KENYATAAN MEDIA – Kesatuan Bersama Rakyat Perangi COVID-19 

Perikatan Nasional menjunjung tinggi titah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang mengiktiraf kejayaan Kerajaan Persekutuan pimpinan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menangani wabak COVID-19 dengan baik dan berkesan.

Perikatan Nasional juga menjunjung kasih di atas keyakinan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terhadap pelaksanaan kebijakan dan tindakan penguatkuasaan oleh Kerajaan Persekutuan demi melindungi kesihatan rakyat, memelihara kebajikan dan menjamin keselamatan rakyat serta mencerdaskan ekonomi negara.

Perikatan Nasional bertekad untuk terus bekerja kuat bersama-sama rakyat dan barisan hadapan negara bagi memerangi pandemik COVID-19. Pentadbiran YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin tuntas memberikan kepimpinan dan berganding bahu bersama-sama pakar kesihatan dan ekonomi serta pasukan keselamatan untuk mencerakinkan pelan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani wabak ini secara holistik.

Perikatan Nasional menyambut baik semangat solidariti parti-parti komponen; PAS, STAR dan SAPP serta Ahli-Ahli Parlimen UMNO, MCA, MIC, PBRS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang telah menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mendukung Kerajaan Perikatan Nasional. Perikatan Nasional menyeru semua pihak khususnya pemimpin politik merentasi segenap batas perbezaan untuk segera mendakap kesatuan bersama rakyat demi memerangi COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI 

27 Oktober 2020

201027 – Kenyataan Media – Perikatan Nasional – Kesatuan Bersama Rakyat Perangi COVID-19.pdf

SIARAN MEDIA – SEKTOR EKONOMI DISARAN UNTUK MEMPERTINGKATKAN AMALAN BEKERJA DARI RUMAH BAGI KAKITANGANPENGURUSAN DAN PENYELIAAN

  • Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri semalam telah membincangkan maklumbalas dan situasi terkini pandemik COVID-19. Sebagai langkah preemptive untuk membendung penularan COVID-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berpandangan terdapat keperluan mendesak untuk memperketatkan SOP dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu dengan menghadkan pergerakan orang ramai terutamanya di Negeri Selangor dan Kuala Lumpur yang mempunyai jumlah penduduk yang padat dan merupakan antara hab perindustrian utama negara. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memandang serius gesaan KKM yang menasihati orang ramai untuk terus berada di rumah supaya kita dapat flatten the curve dalam masa terdekat.
  • Sebagai sebuah Kerajaan yang prihatin dan bertanggungjawab, keseimbangan di antara perlindungan kesihatan awam dan kelangsungan aktiviti ekonomi adalah penting untuk dicapai.
  • Berdasarkan sistem pangkalan data MITI COVID-19 Intelligent Management System (CIMS), jumlah pekerja yang berdaftar dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan di Sabah, Labuan, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya adalah seramai 3.1 juta orang. Mengambil tanggungjawab bersama untuk melindungi kesihatan rakyat dan pekerja, MITI akan segera melaksanakan keputusan MKN supaya pihak industri memperkenalkan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) atau Work From Home (WFH) bagi kakitangan
  • Daripada jumlah pekerja di atas, maklumbalas yang diterima daripada industri, seramai 776,135 orang pekerja atau 25 peratus adalah pekerja dalam bidang pengurusan dan penyeliaan. Kumpulan ini diwajibkan untuk menjalani BDR bermula 22 Oktober 2020 selaras dengan keputusan MKN.
  • Walau bagaimanapun, mengambilkira keperluan pihak industri yang memerlukan kehadiran sebilangan kecil pekerja peringkat pengurusan dan penyeliaan, MITI bersetuju untuk membenarkanmaksimum 10 peratus pekerja merangkumi antaranya tugasan yang melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan ICT untuk berada di pejabat yang dihadkan selama 4 jam sahaja bermula jam 10 pagi sehingga 2 petang untuk 3 hari seminggu.
  • Syarikat-syarikat tidak perlu mengemukakan permohonan bagi tujuan ini. Majikan hanya perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh PKPB. Majikan perlu menetapkan garis panduan BDR yang bersesuaian mengikut keperluan syarikat masing-masing.
  • Kerajaan akan terus bekerjasama dengan pihak swasta dan industri dalam usaha untuk mempertingkatkan pelaksanaan BDR sebagai norma baharu selari dengan kecanggihan teknologi terkini dan aplikasi atas talian. MITI akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan pelaksanaan dan pematuhan SOP di kalangan pihak industri.

