Ucapan

Majlis Pelancaran Smart Desa Selangor

By November 29, 2017 No Comments
WhatsApp Image 2017-11-28 at 11.07.35

Alhamdulillah, pada hari ini kita dapat bersama menyaksikan Majlis Pelancaran Smart Desa Selangor bersempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Peringkat Negeri Selangor dengan satu tekad dan iltizam untuk merencanakan pembangunan yang berkualiti dan unggul demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.

Selaras dengan gagasan untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah regional smart state, perancangan bandar perlu dilaksanakan secara lestari demi menjamin kehidupan masyarakat bandar dan desa yang berdayahuni (liveable).

Perancangan perlu bersifat holistik dengan mengambil kira semua aspek kehidupan. Pertama, perancangan perlu mengambil berat kehendak dan kepatuhan kepada Environmental Impact Assessment (EIA) dan juga Social Impact Assessment (SIA). Kecuaian mematuhi kehendak EIA dan SIA akan mengakibatkan gejala “the revenge of nature”, malapetaka seperti tanah runtuh, banjir kilat dan kemusnahan alam sekitar. Saya mahu perancangan di Negeri Selangor direncanakan secara bertanggungjawab dan bersifat mesra alam.

Kedua, perancangan perlu menghasilkan pembangunan berkualiti dan liveable atau berdayahuni kerana setiap perancangan bandar mahupun desa akhirnya adalah untuk keselesaan dan kesejahteraan kehidupan rakyat.

Yang hendak dibangunkan adalah manusia dan komuniti bukan sekadar membangunkan gedung atau menara. Maka, disinilah peranan perancang bandar yang bertanggungjawab untuk merancang pembangunan yang manusiawi (humane development) yang mampu membangun sebuah masyarakat yang dinamik, kreatif dan wired for innovation.

Manakala kita semakin mendekati Revolusi 4.0 adalah menjadi tanggungjawab negeri supaya melengkapkan masyarakat secara fully digitized dan connected dengan Internet of Things.

Kemajuan Negeri Selangor yang pesat pasti akan membawa kemunculan fenomena conurbation di mana beberapa bandaraya dan kawasan perbandaran bercantum akibat daripada pertumbuhan penduduk dan pembesaran kawasan bandar.

In most cases, a conurbation is a polycentric urbanised area, in which transportation has developed to link areas to create a single urban labour market or travel to work area.

Kemunculan conurbation mencabar perancangan. Kita perlu lebih kreatif dalam merancang untuk memastikan Negeri Selangor membangun secara merata.

Kepesatan pembangunan perlu seimbang dan adil untuk memastikan kesenjangan antara bandar dan desa tidak terus melebar. Kerajaan Negeri senantiasa komited untuk menjamin perancangan pembangunan tidak bersifat urban centric dan memastikan pengagihan ekonomi secara saksama kepada semua rakyat sama ada di bandar mahupun di desa.

Seperti yang ditegaskan oleh pakar ekonomi Muhammed Abdul Khalid dalam karyanya yang bertajuk The Color Of Inequality, jurang perbezaan kemewahan (the wealth gap) amat ketara di negara ini dan keadaan sebegini tidak boleh dibiarkan berterusan. Kerajaan perlu mengambil langkah-langkah secara drastik untuk merapatkan jurang termasuk jurang antara bandar dan desa demi kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.

Maka, Kerajaan Negeri bertekad untuk memberdaya masyarakat desa agar berada dalam arus perdana pembangunan dengan menikmati kemudahan dan mutu kehidupan yang setara dengan kehidupan moden masyarakat bandar. Kita perlu memastikan connectivity antara bandar dan desa.
Pada masa yang sama, kita mahu watak dan jati diri kedesaan yang bermasyarakat, bergotong-royong, muhibbah dan lestari dengan kehijauan alam semulajadi terus dikekalkan dan dipertahankan.

Saya gembira kerana PLANMalaysia@Selangor telah berjaya menghasilkan Pelan Halatuju Strategik Desa Negeri Selangor 2035 yang merupakan dokumen perancangan spatial berhubung perancangan dan cadangan pembangunan kawasan desa di Negeri Selangor yang merangkumi aspek fizikal, ekonomi, sosial dan persekitaran yang menjadi asas perancangan dan kluster pembangunan strategik demi mempertingkatkan potensi kemajuan desa di Negeri Selangor.

Dua hasil utama kajian yakni Pelan Halatuju Strategik Desa Negeri Selangor 2035 dan Sistem Maklumat Smart Desa Negeri Selangor merangkumi 519 buah kampung di Negeri Selangor melibatkan kampung tradisi, kampung tersusun, kampung baru, kampung bagan dan kampung orang asli.

Pembentukan kerangka Smart Desa merupakan penterjemahan Dasar Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035. Selain itu, ianya juga meliputi penegasan Kerajaan Negeri terhadap usaha menjana sumber pendapatan secara strategik, melaksanakan pembangunan yang berkualiti serta menyantuni rakyat melalui Inisiatif Peduli Rakyat.

Smart Desa Selangor diberi takrifan sebagai pembangunan kawasan desa secara bijak dengan mengambil berat terhadap pengurusan sumberjaya desa secara terkawal dan pembangunan ekonomi dan spatial secara terancang supaya dapat membawa manfaat dan dapat meningkatkan taraf dan kualiti hidup masyarakat desa secara keseluruhannya.

Penterjemahan ini mensasarkan pengiktirafan sebagai Global Village melalui pelaksanaan pusat smart desa dengan model-model kampung yang dilihat berpotensi bersaing di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Kerajaan Negeri tuntas mengambil pendekatan people centric dalam perancangan pembangunan setempat. Hasrat ini selari dengan tema planning with community sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia pada tahun ini. Melalui agenda mereformasikan perkhidmatan PBT, Kerajaan Negeri akan segera melaksanakan proses participatory budgeting dengan memberi ruang langsung kepada masyarakat untuk merencana program dan pembangunan yang perlu dilaksanakan di kawasan mereka.

Kerajaan Negeri yakin, penglibatan masyarakat akan memberdaya rakyat untuk terlibat sama dalam pembangunan negeri demi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Saya yakin, sekiranya tanggungjawab ini digalas bersama antara Kerajaan dan komuniti, kita akan berjaya mengelakkan pembangunan yang tidak berkualiti dan mendatangkan kerosakan di muka bumi seperti mana yang ditegaskan oleh Allah SWT :

”Maka, ingatlah nikmat Allah dan janganlah kamu bermaharajalela di bumi sebagai orang yang merosakkan.”

( Surah Al-A’raf : 74 )

Akhirnya, saya ingin merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada PLANMalaysia@Selangor yang telah berjaya menghasilkan Pelan Halatuju Strategik Desa Negeri Selangor 2035 demi merealisasikan Smart Desa Selangor.

Maka, dengan lafaz Bismillahi Rahmanir Rahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Pelancaran Smart Desa Selangor.

Sekian, terima kasih.