Ucapan

[Ucapan] Rapat Ramadhan 2018 Bersama Penjawat Awam Negeri Selangor

By June 4, 2018 No Comments
20f4e9b5-0e4d-4dc6-bf48-9117a04f81e2

Alhamdulillah, pagi ini kita dapat bertemu dalam Rapat Ramadhan 1439H bersama anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor.

Kita bersyukur kerana diberikan nikmat oleh Allah SWT untuk berada di hari yang ke 19 dalam bulan Ramadhan.

Para sahabat dan Salafus Soleh sering menangis menjelang hujung Ramadhan memandangkan akan berlalunya satu bulan yang sarat dengan barakah dan ganjaran daripada Allah SWT.

Maka, Ramadhan ini bukanlah alasan untuk kita mengurangkan produktiviti sebaliknya Ramadhan adalah satu bulan yang cergas dan lasak dengan kegiatan yang dapat mendekatkan kita kepada Allah SWT serta menunaikan tanggungjawab sebagai anggota perkhidmatan awam.

Dalam konteks ini, umat Islam sering diingatkan bagaimana daya tahan dan kecekalan Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat tatkala bertempur dengan golongan Musyrikin dalam Perang Badar Al-Kubra yang berlaku dalam bulan Ramadhan tahun kedua Hijriah.

Justeru itu, saya mengajak anggota perkhidmatan awam untuk terus berdaya maju dan membulatkan tekad untuk berkhidmat dengan tekun dan berintegriti.

Failure is not an option dalam melaksanakan tugas kita untuk membangunkan negeri Selangor dan menjamin kesejahteraan rakyat.

Saya amat gembira dengan prestasi kewangan Negeri Selangor yang telah mencatatkan kedudukan kewangan yang kukuh.

Alhamdulillah, pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, kita telah berjaya melepasi sasaran kutipan hasil negeri. Daripada anggaran sebanyak RM 2.55 bilion, berkat kerja kuat tuan-tuan dan puan-puan dengan kecekapan dan integriti, kita berjaya mencatatkan kutipan sebanyak RM 2.81 bilion atau 110%. Syabas !

Saya juga mengucapkan tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan kerana kita telah berjaya mengurangkan defisit daripada anggaran sebanyak RM 900 juta kepada hanya RM 408 juta. Ini membuktikan Kerajaan Negeri tuntas berpegang kepada prinsip belanja secara berhemah dan mengelakkan ketirisan dan kecuaian.

Satu lagi bukti kecekapan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor adalah kejayaan mengurangkan tunggakan hasil negeri pada tahun 2017 sebanyak 13.36% iaitu sebanyak RM 43.83 juta menjadikan jumlah tunggakan hasil negeri sebanyak RM 284 juta.

Kecemerlangan dan kecekapan dalam pengurusan kewangan terus diterjemahkan dalam prestasi kewangan tahun ini di mana Kerajaan Negeri telah berjaya mengutip hasil hampir RM 1 bilion berbanding anggaran hasil sebanyak RM 2.25 bilion untuk tahun 2018. Ini bermakna dalam lima bulan pertama, kita telah berjaya mengutip hampir 45% daripada sasaran.

Kedudukan kewangan Kerajaan Negeri akan terus diperkukuhkan dan berdaya tahan agar ia dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan yang menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat Selangor.

Kerajaan Negeri telah membuktikan bahawa kita dapat melaksanakan perbelanjaan berhemah, memperkukuh budaya kerja cekap dan berintegriti serta menutup ruang-ruang pembaziran dan ketirisan dengan jayanya.

Saya pernah melontarkan Gagasan Selangor Masa Depan Malaysia. Alhamdulillah, harapan saya telah menjadi kenyataan dalam PRU Ke-14. Rakyat Selangor telah memberikan sokongan super majority dan memperkukuhkan kedudukan Kerajaan Pakatan Harapan di Negeri Selangor. Malahan, gelombang kebangkitan rakyat telah mematahkan rekayasa yang ingin membungkam suara rakyat sekaligus membawa perubahan besar di Putrajaya.

Setelah lebih 60 tahun negara ini terbina, rakyat sekali lagi bangkit mencipta sejarah dan membuka lembaran baru dalam kehidupan kita sebagai sebuah bangsa yang berdaulat dan merdeka !

Saya tidak boleh menafikan sumbangan besar anggota perkhidmatan awam Selangor dalam menentukan masa depan negara. Tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan yang mendukung aspirasi rakyat.

Saya mengulangi tekad untuk bersama-sama dengan saudara saudari, anggota perkhidmatan awam untuk berlumba-lumba melakukan kebaikan – fastabiqul khairat demi membina sebuah negara yang wibawa, gagah dan bermaruah.

Tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum bahawa saya telah diberikan amanah untuk menerajui sebuah kementerian baharu yang penting yang bertanggungjawab memacu pertumbuhan ekonomi negara dan mengangkat martabat dan kualiti hidup rakyat Malaysia. Saya amat insaf dengan kepercayaan yang diberikan oleh YAB Perdana Menteri untuk saya menggalas satu tanggungjawab besar dalam suasana yang amat mencabar.

Namun, saya yakin dengan pengalaman di Selangor dan juga pengalaman saya di Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri sebelum ini, Insha Allah, saya mampu mengemudi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk muncul sebagai kementerian yang cemerlang.

Sebagai memenuhi aspirasi rakyat, saya komited kepada dasar membangun sebuah ekonomi yang kuat dan rancak, mencipta nilai, menjana peluang pekerjaan serta meningkatkan Foreign Direct Investments (FDI).

Pelabur domestik dan pelabur asing akan diberikan jaminan bahawa kerajaan baharu ini adalah business friendly dan mesra pelabur dengan berpegang kepada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Saya akan merumuskan hala tuju strategik baharu yang bakal memacu daya saing ekonomi negara demi meletakkan kembali Malaysia di kedudukan utama dalam kepimpinan ekonomi rantau ini. Saya juga bertekad untuk memastikan keadilan sosial terlaksana di mana kekayaan negara akan diagihkan secara adil dan saksama.

Kementerian ini sedang dalam persiapan terakhir untuk membentangkan Kajian Separuh Penggal (RMKe-11) di Parlimen pada bulan Oktober 2018 yang bukan sahaja meneliti prestasi dua tahun lalu tetapi akan memuatkan hala tuju baharu ekonomi Malaysia berdasarkan Manifesto Pakatan Harapan.

Saya amat terharu dengan dukungan dan sokongan gemuruh daripada seluruh anggota perkhidmatan awam. Hubungan saya dengan penjawat awam bukan sekadar dalam urusan rasmi tetapi merupakan tautan kasih sayang seperti yang diungkapkan oleh pujangga Shakespeare dalam drama berjudul Julius Caesar, “you are as dear to me as the ruddy drops, that visit my sad heart.”

Beruntunglah Negeri Selangor mempunyai Pegawai Kewangan Negeri yang bukan sahaja tekun bersengkang mata memungut hasil dan menghitung wang, bahkan pagi ini kita terpukau dengan kepetahan Pegawai Kewangan Negeri laksana pujangga yang pandai berpantun.

Maka, pantun yang dijual wajiblah saya membelinya;

Lancang Kuning Lancang Pusaka,
Nampak Dari Tanjung Tuan,
Kalau Kering Laut Melaka,
Barulah Saya Lupakan Tuan.

Mana mungkin saya lupakan hubungan kerja yang cukup akrab dengan YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri yang memimpin pasukan penjawat awam yang terbaik di Malaysia.

Mana mungkin saya lupakan pengalaman empat tahun menggubal belanjawan bersama Pegawai Kewangan Negeri yang teliti dan inovatif dalam merangka belanjawan negeri.

Mana mungkin saya tidak merindui anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor yang belum dipanggil sudah datang, belum disuruh sudah dibuat, belum ditanya sudah dijawab.

Saya tahu ayat-ayat rindu dan kata-kata kasih sayang sahaja tidak mencukupi. Maka, sebagai persediaan menghadapi Eid Mubarak, saya dengan sukacitanya mengumumkan Bantuan Khas Kewangan kepada 17,109 orang pegawai dan anggota perkhidmatan awam.

Setelah Pegawai Kewangan Negeri mengira siang dan malam, maka diberi ketahui bahawa anggota perkhidmatan awam negeri Selangor akan dianugerahkan satu bulan gaji yang akan diberikan pada 25 Jun 2018.

Saya turut mendengar rintihan daripada pegawai-pegawai Persekutuan yang merasa mereka dianaktirikan sedang mereka bertungkus lumus untuk membangunkan Selangor dengan dedikasi dan kesetiaan.

Jabatan-jabatan tersebut adalah Jabatan Perhutanan Selangor, Jabatan Kerja Raya Selangor, Pejabat Undang-undang Negeri Selangor, Jabatan Pertanian Negeri Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor dengan bilangan kakitangan keseluruhan sebanyak 755 orang.

Untuk warga ini, Bantuan Khas Kewangan akan turut diberikan sebanyak RM1,000 setiap seorang.

Sayugia, dalam kegembiraan mendapat sagu hati, berbelanjalah dengan berhemah. Jangan sesekali membazir kerana seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Israa, ayat 27:

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ
“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan”

Saya yakin penjawat awam Selangor yang makmur juga sangat patriotik. Mereka turut terpanggil untuk bersama dalam usaha murni mengurangkan bebanan hutang negara yang ditinggalkan oleh pentadbiran lama.

Maka, atas semangat cintakan tanah air, penjawat awam Selangor terdorong untuk menyumbang sebanyak 10% daripada Bantuan Khas Kewangan kepada Tabung Harapan Malaysia. Namun, sumbangan patriotik ini hanya dikenakan kepada Pegawai Gred 44 dan ke atas.

Sudah tiba saat dan detik ketikanya untuk saya mengucapkan selamat tinggal kepada anda semua. Bagaimana pedih dan berat sekalipun, hakikat perpisahan ini perlu saya tempuhi. Berat kaki melangkah, sayu di hati siapa yang tahu, rindu hatiku tidak terkira.

Namun, yakinlah Selangor dan kalian semua tetap di hati.

Selamat Hari Raya Aidilfitri,
Kullu Am Wa Antum Bi Khair,
Maaf Zahir dan Batin.