My Thought

Fokus Memulihkan Keyakinan Terhadap Nilai Hartanah di Bukit Antarabangsa

By Januari 2, 2013 One Comment
LawatBU1 (10 of 12) [nggallery id=64]

Tumpuan saya di awal 2013 adalah untuk memulihkan keyakinan terhadap nilai hartanah di Bukit Antarabangsa. Saya akan mengambil inisiatif untuk berbincang dengan agensi penguatkuasaan seperti MPAJ, IKRAM dan Unit Cerun JKR untuk meneliti kerja – kerja penyelenggaraan cerun (slope) di sekitar Bukit Antarabangsa. Saya mahu satu pelan tindakan yang lebih visible untuk memastikan usaha penyelenggaraan cerun ini lebih komprehensif dan pemantauan secara berkala.

1 Januari 2013 dimulakan dengan lawatan kerja ke beberapa lokasi cerun di sekitar Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa yang bermula pada jam 3.30 petang. Lawatan kerja selama hampir 2 jam turut disertai oleh beberapa wakil Slope Watch termasuk Direktor Program, Eriko Motoyama, Pengerusi KRT Taman Bukit Mulia, Encik Megat Azhar Megat Khairudin. Turut bersama saya dalam lawatan kerja tersebut adalah Saudara Ahmad Sabri Abu Bakar selaku Ahli Majlis MPAJ.

Saya sempat berbual dengan beberapa orang penduduk yang memiliki rumah berdekatan dengan kawasan cerun bukit dan penduduk mahu tindakan penyelenggaraan dengan segera.

Saya terus menghubungi pihak MPAJ pada awal pagi 2 Januari 2013 dan meminta MPAJ mengambil langkah – langkah awal yang proaktif untuk turun ke lapangan dan menyelenggara cerun – cerun di Taman Bukit Utama. Sementara itu, mesyuarat teknikal berkaitan isu cerun ini akan saya usahakan dalam masa terdekat.

Saya percaya koordinasi yang baik di kalangan jabatan – jabatan yang bertanggungjawab dan dokongan rakyat akan dapat menjamin suasana persekitaran yang selamat untuk rakyat di Bukit Antarabangsa.

Saya juga telah menggesa pihak MPAJ untuk segera memungut sampah – sampah pukal yang berlonggokan terlalu lama di Jalan BU 1/7 dan BU 1/4. Tindakan susulan oleh kontraktor akan dijalankan hari ini.

MPAJ juga akan menurap Jalan BU 1/7 dalam masa seminggu dan melakukan kerja – kerja mencantas dan membersih pohon – pohon tua yang membahayakan penduduk sekitar Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa.

Mohamed Azmin Ali
Petaling Jaya
2 Januari 2013

Comments

comments