Ucapan

Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Islam Selangor

By Oktober 22, 2017 No Comments
WhatsApp Image 2017-10-21 at 12.17.29

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana kita berada dalam Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) ke 20 untuk meraikan 1,834 graduan yang berjaya menerima ijazah pada kali ini. Bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua graduan yang tuntas mempertahankan keunggulan ilmu dan pendidikan.

Saya juga dapat menyelami perasaan gembira di lubuk hati ibu dan ayah para graduan yang berhimpun dalam dewan yang bersejarah ini. Kejayaan yang kita saksikan pada pagi ini tidak mungkin dicapai tanpa pengorbanan besar dan doa oleh ibu dan ayah yang senantiasa menemani para graduan di sepanjang tempoh pengajian di KUIS.

Maka, marilah kita sebagai anak menzahirkan rasa kasih dan sayang serta hormat kepada ibu dan ayah yang berjaya menterjemahkan impian saudara-saudari menjadi realiti. Tahniah ayah dan ibu.

Saya juga ingin menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada warga akademik yang menyuntik inspirasi kepada anak-anak muda untuk mencintai ilmu dan berjaya. Komitmen warga akademik inilah yang telah melahirkan 17,000 graduan semenjak KUIS ditubuhkan pada 15 Februari 1995 dan mengangkat status kolej kepada sebuah universiti bertaraf antarabangsa.

Kini, KUIS terus maju ke hadapan dengan pelbagai bidang ilmu yang dikembangkan dan berjaya menarik hampir 10,000 orang pelajar dari peringkat asasi hingga ke peringkat doktor falsafah.

Peranan Kerajaan Negeri juga adalah untuk membina sebuah masyarakat belia yang memiliki pendidikan yang holistik. Ini akan menjamin perimbangan antara aspek aqliah, kerohanian dan ketrampilan. Hasilnya, kita akan melahirkan insan yang mempunyai akhlak yang tinggi, jati diri yang utuh serta memberikan sumbangan yang positif kepada masyarakat sebagai seorang profesional.

Memandangkan pendidikan merupakan tunjang kepada ekonomi yang sedang membangun, maka menjadi kewajipan untuk menggubal dasar pendidikan yang holistik. Dalam hal ini, adalah wajib untuk kita membina kemampuan kognitif dari usia yang muda. Justeru itu, peranan universiti adalah amat penting untuk menyediakan sumber pendidikan dan pembelajaran bagi mencapai maksud ini.

Sementara pembangunan intelektual adalah penting untuk semua masyarakat, namun, dalam era pembangunan teknologi Internet of Things (IoT) dan Big Data yang pesat, pendidikan tertiari tidak lengkap tanpa penekanan yang substantif untuk menyediakan para graduan bagi memenuhi keperluan industri dan ekonomi.

Tanpa mengabaikan objektif untuk melahirkan generasi Da’i, Ulama dan Umara, KUIS perlu meluaskan fokus dan skop supaya selari dengan gagasan Selangor sebagai regional smart state.

Untuk mencapai matlamat ini, wujud permintaan besar untuk sumber daya manusia berkemahiran tinggi. Maka, institusi pengajian tinggi termasuk KUIS terpanggil untuk mengatasi persoalan defisit kemahiran yang dihadapi oleh negara.

Usaha ini juga mampu menyumbang kepada penyelesaian masalah pengangguran dikalangan generasi muda.

Kejayaan KUIS melahirkan graduan yang berilmu, berketrampilan dan berkemahiran akan menyumbang secara positif ke arah pembangunan ekonomi Negeri Selangor. Ini secara langsung akan melonjakkan pertumbuhan organik KUIS.

Kerajaan Negeri mengiktiraf peranan penting yang sedang dimainkan oleh KUIS dalam membangun bangsa dan memakmur negeri.

Justeru itu, Kerajaan Negeri senantiasa dan akan terus mendukung usaha-usaha KUIS untuk menyumbang kepada pembangunan pendidikan rakyat dan menjadikan KUIS sebagai institusi ilmu dan hikmah yang menyumbang kepada pembinaan tamadun di rantau ini.

KUIS juga dicadangkan untuk bersama melaksanakan Program Smart Tahfiz yang bertujuan untuk menyediakan pelajar-pelajar tahfiz mengikuti kurikulum bagi menduduki peperiksaan SPM. Program ini akan membolehkan graduan-graduan tahfiz menyambung pendidikan mereka dalam arus perdana pendidikan negara.

Tabung Biasiswa Selangorku telah berjaya membiayai 160 orang pelajar KUIS. Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan RM 5.07 juta kepada Tabung Pendidikan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat KUIS untuk melahirkan 681 orang huffaz.

Dana Bantuan Sara Diri yang memperuntukkan RM 1.5 juta setahun telah membantu 200 orang pelajar KUIS.

Kerajaan Negeri juga telah menyalurkan geran sebanyak RM 8 juta dalam tahun 2016 bagi menambahbaik dan menaiktaraf infrastruktur teknologi maklumat dan prasarana KUIS.

Kerajaan Negeri telah meluluskan pinjaman mudah sebanyak RM 48.5 juta yang meliputi RM 27.2 juta untuk pembinaan bangunan akademik baru KUIS dan menaiktaraf perpustakaan Imam al-Syafie. Kemudahan-kemudahan ini akan menyumbang kepada persekitaran pembelajaran dan pengajaran yang kondusif untuk warga KUIS.

Pengurusan KUIS telah memohon pertimbangan Kerajaan Negeri untuk menukar bentuk pinjaman mudah kepada geran. Kerajaan Negeri akan memberikan pertimbangan positif berdasarkan kedudukan kewangan negeri.

Saya dimaklumkan bahawa warga KUIS dan pelajar-pelajar KUIS tersenyum lebar dan gembira apabila Kerajaan Negeri menyediakan perkhidmatan percuma Bas Smart Selangor yang mula beroperasi pada 5 Ogos 2017.

Pada pagi ini, saya juga ingin mengiktiraf kecemerlangan beberapa orang pelajar dalam pencapaian akademik dan pencapaian keseluruhan. Sukacita diumumkan bahawa penerima Anugerah Diraja Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor akan menerima insentif tunai berjumlah RM 10,000. Insentif untuk penerima Anugerah Dato’ Menteri Besar Selangor dinaikkan daripada RM 3,000 kepada RM 8,000.

Saya berharap sokongan Kerajaan Negeri ini dapat memberi rangsangan kepada warga KUIS khususnya mahasiswa untuk menjadi agen pencerahan yang menjadikan ilmu dan hikmah sebagai budaya dalam masyarakat.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al Baqarah, ayat 269 :

“Dia memberikan hikmah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Barangsiapa yang diberi hikmah sesungguhnya dia telah diberi kebaikan yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pengajaran daripadanya kecuali orang-orang yang mempunyai akal yang sihat.”

Maka, dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim marilah kita sama-sama menyempurnakan Majlis Konvokesyen Ke 20, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.

Comments

comments