Pelantikan Datuk Ang Chin Tat sebagai Naib Pengerusi Perikatan Nasional Selangor

KENYATAAN MEDIA

22 FEBRUARI 2021

Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) secara rasminya menyertai Mesyuarat Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional Selangor semalam. Ini merupakan penglibatan sulung GERAKAN di peringkat negeri selepas pengumuman YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional berhubung penyertaan GERAKAN sebagai parti anggota Perikatan Nasional pada 11 Februari 2021.

Mesyuarat Badan Perhubungan Negeri Selangor juga sebulat suara melantik Datuk Ang Chin Tat, Pengerusi GERAKAN Selangor sebagai Naib Pengerusi Perikatan Nasional Selangor selain YB Dato’ Dr. Ahmad Yunus Bin Hairi, Pesuruhjaya PAS Selangor dan YB Dato’ Abdul Rashid Bin Asari, Pengerusi Badan Pimpinan BERSATU Selangor.

Penyertaan GERAKAN ke dalam Perikatan Nasional adalah amat signifikan untuk memperkukuh citra Perikatan Nasional dan membuktikan dasar Perikatan Nasional yang inklusif dan meraikan kepelbagaian. Saya yakin dasar ini akan memperkukuh usaha Perikatan Nasional untuk menggembleng penyertaan dan dukungan rakyat khususnya generasi milenial. Perikatan Nasional juga beriltizam untuk mendakap paradigma baru dalam perjuangan rakyat dan menyuntik dinamisme baru kepada politik yang berteraskan nilai.

Perikatan Nasional Negeri Selangor akan memberikan fokus kepada usaha merencana dan melaksanakan dasar dan kebijakan demi menghasilkan kemakmuran serta keadilan sosial. Sebagai sebuah kerjasama politik, Perikatan Nasional bertekad untuk memartabatkan jati diri bangsa Malaysia sekaligus meraikan kepelbagaian bahasa, kaum dan agama sebagai kesatuan yang utuh dan dinamik.

Justeru, Badan Perhubungan Negeri Selangor mengambil ketetapan untuk memperkukuhkan kerjasama yang sedia ada dan melangkah maju sebagai satu kekuatan dalam PRU-15 dan pasca pilihan raya untuk membentuk Kerajaan yang utuh dan stabil dengan penyertaan parti-parti anggota yang lebih unggul dan peranan yang dinamik.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Pengerusi

Badan Perhubungan Negeri

Perikatan Nasional Selangor