Isu Hudud: Penjelasan Lengkap Ucapan Dato’ Seri Anwar Ibrahim

24hb September 2011

Saya tegaskan bahawa Pakatan Rakyat merupakan suatu muafakat utuh dan berlandaskan kejujuran mahukan Perubahan buat rakyat negara Malaysia. Oleh kerana itu, isu yang menyentuh kepentingan rakyat pastinya dibincangkan bersama kesemua wakil dari parti komponen serta keputusan yang dibuat merupakan pendirian bersama. Pun demikian Pakatan Rakyat berpendirian, setiap dari parti komponen sewajarnya mempunyai ruang untuk mengungkapkan keyakinan, faham serta ideologi terutamanya kepada pendokong mereka. Saya sendiri telah merujuk ke mahkamah syariah berkaitan tuntutan qazaf, dan pimpinan Pakatan Rakyat tidak pernah pula menghalang. Hakikatnya hanya Menteri Hal Ehwal Agama Umno yang bertindak menghalang saya dari meneruskan tuntutan qazaf tersebut. Selain itu Dato’ Jamil Khir terpalit dengan tuduhan bahawa beliau menggunakan dana zakat bagi membiayai kos guaman kerana tidak memulakan pendakwaan terhadap Saiful Bukhari dalam tuntutan Qazaf saya. Permuafakatan Pakatan Rakyat bukanlah suatu bentuk usahama seperti Umno-BN yang sekadar mahu mendapat laba politik sehingga menafikan hak serta suara mereka yang tidak sehaluan.

Berkaitan hasrat Negeri Kelantan mahu melaksanakan hudud, saya berpandangan kita sewajarnya menghormati keputusan tersebut, namun pastinya ia tertakluk kepada beberapa perkara. Pertamanya persoalan Maqasid al Syariah, Matlamat Utama Syariah, iaitu menjamin keadilan untuk semua. Malah dalam karya saya yang berjudul Gelombang Kebangkitan Asia, tuntas saya ungkapkan keutamaan Maqasid al Shariah demi menjamin keadilan untuk semua. Justeru adalah baik untuk kita merenung beberapa aspek perundangan syariah yang berjaya dilaksanakan di Kelantan, maka tidak wajar buat saya menempelak atau meremehkan langkah tersebut.

Sebagai seorang Muslim, pastinya saya menjunjung tinggi perintah Allah SWT serta pesan-pesan Nya yang terkandung di dalam Al Quran. Apabila ditanya, apakah pandangan saya mengenai hudud di Malaysia dan isu berkaitan undang-undang syariah serta perlaksanaannya oleh mahkamah syariah di negara ini, jawab saya, dalam konteks masyarakat Malaysia, kita semua tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana itu perlaksanaan hukum Islam sewajarnya mengambil kira keberkesanan pentadbiran mahkamah syariah negara ini memastikan keadilan untuk semua. Menyentuh persoalan keadilan untuk semua, perlaksanaan undang-undang syariah semestinya menjamin hak bukan Islam tidak dicerobohi serta dizalimi. Saya menasihati rakan-rakan untuk meneliti kenyataan saya ini berasaskan muafakat yang tertera dalam Buku Jingga:

“Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.”

Namun apa yang saya kesalkan adalah hipokrisi Umno-BN memperalatkan isu hudud ini sebagai permainan politik. Pimpinan Umno-BN tidak pernah berhasrat membincangkan isu ini secara tuntas dan serius. Mantan perdana menteri, Dr Mahathir menolak bulat-bulat malah mempersendakan peranan undang-undang syariah serta beberapa pesan yang dianggap sebahagian dari sunnah Rasulullah SAW. Media yang dikuasai pemerintah pula mencanangkan kononnya undang-undang syariah sebagai suatu warisan zaman primitif. Harus diingat, pandangan beberapa kerat pimpinan Umno yang mempersenda hukum Islam ini sesungguhnya tidaklah mewakili umat. Waima mutakhir ini beberapa pimpinan Umno memperlihatkan diri sebagai jagoan memperjuangkan Islam, manakala seringkali pula mereka menuduh pimpinan Pakatan Rakyat sebagai pengkhianat agama dan bangsa, sedangkan yang sering dilaung-laungkan oleh pimpinan Umno-BN sekadar retorika membakar sentimen serta sering tersasar dari kehendak syariah yang mahukan kemaslahatan untuk rakyat.

ANWAR IBRAHIM

Shorter version in English of the statement above hereby attached.

Kongsi Artikel Ini:
Share

Politik Malaysia Pasca ISA

Oleh Azmin Ali

Ahli-ahli panel yang bijaksana, saudara-saudari sekalian yang dihormati.

Saya merasa gembira kerana dapat melibatkan diri dalam wacana yang penting ini dalam usaha kita untuk membina Malaysia yang baru berpaksikan nilai-nilai demokrasi dan kebebasan.

Tahniah kepada saudara Khalid Jaafar dan IKD yang telah memulakan inisiatif ini untuk push the boundary of the discussion. Saya yakin wacana yang berterusan akan mewujudkan kesedaran awam bahawa ISA dan undang-undang draconian yang lain seperti Akta Hasutan 1948, Akta Penerbitan dan Percetakan 1984 dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 bukan sahaja tidak relevan tetapi adalah ejen pembunuh demokrasi dalam negara.

Tema wacana ini amat menarik tetapi situasi hari ini belum lagi menepati tema berkenaan. Walaupun, Perdana Menteri Najib telah mengumumkan bahawa kerajaan akan memansuhkan ISA, namun rakyat hari ini mencabar kredibiliti beliau dan pentadbiran BN di Putrajaya; apakah ada political will untuk melaksanakan reformasi politik atau hanya sekadar istilah muluk-muluk sebagai halwa telinga tanpa pengisian dalam konteks perlaksanaan.

Saudara-saudari yang dihormati sekalian,

Pengumuman Perdana Menteri menjelang sambutan Hari Malaysia disusuli dengan suatu gerakan propaganda melampau untuk mewujudkan euphoria supaya rakyat berterima kasih kepada Dato’ Sri Najib dan Umno. Namun kita harus sedar bahawa kebebasan adalah milik mutlak rakyat yang merdeka dan bukan pemberian oleh pemerintah.
Kita tidak berterima kasih kepada Inggeris kerana memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Walaupun hari ini ada teori baru yang mendakwa Malaysia tidak pernah dijajah. Apakah penjajah Inggeris akan memberikan kemerdekaan jikalau rakyat tidak menuntutnya, memperjuangkannya hatta dengan mengangkat senjata?

Rakyat India tidak berterima kasih apa lagi memberikan tahniah kepada Lord Mounbatten. Wira kemerdekaan mereka seperti Gandhi, Jawarharlal Nehru, Maulana Abdul Kalam Azad, telah mencetuskan kesedaran dan menggembleng kekuatan rakyat untuk menentang dan membebaskan India daripada penjajahan British.

Dalam sejarah perjuangan rakyat Malaysia, atas prinsip yang sama, kita tidak berterima kasih kepada British kerana menurunkan Union Jack pada 31 Ogos 1957. Terima kasih dan rasa hormat kita adalah kepada pejuang-pejuang kemerdekaan.

Perjuangan menuntut kemerdekaan adalah perjuangan rakyat pelbagai kaum dari pelbagai faham politik, cara perundingan termasuk kaedah radikal. Semua pihak ini mempunyai peranan masing-masing dan sumbangan mereka tidak boleh dipadamkan dari sejarah. Kita juga harus mengiktiraf tokoh-tokoh seperti Tok Janggut, Dr. Burhanuddin al-Helmi, Ustaz Abu Bakar al-Bashir – Gunung Semanggol, Tun Tan Cheng Lock, V.T Sambanthan termasuk juga Mat Indera.

Kongsi Artikel Ini:
Share

Nota Perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan Kedua Belas

YB MOHAMED AZMIN ALI
Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa
11 Julai 2011

1. Anggaran Perbelanjaan Bekalan Tambahan di bawah Maksud B29 Perbelanjaan Am sebanyak RM81.1 juta termasuk RM61.6 juta untuk bayaran bil air percuma dan cetakan kupon bagi tempoh September sehingga Disember 2011 ekoran kedegilan Kerajaan Pusat untuk mengambil sikap bertanggungjawab bagi menyelesaikan isu ini yang berlarutan sekian lama dan membebankan rakyat.
2. Kerajaan Pusat tidak langsung menunjukkan minat untuk peduli terhadap kebajikan rakyat Negeri Selangor sebaliknya lebih cenderung untuk melindungi kepentingan kroni dan memperkayakan kroni-kroni pimpinan UMNO.

Pinjaman Kepada SYABAS
3. Pada Suku Tahun Keempat 2010, Kerajaan Pusat telah memberikan kemudahan pinjaman kepada SYABAS sejumlah RM320 juta. Syarat-syarat pinjaman pula berat sebelah (lopsided) dan berpihak kepada SYABAS. Antara syaratnya ialah :
a. Pembayaran balik akan hanya dibuat selepas tahun yang ke 20. Sekiranya SYABAS mengalami masalah kewangan dalam tempoh 10 tahun dari sekarang, Kerajaan Pusat akan menyerap (absorb) pinjaman ini.
b. Bagi 5 tahun yang pertama, tiada faedah dikenakan ke atas pinjaman yang bernilai RM320 juta tersebut.
4. Skim ini lebih berupa sebagai satu geran dan bukan pinjaman.
5. Dalam keadaan belanjawan Negara semakin menguncup, Kerajaan Pusat masih meneruskan amalan membantu kroni sejumlah RM320 juta.

Kongsi Artikel Ini:
Share