Kenyataan Media

Kenyataan Media – Mengalukan Keputusan DAP

By August 1, 2016 No Comments
MS

KENYATAAN MEDIA

31 JULAI 2016

Saya mengalu-alukan keputusan Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk tidak mengadakan Pilihan Raya Negeri tergempar di Pulau Pinang.

Keputusan ini memperlihatkan ketokohan YAB Saudara Lim Guan Eng sebagai pemimpin nasional yang memiliki sikap keterbukaan dan semangat toleransi yang tinggi sehingga mencapai keputusan sebegini yang menyerlahkan semangat muafakat Pakatan Harapan.

Saya memahami ia adalah satu keputusan yang sukar. Namun, dengan mengutamakan semangat muafakat ini, Saudara Lim Guan Eng telah memberikan kepimpinan yang amat diperlukan bagi membangun semula kesatuan dan perpaduan parti-parti pembangkang untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14.

Saya yakin keputusan ini akan diterima baik bukan saja oleh rakyat Pulau Pinang, tetapi juga oleh semua rakyat Malaysia kerana ia merupakan satu detik baharu ke arah perpaduan seluruh rakyat yang dahagakan perubahan.

Malaysia kini berhadapan dengan kemelut dashyat akibat daripada kedurjanaan tatakelola kewangan yang menghasilkan musibah sebesar 1MDB. Justeru, semangat dan iltizam baru ini perlu digembeleng demi menyelamatkan Malaysia.

KEADILAN dan Pakatan Harapan akan terus berganding bahu dengan parti-parti politik progresif, masyarakat sivil dan individu-individu yang komited dengan agenda perubahan untuk menjana gelombang baru dan melakar hala tuju nasional demi mengembalikan maruah negara dan membawa kesejahteraan kepada rakyat.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Comments

comments