Kenyataan Media

Perutusan Hari Pekerja

By Mei 1, 2018 No Comments
WhatsApp Image 2018-05-01 at 13.17.09

Salam Hari Pekerja kepada seluruh rakyat Malaysia.

Hari Pekerja 2018 merupakan tanda ingatan terpenting mengenai peranan pekerja dalam memacu ekonomi negara.

Walaupun begitu, keadaan ekonomi negara semakin gawat sewaktu ramai sedang bergelut dengan krisis kos sara hidup dan gaji yang rendah.

Gaji minima masih pada tahap tidak realistik sebanyak RM1,000 dan separuh daripada pekerja di Malaysia bergaji di bawah RM1,700. Dengan gaji sebegini, sudah tentu mereka tidak dapat menghadapi cabaran GST dan harga barang yang sedang naik.

Berbeza di Negeri Selangor, di mana gaji minima penjawat awam negeri adalah pada kadar RM1,500, kerana saya percaya jika para pekerja mempunyai gaji lebih tinggi, mereka dapat menyumbang lebih kepada ekonomi. Malah, Pakatan Harapan juga bertekad untuk meningkatkan gaji minima bagi semua jenis pekerjaan kepada RM1,500 selepas kita pergi ke Putrajaya.

Itulah faktor utama Selangor menjadi penyumbang terbesar kepada KDNK negara sebanyak 23% kerana di Selangor, para pekerja menjadi tulang belakang ekonomi negeri.

Malah, kerajaan negeri telah jauh ke depan dengan menggunakan strategi pembangunan berasaskan inovasi serta ekonomi yang berasaskan pengetahuan atau “Knowledge Economy”. Dalam pada itu, daya saing pekerja telah ditingkatkan. Ini selaras dengan tawaran Pakatan Harapan untuk mewujudkan 1 juta pekerjaan berkualiti untuk anak muda yang bergaji tinggi, sebanyak RM2,500 ke atas.

Saya menyeru para pekerja supaya menggembleng tenaga, berganding bahu untuk membuat pilihan betul dalam Pilihan Raya Umum Ke-14. Pilihlah parti yang akan membela dan memelihara kebajikan pekerja. Pilihlah parti yang mengiktiraf hak pekerja dan kesatuan pekerja.

Di Selangor, Pakatan Harapan telah membuktikan bahawa kita peduli kebajikan dan keluhan para pekerja. Hantarlah kita ke Putrajaya, dan kita dapat memartabatkan hak dan kebajikan semua pekerja Malaysia.

Salam Hari Pekerja 2018!

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden
Parti KEADILAN Rakyat