Ucapan

Perutusan Deepavali 2017

By Oktober 17, 2017 No Comments
deepavalimb

Vanakkam, En Iniya Deepavali Nal Vaalthukkal

Saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua rakyat Selangor yang beragama Hindu dan Sikh.

Sesungguhnya, sambutan Deepavali adalah peluang terbaik untuk berkumpul bersama keluarga dan sahabat yang pasti memberikan kenangan manis. Kenangan manis itulah semangat penting Deepavali dalam mengukuh persaudaraan dan kebersatuan kita semua.

Deepavali adalah perayaan meraikan kemenangan unsur kebaikan mengatasi unsur kejahatan. Kebaikan itu digambarkan menerusi cahaya mengalahkan kejahatan yang dikaitkan dengan kegelapan.

Sejajar dengan semangat perayaan ini, adalah menjadi harapan agar sinar cahaya muncul daripada kegelapan dan mengubah negara yang tercinta ini. Perubahan melahirkan semangat menghadapi cabaran dengan keyakinan dan kekuatan bagi mencapai impian generasi akan datang.

Deepavali mengingatkan kita semua untuk bekerjasama memberi cahaya kehidupan kepada mereka yang kurang bernasib baik supaya tiada anggota masyarakat terpinggir di Negeri Selangor.

Bagi mencapai hasrat itu, pada Belanjawan Negeri 2017, Kerajaan Negeri tekad mengangkat martabat masyarakat India Selangor dengan Program Pembinaan Upaya Usahawan India Selangor menerusi peruntukkan sebanyak RM1 juta.

Kerajaan Negeri peduli akan anak muda India Selangor dan mahu mereka bersaing dalam ekonomi negeri yang rancak ketika ini. Kini, program berkenaan sedang melatih 160 anak muda India Selangor dan bakal dikembangkan kepada 240 peserta India negeri ini.

Usaha murni memperkasa kaum India sedang meniti kejayaan dan saya menyeru semua pihak untuk bersama Kerajaan Negeri, menggandakan usaha melahirkan rakyat Selangor yang komited dengan sikap kepedulian untuk semua.

Selamat Hari Deepavali

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Comments

comments