Ucapan

Majlis Penyerahan Projek Menaikaras Jambatan Serta Membaikpulih & Menstabilkan Tebing Sungai Jelok, Pekan Kajang

By Mac 14, 2018 No Comments
WhatsApp Image 2018-03-13 at 11.09.20

Alhamdulillah, pada pagi ini kita akan menyaksikan kejayaan Negeri Selangor mengatasi masalah banjir di Pekan Kajang untuk jangka masa panjang berbanding dengan masalah banjir di Pekan, Pahang yang sehingga hari ini gagal ditangani dengan bertanggungjawab.

Menurut PLAN@Malaysia Selangor, penumpuan penempatan penduduk di Negeri Selangor adalah di daerah-daerah yang bersempadan dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur khususnya di Gombak, Klang, Petaling dan Hulu Langat ekoran capaian prasarana yang baik dan pembangunan ekonomi yang rancak.

Daerah Hulu Langat merupakan antara daerah yang sedang rancak membangun dengan pelbagai projek seperti projek pembangunan perumahan, kawasan industri dan komersil serta kemudahan pengangkutan awam termasuk rangkaian rel dan pembangunan infrastruktur awam seperti Loji Rawatan Air Langat 2 dan projek menaiktaraf Hospital Kajang bagi wad kanak-kanak dan wanita.

Menjelang 2020, jumlah penduduk di Daerah Hulu Langat dianggar mencecah 1.4 juta orang dengan Kadar Purata Pertumbuhan Tahunan (KPPT) 1.8%.

Dengan unjuran penduduk ini, cabaran utama adalah untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan penjanaan peluang pekerjaan serta menaiktaraf kemudahan awam dan infrastruktur bagi menjamin kemajuan yang berterusan.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Selangor juga menyediakan social economic safety net seperti Inisiatif Peduli Rakyat yang meliputi sektor kesihatan, pendidikan dan keusahawanan.

Antara projek yang diberi keutamaan oleh Kerajaan Negeri Selangor semenjak akhir 2014 ialah projek tebatan banjir di Pekan Kajang yang melibatkan dua projek dengan skop kerja yang saling melengkapkan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan kerja-kerja menaikaras Jambatan Sungai Jelok dengan kos kontrak bernilai RM 3.2 juta. Skop projek adalah membina jambatan (bebo arch) dual-carriageway 4 lanes beserta laluan perjalan kaki dan menaikaras jalan tuju. Kerja-kerja ini telahpun siap pada 26 Januari 2018.

Manakala, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor menjalankan projek membaikpulih dan penstabilan Tebing Sungai Jelok di Pekan Kajang bermula akhir Mac 2015 dan siap pada pertengahan September 2016 dengan kos sebanyak RM 4.82 juta.

Kerja-kerja menaiktaraf Sungai Jelok yang melibatkan jajaran sepanjang 800 meter perlu dilaksanakan berikutan kekerapan berlakunya banjir di Pekan Kajang. Antara yang paling teruk ialah pada 3 September 2014 dan sebelumnya pada 3 Disember 2011.

Antara skop kerja JPS adalah melebarkan sungai sedia ada, membina struktur floodwall, flood gate dan flap gate.

Alhamdulillah, projek melebarkan sungai dan penstabilan tebing Sungai Jelok serta menaikaras jambatan telah menyumbang kepada kejayaan menangani masalah banjir di Pekan Kajang walaupun rekod taburan hujan tertinggi dicatatkan dengan intensity sebanyak 128 mm.

Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM 8 juta untuk menyiapkan kedua-dua projek ini bagi menjamin kesejahteraan rakyat di Pekan Kajang. Inilah Kerajaan yang peduli rakyat.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Selangor juga telah mengambil tindakan penyelesaian bagi mengatasi masalah banjir di Pekan Kajang untuk pelan jangka masa sederhana dan panjang seperti berikut :

a. Pelan Induk Saliran Bandar Kajang.
b. Penyediaan Kajian Pembangunan Tempatan PBT (Fokus Pembangunan Sekitar Sungai Jelok).
c. Menyiapkan Projek Menaiktaraf Sungai Jelok Fasa 1 dan Fasa 2 yang dirasmikan pada pagi ini.
d. Dalam pelaksanaan projek menaiktaraf Kolam Takungan di Penjara Kajang.
e. Pemantauan pembangunan tanah di bahagian tadahan Sungai Jelok secara berterusan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada agensi-agensi pelaksana bagi penyelesaian masalah banjir di Pekan Kajang seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor, Majlis Perbandaran Kajang dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat.

Kejayaan projek ini turut disumbangkan oleh kesedaran sivik penduduk dan orang awam untuk memelihara kebersihan sungai dan sistem perparitan dengan tidak membuang sampah ke dalam sungai.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Penyerahan Projek Menaiktaraf Jambatan serta Projek Membaikpulih dan Penstabilan Tebing Sungai Jelok, Kajang.

Sekian, terima kasih.