Ucapan

Majlis Perasmian Festival Halal Selangor 2017

By Disember 4, 2017 No Comments
halalselangor

Alhamdulillah, kita dapat Festival Halal Selangor 2017 anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Festival ini mampu merealisasikan potensi industri halal yang cukup dinamik untuk menjana pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor.

Penganjuran festival yang bertemakan “Meneraju Mesra Halal Selangor” adalah tepat pada masanya dan merupakan medium terbaik untuk mempromosikan produk-produk halal kepada masyarakat, memberdaya konsep halalan toyyiban serta meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap kualiti produk halal.

Hari ini, industri halal merupakan salah satu industri strategik dan berimpak tinggi yang berpotensi untuk diketengahkan dalam pasaran global.

Pasaran halal global yang dianggarkan melebihi USD 2.3 trilion setahun mesti dimanfaatkan sepenuhnya oleh usahawan tempatan melalui penghasilan produk yang berkualiti tinggi dan pelbagai, menjamin mutu kebersihan dan keselamatan produk, ciri pembungkusan yang menarik dan berdaya saing.

Eksport Malaysia bagi produk halal sehingga kini masih di tahap agak rendah dengan nilai RM 39 bilion berbanding pasaran halal dunia. Sementara itu, nilai industri halal bagi Negeri Selangor hari ini mencecah RM 10 bilion dan dijangka akan terus meningkat.

Setakat ini, sebanyak 5,726 syarikat halal telah berdaftar di Malaysia, namun hanya 40% adalah syarikat bumiputera. Daripada jumlah ini, lebih 2,000 syarikat berada dalam Negeri Selangor.

Justeru itu, usaha JAIS adalah bertepatan untuk merebut peluang pasaran halal dunia dan memperkukuhkan pembangunan industri halal untuk Negeri Selangor. Ini sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk meletakkan Selangor sebagai hub halal terulung serantau dan peringkat antarabangsa.

Hari ini, sebanyak RM 12 bilion telah dilaburkan dalam industri halal di Malaysia. Pelaburan ini telah berjaya mewujudkan lebih 100,000 peluang pekerjaan untuk pasaran tempatan.

Kerajaan Negeri komited untuk membangunkan industri halal. Salah satu usaha adalah pembangunan Hub Halal Selangor bagi mewujudkan peluang industri halal untuk para usahawan meningkat kualiti dan imej produk mereka.

Sebagai “game changer” dalam industri ini, Kerajaan Negeri melalui Halal International Selangor telah menyediakan satu inisiatif penyelesaian perniagaan (business solutions) untuk membantu mengangkat potensi industri halal domestik khususnya bagi Negeri Selangor ke persada antarabangsa.

Untuk tahun 2018, peruntukan untuk melatih 200 orang telah diluluskan di bawah program Halal Technical Competent Person (HTCP) bagi menaiktaraf kemahiran dan juga pengetahuan tentang industri halal tempatan dan juga antarabangsa. Ini adalah sebahagian daripada inisiatif IKTISASS yang diperuntukkan sebanyak RM 52 juta untuk melakukan quantum leap bagi memperkukuhkan kemahiran dan kecemerlangan kerja.

Program HTCP merupakan satu program yang meningkatkan kemahiran bertaraf “Certified” dan disahkan serta disokong oleh European Halal Development Agency. Selain daripada itu, program ini juga akan dilesenkan bagi pelaksanaan di lebih 10 institusi di lapan buah negara.

Halal International Selangor melalui program Halal Trade Delivery Assurance akan mensasarkan lebih 300 usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) bagi menyertai industri Halal ke peringkat yang lebih tinggi. Program ini akan menaraf produk-produk halal mereka dan kesediaan bagi pasaran dalam dan luar negara.

Akhirnya, menjadi harapan kita agar Festival Halal Selangor 2017 dapat membuka dimensi baru dalam industri halal negara serta memberdaya para usahawan dan mengglobalkan produk-produk halalan toyyiban – Made In Selangor.

Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Perasmian Festival Halal Selangor 2017.

Sekian, terima kasih.