Kenyataan Media

Kenyataan Media – Kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAS

By Februari 2, 2017 No Comments
Kenyataan-Media

Saya menyambut baik kenyataan Jawatankuasa Induk Bersama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAS susulan pertemuan pemimpin tertinggi kedua-dua parti untuk membentuk kerjasama, persefahaman dan muafakat politik.

Pertemuan ini telah menghasilkan beberapa resolusi positif dalam usaha memeterai muafakat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Seperti yang saya sarankan dalam kenyataan media beberapa hari lalu, rakyat Malaysia telah bersedia untuk reformasi dan pemimpin harus mempunyai sikap tawadhu’, kesediaan untuk bertolak ansur dan matang dalam menilai dan membuat keputusan demi memenuhi harapan dan aspirasi rakyat.

Perkembangan terbaru ini mempamerkan ciri kematangan dan kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan PAS dalam kegigihan untuk mencari jalan persamaan demi kemaslahatan seluruh rakyat Malaysia.

Ianya adalah usaha berterusan yang positif untuk memperkukuhkan sistem dua parti dan menyediakan alternatif yang dinamik, kuat dan viable untuk rakyat menggantikan UMNO dan Barisan Nasional.

KEADILAN akan meneruskan kerjasama dengan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia untuk memperkukuh muafakat dan memperkasa gabungan parti-parti politik progresif, sekaligus menggerakkan rakyat demi kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

Adalah menjadi tuntutan untuk kita dipimpin dengan kebijaksanaan dan pendekatan inklusif, mengenepikan sikap partisan bahkan perbezaan ideologi supaya dapat membentuk gabungan pembangkang yang utuh dan jitu untuk mengembalikan maruah rakyat dan menyelamatkan Malaysia.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI