Berita

Selangor bantu waris mangsa kren tumbang di Mekah

By September 13, 2015 No Comments
(1140-2)Azmin-Amir Shari-keluarga haji selangor

Sumber : SelangorKini

BATU CAVES, 13 SEP: Kerajaan Selangor bersedia untuk menanggung kos perbelanjaan waris dan keluarga ke Arab Saudi bagi menziarahi jemaah haji yang menjadi mangsa runtuhan di Masjidil Haram pada Jumaat lalu.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, beliau sudah menghubungi Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk mengetahui perkembangan semasa jemaah haji Malaysia khususnya Selangor.

Katanya, semuanya bergantung kepada kebenaran Kerajaan Arab Saudi dan rombongan TH Malaysia bersama petugas akan berangkat esok ke Makkah bagi memantau keadaan jemaah.

“Saya menghubungi Pengerusi Tabung Haji untuk mendapatkan perkembangan terkini jemaah Selangor.

“Saya menyampaikan hasrat sekiranya waris boleh pergi menziarahi jemaah yang cedera atau masih hilang, Kerajaan Negeri sedia

“Kerajaan Negeri sedia menanggung kos perbelanjaan dan tertakluk kepada kebenaran Arab Saudi dan TH,” katanya selepas menziarahi keluarga Zainul Ariffin Zulkifli di Taman Batu Muda.

Zainul Ariffin Zulkifli merupakan antara jemaah yang memgalami kecederaan dalam insiden runtuhan Masjidil Haram.

Beliau yang meninggalkan lima orang anak dalam lingkungan umur 13 hingga 4 tahun berangkat ke Tanah Suci bersama isteri, Nur Shuhada Zainol Abidin mengalami kecederaan patah kaki serta tisu lembut di belakang pinggang dan kini dirawat di Hospital Syisyah.

Ketika kejadian beliau sedang membaca Al-Quran dan berniat iktikaf.

Zainul Ariffin dan isteri berangkat ke Tanah Suci pada 17 Ogos bersama penerbangan kumpulan kedua dan dijangka pulang semula ke Malaysia pada 3 Oktober.

Bagi ibu mangsa, Fathiah Ahmad, 58, dan bapa Zulkifli Isa, 68 mereka bersyukur apabila anak mereka disahkan selamat meskipun mengalami kecederaan.

Beliau lega apabila dapat bercakap kembali dengan anaknya semalam.

“Makcik reda dengan apa yang berlaku. Bila tahu kemalangan berlaku kami terus mendirikan solat hajat ketika itu 2 pagi.

“Saya menangis selepas tahu anak saya cedera di hospital.

“Alhamdulillah syukur dia selamat. Saya mendoakan dia boleh menunaikan haji,” katanya yang sebak mengenang nasib anak tersayang.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim turut memaklumkan, beliau mengarahkan semua masjid di Selangor mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua jemaah haji Malaysia ketika berada di Tanah Suci.