM1.47 bilion berikutan kenaikan eksport barangan E&E, Brunei (↑RM159.5 juta, petroleum mentah), Viet Nam (↑RM148.5 juta, barangan E&E) dan Filipina (↑RM82 juta, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit).

Berbanding Ogos 2020, perdagangan, eksport dan import masing-masing bertambah sebanyak 8.9%, 9.6% dan 7.8%.

Pada Januari hingga September 2020, perdagangan dengan ASEAN berjumlah RM324.71 bilion, menguncup 10.5% berbanding tempoh yang sama tahun 2019. Eksport ke rantau ini menurun 6.4% kepada RM198 bilion berikutan pengurangan eksport petroleum mentah, barangan perkilangan logam serta kimia dan bahan kimia.

Walau bagaimanapun, kenaikan eksport telah direkodkan bagi kelengkapan pengangkutan, barangan E&E serta barangan perkilangan lain (SSD). Import dari ASEAN mengurang 16.3% kepada RM126.71 bilion.

Pertumbuhan Eksport ke China Terus Kukuh

Pada September 2020, perdagangan dengan China menyumbang 19.8% kepada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 21.5% tahun ke tahun kepada RM30.85 bilion. Eksport ke China kekal dengan pertumbuhan dua digit bagi 4 bulan berturut- turut, melonjak 41.9% kepada RM15.56 bilion berikutan kenaikan eksport bagi barangan E&E, barangan besi dan keluli serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Import dari China berkembang 6.1% kepada RM15.29 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing- masing merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 11.4%, 11.3% dan 11.4%.

Perdagangan dengan China pada tempoh Januari hingga September 2020 meningkat 3% kepada RM237.15 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019. Eksport merekodkan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.3% kepada RM114.54 bilion, disokong oleh kenaikan eksport barangan besi dan keluli, barangan perkilangan lain (SSD), barangan perkilangan logam serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Import dari China menguncup 5.1% kepada RM122.61 bilion.

Eksport ke AS Kekal Kukuh

Perdagangan dengan AS pada September 2020 berkembang 12.3% tahun ke tahun kepada RM15.74 bilion, merangkumi 10.1% daripada jumlah perdagangan Malaysia. Eksport ke AS terus meningkat bagi 4 bulan berturut-turut, dengan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 22.1% kepada RM10.32 bilion pada September 2020. Pertumbuhan eksport telah direkodkan bagi barangan perkilangan yang mewakili 97.7% syer daripada jumlah eksport ke AS. Kenaikan eksport telah dicatatkan bagi keluaran getah, barangan E&E, barangan kayu, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan lain (SSD). Import dari AS menyusut 2.6% kepada RM5.42 bilion.

Berbanding Ogos 2020, perdagangan dan eksport masing-masing meningkat sebanyak 0.8% dan 9.2% manakala import menyusut 12.1%.

Pada 9 bulan pertama tahun 2020, perdagangan dengan AS naik 6.9% kepada RM129.25 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019. Eksport meningkat 9.1% kepada RM77.09 bilion dipacu oleh kenaikan eksport keluaran getah, barangan kayu serta barangan perkilangan lain (SSD). Import dari AS berkembang 3.7% kepada RM52.16 bilion.

Eksport ke EU Pulih dengan Pertumbuhan Dua Digit

Perdagangan dengan Kesatuan Eropah (EU) yang merangkumi 8.6% daripada jumlah perdagangan Malaysia pada September 2020 meningkat 11.1% tahun ke tahun kepada RM13.45 bilion. Eksport mencatatkan peningkatan dua digit sebanyak 28.6% kepada RM8.63 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran getah, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan perkilangan logam. Import dari EU mengurang 10.7% kepada RM4.82 bilion.

Di antara 10 pasaran utama EU yang merangkumi 91.4% daripada jumlah eksport Malaysia ke EU, eksport ke 8 negara mencatatkan peningkatan iaitu Jerman (↑17.8%), Belanda (↑39.7%), Itali (↑54.1%), Slovenia (↑129.7%), Belgium (↑2.4%), Sepanyol (↑27.2%), Republik Czech (↑93.9%) dan Poland (↑60.9%).

Berbanding Ogos 2020, perdagangan dan eksport masing-masing berkembang sebanyak 12.8% dan 24.1% manakala import mengurang 3%.

Pada 9 bulan pertama tahun 2020, perdagangan dengan EU berjumlah RM105.15 bilion, mengurang 13.2% berbanding tempoh yang sama tahun 2019. Eksport bernilai RM61.57 bilion, turun 8.3% berikutan penyusutan eksport barangan E&E. Namun begitu, kenaikan eksport telah direkodkan bagi keluaran getah serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Import dari EU bernilai RM43.58 bilion, menguncup 19.3%.

Barangan Perkilangan Imbangi Pengurangan Eksport ke Jepun

Pada September 2020, perdagangan dengan Jepun yang mewakili 6.5% daripada jumlah perdagangan Malaysia menyusut 4.9% tahun ke tahun kepada RM10.15 bilion. Eksport mengurang 11.3% kepada RM4.76 bilion disebabkan terutamanya oleh penurunan eksport LNG. Pengurangan ini walau bagaimanapun telah diimbangi oleh kenaikan eksport barangan perkilangan yang berkembang sebanyak 1.6% kepada RM3.67 bilion. Peningkatan eksport telah dicatatkan bagi barangan E&E, keluaran getah, barangan perkilangan logam, tekstil, pakaian dan kasut serta kimia dan bahan kimia. Import dari Jepun meningkat 1.5% kepada RM5.4 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport dan import masing- masing naik sebanyak 10%, 10.3% dan 9.7%.

Bagi tempoh Januari hingga September 2020, perdagangan dengan Jepun menguncup 7.6% kepada RM88.9 bilion berbanding tempoh yang sama tahun 2019. Eksport mengurang 9.8% kepada RM45.14 bilion berikutan penurunan eksport LNG. Kenaikan eksport walau bagaimanapun telah direkodkan bagi petroleum mentah, keluaran getah, barangan optik dan saintifik serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. Import dari Jepun turun 5.1% kepada RM43.76 bilion.

Perdagangan dengan Rakan Dagang FTA

Pada September 2020, perdagangan dengan rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang merangkumi 66.5% daripada jumlah perdagangan Malaysia merekodkan pertumbuhan 5.3% tahun ke tahun kepada RM103.6 bilion. Eksport ke negara rakan dagang FTA bernilai RM59.26 bilion, meningkat 13% manakala import menyusut 3.5% kepada RM44.35 bilion.

Kenaikan eksport direkodkan ke Hong Kong SAR sebanyak 31.9% kepada RM6.71 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, Turki (↑78.5% kepada RM774 juta, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit) dan New Zealand (↑50.6% kepada RM389.4 juta, petroleum mentah).

Berbanding Ogos 2020, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 9.3%, 11.2% dan 6.9%.

Perdagangan dengan rakan dagang FTA bagi tempoh 9 bulan pertama 2020 yang merangkumi 66.5% daripada jumlah perdagangan Malaysia menyusut 5.1% kepada RM860.6 bilion. Eksport bernilai RM438.29 bilion, mengurang 3.6% manakala import berjumlah RM377.31 bilion, turun 7%.

Prestasi Import

Import pada bulan September 2020 menurun 3.6% tahun ke tahun kepada RM66.96 bilion berbanding RM69.44 bilion pada September 2019. Tiga kategori utama import mengikut penggunaan akhir yang merangkumi 70.4% daripada jumlah keseluruhan import adalah:

  • Barang pengantara, berjumlah RM32.84 bilion atau 49% syer daripada jumlah import, mengurang 17.8%, berikutan penyusutan import alat ganti dan aksesori bagi barang modal (kecuali kelengkapan pengangkutan), terutamanya jentera dan kelengkapan elektrikal serta alat ganti;
  • Barang modal, bernilai RM7.66 bilion atau 11.4% daripada jumlah import, turun 1.8%, disebabkan oleh pengurangan import barang modal (kecuali kelengkapan pengangkutan), khasnya alat ganti jentera dan kelengkapan mekanikal; dan
  • Barang penggunaan, berjumlah RM6.63 bilion atau 9.9% daripada jumlah import, naik 11.2%, disokong oleh kenaikan import barang tahan lama, terutamanya alat ganti jentera dan kelengkapan mekanikal.

Bagi tempoh Januari hingga September 2020, import berjumlah RM584.62 bilion, menyusut 6.9% berbanding tempoh yang sama tahun 2019. Import barang pengantara bernilai RM311.11 bilion, mengurang 10.3%, barang modal (RM67.59 bilion, ↓7.8%) dan barang penggunaan (RM54.27 bilion, ↓0.3%).

Press Release Sept 2020 BM.pdf

Press Release Sept 2020 Eng.pdf