Berita

Perutusan Hari Malaysia 2015

By September 15, 2015 No Comments
(1140_2)Malaysia-Flag-8

16 SEPTEMBER 2015
PERUTUSAN HARI MALAYSIA

Pada hari ini, lima puluh dua tahun yang lalu, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytihar dan memahsyurkan pembentukan Persekutuan Malaysia. Beliau membuat perisytiharan tersebut bagi pihak “umat Malaysia”. Tunku Abdul Rahman menggunakan ungkapan “umat Malaysia”. Ungkapan ini amat bermakna kerana ia sekaligus mengingatkan kita kepada Perlembagaan Madinah.

Apabila Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Makkah al-Mukarramah kepada Madinah al-Munawwarah, Baginda membuat perjanjian dengan kabilah-kabilah Arab dan Yahudi yang menetap di kota tersebut. Dokumen perjanjian tersebut kemudian disebut oleh Dr. Muhammad Hamidullah sebagai “The first written constitution in the world”; perlembagaan bertulis yang pertama di dalam sejarah dunia.

Di bawah Perlembagaan Madinah, Rasulullah SAW mengisytiharkan semua penduduk Madinah yang kosmopolitan, majmuk, pelbagai suku kaum dan agama adalah satu ummah – “ummatan wahidah”. Inisiatif Rasulullah membuat perjanjian, satu perlembagaan, dengan semua kaum dan agama adalah untuk mencipta suasana aman damai dan demi jaminan keselamatan. Sebelum kedatangan Rasulullah, kabilah-kabilah Arab dan Yahudi senantiasa berperang sesama sendiri. Di bawah Perlembagaan Madinah, semua kabilah-kabilah Arab dan Yahudi itu adalah umat yang satu.

Inilah juga yang berlaku di negara kita. Seumpama itu jugalah kejayaan kenegarawanan atau statesmanship Tunku Abdul Rahman. Dengan pembentukan Persekutuan Malaysia, negara kita menjadi lebih majmuk, lebih kosmopolitan. Melayu, Cina, India, Orang Asal ditambah dengan Kadazan, Dusun, Bajau, Iban, Dayak, Bidayuh, Melanau, Orang Ulu dan lain-lain membentuk Bangsa Malaysia. Kesemua suku-suku kaum ini disebut oleh Tunku Abdul Rahman sebagai “umat Malaysia.”

Apabila Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan semua kaum di Malaysia sebagai “umat Malaysia”, sudah tentu beliau tidak mahu mewujudkan hegemoni mana-mana kaum di negara ini kerana hegemoni tersebut adalah bertentangan dengan prinsip keadilan dan akan menggugat kestabilan. Justeru itu, mereka yang berhimpun dengan maksud untuk mengangkat hegemoni kaum adalah bertentangan dengan gagasan “umat Malaysia” yang diungkap oleh Tunku Abdul Rahman.

Dalam Permasyhuran Malaysia, Tunku Abdul Rahman mengulangi prinsip-prinsip yang beliau ungkapkan dalam Permasyhuran Kemerdekaan bahawa Malaysia “dengan izin dan kehendak Allah Rabbul–Alamin akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan dan senantiasa mempertahankan serta memelihara keamanan dan kemesraan umatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa di dunia ini.”

Bukan sahaja Malaysia perlu aman; umatnya perlu mesra. Bukan sekadar toleransi; kita perlu wujudkan kemesraan. Takdir menentukan kita berbeda warna kulit, keturunan dan agama. Tetapi kita boleh memilih dan menentukan untuk bersengketa atau hidup dalam keadaan bersaudara dan aman. Umat Malaysia memilih untuk hidup bersama dengan kemesraan. Marilah kita kekalkan tradisi ini.

Generasi hari ini perlu memahami fakta sejarah bahawa Sabah dan Sarawak bersama dengan Semenanjung Tanah Melayu membentuk Malaysia. Untuk mengembalikan ingatan sejarah, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat telah memeterai Perisytiharan Kuching pada 16 September 2012.

Perisytiharan tersebut adalah “satu perjanjian yang tidak boleh disangkal dan dipersoalkan lagi, termaktub di antara Pakatan Rakyat dan segenap lapisan masyarakat Malaysia; pada hari ini, tanggal 16 September 2012, bersempena dengan sambutan Hari Malaysia, agar tersohorlah gegak gempitanya dari puncak tertinggi di bumi Malaysia tercinta, dan akan tersebar seluas samudera yang terbentang supaya kebebasan dapat kita capai dan kita semua boleh hidup bersatu padu dalam suasana aman dan damai.”

Perisytiharan tersebut adalah satu tekad untuk “memulihara intipati Perjanjian Malaysia dan memperkasakan kedudukan Sarawak dan Sabah setanding dengan Semenanjung Malaysia dengan mengembalikan autonomi Sarawak dan Sabah mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan.”

Perisytiharan tersebut komited untuk “mempertingkatkan integrasi nasional di antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia melalui penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil yang menjunjung semangat Perjanjian Malaysia.”

Maka, sempena Hari Malaysia, marilah kita semua memperbaharui tekad untuk memenuhi dan melaksanakan apa yang telah kita janjikan dan menjadikan Malaysia sebuah negara yang gagah di mana semua rakyatnya adalah umat Malaysia.

MOHAMED AZMIN ALI