Ucapan

Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan & Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kemerdekaan

By Ogos 14, 2017 No Comments
WhatsApp Image 2017-08-14 at 10.06.34

Alhamdulillah, kita dapat bersama-sama pada hari ini dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor sempena Pelancaran Kempen Kibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan.

Rapat hari ini merupakan satu perhimpunan yang amat penting bukan sahaja di kalangan anggota perkhidmatan awam tetapi juga rakyat Malaysia. Tarikh keramat 31 Ogos membawa makna dan kesan yang besar kepada kita semua sebagai warganegara yang bermaruah dan merdeka.
Apa makna kemerdekaan ? Pagi ini, kita perlu menghayati makna sebenar kemerdekaan yang bermula dari jiwa yang merdeka.

Generasi pasca kemerdekaan hanya mampu belajar dari sejarah. Namun, bapa dan ibu kita bertarung nyawa melawan penjajah. Saya yakin, tatkala bapa dan ibu kita bergabung tenaga untuk mengusir penjajah yang menginjak-injak kebebasan rakyat, bapa dan ibu kita juga tidak mahu melihat penjajahan beralih tangan dari penjajah asing kepada penjajahan baru dikalangan sang penguasa.

Semua kita yang berada dalam dewan ini adalah generasi pasca kemerdekaan. Makna kemerdekaan yang sebenar bukanlah semata-mata bebas daripada cengkaman ketenteraan, akan tetapi kemerdekaan yang hakiki adalah membebaskan diri, jiwa dan pemikiran yang dipasung seperti yang diungkapkan oleh pemenang hadiah Nobel, Czeslaw Milosz dalam bukunya yang bertajuk The Captive Mind.

Dalam konteks ini, kita tidak mahu pemikiran dan jiwa rakyat dipenjara kembali sehingga tidak ada courage of conviction untuk menegur kerosakan manakala sang penguasa pula rakus membungkam suara rakyat yang berani tampil untuk menegakkan keadilan dan kebenaran.

Inilah yang dimashyurkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman ketika mengisytiharkan kemerdekaan negara.

“Persekutuan Tanah Melayu akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

Kebobrokan dan rasuah adalah akibat daripada nafsu serakah kleptokrat. Rakyat yang melawan kleptokrat adalah patriot sejati dan bukan pengkhianat.

Namun, pada masa yang sama, rakyat yang merdeka tidak akan terpedaya dengan momokan bahawa rasuah dan kebobrokan ekonomi direkayasa oleh kuasa asing.

Sebagai anggota perkhidmatan awam dan rakyat Negeri Selangor, kita harus bersyukur. Kemakmuran dan kemajuan Negeri Selangor adalah hasil pengorbanan bapa dan ibu serta anggota keselamatan yang mempertahankan kedaulatan negara dan keselamatan rakyat.

Pewaris kemerdekaan hari ini bertanggungjawab untuk mengisi kemerdekaan dengan mempertahankan juga kedaulatan ekonomi. Sementara kita mesti berusaha untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan dan mewujudkan kekayaan untuk rakyat, kita juga mesti memastikan negara bebas daripada dominasi dan imperialisme ekonomi.

Inilah yang dizahirkan oleh warna merah dalam jalur gemilang yang menjadi simbol kepada keberanian dan gagah perkasa. Jalur gemilang seharusnya menjadi pendorong buat kita memiliki keberanian untuk berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk sebarang ancaman yang boleh menggugat kedaulatan negara.

Kuning melambangkan institusi Raja-Raja Melayu. Generasi pasca kemerdekaan perlu mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan. Institusi Raja-Raja Melayu adalah lambang perpaduan umat Malaysia.

Perpaduan rakyat yang dicerminkan oleh warna biru dalam jalur gemilang adalah keutamaan bagi kita untuk terus memelihara keamanan negara ini.

Perpaduan ini perlu terus diperkukuhkan. Kita harus merangkul kerencaman ini sebagai aset yang amat berharga buat negara dengan ikhtiyar berterusan untuk membina kesatuan rakyat, unity in diversity.

Inilah Selangor – sebuah negeri yang stabil dan mempunyai penyatuan dalam pentadbiran, cekal dan berpandangan jauh serta melaksanakan dasar dan program yang mengutamakan rakyat.

Kempen kibarkan jalur gemilang bukan bermakna sekadar mengibarkan jalur gemilang secara fizikal. Apa yang lebih penting adalah penghayatan nilai-nilai dan semangat yang dizahirkan oleh jalur gemilang untuk kita menggilap kembali semangat patriotisme, kecintaan kita kepada tanah air.

Justeru, Kerajaan Negeri mahu memaknai erti kemerdekaan ini dengan pembangunan dan kemajuan yang unggul demi rasa kasih dan cinta kepada watan.

Pembangunan yang kita laksanakan bukan sekadar membangunkan gedung atau infrastruktur untuk rakyat, tetapi apa yang sama penting adalah pembangunan jati diri bangsa.

Cita-cita saya adalah untuk membangun sebuah bangsa yang bertamadun. Bangsa Melayu dikenali sebagai bangsa yang sopan, berakhlak mulia, menghormati orang yang berjasa, mempunyai budi bahasa yang tinggi. Kita mesti memelihara nilai-nilai ini daripada dicemari oleh segelintir penyangak yang sanggup melontar kasut, membaling kerusi kerana mabuk dengan dedak. Lontar kerusi, kasut dan membakar suar tidak akan sama sekali mampu menutup pekung amalan rasuah.

Democracy is about the public contestation of ideas. Kita berhujah dengan menggunakan akal dan fakta, bukan keganasan dan intimidasi.

Kejayaan melaksanakan gagasan Membangun Bangsa dan Memakmur Negeri adalah cerminan iltizam kita untuk memberikan yang terbaik buat bangsa dan negeri ini. Kita tuntas melaksanakan tanggungjawab bagi memenuhi aspirasi anak watan.

Rapat hari ini dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Saya amat gembira kerana semua PBT Negeri Selangor telah menunjukkan prestasi, mutu dan kualiti perkhidmatan yang amat cemerlang kepada rakyat. Penafaran lima bintang yang diberikan oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada 10 daripada 12 PBT di Negeri Selangor dan penarafan empat bintang kepada 2 PBT yang lain adalah hasil usaha gigih dan kerja keras seluruh warga PBT.

Berkat ikhtiyar yang berterusan ini juga, kajian lapangan Merdeka Centre baru-baru ini mendapati prestasi PBT Negeri Selangor hari ini sudah mencapai tahap kepuasan hati rakyat sebanyak 74 peratus, meningkat dengan cukup signifikan sebanyak 11 peratus berbanding prestasi sebelum ini.

Syabas dan tahniah kepada Datuk Bandar dan seluruh warga kerja MBPJ yang telah berusaha keras sehingga MBPJ dinobatkan dengan prestasi yang terbaik serta peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 18% berbanding prestasi tahun 2015.

Saya ingin menegaskan disini bahawa prestasi penyampaian perkhidmatan seluruh warga PBT adalah kebanggaan negeri ini.

Kerajaan Negeri yakin, kejayaan ini bukan sahaja mampu untuk menjana kemakmuran negeri tetapi juga mampu mencipta sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu dan harmoni dalam sebuah keluarga besar – Umat Malaysia.

Maka, dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Pelancaran Kempen Kibarkan Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2017.

Sekian. Terima kasih.