Ucapan

Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan

By Mac 19, 2018 No Comments
WhatsApp Image 2018-03-19 at 10.48.08

Alhamdulillah, saya amat gembira dapat bersama-sama dengan anggota perkhidmatan awam Selangor dalam Perhimpunan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor yang dihoskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) yang telah ditubuhkan sejak 15 tahun yang lalu memainkan peranan yang aktif dalam menerajui pelbagai inisiatif yang berinovasi dan kreatif bagi membolehkan rakyat Negeri Selangor mempunyai akses kepada perumahan yang berkualiti, affordable dan selesa untuk keluarga.

Besar kemungkinan, rapat pada hari ini adalah yang terakhir untuk penggal ini. Ini adalah proses biasa dalam amalan demokrasi di mana kami akan menyerahkan semula mandat ini kepada rakyat untuk dinilai dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Adalah menjadi tanggungjawab setiap anggota masyarakat untuk memperkasakan diri dan menentukan masa depan dan hala tuju negara. Menurut penulis terkenal Henrik Ibsen, “a community is like a ship; everyone ought to be prepared to take the helm.”

Menjadi tanggungjawab sebuah Kerajaan yang demokratik dan bermaruah untuk membenarkan proses demokrasi terus disuburkan dan menjamin hak rakyat untuk membuat pilihan melalui proses pilihan raya yang adil dan bersih.

Semenjak saya diberikan tanggungjawab selaku Dato’ Menteri Besar, saya dan pasukan telah berusaha sedaya upaya kami untuk bekerja kuat dan memberikan perkhidmatan yang terbaik serta menjamin hak rakyat Negeri Selangor terus terpelihara.

Saya berasa amat bertuah dan bersyukur kerana diberikan pasukan pegawai dan anggota perkhidmatan awam yang komited untuk bersama membangunkan Negeri Selangor dengan berpegang kepada piagam perkhidmatan awam iaitu berkhidmat dengan jujur, berintegriti dan profesional.

Saya menjunjung titah nasihat DYMM Tuanku Sultan Selangor ketika Perasmian Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Ketiga Belas bahawa politik bukanlah semata-mata untuk memburu kuasa. Politik dalam pengertian sebenar adalah usaha untuk mencapai urus tadbir yang cemerlang bagi membangunkan negeri. Dalam hal ini, pentadbiran Kerajaan Negeri yang stabil dan meletakkan agenda peduli rakyat mengatasi polemik dan politik sempit.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan semua termasuk diri saya bahawa kuasa membawa satu tanggungjawab yang berat dan amanah. Tanggungjawab ini perlu digalas dengan penuh perasaan tawadu’ atau humility.

Hal ini diungkapkan oleh TS Eliot, “The only wisdom we can hope to acquire, is the wisdom of humility : humility is endless.” Kerajaan Negeri akan meneruskan amalan politik luhur yang berteraskan prinsip dan nilai.

Saya menyifatkan antara kejayaan saya dalam tempoh hampir 4 tahun sebagai Dato’ Menteri Besar ialah apabila saya bersama Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ketua-Ketua Jabatan dapat menyelesaikan masalah rakyat. Saya mempunyai pengalaman kerja yang amat bernilai apabila Pegawai-Pegawai Daerah turun ke bawah untuk menyantuni rakyat bersama-sama dengan saya di desa, kampung dan pekan untuk mendengar keluhan rakyat dan akhirnya berjaya menyelesaikan masalah rakyat.

Seperti diungkapkan oleh Albert Einstein, “the only source of knowledge is experience”, maka pengalaman ini telah menggilap tekad dan iltizam kami untuk terus bekerja dengan lebih kuat untuk membangunkan Negeri Selangor.

Kejayaan yang telah kita lakarkan bersama telah meletakkan Selangor pada hari ini sebagai premier state atau negeri terunggul di Malaysia.

Saya juga gembira kerana mendapat cambahan idea atau the cross fertilization of ideas daripada Ketua-Ketua Jabatan sama ada Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Pengarah UPEN, Pengarah PTG semata-mata untuk mencari penyelesaian yang terbaik dan merencana satu perancangan strategik demi kemajuan negeri.

