Kenyataan Media

[Kenyataan Media] Perutusan Ramadhan

By Mei 17, 2018 No Comments
KMMB

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Alhamdulillah, sekali lagi kita dipilih untuk menikmati tarbiyyah di bawah lembayung Madrasah Ruhiyyah Ramadhan pada tahun ini.

Ramadan adalah bulan yang menjanjikan seribu rahmat buat seluruh umat Islam. Pada bulan ini pintu keampunan oleh Allah SWT dibuka seluas-luasnya buat hambanya sejajar dengan hadis Rasulullah SAW:

“Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguhsungguh, Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu dan barangsiapa yang bersolat pada malam Lailatul Qadar dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis yang diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim).

Tarbiyyah Ramadhan juga mengajar kita erti tawaduk. Kita dididik untuk terus istiqamah melakukan kebaikan, mempertingkat kebajikan dan lebih empati terhadap golongan miskin dan mereka yang memerlukan. Kita harus menepati janji-janji kita dan menghormati amanah yang diletakkan pada kita, serta tegas menolak godaan dan penyalahgunaan kuasa.

Tahun ini umat Islam di Malaysia menghayati Ramadhan selepas kejayaan menumpaskan kleptokrat secara aman dan teratur melalui proses demokrasi. Umat Islam di Malaysia sekali lagi menjadi bukti bahawa dunia Islam mempunyai upaya untuk melakukan perubahan secara aman demi menegakkan keadilan dan melaksanakan reformasi tulen.

Umat Islam Malaysia berjaya melakukan perubahan ini kerana didorong oleh semangat untuk menjayakan prinsip keadilan dan ihsan serta fastabiqul khairat (berlumba-lumba melakukan kebaikan). Justeru itu ruang yang terbuka luas pasca 9 Mei perlu digunakan sepenuhnya untuk menterjemahkan prinsip-prinsip tersebut menjadi suatu kenyataan.

Semoga medan ta’dib ruhiyyah yang berlalu ini mempertingkatkan darjat karamah insaniyyah serta memperkukuh keyakinan kita untuk terus istiqamah dalam perjuangan untuk menegakkan keadilan. “Ramadhan Kareem, Kullu A’am Wa Antum Bi Khair”.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Menteri Besar Selangor