Ucapan

Majlis Penyerahan Loji Rawatan Air Semenyih 2

By Mac 9, 2018 No Comments
WhatsApp Image 2018-02-27 at 10.56.32

Pagi ini, kita akan menyaksikan satu lagi kejayaan Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan janji untuk memberikan perkhidmatan air yang terbaik kepada rakyat. Kejayaan ini dizahirkan melalui pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2 yang berjaya disiapkan mengikut perancangan dan jadual.

Pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2 merangkumi 8 skop kerja termasuk pembinaan baru Loji Rawatan Air dengan kapasiti 100 JLH dan pembinaan baru fasiliti sisa kumbahan rawatan dan kawasan pelupusan.

Pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2 ini adalah amat signifikan untuk memastikan bekalan air terawat mencukupi bagi menampung permintaan khususnya di selatan Selangor termasuk Semenyih dan Beranang yang kini sedang menyaksikan pertumbuhan yang begitu pesat dalam sektor perumahan dan juga industri.

Kos pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2 berjumlah RM 177.5 juta yang merangkumi pembinaan loji rawatan air dan lain-lain fasiliti yang berkenaan dan juga kerja-kerja pembaikan kolam serta pampasan pengambilan balik tanah dan sumbangan caj TNB.
Pembangunan ini mengadaptasi rekabentuk yang moden serta memenuhi ciri-ciri dan konsep teknologi hijau selaras dengan dasar Smart Selangor.

Pengujian dan pentauliahan telah dijalankan mulai 6 Februari 2018 dan telah berakhir pada 15 Februari 2018. Loji ini telah berjaya mengeluarkan 100 JLH air terawat dengan memenuhi semua parameter kualiti air yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Saya yakin pembangunan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk melengkapkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air yang lebih holistik, efisyen dan affordable bagi menjana pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan industri.

Kerajaan Negeri juga telah berjaya mengambil langkah-langkah proaktif untuk meningkatkan bekalan sumber air mentah dengan membina Off-River Storage (ORS) di Bestari Jaya bermula seawal tahun 2014. Pembangunan ini menelan belanja sebanyak RM 112 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor. ORS ini telahpun beroperasi sejak tahun 2015 yang membekalkan air mentah sehingga 600 JLH.

ORS juga berfungsi sebagai kaedah meningkatkan kualiti bekalan air mentah sekiranya berlaku pencemaran di Sungai Selangor. Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri senantiasa memandang ke hadapan dan membuat persiapan untuk menjamin kelestarian bekalan air mentah di Negeri Selangor.

Konsep yang sama juga dilaksanakan dalam pembangunan Loji Rawatan Air Semenyih 2 di mana kolam-kolam A, B dan C telah dinaiktaraf untuk berfungsi sebagai ORS.

Kerajaan Negeri juga telah memulakan kerja-kerja penggantian paip-paip lama semenjak 2016 sejauh 323 kilometer yang menelan belanja sebanyak RM 280 juta. Daripada jumlah ini, Kerajaan Negeri membiayai sebanyak RM 230 juta manakala Air Selangor menampung sebanyak RM 50 juta.

Pada tahun ini, Kerajaan Negeri meneruskan usaha penggantian paip-paip lama sepanjang 99.5 kilometer dengan peruntukan sebanyak RM 93.7 juta. Sehingga hari ini, Kerajaan Negeri komited untuk mengganti paip-paip lama sepanjang 422.5 kilometer yang bernilai RM 373.7 juta.

Penggantian paip-paip lama ini adalah untuk menangani masalah paip pecah dan bocor yang telah menyumbang kepada Kadar Air Tidak Berhasil (NRW) yang merupakan pembaziran dan kerugian hasil untuk Kerajaan Negeri. Usaha Kerajaan Negeri yang konsisten ini telah berjaya mengurangkan NRW di Negeri Selangor daripada 32.6% pada akhir tahun 2015 kepada 30.1% pada akhir tahun 2017 setelah pengambilalihan industri air oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah mengambil langkah untuk membaikpulih kolam perkhidmatan air (service reservoir) di taman-taman perumahan. Pada tahun 2017, Kerajaan Negeri telah membaikpulih 21 kolam perkhidmatan air yang menelan belanja sebanyak RM 20 juta. Pada tahun ini, usaha membaikpulih kolam perkhidmatan air akan diteruskan untuk 29 lagi kolam perkhidmatan air dan 9 rumah pam yang akan menelan belanja sebanyak RM 27.4 juta.

Kolam-kolam perkhidmatan air yang telah dibaikpulih dan berfungsi dengan sempurna akan meningkatkan simpanan (reserved) air terawat di taman-taman bagi menampung bekalan air sekiranya berlaku gangguan bekalan air.

Pembangunan Loji Rawatan Air Labohan Dagang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada akhir tahun 2018 dengan kos pembangunan sebanyak RM 427 juta. Pembangunan ini juga dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Loji Rawatan Air Labohan Dagang akan membekalkan 250 JLH untuk menampung permintaan di Daerah Kuala Langat dan Sepang.

Kejayaan menyiapkan Loji Rawatan Air Semenyih 2, Loji Rawatan Air Langat 2 dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang akan meningkatkan reserved margin air di Negeri Selangor daripada 3% pada akhir tahun 2017 kepada 11% pada akhir tahun 2019.

Kerajaan Negeri juga memandang serius terhadap kadar penggunaan air terawat yang terlalu tinggi iaitu 234 liter per kapita. Kerajaan Negeri menyeru rakyat untuk mengamalkan budaya penggunaan air yang berhemah dan pintar. Kerajaan Negeri meletakkan harapan yang begitu tinggi terhadap pengurusan Air Selangor untuk menguruskan industri perkhidmatan air di Negeri Selangor secara cekap, efisyen dan efektif bagi menjamin satu perkhidmatan yang bersifat people-centric.

Semenjak Kerajaan Negeri mengambil alih industri perkhidmatan air, Air Selangor telah membuktikan keupayaan dan kepakaran serta komitmen yang tinggi untuk menjayakan hasrat Kerajaan Negeri dalam menstrukturkan semula industri perkhidmatan air.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim marilah kita bersama-sama menyempurnakan Majlis Penyerahan Loji Rawatan Air Semenyih 2 dari Kerajaan Negeri Selangor kepada Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. untuk dioperasikan bermula 1 Mac 2018.

Sekian, terima kasih.