-TAMAT-

YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali 

Menteri Kanan

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

21 Oktober 2020

Kenyataan Media – Rakyat Sabah Pilih Pengukuhan Kerjasama Persekutuan – Negeri

27 SEPTEMBER 2020

Keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah 2020 menyaksikan kematangan rakyat Sabah menjunjung semangat federalisme demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.

Mandat yang diberikan oleh rakyat Sabah jelas membuktikan bahawa rakyat memilih sebuah Kerajaan Negeri yang prihatin, inklusif dan menjamin kedaulatan negeri serta keselamatan rakyat.

Keputusan ini juga membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri serta muafakat dan kerjasama dalam Perikatan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah.

Dengan penuh rasa tawadhu’, Perikatan Nasional akan menggalas mandat ini dengan tekad dan iltizam untuk menjana usaha pembangunan serta mencerdaskan ekonomi pasca pandemik COVID-19. Selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama, negeri dan rakyat Sabah akan menikmati pembangunan yang inklusif, saksama dan berkualiti.

Kemenangan ini pastinya akan menyemarakkan lagi kerjasama yang lebih utuh dalam Perikatan Nasional untuk menggembeleng dukungan rakyat di seluruh negara sekaligus membangun sebuah negara bangsa yang bermaruah dan bersatu padu.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Ketua Penerangan

Perikatan Nasional

Kenyataan Media – Ucapan Mohamaddin Ketapi adalah satu pembohongan dan hasutan untuk memecah belahkan perpaduan dan kesatuan rakyat

21 September 2020

Setiap rakyat Malaysia bertanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara dan keutuhan wilayahnya (territorial integrity). Justeru itu, sebarang kenyataan dan ucapan yang meremehkan kedaulatan tanah air bukan sahaja tidak patriotik bahkan berbau hasutan dan mengkhianati negara bangsa.

Berpegang kepada prinsip ini, saya mengecam sekeras-kerasnya ucapan pemimpin utama Parti Warisan Sabah (Warisan) juga calon DUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi yang jelas menghina jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan negara yang bertarung nyawa mempertahankan kedaulatan tanah air ketika Negeri Sabah di serang pengganas pada tahun 2013

Peristiwa hitam di Tanduo, Lahad Datu tersebut telah mengakibatkan pertempuran di antara pasukan keselamatan negara dengan penceroboh militan dari Filipina sehingga mengorbankan 12 orang anggota keselamatan dan orang awam serta mencederakan ramai anggota yang lain.

Menyifatkan pencerobohan bersenjata ke atas wilayah negara sebagai satu “sandiwara”, ucapan Mohamaddin Ketapi adalah satu pembohongan dan hasutan untuk memecah belahkan perpaduan dan kesatuan rakyat. Ucapan beliau turut mencerminkan betapa Warisan tidak komited untuk mempertahankan kedaulatan negeri dan keselamatan rakyat Sabah.

Perikatan Nasional bertegas bahawa perjuangan untuk mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan dan keutuhan wilayah merupakan tanggungjawab suci setiap anak watan yang cintakan kesejahteraan dan kemakmuran.

Pada masa yang sama, ucapan Mohamaddin Ketapi juga telah mempersenda pasukan keselamatan negara serta menghina jasa dan pengorbanan setiap anggota yang terkorban. Saya yakin, keluarga besar pasukan keselamatan negara khususnya mereka yang terkorban dalam pertempuran tersebut serta seluruh rakyat Malaysia yang patriotik tidak boleh menerima keceluparan beliau.