Semua ini adalah pengalaman yang cukup manis dalam kerjaya saya dan akhirnya atas permuafakatan yang utuh inilah, kita dapat mempeduli rakyat dan memakmurkan Negeri Selangor.

Antara kejayaan kita ialah dalam sektor perumahan awam di mana Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) yang diterajui oleh Puan Norzaton Aini Binti Mohd Kassim telah berjaya memperkenalkan dasar house owning democracy.

Perumahan mampu milik atau Rumah Selangorku adalah agenda penting Kerajaan Negeri Selangor untuk membolehkan golongan millennials, B40 dan M40 untuk mendapat akses kepada pemilikan rumah yang berkualiti dan mampu dimiliki.

Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dengan kerjasama pihak swasta telah berjaya menyiapkan 3,620 unit Rumah Selangorku dan tambahan sebanyak 20,627 unit sedang dalam pelbagai peringkat pembangunan dan dijual dengan harga di antara RM 42,000 sehingga RM 250,000.

Sebanyak 70% daripada Rumah Selangorku yang dibina di Negeri Selangor adalah di bawah kategori harga kurang daripada RM 200,000.

Kegagalan pembeli mendapat pinjaman perumahan akibat prosedur kredit yang ketat telah menyebabkan rakyat biasa tidak dapat memiliki rumah.

Untuk menjayakan house owning democracy, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Skim Smart Sewa pada tahun 2016 untuk membantu rakyat berpendapatan sederhana menyewa kediaman sebelum mempunyai keupayaan untuk membeli rumah dengan peruntukan sejumlah RM 10 juta.

Melalui skim ini, penyewa akan mendapat kembali 30% daripada jumlah sewaan untuk digunakan sebagai deposit membeli kediaman baru.

Skim ini telah mendapat sambutan yang amat gemuruh daripada rakyat khususnya golongan millennials. Justeru, pada tahun 2017, Kerajaan Negeri telah meningkatkan pembiayaan Skim Smart-Sewa kepada RM 100 juta untuk membeli unit-unit rumah di lokasi strategik yang disewakan kepada mereka yang berkelayakan.

Sementara itu, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan skim Smart Selangor First Home Buyers di mana Kerajaan Negeri akan mendahulukan pembayaran deposit sebanyak 10% tertakluk kepada jaminan pembiayaan yang diperolehi oleh pembeli melalui bank atau institusi kewangan lain untuk pembelian Rumah Selangorku.

Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan setingginya kepada Puan Norzaton Aini Binti Mohd Kassim yang telah melakukan anjakan paradigma dalam mentransformasikan peranan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan mengangkat kepada satu tahap kecemerlangan. Beliau juga bertanggungjawab memperkenalkan Dasar Rumah Selangorku 2.0 yang lebih kreatif dan inovatif untuk memenuhi aspirasi rakyat dalam sektor perumahan.

Saya mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau selama 26 tahun dalam pentadbiran awam dan mendoakan agar beliau akan terus aktif menyumbang khidmat dan pengalaman beliau kepada masyarakat.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada seluruh warga kerja Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS)  di atas komitmen yang tinggi dalam memastikan dasar pendemokrasian pemilikan rumah dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Penjawat awam yang berintegriti merupakan “the conscience of the government” – hati nurani dan lubuk hati kerajaan. Saudara-saudari telah menyumbang kepada kejayaan yang kita kecapi pada hari ini. Oleh itu, jangan kita runtuhkan apa yang telah kita bina dengan keringat, komitmen, idealisme dan pengorbanan yang luhur. Selangor kini telah muncul sebagai khazanah yang bernilai, kekayaan dan kejayaan yang perlu dipelihara dengan bertanggungjawab. Saudara-saudari bertanggungjawab untuk mempertahankan kekayaan dan kejayaan ini demi anak bangsa di masa yang akan datang.

Maka dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, marilah kita bersama-sama menyempurnakan Sambutan Ulangtahun Ke-15 Penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Sekian, terima kasih.