LANGKAH SEDERAP, MEMBINGKAI IKATAN, DEMI KEMAKMURAN

Kita bakal melangkah masuk ke tahun 2021, meninggalkan 2020 yang penuh dengan cabaran yang tidak pernah kita duga. Penularan pandemik COVID-19 telah menuntut perubahan besar dalam kehidupan seharian kita malah mendesak kita untuk mengubah lanskap ekonomi dan sosial bagi memastikan kita berjaya mengekang wabak ini.

Perang melawan COVID-19 belum berakhir, namun jalan pemulihan yang kita lalui adalah manifestasi Malaysia sebagai sebuah negara; bersatu dan berdaulat. Penghargaan harus diberikan kepada petugas barisan hadapan yang bertarung nyawa di dalam risiko besar memerangi musuh yang tidak kelihatan dengan penuh keberanian dan komitmen yang tinggi. Biarpun perjuangan ini masih panjang, namun ini bukan lagi tanggungjawab petugas barisan hadapan semata-mata. Ia adalah tanggungjawab kita semua. Teguh Kita, Menang Bersama.

Saya yakin tahun 2021 disulami dengan semangat dan optimism baharu. Dalam musibah ada hikmahnya. Dalam kesukaran pasti ada kemudahan. Di sebalik segala cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global yang dicetuskan oleh penularan COVID-19, segala usaha serta perancangan rapi Kerajaan untuk membina semula dan mencerdaskan ekonomi negara telah menampakkan hasil. Bank Negara, dalam laporannya, menyatakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar pada suku ketiga 2020 mencatatkan kemerosotan sebanyak 2.7 peratus. Penguncupan kadar KDNK yang jauh lebih kecil pada suku ketiga tahun ini berbanding suku kedua 2020 iaitu -17.1 peratus mencerminkan kegiatan ekonomi yang semakin meningkat dan berkembang.

Pemulihan ekonomi negara adalah hasil dari tindakan bertanggungjawab Kerajaan melaksanakan 4 pakej rangsangan ekonomi; PRIHATIN, PRIHATIN SME+, PENJANA dan KITA PRIHATIN dengan jumlah RM305 bilion. Pembukaan sektor ekonomi dan permintaan luaran yang meningkat membantu merancakkan semula aktiviti-aktiviti perniagaan dan pelaburan.

Eksport negara pada November 2020 mencatatkan peningkatan 4.3% kepada RM84.43 bilion, kenaikan untuk tiga bulan berturut-turut. Import pada bulan November 2020 berjumlah RM67.61 bilion. Ini menjadi lebihan dagang berjumlah RM16.82 bilion, kenaikan 151.6 %. Bagi 11 bulan pertama tahun 2020, negara mencatat lebihan dagang yang menyakinkan dengan kenaikan 23.1% kepada RM163.86 bilion berbanding dalam tempoh yang sama pada tahun 2019.

Kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin akan terus berusaha membela watan agar Malaysia terus membangun sebagai sebuah negara yang progresif dalam semua aspek. Kita mahu jadikan tahun 2021 sebagai tahun yang menjanjikan kemakmuran, keamanan dan kesatuan rakyat dan negara.

Vaksin COVID-19 dijangka tiba awal tahun depan, membuka ruang pemulihan untuk kita meneruskan kehidupan yang lebih selamat. Usaha ini membuktikan Kerajaan Perikatan Nasional adalah sebuah Kerajaan yang progresif, prihatin dan bertanggungjawab.

Ternyata pandemik COVID-19 telah memaknai kehidupan kita untuk menginsafi prinsip kebersamaan dan kesatuan. Usaha mencerdaskan ekonomi mestilah bersifat inklusif dengan memastikan Mak Cik Kiah dan rakyat, setiap perusahaan kecil dan sederhana, pekerja dan industri memperoleh manfaat. Maka, buat pertama kali dalam sejarah negara, Kerajaan telah membentangkan belanjawan terbesar bernilai RM322.5 bilion dalam usaha berterusan Kerajaan untuk membantu rakyat dan industri mendepani cabaran dan kesusahan akibat krisis pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi yang melanda negara dan dunia.

Belanjawan 2021 ini adalah yang terbaik untuk mencerdaskan semula ekonomi negara, menstabilkan situasi politik dan prihatin menjaga kebajikan rakyat. Alhamdulillah, belanjawan untuk rakyat ini telah diluluskan dengan rasa tanggungjawab oleh Ahli-Ahli Parlimen yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan negara.

Tahun 2020 Malaysia melakar sejarah gemilang dengan kejayaan menganjur Sidang Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC secara maya. Kehadiran 21 Pemimpin-Pemimpin Ekonomi dunia termasuk dari China, Rusia dan Amerika Syarikat membuktikan keupayaan Malaysia memimpin dan memandu perbincangan di pentas dunia. Mesyuarat APEC kali ini berjaya dengan permuafakatan kesemua 21 ekonomi untuk menggubal Deklarasi Kuala Lumpur 2020 dan berjaya melancarkan Visi Putrajaya 2040 yang menggantikan Matlamat Bogor 2020. Ternyata Wawasan Kemakmuran Bersama telah diangkat sebagai cita-cita baru untuk Malaysia dan ekonomi serantau.

Malaysia juga menandatangani Perjanjian Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP). Perjanjian RCEP merupakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang terbesar merangkumi 2.2 bilion atau hampir sepertiga (29.7%) penduduk dunia dan menyumbang sebanyak US$24.8 trilion atau hampir sepertiga (28.9%) KDNK dunia berdasarkan data Bank Dunia pada tahun 2018. RCEP membuktikan bahawa Malaysia bersama-sama negara anggota ASEAN dan 5 Rakan FTA ASEAN akan terus memperkukuh integrasi ekonomi serantau, memudahcara perdagangan dan pelaburan rentas sempadan serta mengurangkan halangan bukan tarif. 

RCEP dapat menyegerakan proses pemulihan ekonomi serantau dan negara kita pasca COVID-19 menerusi pembukaan pasaran, pertambahan pelaburan, peningkatan fasilitasi perdagangan dan integrasi industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke dalam rantaian nilai serantau. 

Terima kasih kepada petugas barisan hadapan. Terima kasih kepada rakyat Malaysia. Terima kasih kepada teraju negara. Kerana Mu, Malaysia terus gagah dan bermaruah.

Saya berharap semangat waja rakyat Malaysia akan terus bersemarak dalam tahun 2021 dan tahun-tahun mendatang. Perjuangan memartabatkan rakyat dan negara akan menjadi paksi agenda perjuangan Kerajaan Perikatan Nasional.

Ayuh, kita melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan sebagai satu bangsa Malaysia yang merdeka dan bermaruah. Langkah sederap, membingkai ikatan demi kemakmuran. Selamat Tahun Baru.

MOHAMED AZMIN ALI

31 Disember 2020