Perikatan Nasional mendesak Mohamaddin Ketapi menarik balik kata-kata penghinaan tersebut dan segera memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya keluarga pasukan keselamatan yang terkorban dalam menjalankan tanggungjawab suci mempertahankan tanah air.

Saya menyeru seluruh rakyat Sabah untuk menolak sesiapa sahaja yang cuba mempermain-mainkan kedaulatan dan keselamatan untuk tujuan politik sempit. Marilah kita memperkukuhkan perpaduan dan menggembeleng seluruh kekuatan rakyat sekaligus menyuburkan semangat cintakan tanah air bersama-sama Perikatan Nasional.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Ketua Penerangan

PERIKATAN NASIONAL

200927-kenyataan-media-ketua-penerangan-perikatan-nasional-1.pdf

Saya ingin merujuk kepada sesi penggulungan perbahasan Titah DiRaja di Dewan Rakyat pada 3 Ogos 2020 di mana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) diberi peluang sebagai Kementerian yang pertama untuk menjawab semua pertanyaan yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat semasa perbahasan yang berkaitan dengan MITI.

Celahan Yang Berhormat Lim Guan Eng ketika sesi penggulungan perbahasan Titah DiRaja yang mempersoalkan jawapan saya berkaitan pendirian Kerajaan mengenai Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) adalah bersifat politik dan tidak bertanggungjawab.

Ingin saya tegaskan bahawa jawapan yang saya berikan adalah berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 5 September 2018 di bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang bersetuju supaya Malaysia meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) tanpa menetapkan tempoh khusus untuk ratifikasi tersebut.
Beberapa perbincangan susulan berkaitan CPTPP di peringkat Jemaah Menteri sepanjang tahun 2019 dan awal tahun 2020 adalah untuk menilai kesediaan Malaysia dalam melengkapkan proses domestik, khususnya dalam memuktamadkan pindaan undang-undang yang telah dikenalpasti ke arah meratifikasikan CPTPP. Jemaah Menteri pentadbiran Pakatan Harapan tidak pernah membuat keputusan untuk menolak CPTPP seperti yang didakwa oleh Yang Berhormat Lim Guan Eng.

Justeru, kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat Lim Guan Eng adalah mengelirukan dan berniat jahat untuk memesongkan fakta sebenar. Ianya tidak wajar dikeluarkan oleh seorang yang memegang salah satu portfolio penting dalam Kabinet Pakatan Harapan pada ketika itu.

Saya menyerahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Kanan
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyambut baik pelaksanaan 40 inisiatif di dalam Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Semenjak Kerajaan membuka semula hampir kesemua sektor ekonomi pada 4 Mei 2020, Malaysia terus mencatatkan kejayaan dalam usaha membendung penularan COVID-19 diimbangi dengan langkah mencerdaskan ekonomi negara. Jumlah kes COVID-19 kini di tahap satu digit, dengan kebarangkalian yang kecil untuk peningkatan mendadak. Dengan hampir semua sektor telah dibuka semula, 83 peratus pekerja sudah kembali bekerja. Walau bagaimanapun, Kerajaan menyedari akan cabaran yang dihadapi oleh syarikat-syarikat untuk memulakan operasi mereka. Dalam sesi libat urus yang dijalankan oleh MITI, antara cabaran yang dihadapi oleh persatuan perdagangan dan industri, badan-badan profesional, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah kekangan aliran tunai, kawalan pergerakan pekerja dan gangguan rantaian bekalan. Kerajaan komited untuk menangani cabaran-cabaran ini bersama sektor swasta dengan memperkenalkan pakej rangsangan PRIHATIN yang bernilai RM260 bilion untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi. Pakej PENJANA yang bernilai RM35 bilion adalah bukti iltizam Kerajaan untuk merencanakan agenda negara ke arah pemulihan ekonomi yang pantas. PENJANA adalah pemudahcara untuk memakmurkan rakyat, merancakkan aktiviti perniagaan serta menjana kemampanan ekonomi. Pelanjutan tempoh 3 bulan bagi Program Subsidi Upah dengan peruntukan RM5 bilion akan dapat menjamin perlindungan pekerjaan rakyat Malaysia. Sebanyak RM600 akan diperuntukkan bagi setiap seorang pekerja di mana usaha ini akan terus membantu pihak industri dan PKS menangani kekangan aliran tunai. Pengenalan subsidi upah menerusi pakej rangsangan terdahulu telah diterima baik oleh pekerja dan majikan serta telah menyelamatkan lebih daripada 2.2 juta pekerjaan. Kini dengan pembukaan hampir kesemua industri dan lebih 12 juta orang pekerja telah kembali bekerja semula, pelanjutan program ini diyakini akan terus memberi bantuan kepada para pekerja. Para pekerja di dalam sektor-sektor yang amat terkesan akibat pandemik ini, seperti pelancongan, turut akan menikmati faedah daripada Program Subsidi Upah. Melalui pengenalan insentif antara RM600 ke RM1,000 kepada majikan yang menawarkan peluang pekerjaan kepada penganggur dan pelatih industri, Kerajaan dapat memastikan manfaat-manfaat yang disediakan akan dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat. Dalam usaha untuk menggalakkan lebih ramai pekerja bekerja dari rumah, Kerajaan telah mengumumkan pelepasan cukai untuk pembelian perkakasan ICT. MITI melihat inisiatif Kerajaan dalam perkara ini adalah amat penting dalam usaha Kerajaan untuk melangkah ke arah ekonomi digital. Insentif ini sememangnya akan mendorong sektor swasta untuk kekal produktif dan anjal, meskipun bekerja dari rumah. Ini seterusnya akan meningkatkan penggunaan teknologi dalam proses kerja, dan seterusnya mencapai hasrat Kerajaan untuk membudayakan pendigitalan di dalam komuniti perniagaan amnya, dan ekonomi secara menyeluruh. PENJANA turut menawarkan pelbagai kelebihan sebagai pemangkin ekonomi utama negara, termasuklah PKS, Syarikat Peringkat Pertengahan (MTCs), Perusahaan Sosial dan Start-Up. Langkah ini menunjukkan tindakan Kerajaan yang pantas dalam memenuhi keperluan entiti-entiti ini. Langkah ini akan menyuntik dinamisma baru dalam sektor PKS yang merupakan pencipta pekerjaan terbanyak dalam ekonomi. Sektor ini juga perlu melakukan anjakan paradigma melalui penggunaan teknologi dan inovasi termasuk pendigitalan supaya kecekapan dan produktivitinya melonjak. Bantuan kewangan khas berjumlah RM500 juta yang disalurkan kepada PUNB dan MARA adalah amat bertepatan dalam usaha untuk mengukuhkan penglibatan Bumiputera dan memastikan kemampanan perniagaan dan keusahawanan. MITI juga mengalu-alukan geran padanan RM10 juta untuk Perusahaan Sosial. Secara definisinya, Perusahaan Sosial adalah perniagaan yang berfokuskan kepada model keuntungan yang mementingkan objektif tanggungjawab sosial, seperti meningkatkan mata pencarian golongan B40 dan terpinggir atau melindungi kesejahteraan alam sekitar. Geran padanan ini adalah langkah yang tepat bagi memupuk budaya perniagaan yang inklusif dan bertanggungjawab untuk kebaikan bersama masyarakat. Peruntukan RM100 juta bagi Teknologi dan Inovasi Sandbox Nasional akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pesat start-up di Malaysia. Ini penting dalam memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi bagi pembangunan start-up yang secara tidak langsung akan menarik pemain industri teknologi yang berpotensi sebagai game changer. Skim insentif cukai yang diperkenalkan dalam PENJANA dijangka akan menarik lebih banyak pelaburan dan mencipta peluang pekerjaan baru yang berteknologi tinggi. Pengecualian cukai sepenuhnya selama 10 tahun akan diberikan bagi pelaburan baharu dalam harta tetap antara RM300 juta hingga RM500 juta manakala pelaburan dalam harta tetap melebihi RM500 juta akan menikmati pengecualian cukai sepenuhnya selama 15 tahun. Galakan Khas Elaun Pelaburan Semula akan diberikan bagi tahun taksiran 2020 hingga 2021. Insentif-insentif cukai ini akan memberikan impak positif yang amat diperlukan bagi pelaburan dan penciptaan pekerjaan. MITI yakin kesemua insentif-insentif ini akan meningkatkan pelaburan domestik dan asing selain menarik syarikat-syarikat multinasional untuk memindahkan operasi mereka ke Malaysia. Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sebuah agensi di bawah MITI, akan menubuhkan satu unit baharu – Project Acceleration and Coordination Unit (PACU) yang akan memudahkan proses kelulusan, selain mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pengilangan. Proses kelulusan lesen pengilang bagi industri tidak sensitif juga akan disingkatkan ke 2 hari bekerja sahaja. MITI yakin dengan adanya pelan pemulihan terbaharu ini bersama dengan kelonggaran kawalan pergerakan akan memberikan anjakan bagi memacu dan menyuburkan semula ekonomi negara sekaligus menjamin pemulihan ekonomi yang menyeluruh.

1. Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Singapura telah bersetuju untuk menyambung semula perbincangan mengenai projek infrastruktur kereta api laju KL- Singapura dalam masa terdekat.

2. Perbincangan ini akan merangkumi beberapa cadangan perubahan dalam aspek komersial dan teknikal.

3. Keputusan ini dicapai setelah kedua-dua belah pihak bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan keputusan mengenai projek kereta api laju Kuala Lumpur- Singapura sehingga 31 Disember 2020.

4. Saya telah diminta oleh Jemaah Menteri untuk mengetuai pasukan Malaysia dalam perbincangan dengan Kerajaan Singapura mengenai projek ini.

-TAMAT-

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

MENTERI KANAN

MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI

31 MEI 2020

YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan mengadakan lawatan kerja sehari ke negeri Kedah Darul Aman esok, 28 Mei 2020.

YB Menteri dijadualkan mengadakan kunjungan hormat dengan Menteri Kedah YAB Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman pada 2 petang. Pertemuan bagi kedua pemimpin ini adalah yang pertama sejak YAB Muhammad Sanusi dilantik sebagai Menteri Besar Kedah pada 17 Mei 2020.

Dalam kunjungan hormat ini YB Dato’ Seri Azmin dijangka akan berbincang dengan YAB Menteri Besar berhubung kedudukan peluang pelaburan di negeri itu dan bagaimana negeri Kedah mampu terus menjadi tarikan pelabur asing pasca COVID-19 selain menjadi hab pembuatan bagi sektor-sektor terpilih.

Di samping itu YB Dato’ Seri Azmin juga dijangka mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua perniagaan setempat serta pemimpin komuniti tempatan.

-TAMAT-

YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Menteri Kanan

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

27 Mei 2020

Siaran Media – Kebenaran bekerja untuk pekerja sektor swasta diberikan kepada syarikat yang mendapat kelulusan untuk beroperasi

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pagi ini telah menekankan perlunya majikan menyediakan surat kebenaran kepada pekerja untuk memudahkan pergerakan mereka sekiranya ditahan pihak berkuasa yang membuat rondaan sepanjang tempoh PKP. Langkah ini juga bagi memastikan adanya penguatkuasaan yang lebih ketat ke atas pekerja-pekerja industri yang diarahkan bertugas.

Sehubungan itu, Mesyuarat telah memutuskan kebenaran untuk pergerakan pekerja bagi pihak industri yang diluluskan dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI).

Menjurus kepada keputusan ini, MITI telah mengambil langkah proaktif pagi ini dengan menyatakan kebenaran untuk beroperasi dan bekerja tersebut di dalam surat kelulusan kepada syarikat-syarikat yang akan beroperasi sepanjang PKP. Kelulusan ini juga terhad kepada syarikat-syarikat di dalam sektor pembuatan produk penting yang telah mendapat kelulusan untuk meneruskan operasi pada kadar minima.

Kebenaran bekerja ini juga terhad kepada jumlah pekerja-pekerja yang diluluskan kepada syarikat untuk beroperasi, dan kebenaran untuk meletakkan mesin kilang dalam keadaan siap siaga.

