Ucapan

Majlis Pecah Tanah Masjid Klang Gate, Hulu Kelang

By Mac 14, 2018 No Comments
WhatsApp Image 2018-03-10 at 12.21.52

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya kita dapat berhimpun di Majlis Pecah Tanah Masjid Klang Gate, Hulu Kelang yang akan dibangunkan oleh Kerajaan Negeri selaras dengan hasrat untuk memartabatkan syiar Islam di Negeri Selangor.

Saya berasa amat gembira kerana dapat berada di sini, di kampung tempat saya dibesarkan demi melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah diperkenankan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor untuk saya menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Klang Gate.

Justeru, majlis pada hari ini juga turut dihadiri oleh wakil daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Usaha pembangunan masjid yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri pada hari adalah bertujuan untuk memperkukuh ukhuwwah dan muafakat di kalangan umat Islam. Kita yakin, peranan dan fungsi sebenar institusi masjid akan dapat menggembeleng kekuatan umat Islam selaras dengan firman Allah SWT :

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai;”
(Surah Ali Imran : 103)

Sebagai wahana perpaduan rakyat, masjid harus menjadi institusi terunggul buat umat Islam yang berperanan sebagai pusat ibadah, pusat pendidikan, dan pusat pengembangan syiar Islam sebagai benteng kepada aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Masjid perlu memainkan peranan sebagai pusat tarbiyyah yang menyemai nilai-nilai murni Islam demi membangunkan umat yang memiliki jati diri Muslim yang sejati. Saya yakin, pengimarahan masjid akan dapat melahirkan “ummatan wasata” yakni umat yang berpegang kepada prinsip Al-Quran seperti keadilan dan kesederhanaan.

Sesungguhnya, ciri-ciri ummah yang mahu kita bangunkan ini adalah paksi kepada kemajuan Negeri Selangor. Hari ini, Kerajaan Negeri bertekad untuk tidak sekadar maju dalam sektor industri dan kewangan tetapi juga seimbang dalam konteks pembangunan kerohanian.

Untuk memperkukuh pembangunan kerohanian, Kerajaan Negeri tuntas menggalas tanggungjawab untuk membangunkan institusi Islam seperti masjid, surau, sekolah rendah agama, Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) serta program-program yang dapat menyemarakkan kerohanian.

Ini termasuklah pembangunan beberapa buah masjid di Daerah Gombak seperti Masjid Zakaria, Gombak Utara, Masjid Taman Ukay Perdana dan Masjid Taman Tun Teja, Rawang. Ketiga-tiga masjid ini telahpun disiapkan sepenuhnya dan telah diserahkan kepada Jawatankuasa Masjid untuk diimarahkan dengan pelbagai aktiviti ibadah, sosial dan kemasyarakatan.
Untuk tahun 2018, Kerajaan Negeri telah menyediakan sejumlah RM 106 juta bagi tujuan pembangunan institusi kerohanian di Negeri Selangor.

Untuk anak-anak qariah Kampung Klang Gate, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk membangunkan sebuah masjid baru di atas tapak masjid lama seluas 4.864 meter persegi. Pembangunan ini adalah untuk menggantikan masjid lama yang tidak lagi dapat menampung jumlah umat Islam di sekitar. Justeru, InshaAllah, pembangunan yang menelan kos hampir RM 23 juta ini akan mampu menampung 1,500 jemaah dan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Ogos 2020.

Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dalam pembangunan masjid ini khususnya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor serta para waqif.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Kampung Klang Gate.