Ucapan

Majlis Pecah Tanah Projek Menaiktaraf Jalan B23, Jalan sungai Tua & Persimpangan Kampung Bendahara, Sungai Tua Daerah Gombak

By Mac 27, 2018 No Comments
WhatsApp Image 2018-03-26 at 15.50.50

Alhamdulillah, petang ini kita akan menyaksikan satu lagi inisiatif Kerajaan Negeri menyediakan infrastruktur dan pembangunan yang dapat meningkatkan mobiliti dan connectivity rakyat.

Kerajaan Negeri menyambut baik komitmen JKR untuk menaiktaraf Jalan B23, Jalan Sungai Tua dan Persimpangan Kampung Bendahara Sungai Tua, Daerah Gombak. Berdasarkan anggaran jabatan, projek ini dianggarkan bernilai RM 23 juta.

Namun, kesediaan Kerajaan Negeri yang tuntas mengamalkan proses tender terbuka, maka Kerajaan Negeri telah berjaya melakukan penjimatan sebanyak RM 4.4 juta dan projek ini akan dilaksanakan dengan nilai RM 18.6 juta.

Projek ini adalah sebahagian daripada usaha modenisasi infrastruktur pengangkutan darat yang akan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan selain menjamin keselesaan pengguna jalan raya.

Nadi kepada kemajuan sesebuah negeri adalah pembangunan yang mampan. Sejak 4 tahun lalu, Kerajaan Negeri tuntas meningkatkan belanja pembangunan dan mengurangkan belanja mengurus. Pada tahun 2018, kita telah meningkatkan belanja pembangunan kepada lebih 53%.

Untuk maksud mencapai kemajuan dalam pembangunan infrastruktur yang berkualiti di Negeri Selangor, Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan yang besar kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor untuk menyiapkan projek mengikut jadual dan menjamin kualiti.

Pada tahun 2018, daripada sejumlah RM 1.66 bilion peruntukan pembangunan negeri, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 780 juta bagi tujuan pembangunan infrastruktur, kemudahan dan prasarana rakyat. Daripada jumlah ini, RM 200 juta diperuntukkan kepada JKR Negeri Selangor. Ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri terhadap peranan penting JKR untuk bersama membangunkan negeri ini.

Kerajaan Negeri juga meluluskan peruntukan pembangunan bagi Daerah Gombak sebanyak RM 65 juta bagi tahun 2018 yang melibatkan agensi-agensi teknikal termasuk JKR dan JPS.

Projek menaiktaraf jalan B23 dan persimpangan Kampung Bendahara semakin mendesak untuk memenuhi keperluan pembangunan ekonomi yang rancak dan positif di Daerah Gombak termasuk dinamika demografi.

Gombak merupakan sebuah daerah yang strategik dan mempunyai potensi yang besar untuk terus menjana pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor. Adalah amat penting untuk kita meneruskan usaha-usaha bagi mewujudkan nilai tambah kepada warga Gombak secara keseluruhannya. Justeru itu, kita memerlukan sebuah Kerajaan yang kuat, stabil, berwibawa, berinovasi dan kreatif serta berwawasan.

Ini lah Kerajaan Negeri yang ada pada hari ini di mana kita mahukan pembangunan berkualiti yang bersifat people-centric atau peduli rakyat serta menjamin kualiti hidup yang lebih baik, bersatu padu dan harmoni untuk masa depan.

Saya mewakili Kerajaan Negeri amat berbangga untuk menyampaikan titah DYMM Tuanku Sultan pada awal pagi ini yakni, “Beta ingin mengingatkan kepada sekalian rakyat jelata, terutama rakyat Negeri Selangor yang berbilang bangsa, agama dan keturunan supaya mengekalkan dan mengukuhkan lagi perpaduan yang kita nikmati sekarang ini.”

Saya bersyukur kerana DYMM Tuanku Sultan berkenan mengiktiraf Kerajaan Negeri yang pada hari ini berjaya membingkai muafakat dan memelihara perpaduan.

Justeru, saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Gombak untuk menjunjung titah DYMM Tuanku Sultan demi melakar kecemerlangan negeri selaras dengan gagasan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri sekaligus melonjakkan Selangor sebagai masa depan Malaysia.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Pecah Tanah Projek Menaiktaraf Jalan B23, Jalan Sungai Tua & Persimpangan Kampung Bendahara, Sungai Tua, Daerah Gombak.

Sekian, terima kasih.