Syarikat-syarikat yang juga pemilik kilang ini wajib memberi surat kebenaran perjalanan kepada pekerja-pekerja yang bertugas, serta melampirkan bersama surat kebenaran beroperasi yang dikeluarkan MITI. Syarikat perlu juga menyenaraikan nama-nama pekerja yang dikenalpasti membawa surat kebenaran perjalanan tersebut untuk pergerakkan mereka dari kediaman ke kilang/premis masing-masing.

Jumlah surat kebenaran ini hanya boleh dikeluarkan oleh pihak syarikat kepada pekerja mereka sahaja mengikut bilangan pekerja yang telah diluluskan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Walau bagaimanapun, kelulusan yang diberikan boleh dibatalkan dan ditarik balik sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi oleh syarikat

Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI)

20 Mac 2020

Bermula hari ini, syarikat-syarikat dari hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi susulan keputusan Jemaah Menteri pada 29 April 2020. Walau bagaimanapun, Kerajaan menyedari bahawa beberapa Kerajaan Negeri tidak mahu bekerjasama untuk melaksanakan keputusan tersebut. Keputusan untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibuat dengan penuh teliti, berhati-hati dan bertanggungjawab serta didokong oleh data dan kajian oleh Kementerian Kewangan, MITI, Bank Negara Malaysia dan Khazanah Nasional Berhad.

Hasil kajian ini telah dibentangkan untuk perbincangan dengan Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri semasa Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada 28 April 2020. Berdasarkan perbincangan dalam mesyuarat ini, Kerajaan-Kerajaan Negeri menyedari bahawa sekiranya PKP yang sedia ada dilanjutkan sehingga Jun 2020, kesan kumulatif kehilangan pendapatan negara dianggarkan sebanyak RM146 billion atau kekurangan sebanyak 10.3% KDNK. Keadaan ini akan menghapuskan kemajuan ekonomi yang telah dicapai sepanjang empat tahun yang lalu.

Sehubungan dengan itu, Mesyuarat ini telah bersetuju untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi dalam tempoh PKPB bermula 4 Mei 2020. Untuk memastikan keberkesanan pelaksanaan keputusan ini, Kerajaan Persekutuan akan menyediakan Prosidur Operasi Standard (SOP) yang komprehensif dan ketat untuk digunapakai oleh semua pihak dan SOP ini akan dibekalkan kepada Kerajaan-Kerajaan Negeri. Untuk tujuan penjelasan, SOP ini telahpun diserahkan kepada semua Kerajaan Negeri pada 2 Mei 2020, iaitu sebelum tarikh penguatkuasaan PKPB.

Dakwaan bahawa Kerajaan memulakan semula (restart) ekonomi dalam keadaan tergesa-gesa adalah tidak benar dan tidak berasas. Kerajaan telah melaksanakan langkah-langkah pembukaan ekonomi secara berperingkat mulai 18 Mac hingga 28 April di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 1 hingga 3 dengan pematuhan syarat-syarat kesihatan. Tindakan yang teliti dan berhati-hati telah menunjukkan hasil yang baik khususnya dalam aspek penambahbaikan sektor ekonomi yang dibuka dan pada masa yang sama, tidak menjejaskan usaha Kerajaan dalam membendung penularan COVID-19.

Kerajaan telah melaksanakan PKP selaras dengan peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dikawal dengan berkesan. Pelaksanaan PKP ini melibatkan seluruh negara termasuk di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan, Sarawak dan Sabah. Keputusan ini mengambil kira kepentingan dan keutamaan kesihatan serta kesejahteraan rakyat dan memastikan keperluan menjana semula ekonomi.

Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa keputusan Kerajaan untuk memulakan semula ekonomi adalah berdasarkan tanda aras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggariskan enam kriteria utama iaitu kawalan keselamatan, kawalan pergerakan, kemampuan sistem kesihatan, kemampuan melindungi golongan berisiko tinggi, mengamalkan kebiasaan baharu (new normal) dan kemampuan melaksanakan langkah pencegahan dalam komuniti. Inisiatif Kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19 telah diiktiraf antara yang terbaik di dunia. Sistem penjagaan kesihatan negara mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk melaksanakan usaha-usaha melindungi kesihatan rakyat dan membendung penularan wabak COVID-19.

Sehubungan itu, Kerajaan memandang serius terhadap pendirian beberapa buah Kerajaan Negeri yang ingkar untuk melaksanakan keputusan ini. Tindakan Kerajaan-Kerajaan Negeri yang berkenaan adalah tidak bersandarkan kepada punca kuasa yang sah di bawah mana-mana undang-undang dan adalah bercanggah dengan dasar Kerajaan Persekutuan, lebih-lebih lagi memandangkan dasar Kerajaan Persekutuan tersebut telah pun dijadikan undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara.

Dalam hal ini, peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta 342 adalah undang-undang khusus bagi tujuan mencegah dan mengawal penularan COVID-19. Oleh itu, ia mengatasi (prevail) peruntukan undang-undang bertulis yang lain berhubung dengan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit.

Peraturan bagi PKPB yang berkuatkuasa pada hari ini antara lain menyenaraikan aktiviti yang dilarang untuk dilakukan oleh mana-mana pihak sepanjang tempoh PKPB. Perlu dijelaskan di sini bahawa hanya aktiviti yang dilarang sahaja merupakan satu kesalahan manakala selain daripada aktiviti tersebut, adalah dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKPB. Sehubungan ini, PKPB adalah berbeza dengan PKP Tahap 1, 2, 3 dan 4 sebelum ini memandangkan di bawah PKPB terdapat kelonggaran diberikan dalam pelaksanaannya bagi maksud membolehkan hampir semua sektor ekonomi mula beroperasi semula dalam keadaan terkawal dan berhati-hati.

Kerajaan telah mengambil langkah dengan mengadakan pelbagai sesi libat urus bersama dengan pemegang taruh sektor-sektor ekonomi khususnya persatuan-persatuan industri, dewan-dewan perniagaan tempatan dan antarabangsa serta pengusaha-pengusaha industri kecil dan sederhana bagi mengenalpasti impak kepada kelangsungan perniagaan, rantaian bekalan dan pekerjaan. Justeru, keputusan Kerajaan bagi membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi untuk memulihkan dan merangsang semula ekonomi dijangka memberi impak yang positif ke atas pertumbuhan ekonomi dan kedudukan kewangan negara, bukan sahaja di peringkat Persekutuan malahan juga bagi peringkat negeri.

Kerajaan juga mengambil maklum kenyataan media beberapa pertubuhan industri termasuk Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang telah menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak boleh menghalang mana-mana syarikat untuk memulakan operasi bermula 4 Mei 2020. Sekiranya Kerajaan Negeri tidak memberikan kerjasama untuk melaksanakan Akta 342 yang telah dijadikan undang-undang yang berkuatkuasa di seluruh negara, Kerajaan-Kerajaan Negeri berkenaan mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak, khususnya dari pihak industri.

Perlu ditegaskan bahawa keputusan Kerajaan Persekutuan adalah sah dari segi undang-undang. Akta 342 telah digubal dan dikuatkuasakan mulai 1 April 1989 berikutan persetujuan Negeri-Negeri pada masa itu termasuklah Sabah dan Sarawak untuk mewujudkan satu undang-undang yang seragam bagi tujuan mencegah dan mengawal penyakit berjangkit di Malaysia dan berkuat kuasa di seluruh negara.

Sehubungan dengan ini, Kerajaan Negeri adalah diminta untuk bekerjasama dalam melaksanakan keputusan Kerajaan Persekutuan supaya negara dapat menjana semula keupayaan ekonomi. Kerajaan yakin kita mampu memerangi pandemik COVID-19 ini dengan jayanya sebagai satu pasukan. Kita telah berganding bahu dalam melaksanakan PKP demi membendung penularan wabak COVID-19. Sekarang ini, kita perlu terus bersatu serta memperkukuhkan kerjasama demi kelangsungan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

Menteri Kanan

Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri

Isnin, 4 Mei 2020