Kenyataan Media

Kenyataan Media – Tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah

By September 14, 2017 No Comments
Kenyataan-Media

Kerajaan Negeri Selangor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga para huffaz dan murabbi yang terkorban dalam tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato’ Keramat awal pagi tadi.

Saya berdoa semoga anak-anak huffaz dan murabbi yang terkorban dalam tragedi ini dicucuri rahmat dan maghfirah oleh Allah SWT dan mendapat husnul khatimah iaitu pengakhiran yang baik dan ditempatkan di dalam syurga yang penuh nikmat Allah SWT.

Saya mendoakan semoga keluarga mereka dicucuri oleh Allah SWT dengan kesabaran dan ketenangan yang mendalam serta redha terhadap takdir yang ditentukanNya.

Tatkala lawatan saya ke lokasi kejadian pada pagi ini bersama beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Kerajaan Negeri telah menyampaikan hasrat kepada YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Bin Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan wakil Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengenai kesediaan Kerajaan Negeri Selangor untuk membantu pengurusan jenazah dan juga menyediakan khidmat kaunseling kepada keluarga mangsa.

JAIS dan JAWI akan bekerjasama untuk memastikan semua urusan berjalan lancar dan kebajikan keluarga terus terpelihara.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI