Kenyataan Media - Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan

Kenyataan Media

Esok, 24 Februari program imunisasi nasional terbesar yang pernah disaksikan sejarah Malaysia menjadi gamechanger kepada perjuangan kita memerangi pandemik COVID-19.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan merupakan langkah proaktif, tegas dan tuntas Kerajaan Perikatan Nasional dibawah kepimpinan Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin. Program ini merupakan ikhtiyar Kerajaan dalam menjamin penjagaan serta perlindungan kesihatan awam, prihatin dan peduli terhadap kesejahteraan rakyat serta berazam menjana semula kemakmuran negara.

Fokus utama program ini adalah untuk melindungi anggota barisan hadapan bagi memastikan sistem perkhidmatan kesihatan dioptimumkan, melindungi warga berisiko tinggi, membina immuniti kelompok (herd immunity) bagi membuka semula semua sektor ekonomi. Vaksinasi juga berperanan mengawal wabak di kawasan berisiko tinggi sekaligus mengurangkan kadar transmisi COVID-19.

Tidak dapat dinafikan vaksinasi raya (mass vaccination) adalah satu kemestian bagi mempercepatkan dan memastikan pemulihan ekonomi yang mampan, efektif dan lestari. Langkah ini akan merancakkan semula usaha dan aktiviti barisan hadapan ekonomi negara. Ekonomi yang cergas terbit dari badan yang sihat - a healthy economy in a healthy body.

Bank Dunia mengunjurkan bahawa dengan kejayaan pelaksanaan program vaksinasi, ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar 6.7% bagi tahun 2021. Kami yakin usaha ini adalah ‘suntikan booster’ yang akan merangsang pengaliran pelaburan langsung asing (foreign direct investment) ke Malaysia dan memacu pemulihan ekonomi. Apabila immuniti kelompok dicapai dan semua sektor ekonomi kembali dibuka, kita dapat mencerdaskan semula sektor pelancongan yang menyediakan 3.56 juta pekerjaan, salah satu sektor penyumbang pekerjaan terbesar negara.

Hari esok adalah fajar harapan buat Malaysia. Perikatan Nasional menyeru seluruh rakyat untuk memberi dukungan penuh terhadap usaha imunisasi nasional dan memastikan kejayaan milik kita bersama. Teguh kita, menang bersama !

MOHAMED AZMIN ALI

23 FEBRUARI 2021

KM KP Program Vaksinasi Final BM.pdf