Kenyataan Media

Kenyataan Media – Pertemuan Bersejarah

By September 6, 2016 No Comments
Kenyataan-Media

KENYATAAN MEDIA

6 SEPTEMBER 2016

Saya dan rakyat Malaysia gembira menyaksikan Anwar Ibrahim dan Dr. Mahathir Mohamad bertemu kembali setelah 18 tahun terpisah.

Pada 5 September 2016, kedua tokoh besar ini bersalaman tepat pada jam 3.09 petang dalam Mahkamah Tinggi Rayuan Kuasa – Kuasa Khas, Tingkat 5, Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Apa yang disaksikan oleh dunia pada saat itu adalah bukan sekadar dua insan bersalaman tetapi dua negarawan yang sanggup mengenepikan perbedaan dan kegetiran masa lampau demi masa depan negara dan rakyat Malaysia yang lebih terjamin.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir ke mahkamah bagi menfailkan injunksi bagi menghalang Perdana Menteri meneruskan pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016. Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa Akta MKN tidak berperlembagaan dan tidak sah kerana ia dikuatkuasakan menurut Fasal 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan.

Pertemuan ini membuktikan kedua tokoh memiliki jiwa besar tatkala negara berdepan dengan krisis kepimpinan dan memerlukan satu hala tuju untuk menyelamatkan negara dan memulihkan ekonomi.

Seperti yang disebut oleh Dato’ Seri Anwar di mahkamah, kehadiran Dr. Mahathir membuktikan bahawa beliau bersedia menerima agenda reformasi.

Saya yakin ini satu permulaan ke arah perpaduan umat dan pengukuhan parti – parti politik yang progresif sebagai persiapan untuk Pilihan Raya Umum ke 14.

Dr. Mahathir berpeluang bertemu dengan Anwar selama lebih 30 minit secara tertutup untuk membincangkan proses perundangan termasuk beberapa isu – isu lain. YB Dato’ Seri Dr. Wan Azizah dan saya turut hadir dalam perbincangan tersebut.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI