Text ucapan YB Dato' Seri Azmin Ali di Kongres Nasional

Mukaddimah 

1. Alhamdulillah, kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat bersatu sebagai sebuah keluarga besar di atas pentas Kongres Negara. Bagi pihak teman-teman sejati dalam perjuangan, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri yang telah sudi memenuhi undangan kami pada hari ini. 

2. Saya juga terharu dengan kehadiran pimpinan tertinggi BERSATU, PAS, MIC dan GPS sebagai tanda sokongan di atas usaha kami yang luhur ini. 

3. Petang ini, kita menggarap seluruh kekuatan pimpinan nasional dan akar umbi. Cuba Tan Sri tenung wajah-wajah yang ada di dalam Dewan Kongres ini. Ada anak muda yang bertenaga, ribuan wanita yang teguh berprinsip dan lautan pejuang veteran yang sarat dengan pengalaman. Kita semua bertekad untuk terus membawa obor perjuangan yang prihatin rakyat. 

4. Lebih 20 tahun yang lalu, kita membuat janji – “our tryst with destiny” demi mengangkat martabat umat dan negara. Kita yang tuntas dengan idealisme dan prinsip, menggembeleng kekuatan massa rakyat untuk melaksanakan Islah. 

5. Demi menunaikan janji tersebut, kita semua telah melalui ranjau perjuangan yang penuh dengan onak dan duri. Kita berdepan dengan pelbagai ujian dan cabaran semata-mata untuk membela yang hak dan menentang kebatilan. 

6. YAB Tan Sri Muhyiddin dan saya ada menyimpan satu rahsia besar. Saya pohon izin Tan Sri untuk berkongsi rahsia ini dengan para hadirin sekalian. Rahsia ini akan saya dedahkan dalam 3 rangkap pantun. Di laut China ada naga, Disambut dengan membakar mercun; Kenapa gerangan mabuk bertanya, Apa cerita Langkah Sheraton Besarnya naga tidak terkira, Berenang ke pantai mendengar mercun; Jangan ada yang terperdaya, Mana ada Langkah Sheraton Muhyiddin Yassin dari muara, Bertemu Azmin berjabat tangan; Demi untuk selamatkan negara, Mereka lakukan Langkah Kanan. Para perwakilan yang budiman, 

7. Kita telah melalui proses politik dan demokrasi yang panjang dan bergulir di luar perkiraan ramai orang dengan keputusan dan tindakan yang strategik. Memang ramai yang tidak menyangkakan perihal ini. Malahan, ada yang sebelum ini skeptikal dan sinikal terhadap kekuatan kita. Namun, seperti ungkapan Nelson Mandela, “It always seems impossible, until it’s done”. 

8. Dimanakah terletaknya kekuatan kita ? Di Puncak Borneo kah ? Di Ranau kah ? Di Segamat kah ? Atau di Ampang ? Gombak sudah pasti. 

9. Kekuatan kita adalah muafakat yang dibingkai dan kekal tenang sebagai satu pasukan strategik dan ketumbukan yang utuh untuk mempertahankan idealisme dan prinsip atas nama kepentingan rakyat dan negara. 

10. Namun, sehebat mana pun strategi dan pasukan kita, kejayaan dan kemenangan masa hadapan menuntut kita untuk memiliki seorang ‘Commander In Chief’ yang berwibawa, tegas dan berhikmah. Saya amat bangga dan berbesar hati kerana pada hari ini, diberikan penghormatan untuk berdiri di sisi ‘Commander In Chief’, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri Malaysia. 

11. Kehadiran Tan Sri pada petang ini membuka lembaran baru dalam lanskap politik negara. Kami bertekad bersama dengan rakan-rakan Perikatan Nasional untuk menjamin sebuah Kerajaan yang stabil, mampan dan diyakini akan merealisasikan aspirasi rakyat. 

12. Kehadiran YAB Tan Sri juga merupakan pengiktirafan terhadap seluruh aktivis Penggerak Komuniti Negara, Pemuda Negara, Nation of Women (NOW) dan Penggerak Wanita Muda Negara sebagai satu kekuatan politik yang akan digembeleng untuk bersama-sama membangunkan hala tuju baharu dalam arena politik Malaysia. Kepimpinan Yang Unggul & Inklusif 

13. Sekian laskar hulubalang rakyat yang ada di dalam Dewan ini, sebenarnya sudah lama menanti. Kita mendambakan satu kepimpinan dan wadah perjuangan yang dapat mewakili suara nurani semua rakyat Malaysia. Kita mahu maju ke hadapan di atas landasan yang betul, yakni landasan yang benar-benar inklusif, landasan yang menggarap segala kepelbagaian rakyat dan landasan yang mantap dan kukuh untuk membawa Malaysia sebagai negara bangsa yang gemilang di mata dunia. 

14. Bukan mudah untuk mencari kepimpinan yang unggul. Ada fikiran yang harus kita catat, ada pendapat yang harus kita dengar, ada ucapan yang harus kita renungkan, ada nasihat yang juga harus kita pertimbangkan. Tapi akhirnya, kita harus berani membuat keputusan tentang masa depan demi menyelamatkan negara dan bangsa ini. 

15. Mengadah membilang atap, menangkup membilang lantai, puas sudah kami renungkan, akhirnya saya dan rakan-rakan pimpinan akar umbi terlihat kelibat seorang insan dari Pagoh, yang berjiwa besar, bekerja kuat dan terbukti sebagai pemimpin yang unggul. 

16. YAB Tan Sri, di dalam Dewan ini, ada perwakilan dari utara hingga selatan, dari timur hingga barat, dari Perlis sampai ke Sabah. Bukan hanya orang Melayu, Cina, India, Iban dan Melanau, kita juga ada pendekar Kadazan dari Kampung Rundum, Tenom ; pahlawan Bajau dari Kampung Bangau, Semporna ; dan kesatria Bugis dari Kampung Tanjung Batu Darat, Kalabakan. 

17. Yang beranak berdukung anak, yang capik datang bertongkat, yang buta datang berpimpin. Semuanya mahu melangkah sederap, maju terus ke hadapan bersama kepimpinan YAB Tan Sri. Ikhtiyar Berdepan Krisis 

18. Semenjak 1 Mac 2020, rakyat melihat bagaimana kepetahan Tan Sri dalam berbicara, ketulusan dalam berdoa, kecekapan dalam bertindak, ketegasan dalam membuat keputusan dan kesungguhan dalam membela nasib rakyat terbanyak. Cabaran- cabaran yang besar sama ada krisis politik, krisis ekonomi dan krisis kesihatan yang belum pernah dihadapi dunia sebelum ini dapat ditangani dengan berhemah dan bijaksana. 

19. Alhamdulillah, masyarakat dunia hari ini mengakui bahawa Malaysia antara negara yang terbaik dalam usaha pemulihan. 

20. Apabila bara digenggam, bara menjadi arang. In victory : magnanimity, In Peace : Good Will. Para perwakilan sekalian, 

21. Kadar pertumbuhan negara yang sebelum ini menguncup 17.1% pada suku tahun kedua 2020 menggamit perhatian Kerajaan untuk terus bekerja kuat bagi merangsang semula ekonomi negara. Melalui langkah Kerajaan yang pantas dan proaktif, kadar penguncupan semakin berkurangan daripada – 28.6% pada bulan April 2020 kepada -3.2% pada bulan Jun 2020. 

22. Badan antarabangsa seperti IMF telah mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 6.3% pada tahun 2021. Ini menggambarkan bahawa pelabur-pelabur asing dan domestik yakin dengan kebijakan Kerajaan Perikatan Nasional. Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) berjumlah RM 295 bilion telah menyuntik dinamisme baru kepada ekonomi negara. 

23. Kita turut bersyukur, kerana kadar pengangguran telah berkurangan dari 5.3% pada Mei 2020 kepada 4.9% pada Jun 2020. Ini bermakna, jumlah pengangguran telah berkurangan sebanyak 52,800 orang. Jaminan peluang pekerjaan yang berkualiti adalah agenda utama Kerajaan hari ini. 

24. Hanya beberapa hari yang lalu, Kerajaan Perikatan Nasional terus memberi fokus terhadap pendidikan dan produktiviti negara melalui pelancaran Inisiatif National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri. Tan Sri menegaskan “the only route for us to become a high income country is to be a high-tech country, a high-tech nation.” 

25. Perikatan Nasional mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai equal partners dalam Malaysia dan akan terus melaksanakan Perjanjian MA63 dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan. Alexander Nanta Linggi dari Kapit, Jugah Muyang dari Lubok Antu, Willie Mongin dari Puncak Borneo dan Ali Biju dari Saratok tersenyum lebar melihat kesungguhan YAB Tan Sri melunaskan sebahagian besar kandungan MA63. 

26. Perikatan Nasional senantiasa berusaha untuk mara ke hadapan dengan gagasan dan semangat fastabiqul khairat. Walaupun di asak oleh segelintir kumpulan yang kecewa, YAB Tan Sri terus tabah dan cekal berani untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan. Demokrasi & Sintesis Agung 

27. Menanggapi dinamika baru geo-politik, geo-ekonomi dan serangan COVID-19, dunia kini memasuki satu era baru. Untuk Malaysia bersaing dan berjaya dalam persekitaran ini, kita memerlukan satu anjakan paradigma dalam dimensi politik nasional. Kita perlu tawaduk dan mengambil iktibar dari sejarah masa lampau. We must learn from the lessons of history. 

28. Kita perlu menelusuri sirah Rasulullah SAW yang menyatu padukan pelbagai kabilah Arab melalui Piagam Madinah. Kepimpinan yang membangun umat, menjadi asas kepada kebangkitan sebuah tamadun yang gemilang. 

29. Di Barat, kita menyaksikan bagaimana Abraham Lincoln melalui Pidato Gettysburg meniupkan ruh dan memberi nyawa baru kepada demokrasi dengan prinsip government of the people, by the people, for the people. 

30. Dalam sejarah politik negara, kita juga perlu mengambil inspirasi dari negarawan Tun Abdul Razak dan tokoh-tokoh politik di zaman tersebut. Perpaduan nasional menjadi keutamaan mengatasi sikap partisan. 

31. Justeru, penubuhan Perikatan Nasional adalah sebuah sintesis agung kepada pengalaman demokrasi negara selama lebih 60 tahun. Kita merangkul segala sumbangan pelbagai parti politik dan intelektual, idea dan citarasa generasi milennial, lembaga swadaya masyarakat, tokoh budaya dan suara golongan terpinggir untuk membina Malaysia yang gagah, adil serta inklusif. 

32. Dalam gagasan ini, tidak ada yang melukut di tepi gantang. Segalanya akan menyertai arus perdana demokrasi negara. Kita akan memurnikan demokrasi dan menjadikannya demokrasi yang benar-benar participatory dan functional. BERSATU untuk MALAYSIA Para perwakilan sekalian, 

33. Berdosa kita jika sekadar menjadi penonton. Ketika negara berdepan dengan pelbagai krisis, negara memerlukan kesatria dan kartini yang menyahut semboyan tanah air. Jangan jadi pahlawan kesiangan. Sekarang masanya….. Kita bersatu untuk Malaysia. 

YAB Tan Sri, 

34. Keberadaan kami di 222 Parlimen adalah bukti bahawa kami sudah bersedia. Kami adalah barisan hadapan yang sanggup terjun ke lapangan untuk bersama memperkukuhkan BERSATU demi kestabilan Kerajaan Perikatan Nasional. 

35. Kami siap siaga untuk merempuh badai dan gelombang bersama-sama teman seperjuangan dalam Perikatan Nasional. Laksana Ertugrul dan pasukannya yang senantiasa bersedia untuk berdepan dengan pelbagai musuh demi keadilan, keamanan dan ketertiban. 

36. Kami bersumpah untuk terus mengangkat martabat umat dan rakyat, kami berikrar untuk menegakkan keadilan buat seluruh rakyat dan kami berjanji untuk memajukan ekonomi demi kesejahteraan rakyat. Datang lah ombak, kami lah bentengnya, Datang lah taufan, kami lah pelindungnya, Datang lah petualang, kami laksamananya. 

37. Maka, dengan penuh rasa ikhlas dan hati yang tulus, pada petang yang keramat ini, saya dan ketumbukan, dari Perlis hingga ke Sabah, sama ada Penggerak Komuniti Negara, Nation of Women (NOW), Pemuda Negara, Wanita Muda Negara dengan ini mengisytiharkan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan menyokong kepimpinan Yang Amat Berhormat Tan Sri sebagai Perdana Menteri. 

38. Sekarang adalah masanya untuk Bersatu. Bersatu demi negara. BERSATU untuk MALAYSIA.