Ucapan

Majlis Gotong-Royong Bersama Penduduk AU 2, Taman Seri Keramat

By Mac 14, 2018 No Comments
WhatsApp Image 2018-03-10 at 09.46.33

Alhamdulillah saya panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana pagi ini kita dapat meluangkan masa memberikan komitmen kita samada sebagai warga penduduk kawasan AU2 mahupun warga KDEB Waste Management (KDEBWB) untuk menggembleng tenaga bagi menjayakan program gotong-royong perdana ini.

Saya ingin mengambil peluang pada pagi ini untuk menyatakan bahawa sementara Negeri Selangor hari ini kekal dan maju dalam bidang industri teknologi tinggi dan juga kewangan, Selangor juga merupakan negeri peneraju kepada gagasan ‘Smart State’ atau ‘Negeri Pintar’ yang berorientasikan perkhidmatan untuk memberikan penyelesaian atau solution secara pintar melalui internet of things, big data atau artificial intelligence.

Sebagai sebuah negeri yang maju kita tidak boleh kekal di takuk yang sama. Pimpinan Kerajaan Negeri harus menerima cabaran ini bahawa kita harus maju ke hadapan untuk bersaing dengan negeri-negeri dan negara-negara yang lebih maju daripada kita. Maka, sudah tentulah antara cabaran pada hari ini adalah bagaimana kita dapat membangunkan Selangor sebagai Smart State yang dapat memberikan perkhidmatan yang lebih efisyen kepada rakyat menggunakan teknologi yang canggih dan sistematik pada hari ini.

Atas kesedaran ini, maka Kerajaan Negeri telah mengambil keputusan untuk menubuhkan KDEBWM Sdn. Bhd. yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri untuk melakukan kerja-kerja kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di seluruh Negeri Selangor secara berperingkat.

Kita sedia maklum bahawa KDEBWM telah pun mengambil alih perkhidmatan pengurusan sisa pepejal dan juga kutipan sampah domestik di kawasan pentadbiran MPAJ bermula 1 Mac 2017. Mulai 1 Disember 2017 yang lalu, KDEBWM juga telah mengambil alih perkhidmatan pengurusan pembersihan awam.

Apabila KDEBWM mengambil alih peranan ini, sudah tentulah kita ingin melihat ianya membawa kesan yang positif dan lebih baik daripada sebelumnya.

Maka atas dasar Kerajaan Negeri yang saya nyatakan tadi, maka KDEBWM juga telah menggunakan modus operandi berpandukan smart waste management dan ini adalah salah satu cabang di dalam inisiatif Smart Selangor yang peduli rakyat.

Smart waste management ini telah membuktikan bahawa dengan menggunakan ‘solution’ yang telah diaplikasikan, banyak aduan-aduan dapat diselesaikan dengan baik. Sebab itu saya merasa amat kecewa apabila ada individu daripada Putrajaya yang turun ke Hulu Selangor baru-baru ini yang telah melontarkan pelbagai bentuk fitnah dan tohmahan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri.

Antara serangan yang dilontarkan adalah Negeri Selangor hari ini merupakan negeri yang kotor, banyak sampah sehinggakan sungai-sungai juga kotor tidak diuruskan dengan baik, maka apabila sungai-sungai kotor, timbullah masalah nyamuk Aedes dan demam denggi yang meningkat di Negeri Selangor.

Bagaimana kenyataan ini boleh dikeluarkan sedangkan nyamuk Aedes tidak boleh membiak di atas air yang kotor. Nyamuk Aedes hanya boleh membiak di atas air yang bersih. Maknanya, sungai di Selangor ini adalah sungai yang bersih.

Kalau basic information inipun tidak boleh dikuasai, saya kira beliau tidak layak untuk meneruskan kepimpinan. Begitu juga sampah-sampah di Selangor, saya hanya boleh memberikan statistik kerana statistik doesn’t lies.

Sebagai contoh semenjak KDEBWM mengambil alih pengurusan sisa pepejal dan perkhidmatan awam di MPAJ pada bulan Mac 2017, kita menerima 225 aduan sebulan. Tiga bulan kemudian hanya enam aduan sahaja diterima. Penurunan sebanyak 97 peratus, prestasi dikekalkan dengan memberikan perkhidmatan yang berteknologi tinggi dan kini kurang kepada hanya lima aduan sahaja sebulan.

Statistik di Selayang pada bulan Mac 2017 di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang terdapat 1,300 aduan. Sebaik sahaja KDEBWM mangambil alih, tiga bulan kemudian turun kepada 131 aduan. Penurunan 90 peratus dan kini MPS menerima kurang daripada 20 aduan sebulan.

Justeru, saya harap media yang hadir, tolong jangan bawa ‘fake news’ dan fitnah.

Kita harus sedar, kebersihan adalah cerminan tahap peradaban sesebuah masyarakat dan negeri. Kita harus mengambil iktibar daripada negara maju seperti Jepun di mana masyarakatnya memiliki disiplin serta budaya cintakan kebersihan yang tinggi.

Masyarakat Jepun dibudayakan untuk mencintai kebersihan dan mempunyai rasa tanggungjawab yang amat tinggi untuk menjaga lingkungan mereka. Ini membuktikan bahawa Jepun bukan sahaja sebuah negara yang maju dalam konteks pembangunan tetapi juga nilai peradaban yang tinggi.

Justeru, Kerajaan Negeri hari ini bertekad melaksanakan sistem pengurusan sisa pepejal yang efisyen, efektif dan sistematik melalui smart waste management. Alhamdulillah, usaha ini diterajui oleh KDEB Waste untuk memastikan Selangor kekal bersih, ceria dan sejahtera.

Selain aktiviti gotong royong pada hari ini, atas dasar tanggungjawab dan prihatin tentang kebersihan, KDEB Waste akan menyampaikan bantuan dengan memberi sumbangan tong sampah jenis “Leach Bin” sebanyak 94 unit dan 30 unit “Chute Bin”. Tong-tong sampah ini akan diserahkan kepada pihak MPAJ untuk diagih-agihkan ke kawasan Ampang Jaya.

Sumbangan ini adalah tambahan kepada sumbangan 500 tong sampah jenis MGB 120L yang telah diserahkan oleh KDEB Waste kepada MPAJ pada 23 Februari 2018 yang lalu untuk diagihkan ke kawasan Ampang Jaya.

Saya dimaklumkan juga bahawa pada pagi ini pihak KDEB Waste juga akan mengadakan demonstrasi jentera Road Sweeper yang telah dilancarkan pada bulan lalu. Jentera ini merupakan yang pertama digunapakai di PBT.

Jentera Road Sweeper ini dilengkapi dengan GPS tracking system dan akan digunapakai di kawasan Ampang Jaya dan Klang terlebih dahulu untuk kerja-kerja sapuan jalan dan pembersihan awam.

Saya mengucapkan tahniah kepada KDEB Waste Management kerana terbukti komited untuk menjayakan dasar Kerajaan Negeri.

Akhirnya, menjadi harapan kita agar usaha ini dapat menjamin mutu dan kualiti kehidupan rakyat yang lebih sihat, harmoni dan sejahtera.

Sekian, terima kasih.