Kenyataan Media

Kenyataan Akhbar Kementerian Hal Ehwal Ekonomi – KSP RMKe11

By May 30, 2018 No Comments
8E7489EF-556F-45BD-8EE8-421DBE2BEA21

Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMKe-11): Hala Tuju Baharu 2018 – 2020 bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama, Parlimen Ke-14 akan dibentangkan pada penghujung tahun ini.

KSP RMKe-11 yang disediakan akan berdasarkan hala tuju Kerajaan baharu, selari dengan Buku Harapan: Membina Negara Memenuhi Harapan yang akan memberi tumpuan kepada ekonomi pasaran bebas dan mesra pelabur di samping penekanan kepada ekonomi manusiawi berteraskan kepada program-program keadilan sosial.

Keutamaan dasar Kerajaan baharu ialah untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan di mana amalan kewangan yang tidak telus akan diberhentikan serta ketirisan pada semua peringkat ditangani. Langkah-langkah jangka pendek yang drastik perlu diambil bagi memulihkan kedudukan kewangan.

Langkah-langkah yang akan diambil termasuklah mengawal perbelanjaan operasi Kerajaan serta mengkaji semula projek-projek pembangunan yang tidak mampan, tidak perlu dan yang tidak mendesak. Hutang Kerajaan juga akan distruktur semula bagi mengurangkan pendedahan risiko kewangan.

Negara menghadapi cabaran untuk mengukuhkan kedudukan fiskal dan pada masa sama cabaran untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan. Kedua-dua objektif ini perlu diimbangi bagi menentukan pembangunan yang berterusan serta bersifat inklusif. Walaupun ketika ini Kerajaan sedang giat melaksanakan inisiatif untuk mengukuhkan kedudukan fiskal, namun Kerajaan tidak akan mengabaikan objektif pertumbuhan sosioekonomi.

Kerajaan akan meneruskan projek-projek pembangunan yang memberi impak tinggi kepada ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat. Kerajaan juga memandang serius ke arah mengurangkan jurang pembangunan antara negeri-negeri tanpa mengira pendirian politik. Kerajaan akan mengambil langkah tegas untuk mengurangkan jurang pendapatan antara kumpulan pendapatan terutamanya bagi golongan B40.

Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMKe- 11) kini sedang dijajarkan untuk mengambil kira keutamaan janji-janji yang dizahirkan dalam Buku Harapan. Selain daripada menilai pencapaian dua tahun pertama RMKe-11, isu-isu dan cabaran pembangunan akan dikenal pasti di mana langkah-langkah untuk menanganinya akan dicadangkan. Kerajaan juga akan memastikan mekanisme yang lebih telus diterima pakai dalam proses penyediaan KSP RMKe-11.

Dasar-dasar sosioekonomi progresif yang akan diperkenalkan dalam KSP RMKe-11 akan melengkapi inisiatif Kerajaan dalam mengukuhkan kedudukan fiskal dan reformasi institusi. Hasilnya, Malaysia akan dibentuk untuk menjadi semula sebuah negara maju yang dihormati dan dipandang tinggi selaras dengan matlamat Wawasan 2020.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Hal Ehwal Ekonomi