Berita

Menteri Kanan Singapura kunjungi MB, kukuh hubungan dua hala

By Ogos 17, 2016 No Comments
IMG-20160817-WA0034

IMG-20160817-WA0033IMG-20160817-WA0030

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 17 OGOS: Kerajaan Selangor menerima kunjungan hormat Delegasi Kerajaan Singapura diketuai Menteri Kanan Hal Ehwal Luar dan Pertahanannya, Dr Mohamad Maliki Osman bagi mengukuhkan hubungan dua hala.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata selain membincangkan komitmen memperkukuh hubungan perdagangan, kedua-dua pihak turut membincangkan isu-isu keselamatan Asia Tenggara.

“Antara perkara dibincangkan adalah langkah strategik yang harus diambil kedua-dua negara untuk menjalin hubungan lebih kukuh di masa akan datang.

“Kita mengenal pasti ada kerjasama strategik boleh dipertingkatkan seperti soal perdagangan, kebudayaan dan juga soal latihan.

“Kita juga banyak membincangkan soal keselamatan rantau Asean, khususnya bila tercetus tuntutan China terhadap wilayah yang banyak diperbahaskan dan bagaimana negara Asean seperti Malaysia dan Singapura dapat memainkan peranan menjamin kestabilan dan keselamatan di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini di Pejabat Menteri Besar, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Kunjungan berlangsung sejam itu turut disertai Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon; Timbalan Pengarah, Menteri Hal Ehwal Luar, Shivakumar Nair; Setiausaha Pertama, Pesuruhjaya Tinggi Singapura, Rifdi Ridwan; Pegawai Negara, Kementerian Hal Ehwal Luar, Janice Lui dan Han Kaijie.

Mengulas lanjut inti pati perbincangan, Mohamed Azmin berkata, Malaysia dan Singapura mempunyai peranan masing-masing mempamerkan kepimpinan kepada negara Asean lain supaya kembali kepada doktrin Zopfan (Kawasan Aman, Bebas dan Berkecuali) untuk menjamin kestabilan dan keselamatan di rantau ini.

“Perkara ini menjadi perdebatan hangat pada hari ini, namun kita sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat harus memainkan peranan lebih proaktif ke arah mewujudkan keamanan dan kestabilan di Asean ini khususnya laluan maritim di Laut China Selatan.

“Sekiranya berlaku pertembungan dua kuasa besar kita akan terkesan dan kita pasti mahu mengelakkan perkara ini daripada berlaku,” katanya lagi.

Terdahulu, Mohamed Azmin turut menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi New Zealand, H.E Dr Johan Subritzky bagi mengukuhkan hubungan perdagangan antara Selangor – New Zealand.

Comments

comments