Ucapan

Majlis Pecah Tanah Pembangunan Blok Tambahan Masjid Darul Ehsan, Taman Tar

By Mac 14, 2018 No Comments
WhatsApp Image 2018-03-10 at 16.19.24

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita bertemu pada hari ini bersempena Majlis Pecah Tanah Pembangunan Blok Tambahan Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak.

Sebentar tadi, saya dan pimpinan baru selesai menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Masjid Kampung Klang Gate yang baharu. Kedua-dua program ini menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyemarakkan syiar Islam serta mengimbangi pertumbuhan dan pembangunan negeri dengan keutuhan pembangunan kerohanian di kalangan umat Islam.

Untuk memperkukuh pembangunan kerohanian, Kerajaan Negeri telah menyediakan sejumlah RM 106 juta bagi tahun 2018 untuk tujuan pembangunan institusi kerohanian termasuk pembangunan masjid dan surau, sekolah rendah agama, Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) serta program-program yang dapat menyemarakkan kerohanian.

Iltizam Kerajaan Negeri juga dizahirkan melalui pembangunan beberapa buah masjid di Daerah Gombak seperti Masjid Zakaria, Gombak Utara, Masjid Taman Ukay Perdana dan Masjid Taman Tun Teja, Rawang yang telah siap sepenuhnya dan telah diserahkan kepada Jawatankuasa Masjid.

Untuk anak-anak qariah Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak, jumlah umat Islam yang semakin meningkat telah mendesak kita untuk membangunkan blok baru bagi menampung keperluan masjid. Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan peruntukan pembangunan sejumlah RM 6 juta untuk memberikan keselesaan buat jemaah untuk beribadah dan melaksanakan pelbagai aktiviti masyarakat dengan terbinanya blok baru ini.

Pada masa yang sama, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada para wakif yang telah menyumbang kepada dana wakaf pembangunan blok baru ini yang sehingga mencecah kutipan sebanyak RM 1 juta.

Langkah Kerajaan Negeri ini penting memandangkan peri pentingnya institusi masjid dalam kehidupan umat Islam. Masjid merupakan pusat ibadah, pusat pendidikan serta pusat kemasyarakatan buat umat.

Dalam konteks Negeri Selangor, masjid harus berperanan sebagai benteng pertahanan aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Justeru, usaha pengimarahan masjid ini adalah sangat penting sehingga Allah SWT memberikan pedoman tentang kualiti insan-insan yang layak mengimarahkan masjid.

“Sesungguhnya hanyalah memakmurkan masjid-masjid Allah siapa yang (dia) telah beriman kepada Allah dan hari akhirat serta telah mendirikan solat dan telah menunaikan zakat dan tidak takut melainkan Allah, maka mudah-mudahan mereka bahawa mereka adalah daripada orang yang mendapat petunjuk.”

( Surah At-Taubah : 18 )

Maka, menjadi tanggungjawab kita khususnya anak-anak qariah Taman Tun Abdul Razak untuk mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti yang sarat dengan ilmu, menyemai erti kesederhanaan dan toleransi serta menangkis fahaman ekstremis dan radikal yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam.

Kita mahu institusi masjid menjadi wahana untuk membingkai muafakat dan perpaduan di kalangan umat Islam dan juga masyarakat yang rencam.

Kita harus sedar, kepelbagaian agama, bahasa, etnik, faham dan pemikiran yang muncul hari ini telah mencabar kesatuan ummah. Dengan kemunculan institusi masjid sebagai pusat aktiviti masyarakat, maka terdapat ruang untuk saling kenal mengenal – li taarafu demi memupuk semangat ukhuwah di kalangan ummah.

Marilah kita sama-sama mendoakan semoga anak-anak qariah Masjid Darul Ehsan ini juga tergolong dalam golongan mereka yang memiliki sifat-sifat seperti yang ditegaskan oleh Allah SWT untuk mengimarahkan masjid ini, InshaAllah.

Akhirnya, menjadi harapan Kerajaan Negeri agar pembangunan blok baharu Masjid Darul Ehsan, Taman Tun Abdul Razak ini akan dapat memberikan keselesaan dan suasana yang kondusif kepada jemaah sekaligus menjadi wahana buat anak-anak qariah memartabatkan syiar Islam, InshaAllah.

Sekian, terima kasih.