Ucapan

Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Selangor Tahun 2017

By Oktober 13, 2017 No Comments
WhatsApp Image 2017-10-12 at 16.28.42

Petang ini kita bersama-sama meraikan Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Selangor Tahun 2017 untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan jabatan dan agensi Kerajaan serta pencipta inovasi Negeri Selangor.

Majlis Apresiasi ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menjadikan kreativiti dan inovasi sebagai budaya dalam masyarakat. Ini kerana, majlis pada hari ini bukan sekadar satu acara tetapi satu usaha untuk menggarap idea-idea yang kreatif dan inovatif dan diterjemahkan kepada projek yang praktikal untuk mempertingkatkan kualiti hidup, pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Justeru, budaya kreatif dan inovatif ini harus segera disemai dalam masyarakat sejak dibangku sekolah lagi. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri amat berbangga dengan penyertaan rancak bukan sahaja daripada kalangan anggota perkhidmatan awam tetapi juga daripada para pelajar sekolah.

Saya begitu terkesan dengan projek-projek yang diinspirasikan oleh pelajar-pelajar sekolah menengah termasuk sebuah projek untuk menghasilkan renewable energy di kawasan luar bandar dengan kos yang minima.

Inovasi yang brilliant dan idea yang besar pada zaman ini dihasilkan oleh pencipta inovasi yang sangat muda. Ini mengulangi kejayaan Mark Zuckerberg yang mencipta facebook dan Bill Gates dengan fenomena Microsoft. Idea-idea ini telah memberi sumbangan dan manfaat kepada seluruh umat manusia.

Peranan idealisme begitu penting untuk mendorong manusia mengoptimakan kreativiti bagi mengatasi pelbagai halangan dan membuka gerbang kepada penggunaan sepenuhnya potensi manusia untuk mencapai kecemerlangan.

“Ideals are like the stars: we never reach them, but like the mariners of the sea, we chart our course by them.”

Hari ini, Selangor sedang melalui proses transformasi menuju ke arah sebuah regional smart state. Selain daripada kemajuan dalam pertumbuhan ekonomi, menjadi pemimpin dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pelaburan asing, Selangor juga memberikan penekanan kepada industri yang high impact, high tech dan R&D di mana tumpuan khas diberikan kepada teknologi kreatif dan inovatif dalam semua lapangan.

Ini bukan lagi merupakan satu pilihan tetapi merupakan satu kemestian. Apa lagi dengan kemunculan Revolusi Industri ke 4.

Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri baru-baru ini mengadakan lawatan kerja ke China dan India untuk membuat jaringan dan mengadakan perikatan strategik.

Saya amat terkesan dengan lawatan kerja ke Genome Valley di Hyderabad yang disebut sebagai Silicon Valley kedua di India. Kita menyaksikan dari dekat di mana syarikat-syarikat teknologi gergasi seperti Google, Microsoft dan DuPont dalam bidang kimia memecah sempadan inovasi. Syarikat-syarikat ini menjadi pemimpin kepada teknologi baharu – they are at the cutting edge of technology.

Apa yang kita saksikan adalah mereka mempunyai prasarana sumber daya manusia yang memiliki kapasiti untuk menangani teknologi canggih dan terbaharu. Ini termasuklah mempunyai institusi pengajian tinggi yang bertaraf dunia dan juga institusi untuk latihan kemahiran (TVET) yang bekerjasama rapat dengan Kerajaan.

Justeru, Selangor sebagai sebuah negeri maju perlu terus maju ke hadapan dan muncul sebagai anggota masyarakat kreatif dan inovatif global. Malaysia hari ini, menduduki tempat ke 37 pada tahun 2017 dalam Indeks Inovasi Global dan kita menetapkan sasaran untuk meningkatkan kedudukan dalam Indeks Inovasi Global kepada kedudukan 20 terbaik dunia.

Saya yakin dan percaya, Selangor boleh menjadi penyumbang utama kepada peningkatan dalam Indeks Inovasi Global dengan prestasi pembudayaan inovasi yang sedia ada pada hari ini.

Kerajaan Negeri juga akan terus memberi penekanan yang substantif kepada institusi pengajian tinggi dan institusi kemahiran TVET. InshaAllah, dalam Belanjawan 2018 akan datang, Kerajaan Negeri akan membentangkan beberapa inisiatif baru yang akan menjadi pemangkin kepada inovasi demi merealisasikan hasrat Selangor sebagai regional smart state.

Gagasan regional smart state menuntut kita secara kolektif untuk berani merobah pemikiran, pendekatan dan budaya kerja untuk mencapai matlamat yang murni ini. Maka, kita perlu melakukan anjakan paradigma agar Selangor dapat melakukan quantum leap menuju sebuah ekonomi yang berasaskan ilmu dan maklumat – knowledge economy.

Akhirnya, bersempena dengan majlis ini, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah inovasi pada petang ini.

Semoga kejayaan dan pengiktirafan ini akan menjadi pendorong untuk terus menghasilkan idea-idea yang lebih kreatif dan inovatif dalam masyarakat.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan perasmian Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Selangor Tahun 2017.

Sekian, terima kasih.

Comments

comments