Ucapan Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri YB Dato' Seri Mohamed Azmin Ali - Sidang Media Belanjawan 2021

•    Belanjawan 2021: Teguh Kita, Menang Bersama adalah merupakan belanjawan yang cukup prihatin, inklusif, responsif dan mampan. Ini mencerminkan belanjawan yang amat bertanggung-jawab yang telah mengambil kira setiap keperluan rakyat negara ini dipelbagai peringkat.   

•    Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyambut baik peruntukan sejumlah RM1.206 billion untuk tahun 2021 dengan perbelanjaan mengurus sebanyak RM582.34 juta dan perbelanjaan pembangunan sejumlah RM623.89 juta. Peruntukan ini akan dapat membantu MITI dan agensi-agensi di bawah MITI untuk melaksana dan menjayakan strategi-strategi dan program-program di dalam sektor perdagangan, pelaburan dan industri yang telah dirancangkan bagi tahun 2021. Pelaksanaan program-program di bawah MITI juga menyokong pembangunan ekosistem ekonomi dan turut mempercepatkan pemulihan ekonomi negara yang secara langsung akan meningkatkan aktiviti perniagaan dan industri, potensi pelaburan asing dan domestik serta melindungi dan menjana pekerjaan baharu khususnya bagi rakyat tempatan. 

•    Inisiatif-inisiatif di bawah MITI yang diumumkan di Belanjawan 2021 adalah seperti berikut:

i.    Dana Strategik RM1 billion sebagai pakej galakan pelaburan berteknologi dan nilai tambah tinggi yang di antaranya untuk sektor aeroangkasa, elektrikal & elektronik, mesin & peralatan, peranti perubatan, perkapalan dan beberapa lagi. 

ii.    RM100 juta untuk menyelenggara kawasan perindustrian. MITI akan memastikan prasarana yang mencukupi bagi meningkatkan ekosistem kawasan perindustrian bagi menarik pelaburan dan syarikat asing ke dalam negara. 

iii.    RM45 juta bagi menyelesaikan isu pembekalan air yang menjejaskan sektor perindustrian di zon perindustrian Gebeng (Pinjaman daripada MOF kepada negeri Pahang). 

iv.    Skim Transformasi Pendigitalan Industri bernilai RM1 bilion bertujuan untuk merancakkan aktiviti pendigitalan oleh pihak industri.

v.    Dana tambahan berjumlah RM150 juta di bawah Skim Geran Pendigitalan SME dan Geran Automasi. 

vi.    Pelonggaran syarat galakan cukai untuk Hab Prinsipal dilanjutkan sehingga 31 Disember 2022. 

vii.    Penurunan kadar cukai bagi penubuhan Global Trading Centre kepada kadar konsesi 10 peratus bagi tempoh 5 tahun dan boleh diperbaharui bagi tempoh 5 tahun lagi. 

viii.    Platform Jananiaga dengan peruntukan RM300 juta untuk membantu kewangan PKS yang berurusan dalam pembekalan kepada Kerajaan atau GLC.

ix.    Lanjutan layanan kadar cukai pendapatan istimewa pada kadar rata 15 peratus untuk tempoh 5 tahun kepada individu bukan warganegara yang memegang jawatan utama bagi pelaburan baharu strategik oleh syarikat yang memindahkan operasi ke Malaysia. 

x.    Galakan Cukai Istimewa kepada syarikat di sektor perkilangan yang ingin memindahkan perniagaan mereka ke Malaysia di mana galakan cukai diperluaskan kepada sektor perkhidmatan terpilih.  

xi.    Kemudahan Authorised Economic Operator atau AEO di peringkat nasional bertujuan mempermudah proses akreditasi AEO dan diperluas kepada pembekal perkhidmatan logistik dan operator gudang yang bertindak bagi pihak-pihak yang diluluskan AEO.

xii.    Sejumlah RM35 juta bagi Misi Perdagangan dan Pelaburan pada tahun 2021.

•    Peruntukan ini membolehkan MITI dan 13 agensi-agensi di bawahnya membantu pihak industri mendepani cabaran-cabaran yang telah menjejaskan prestasi perniagaan mereka secara drastik. Selain daripada itu, dalam proses pemulihan perniagaan, pihak industri tersebut juga akan dapat mentransformasikan operasi mereka ke arah pengaplikasian teknologi Industri 4.0 yang tentunya memudahkan operasi-operasi perniagaan dalam norma baharu. 

•    Melalui sesi-sesi libat urus yang dijalankan oleh MITI, antara cabaran yang dihadapi oleh persatuan perdagangan dan industri, badan-badan profesional serta pihak industri adalah melibatkan kekangan dalam aliran tunai, kawalan pergerakan pekerja dan gangguan rantaian bekalan. Justeru, peruntukan yang diberikan kepada MITI ini akan dapat merealisasikan inisiatif untuk membantu meringankan beban-beban perniagaan pemain industri. 

•    Disebabkan cabaran impak ekonomi global, Malaysia telah mencatatkan pelaburan asing bernilai RM19.5 bilion pada pertengahan tahun 2020, berbanding dengan RM52.6 bilion atau pengurangan sebanyak 62.9 peratus, pada tempoh yang sama tahun lepas. Ini adalah selari dengan Laporan World Investment Report 2020 di mana UNCTAD telah menjangkakan penurunan sebanyak 30 hingga 40 peratus (USD920 bilion hingga USD 1.08 trillion) bagi pelaburan asing global. 

•    Walau bagaimanapun, bagi perdagangan luar Malaysia pula, pada September 2020 jumlah perdagangan negara telah meningkat 5.5 peratus kepada RM155.88 bilion berbanding September 2019. Kenaikan perdagangan telah direkodkan terutamanya dengan China, Hong Kong SAR, Amerika Syarikat (AS), Belanda dan Taiwan. Eksport pulih dengan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.6 peratus kepada RM88.93 bilion, merupakan nilai eksport yang tertinggi pernah direkodkan bagi bulan September. Import menyusut 3.6 peratus kepada RM66.96 bilion.

•    Lebihan dagangan pada September 2020 melonjak 149.3 peratus tahun ke tahun kepada RM21.97 bilion dan merupakan lebihan dagangan tertinggi pernah direkodkan bagi bulan September.

•    Barisan Hadapan Ekonomi di MITI dan Agensi-agensi, di bawah kepimpinan Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali serta Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri YB Datuk Lim Ban Hong, akan terus melipatgandakan usaha untuk melindungi dan memulihkan ekonomi Malaysia demi kesejahteraan rakyat dan kelangsungan hidup mereka.

Infografik Belanjawan 2021 (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri)