Kenyataan Media

[Kenyataan Media] Perutusan Kemenangan oleh Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali

By Mei 10, 2018 No Comments
438f71db-91d0-4aad-86a4-9cc7f8de7ee9

Hari ini, kita merayakan kemenangan rakyat, satu kemenangan yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Hari ini, kita merayakan sejarah yang dicipta.

Hari ini, kita merayakan kuasa demokrasi; kuasa rakyat.

Rakyat Selangor dan Malaysia telah bersuara dengan jelas dan lantang: Tamatkan UMNO-BN untuk Pakatan Harapan.

Ini bukan tsunami Melayu, bukan tsunami Cina dan bukan tsunami India – ini adalah 100 peratus tsunami Malaysia! Satu tsunami yang melanda seluruh negara untuk kerusi negeri dan kerusi Parlimen.

Di Selangor, kita menyaksikan majoriti besar memihak Pakatan Harapan. Kita menang 51 daripada 56 kerusi di negeri – iaitu sebanyak 91 peratus. Ini adalah keputusan cemerlang melangkaui jangkaan iaitu menang 40 kerusi. Saya terharu dengan sokongan yang ditunjukkan rakyat terhadap prinsip dan dasar kita.

Rakyat Malaysia telah memilih demokrasi berperlembagaan daripada kleptokrasi. Rakyat memilih kedaulatan undang-undang berbanding kehendak sekumpulan orang. Dan rakyat memilih keadilan berbanding ketidakadilan.

Rakyat mahukan masa depan baharu, untuk mereka, anak-anak mereka dan generasi akan datang.

Sekarang rakyat meletakkan kepercayaan kepada kita, satu amanah yang amat murni namun berat dipikul. Kita perlu bekerja keras untuk menunaikan ikrar dan kita akan merealisasikannya.

Hari ini menandakan harapan baru untuk bangsa, dan rakyat Malaysia boleh memandang ke depan bagi memulakan bab baru demi negara.

Kita dalam Pakatan Harapan tidak mampu melakukannya tanpa sokongan anda.

Terima kasih, rakyat Selangor.

Terima kasih, rakyat Malaysia.

Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali
10 May 2018